Mualaf Islam di Malaysia sentiasa mendapat perhatian dari semua peringkat. Syor Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin untuk menyahkan nama Abdullah selepas bukan Islam menjadi muslim sangat menarik jika dilihat dari segi strategi dakwah. Keberanian melaksanakan usul ini memberi implikasi dalam memikirkan perancangan menyebarkan Islam kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia. Secara tidak langsung membuatkan institusi dakwah bukan Islam tergugat. Di samping itu, ia memberi justifikasi baru terhadap peranan seorang mualaf bagi membangunkan masyarakat Islam di Malaysia.
Maulana Al Maududi dalam bukunya “Asas-Asas Islam” menghuraikan panjang lebar mengenai kefahaman yang betul terhadap Islam akan menyerlahkan pemikiran yang hebat. Beliau berkata, nama Abdul Rahman tidak semestinya seorang muslim manakala nama Johnny tidak semestinya kafir. Islam tidak terletak pada nama, budaya atau keturunan. Islam juga tidak menjadi milik mana-mana bangsa seperti yang berlaku pada kaum Yahudi tetapi Islam adalah milik semua. Kemuliaan dan kebanggaan bangsa Arab adalah rasul yang terakhir adalah seorang berketurunan Arab.
Masyarakat Melayu yang pernah mengamalkan amalan animisme dan menganut agama Hindu dan Buddha sebelum menerima Islam tidak pernah memperkecilkan peranan agama sebagai salah satu asas kejayaan bangsa mereka. Penerimaan Islam adalah satu rahmat kepada bangsa Melayu kerana telah berlaku transformasi yang besar terhadap pemikiran dan cara hidup. Kesan utama ialah dapat mengenal Tuhan yang menjadikan kehidupan masyarakat ini berada di jalan yang lurus. Islam menjadi harta yang sangat berharga kepada bangsa Melayu kerana Islam telah menyatukan perpaduan bangsa ini dalam banyak peristiwa. Antaranya peperangan melawan penjajah, pembentukan generasi yang kuat dan berdisiplin serta melonjakkan semangat patriotisme untuk menuntut kemerdekaan.
Kehadiran kaum Cina dan India ke Tanah Melayu kerana faktor ekonomi British menjadi gangguan terhadap pelaksanaan amalan-amalan Islam ketika itu. Penerobosan Islam ke dalam masyarakat Cina dan India juga tidak banyak dilakukan kerana ketiadaan institusi yang teratur dan berperancangan. Tambahan pula kewujudan kampung-kampung baru dan ladang yang menempatkan sesuatu kaum sangat sukar ditembusi. Justeru, dakwah Islam sukar sampai kepada mereka dan usaha dakwah dilihat terlalu perlahan.
Usaha terancang dan besar-besaran untuk memperkenalkan Islam bermula setelah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ditubuhkan dan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman. Di sini ramai kaum Cina dan India yang telah mendapat hidayah dan memulakan hidup baru sebagai seorang muslim. Langkah yang diambil oleh Perkim ini dijejaki oleh pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang bersama-sama menyebarkan dakwah. Di antaranya ialah Islamic Outreach-ABIM dan Macma yang telah banyak membantu para muallaf di Malaysia.
Syor Mufti Perlis dilihat ada perkembangan yang positif untuk menarik lebih ramai masyarakat bukan Islam untuk belajar dan memahami Islam. Dakwah yang lebih terancang dan teratur menjadi teras kepada pertambahan bilangan mualaf. Perkembangan yang sihat ini akan menjadikan peratusan masyarakat Islam di Malaysia semakin bertambah.
Bagaimanapun, kesan utama nama mualaf tanpa Abdullah dan kekal dengan nama asal adalah kekeliruan. Mualaf tersebut tidak mempunyai identiti sebagai pengenalan dirinya kepada masyarakat umum. Perkataan “Islam” pada kad pengenalan mesti dilaksanakan dengan tegas kerana itulah yang membezakan Robert Lam sebelum dan selepas Islam. Jika tidak, kes Nyonya Tahir dan Moorthy akan berlarutan. Tambahan pula ketika ini, isu mualaf begitu sensasi dengan penglibatan media yang cuba mengapi-apikan pertukaran status agama Islam dan bukan Islam.
Kesangsian masyarakat Islam sedia ada terhadap kewujudan mualaf tanpa nama Islam tidak boleh diketepikan. Masih ada di kalangan masyarakat Islam yang beranggapan menerima Islam sebagai “masuk Melayu.” Ini terjadi kerana kurangnya kefahaman terhadap agama Islam yang menjadi agama universal. Banyak usaha yang masih boleh dilakukan oleh kita untuk memberi kefahaman terhadap perbezaan agama dan budaya supaya saling menerima di antara satu sama lain.
Pendakwah harus memerhati dan mengkaji mengenai keupayaan mubaligh kristian yang begitu bersungguh-sungguh untuk menyebarkan agama mereka di Sabah dan Sarawak kepada masyarakat bumiputera di kedua-dua buah negeri ini. Di pekan Limbang sahaja, sekurang-kurangnya dua buah gereja besar dibina selain daripada beberapa buah “chapel” di sepanjang perjalanan dari Limbang ke sempadan Brunei di Tedungan, Sarawak. Didapati ramai masyarakat bumiputera yang menjadi kristian tidak menukar nama. Islam mesti pergi jauh. Dakwah mesti lebih aktif, dinamik dan berpanjangan. Masyarakat umum menerima Islam sebagai agama rasmi negara dan bersedia mendengar azan pada subuh hari tanpa banyak soal. Inilah peluang yang sangat besar kepada umat Islam dan pendakwah untuk memantap organisasi di samping memerangi ajaran sesat yang meruntuh dan memecahkan masyarakat.
Pengkelasan akan memecahbelahkan perpaduan masyarakat. Pembentukan sistem mualaf tanpa menukar nama adalah strategi yang sangat baik untuk membantu menyampaikan dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Mereka tidak akan risau untuk mengesan salasilah bangsa dan keturunan walaupun telah bertukar agama. Malahan, pasti timbul rasa bangga dengan nama berkenaan walaupun tidak ada apa-apa makna.
No comments:
Post a Comment