Saturday, March 31, 2007

Kemiskinan di Filipina mengundang bantahan masyarakat setinggan

Parola, sama seperti sesetengah kawasan setinggan di Kuala Lumpur, merupakan sebuah kawasan setinggan yang penuh sesak menjadi tumpuan masyarakat Asia dan dunia ketika ini kerana rampasan bas sekolah yang membawa 26 orang murid dan tiga orang guru dari sebuah pusat jagaan harian. Perampas berkenaan, Armando Ducat adalah seorang jurutera awam dan hartawan, pernah menahan dua orang paderi 20 tahun yang lalu. Beliau juga membina pusat jagaan harian pra sekolah sebagai perkhidmatan percuma kepada penduduk di kawasan Parola.

Perbuatan Ducat boleh disifatkan sebagai “berhasrat baik tersalah tindakan.” Beliau amat menghargai pendidikan yang selesa kepada kanak-kanak di kawasan setinggan kerana yakin melalui pendidikan, masyarakat akan berubah. Motif Ducat menggunakan elemen sekolah dan pendidikan lebih cepat menjadi agenda nasional Filipina kerana beberapa jam selepas itu, Presiden Gloria Macapagal Arroyo telah melawat ke kawasan setinggan untuk melihat sendiri keadaan masyarakat di situ.

Filipina, sebuah negara yang sangat makmur 40 tahun yang lalu sedang mengalami ketidakseimbangan sosial yang serius, menjalar pada setiap peringkat hidup masyarakat. Kekayaan dan kemakmuran negara tidak diagih sama rata. Politik negara yang kadangkala memberi isyarat bahawa negara itu masih lagi tidak dapat memberi pemisahan yang jelas di antara kerajaan pilihan rakyat dan pentadbiran tentera.

Datuk Bandar Manila, Jose Atienza menyifatkan tindakan Ducat sebagai kempen politik yang dirancang. “Dari mula kami melihat terdapat kemungkinan wujud elemen politik dalam kes berkenaan terutama apabila musim berkempen untuk pilihan raya Mei ini sedang memuncak.”

Filipina adalah negara yang mengulangi sejarah dan pengalaman lampau negara-negara perindustrian. Keadaan tersebut mengesahkan bahawa negara yang sedang menggerakkan sektor perindustrian dan menerima kemodenan, kawasan bandar bertukar menjadi tarikan kepada penghijrahan dan kekayaan manakala luar bandar tidak lagi mempunyai nilai pembangunan dan akan dipinggirkan. Globalisasi, perbandaran dan inovasi teknologi merubah cara gaya hidup masyarakat Filipina.

Pembangunan sesebuah tempat menjadi bandar harus diimbangi dengan perkhidmatan kesihatan, perubatan, pendidikan, peluang pekerjaan dan sosial yang berkualiti. Bandar yang tidak bersedia dengan keperluan penduduk yang bertambah dengan mendadak akan mempercepatkan pembentukan kawasan setinggan yang serba-serbinya tidak mencukupi. Kemiskinan dan ketidakseimbangan sosial hanya akan mengundang rasa tidak puas hati sesetengah kelompok masyarakat khususnya ahli politik yang inginkan populariti.

Politik demokrasi di Filipina masih memerlukan sokongan rakyat dari kawasan setinggan tidak akan melihat perubahan yang cepat kerana sokongan mereka amat diperlukan. Keadaan politik sebegini akan memunculkan lebih ramai “Ducat” yang sanggup melakukan tindakan kekerasan atas nama kebajikan bagi menarik simpati.

Justeru itu, bagaimana Presiden Gloria Macapagal Arroyo harus bertindak bagi mengembalikan keseimbangan sosial masyarakat?

Migrasi penduduk luar bandar ke bandar mewujudkan masalah petempatan. Sebahagian besar penghijrah ini terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kemahiran. Golongan ini terpaksa mencari kawasan perumahan yang bersesuaian dengan tahap pendapatan mereka. Disebabkan penawaran yang sangat rendah berbanding permintaan terhadap rumah kos rendah, banyak kawasan setinggan telah dibuka di Manila. Kota metropolitan ini adalah tarikan penduduk luar bandar dan bandar-bandar lain untuk mencari peluang pekerjaan, merasai cara gaya hidup bandar dan peluang membeli-belah. Kemasukan penduduk yang tinggi mengundang masalah petempatan yang merumitkan. Perumahan yang tidak dapat memenuhi setiap orang penduduk kota mewujudkan kawasan kediaman yang berselerakan yang boleh dicirikan melalui susunan rumah yang tidak jelas, tidak ada kemudahan asas dan dibina tanpa spesifikasi tertentu.

Terdapat beberapa faktor yang mendominasi kewujudan setinggan di Filipina yang menyumbang kepada insiden kemiskinan. Antaranya ialah iklim pelaburan, peluang pekerjaan, kepadatan penduduk dan perkhidmatan kerajaan.

1. Iklim pelaburan yang muram

Sejak krisis ekonomi di Asia, dari tahun 1998 hingga 2003 terdapat pengurangan dalam perkembangan pelaburan domestik Filipina kerana ketidakupayaan kerajaan menarik pelaburan asing. Growth domestic investment (GDI) dari tahun 1998 menunjukkan kadar yang berkurangan bagi tahun-tahun selepasnya kecuali tahun 2000 yang menunjukkan sedikit peningkatan. Kekurangan pelaburan mengundang banyak implikasi terhadap perkembangan asas ekonomi dan menyekat serta mengurangkan akses peluang pekerjaan kepada rakyat Filipina sendiri.


Tahun 1998 1999 2000 2001 2002 2003

Peratusan 19.3 17.8 19.9 17.8 16.5 15.5


Presiden Gloria Macapagal Arroyo yang membuat dasar sosial, ekonomi dan agenda keamanan melalui Medium-Term Philippine Development 2001-2004 untuk mengurangkan kemiskinan dengan memberi ruang kepada pelaburan dari sektor swasta. Bagaimanapun, beliau menghadapi cabaran untuk melakukan reformasi terhadap polisi perubahan berkenaan khususnya kesan daripada globalisasi dan perdagangan bebas.

2. Peluang pekerjaan terhad

Bagi golongan berpendapatan rendah, sektor perburuhan sangat penting kepada mereka. Seringkali kemiskinan yang dikaitkan dengan kelompok ini diiringi dengan ketidakseimbangan sosial yang menjadi ancaman kepada kestabilan politik di Filipina. Bilangan yang hidup di bawah paras US$1 sehari meningkat dari 27 juta pada tahun 1997 kepada 31 juta pada tahun 2000. jumlah ini menghampiri separuh daripada keseluruhan jumlah penduduk Filipina iaitu 89.5 juta orang (2006).

Pekerjaan tertumpu di kawasan bandar yang menarik minat kelompok luar bandar bagi mencuba nasib. Walau bagaimanapun kekayaan yang ada tidak dapat dikongsi oleh semua orang. Pekerjaan yang terhad menyebabkan 40 peratus isi rumah hidup dalam kemiskinan pada tahun 1991 walaupun bertambah baik pada tahun 1997 (32 peratus). Berpindah ke bandar menyebabkan kebanyakan keluarga sangat miskin dan memaksa anak-anak untuk mencari pendapatan sendiri. Kerja yang boleh dilakukan ialah menjual rokok, surat khabar dan gula-gula ataupun mencuci kereta dan kerja-kerja domestik yang lain. Bagi yang mempunyai aspirasi lebih tinggi, mereka mencari kerja di kilang, tapak pembinaan dan di pelabuhan. Malahan ada yang menjadi pencari sampah dan peminta sedekah.

Peluang perkerjaan yang terhad meningkatkan kadar pengangguran dan memberi kesan sosial ke atas mesyarakat keseluruhannya.

3. Kepesatan penduduk

Filipina adalah negara berkepulauan 7,100 dengan keluasan 300,000 kilometer persegi, bersempadan dengan Indonesia, Malaysia, Brunei, China, Taiwan dan Vietnam. Negara ini dibahagikan kepada tiga pulau utama iaitu Luzon, Visaya dan Mindanao. Jumlah penduduk berpusat di Luzon dan Mindanao yang membentuk 65 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya. Kadar pertambahan penduduk 2.36 peratus setahun memberi mesej bahawa Filipina akan mempunyai jumlah penduduk yang semakin meningkat setiap tahun. Dianggarkan pada tahun 2015, terdapat 111 juta orang di Filipina.

Pertambahan penduduk memberi masalah besar kepada kerajaan. Kenaikan harga minyak, kadar faedah dan inflasi menyebabkan kesukaran untuk membelanjakan pendapatan negara bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan sosial. Walaupun Kadar Dalam Keluaran Negara Kasar dijangka berada pada paras 5.6 peratus (2006), ia tidak banyak membaiki kadar pengangguran yang tinggi iaitu 7.9 peratus (2006). Pergantungan tenaga buruh kepada sektor pertanian dan perkhidmatan akan menambah kadar kemiskinan kerana kadar kelahiran yang tinggi tanpa penyediaan peluang pekerjaan yang lebih banyak.

4. Sistem penyampaian kerajaan yang lemah

Kekerapan bertukar pentadbiran sejak kejatuhan Presiden Fidel Ramos menjadikan kerajaan Filipina selepas itu lebih berserabut kerana tumpuan diberikan kepada pembinaan suasana politik yang stabil. Keadaan ini menyebabkan perhatian terhadap penambahbaikan sistem penyampaian dalam sektor perkhidmatan awam sangat kurang. Justeru, sumber yang sepatutnya diperolehi sebagai penjana kewangan negara tidak dapat dikutip sepenuhnya.

Kelemahan ketara yang lain ialah birokrasi yang sangat memuncak dan membiakkan amalan rasuah. Transparency International meletakkan Filipina pada tangga ke-121 dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah 2006. Implikasinya ialah :

a. mekanisme perancangan dan pelaksanaan dasar menjadi sangat lemah.

b. kegagalan melaksanakan sistem pengurusan yang berkesan.

c. amalan birokrasi tanpa sempadan menyebabkan pertindihan fungsi, aktiviti dan dasar di semua peringkat.

d. birokasi yang mengutamakan peraturan dan prosedur akan mengurangkan perhatian terhadap penggunaan sumber yang sepatutnya menjadi keutamaan.

e. pengaruh politik yang sangat besar terhadap keputusan kerajaan.

f. jentera pentadbiran yang tidak ada kompetensi dalam pengurusan dan teknikal.

g. menjadikan amalan korporat, sikap dan pemikiran ke arah matlamat yang salah.


Kemiskinan di Filipina mengundang banyak cabaran. Walaupun negara-negara Barat dan Australia memberikan bantuan, usaha kerajaan yang lebih terancang dan mengatasi karenah birokrasi akan menjadi penyumbang kepada kejayaan membasmi kemiskinan. Negara itu yang semakin tertinggal dalam pendapatan per kapita penduduknya di belakang China, Taiwan dan Vietnam wajar mengambil langkah reformasi yang lebih cepat bagi mengimbangi jurang perbezaan pendapatan di antara kaya dan miskin, bandar dan luar bandar.

Pentadbiran Arroyo telah berusaha bagi mengurangkan insiden kemiskinan ini melalui pertumbuhan yang saksama, pembangunan luar bandar dan pelaburan dalam sektor sosial. Empat strategi yang dimuatkan dalam Medium-Term Philippine Development 2001-2004 ialah :

1. Kestabilan mikroekonomi dan keseimbangan pertumbuhan, menggunakan polisi perdagangan dan fiskal bagi mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan mengelak peningkatan kadar engangguran, memodenkan semua sektor melalui pembangunan sumber manusia dan pengenalan inovasi teknologi.

2. Pembangunan modal insan, pendidikan asas, kesihatan, tempat perlindungan, kemudahan air dan elektrik, jaringan keselamatan untuk sektor yang lemah dan menggalakkan golongan miskin mengambil bahagian dalam sektor kerajaan.

3. Memodenkan sektor pertanian dengan imbangan sosial, menaik taraf infrastruktur luar bandar dan melaksanakan reformasi tanah.

4. Membentuk pentadbiran yang berkesan melalui ketelusan, mengurangkan pemberian ganjaran dan rasuah dan menguatkan kerjasama di antara sektor awam dan swasta.

Kemiskinan di Filipina merangkumi konsep yang lebih luas dan mengambil kira deprivasi kemanusiaan, pembangunan dan kualiti hidup. Pelan pembangunan yang lebih mantap dan mengambil masa lebih panjang wajar diperkenalkan kerana dasar yang singkat tidak banyak menghasilkan keputusan yang diinginkan selain daripada banyak kekangan dan tumpuan yang perlu diberikan.



Rujukan

Roziah Omar (December 2005). The Paradox of Development. Malaysian Social Trends, Vol. 4 Institut Sosial Malaysia.

"NSCB - Poverty Statistics - 2000 Poverty Estimates" dilayari di www.nscb.gov.ph/poverty/default.asp

"Philippines suffers poverty divide" dilayari di http://news.bbc.co.uk/2/hi/asia-pacific/4245422.stm

"Poverty in the Philippines" dilayari di http://www.apmforum.com/columns/orientseas49.htm

Laman web CIA dilayari di http://www.cia.gov


No comments:

Post a Comment