Sunday, April 22, 2007

Pilihan raya kecil di Ijok: Kepintaran merangka strategi

Meninjau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Ijok, memperlihatkan kempen habis-habisan Barisan Nasional dan Barisan Alternatif. Bermula dari simpang tiga Puncak Alam ke Ijok, poster Barisan Nasional mencacak tinggi, ramai petugas berkumpul di kawasan lapang tepi jalan menandakan kesediaan mereka untuk menentang calon pembangkang. Dari situ, ladang kelapa sawit di sebelah kanan mencacak bendera dan poster Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jalan raya juga diturap dengan tar baru dan masih melekit pada tayar kereta dan motosikal. Sebelum memasuki pekan Ijok, terdapat kawasan di hujung kolam sebuah tembok konkrit yang bertulis, "Persatuan Khairat Kematian…" iaitu kawasan pembakaran mayat masyarakat India. Memasuki pekan Ijok, di kiri dan kanan dipenuhi dengan bendera dan poster serta kain rentang kedua-dua belah pihak. Barisan Nasional menggunakan kaedah rumah negeri bagi setiap kawasan tumpuan mereka seperti Rumah Terengganu, Rumah Perlis dan Rumah Negeri Sembilan.

Kawasan letak kereta di masjid utama pekan Ijok hari ini ditar penuh dan siap dalam masa satu hari. Berhempas pulas pekerja kontrak menyiapkan kerja mereka. Kawasan pasar malam juga turut ditar dengan jalan baru. Kawasan kampung yang sedikit ke dalam kawasan ladang kelapa sawit dan kebun getah juga ditar penuh. Kampung Bukit Badong juga riuh dengan jentera parti kedua-dua pihak. Nampak jelas pilihan raya ini memberi kemudahan pengangkutan kepada penduduk Ijok.

Di jalan raya, kereta bernombor pendaftaran dari seluruh negara menjalar menerobos segenap ceruk Ijok. Kawasan pekan Ijok tidak terdapat ramai penduduk kerana kebanyakan kawasan di sini adalah ladang pertanian. Ladang estet kelapa sawit di kiri dan kanan menghalang mata pengunjung daripada melihat betapa ramai penduduk Ijok di kawasan luar bandar hatta ke ceruk kampung. Cina ramai di bandar, India di estet dan Melayu di kampung, komposisi yang sentiasa ada di mana-mana. Justeru, tidak ramai muka Melayu dan India di pekan Ijok kerana mereka hanya keluar apabila ada keperluan.

Singgah di gerai tepi jalan untuk merasai "cendol pulut Ijok" memang menyegarkan badan tetapi tidak dapat menandingi "Joe cendol pulut" di Hosba, Kedah. Namun tumpuan ramai orang ialah di sini. Kenderaan yang berhenti tidak pernah putus walaupun hanya ada sedozen meja kecil. Semangkuk kecil harganya RM1.50 dan sehari dijangka 300 orang yang menikmati cendol pulut ini. Daripada kanak-kanak hinggalah orang tua datang silih berganti.

Pekan Ijok tidak besar. Di sebelah kiri terdapat dua deret bangunan baru dan sebuah stesyen minyak BHPetrol yang belum beroperasi. Tumpuan pembangunan ialah di sebelah kanan. Di sini terdapat sebuah masjid, sekolah agama, stesyen minyak Petronas, hentian bas dan kedai makan. Restoran tumpuan ketika ini ialah Restoran Fadzullah Khan yang menjadi tempat pertemuan dan melepaskan tekanan peraih undi. Di kiri dan kanan restoran ini diletakkan pelbagai jenis kenderaan dari Kancil hinggalah BMW 3 siri. Di belakang restoran pula, Barisan Nasional menjadikan sebuah rumah sebagai bilik gerakan.

Senario pilihan raya di Ijok memperlihatkan pertembungan sokongan kepada parti dan calon. Di Kampung Bukit Badong, sebelah rumah dipacak dengan bendera Barisan Nasional dan di sebelah rumah lagi dipacak dengan bendera PKR. Dari segi bendera, poster dan kain rentang, Barisan Nasional lebih meriah dan tanda jelas kesungguhan mereka untuk mempertahankan kemenangan yang dicapai sebelum ini. PKR yang dibantu oleh markas Parti Islam seMalaysia (PAS) lebih menonjol di kawasan Melayu berbanding India dan Cina. Peraih undi dari Malaysia Chinese Association Party (MCA) juga dilihat merayau-rayau di sekitar kawasan pasar malam Ijok, bertemu orang ramai dan peniaga. Indian Progressive Front (IPF), parti bukan komponen Barisan Nasional turut menyatakan sokongan kepada calon Barisan Nasional melalui sebuah papan tanda yang dilekatkan pada sebatang pokok di pekan Ijok. Lambang roket tidak pula kelihatan. Dari segi tarikan poster dan kain rentang, PKR lebih menyerlah walaupun sedikit. Warna-warni gambar calon dan latar belakang yang tertera menenggelamkan seketika warna biru-putih Barisan Nasional.

Keselamatan pilihan raya terletak di atas tanggungjawab pihak polis. Justeru, kawalan masuk dan keluar jalan utama di Ijok telah diperketatkan. Setiap kenderaan diperiksa dengan teliti oleh pasukan polis yang membuat persediaan dan pemantauan 24 jam. Kejayaan pasukan polis mengawal keadaan sentiasa diperhati kerana pilihan raya yang matang adalah harapan semua pihak. Kereta ronda polis lebih kerap dilihat menjalar di jalan raya selang lima minit. Keadaan ini jelas memperlihatkan kesungguhan pasukan polis dari semua peringkat untuk memastikan keadaan terkawal.

Instrumen yang diguna pakai oleh PKR bagi memaklumkan isu-isu pilihan raya ialah melalui ceramah umum. Berbanding meraih undi yang dijalankan oleh semua parti komponen Barisan Nasional, PKR tidak mempunyai banyak saluran untuk menggerakkan jentera pilihan raya mereka. Tetapi mereka harus berani untuk bersaing kerana pemilih pada hari ini semakin bijak. Barisan Nasional juga tidak duduk diam dan tidak mengharapkan bantuan media massa dan elektronik. Petugas mereka juga bekerja keras. Umpamanya di sebuah ladang estet, sekonvoi pick-up yang membawa bendera Barisan Nasional menziarahi kelompok kecil pekerja ladang keturunan India yang sedang bersembahyang di sebuah kuil yang dhaif. Kedatangan mereka disambut baik sambil mengedarkan profil calon parti. Konvoi ini bekerja di bawah panas terik matahari tanpa jemu dan rasa letih. Di sini, prestasi kerja petugas Barisan Nasional lebih menyerlah berbanding Barisan Alternatif walaupun ada sekali-sekala kereta petugas PKR menderu di pekan Ijok. Sementara Wanita UMNO berkumpul di markas yang dihias indah, Wanita PKR nampak sedikit muram di markas mereka. Mungkin strategi bekerja berbeza-beza.

Memenangi pilihan raya adalah impian semua calon. Wakil DUN ini akan mewakili kawasan tersebut untuk menyampaikan apa juga keperluan penduduk. Calon tidak boleh diharap pada personaliti dan populariti tetapi ditambah lagi dengan kepintaran, integriti dan pengalaman. Parti yang mendokong aspirasi penduduk dan pemilih akan dipilih. Kebijaksanaan memilih ADUN Ijok N11 terletak di tangan pemilih berdaftar Ijok.

No comments:

Post a Comment