Sunday, April 08, 2007

Meningkatkan kualiti pengurusan pelajaran negeri

Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD) dan Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP) sedang berbalah mengenai rasional kemasukan pegawai-pegawai dari skim PTD ke Jabatan Pelajaran Negeri. NUTP membantah pelantikan pegawai PTD berkenaan kerana dua sebab iaitu menghalang kenaikan pangkat untuk lulusan siswazah dalam perkhidmatan pendidikan dan keduanya, satu penghinaan terhadap maruah dan hak para guru di seluruh negara. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon yakin kemasukan pegawai PTD mampu memantapkan pengurusan pendidikan sedia ada. Bagaimanapun Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melihat tidak ada masalah besar yang timbul ketika ini dalam perkhidmatan pendidikan, jadi tidak perlu dibuka kepada PTD.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar pula menyuruh para guru menerima sahaja kemasukan PTD ke Jabatan Pelajaran Negeri.

Perdebatan kewajaran skim DG (pendidikan) di Jabatan Pelajaran Negeri diambil alih oleh skim M (PTD) adalah berkaitan isu pengurusan. Sepuluh tahun yang lalu kerajaan meletakkan sasaran menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau. Sehingga kini terdapat 20 buah universiti awam dan dua kementerian diwujudkan iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Kementerian Pelajaran bersama-sama 320,000 guru di seluruh negara memikul tanggungjawab untuk memastikan pendidikan untuk rakyat Malaysia dapat disempurnakan.

Sistem pendidikan dan pentadbiran negara mempunyai sejarah yang panjang. Sumbangan mereka terhadap pembangunan negara sangat bermakna dan masing-masing berfungsi berdasarkan profesionalisme yang kemas, tersusun dan mantap.

Jentera pentadbiran kerajaan adalah tulang belakang kepada perjalanan dasar kerajaan. Ia diletakkan di bawah satu bumbung yang dikenali sebagai Perkhidmatan Awam Malaysia yang merangkumi tujuh organisasi iaitu Angkatan Tentera, Pasukan Polis, Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, Perkhidmatan Awam Bersama, Perkhidmatan Awam Negeri dan Perkhidmatan Pendidikan.

Di Malaysia, perkhidmatan awam memainkan fungsi yang sangat penting bagi mempastikan masyarakat negara ini dapat merasai sistem hidup yang lancar, merasai ketenteraman, tahap kesihatan yang baik dan dapat membangun dari segi ekonomi, politik, sosial, budaya dan keagamaan. PTD merupakan perkhidmatan awal dan utama dalam perkhidmatan awam di Malaysia sejak era penjajahan British iaitu tahun 1904. Bermula dengan gelaran Malayan Civil Services, kemudian ditukar kepada Malaysian Home and Foreign Services (MHFS) pada tahun 1966. Lima tahun kemudiannya, MHFS ditukarkan kepada Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD) hinggalah sekarang. Bidang tugas PTD sangat luas dan merangkumi hubungan antarabangsa dan luar negeri, keselamatan dan pertahanan negara, pentadbiran dan pembangunan (wilayah, tanah, daerah dan tempatan), perancangan dan pentadbiran sosial/infrastruktur, pengurusan sumber manusia dan organisasi, pengurusan sumber ekonomi dan pengurusan kewangan. Dengan bidang-bidang ini, pegawai PTD boleh ditempatkan di mana-mana sahaja agensi dan jabatan. Justeru itu, jawatan-jawatan utama sektor awam dipegang secara warisan turun-temurun daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, sebahagian duta dan pegawai daerah di seluruh negara. Proses yang dilalui adalah prasyarat yang melayakkan mereka untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mentadbir jentera pengurusan negara dengan lancar.

Guru berperanan penting mendidik rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk menjadi manusia yang membawa perubahan. Sejarah kemerdekaan negara penuh warna-warni dengan perjuangan guru. Bagi menghargai mereka, terdapat satu hari khusus untuk guru yang dinamakan Hari Guru. Tokoh-tokoh guru yang banyak berjasa akan diberi anugerah sebagai menghormati jasa guru tersebut. Dalam banyak keadaan, guru jarang merungut kerana mereka terikat dengan profesionalisme yang sangat mulia.

Perbezaan skim PTD dan guru sangat ketara. PTD M41 mampu naik pangkat ke M44 dalam masa empat tahun berbanding guru DG41 yang mengambil masa sepuluh tahun untuk merasai DG44. Ada di kalangan pegawai dari skim S41 terpaksa membawa gred tersebut sehingga pencen setelah 30 tahun bekerja. Perkhidmatan terbuka seperti PTD lebih cepat berkembang berbanding perkhidmatan tertutup dalam pendidikan, kebajikan dan sektor profesional sedia ada. Realiti inilah yang harus difahami oleh skim-skim yang lain. Malahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperuntukkan perbelanjaan yang sangat besar bagi membangunkan sumber manusia dengan matlamat mengemas kini dan melancarkan pengurusan pentadbiran negara.

Kelebihan yang ada pada PTD menimbulkan rasa tidak senang perkhidmatan lain lebih-lebih lagi apabila mereka mula memenuhi bahagian pentadbiran dan kewangan sesuatu jabatan seperti yang berlaku pada Jabatan Pelajaran Negeri. Kita sangat memahami sentimen guru yang merasai peluang kenaikan pangkat mereka semakin mengecil dan persaingan yang sangat banyak.

Akronim PTD yang mudah ialah "pegawai tak ada duit" kerana bukan boleh bersenang-lenang dengan jawatan tersebut dibandingkan dengan gaji dan elaun yang didapati setiap bulan. Tetapi jumlahnya lebih baik daripada jawatan guru kerana cepat naik pangkat. Dari segi tanggungjawab, ianya bukanlah kerja mudah. Pernah seorang bekas Ketua Setiausaha sebuah kementerian dipenjarakan kerana kesalahan pecah amanah yang melibatkan beberapa juta ringgit. Bagi seorang PTD yang hendak ambil mudah, akronim "pegawai tidur-duduk" sangat sesuai disematkan dalam jiwa dan sudah tentu JPA tidak akan memberi ruang kepada pegawai sebegini kerana ia mencemarkan imej dan profesionalisme mereka sendiri.

Keputusan meletakkan pegawai PTD di JPN telah diputuskan dan akan dilaksanakan. Membantah keputusan ini oleh pihak guru adalah penolakan terhadap cara berfikir pembuat keputusan dan polisi berkenaan. Masyarakat melihat PTD telah mulai melebarkan penguasaan mereka dalam perkhidmatan perguruan di Malaysia dan sedikit sebanyak melemahkan semangat 320,000 guru di seluruh negara untuk bekerja dan berebut peluang kenaikan pangkat. Selain daripada gaji yang menjadi faktor motivasi kerja, penghargaan seperti kenaikan pangkat, bonus dan cuti termasuk dalam senarai penghargaan terhadap seseorang. Rasa tidak senang guru akan ditunjukkan secara senyap dan mengambil masa yang lama. Ia boleh berlaku dalam keadaan sedar seperti menghantar resolusi bantahan kepada Perdana Menteri, mengenengahkan kelemahan kerja-kerja PTD di jabatan, tidak memberi kerjasama, memboikot program pendidikan yang dirancang ataupun berhasrat untuk keluar dari perkhidmatan perguruan sebagai tanda tidak puas hati yang amat sangat. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Jaminan Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran bahawa kemasukan PTD ke JPN akan membawa perubahan dan kemajuan kepada profesionalisme perguruan harus diterima dengan hati yang terbuka dan fikiran yang sedar. Banyak lagi agensi lain yang telah menerima kemasukan mereka ini dan telah berjaya meningkatkan dan melicinkan pentadbiran agensi berkenaan khususnya di bahagian pengurusan dan kewangan termasuk urusan cuti, pencen, elaun, laporan kewangan dan sebagainya. Tambahan pula kursus-kursus yang diberikan dari semasa ke semasa kepada pegawai PTD dapat memahirkan mereka untuk meningkatkan kualiti pengurusan dan selok-belok kewangan di Jabatan Pelajaran Negeri. Selepas itu, barangkali pegawai pendidikan dapat memberi tumpuan terhadap usaha-usaha meningkatkan tahap pendidikan rakyat Malaysia selari dengan profesionalisme mereka.

No comments:

Post a Comment