Kajian terbaru yang diumumkan pada 19 Mac 2007 yang lalu menunjukkan barah rasuah telah mencapai satu tahap yang belum pernah berlaku di Afghanistan bagi tempoh 30 tahun biarpun di bawah penaklukan Soviet, menjadikannya satu tamparan hebat terhadap janji-janji Barat untuk membawa perubahan di Afghanistan.
Pertubuhan Pemerhati Integriti Afghanistan (IWA) menyifatkan rasuah adalah penyakit endemik di Afghanistan berdasarkan hasil kajian yang dibuat dari Ogos hingga September 2006 yang lalu. Kajian itu menunjukkan pemberian dan rasuah di negara Asia Selatan itu sangat buruk jika dibandingkan dengan pentadbiran Taliban dan penaklukan Soviet.
Di bawah pentadbiran kerajaan yang berasaskan kumpulan etnik atau politik yang bersandarkan pada pengizinan rasuah, wang menjadi sangat penting. Mereka yang mempunyai wang boleh membeli temu janji dengan pegawai kerajaan, mengelakkan undang-undang dan melepaskan diri dari polis. Hasil kajian mendedahkan lebih daripada 60 peratus berpendapat rasuah meningkatkan rasa benci kepada negara sendiri.
IWA menyifatkan rasa benci yang tinggi itu adalah “risiko yang melemahkan kesahihan negara dan penyokong di dalam komuniti antarabangsa.” Para penyelidik dan penganalisis polisi berkata hampir setiap orang percaya bahawa seorang daripada dua pegawai kerajaan adalah pengamal rasuah. Lebih separuh daripada responden menyatakan mereka perlu membayar untuk setiap perkara, dari mendapatkan paspot dan melepasi imbasan keselamatan untuk pulang ke rumah hinggalah ketika membayar cukai.
IWA juga mengenal pasti mahkamah-mahkamah di Afghanistan adalah perasuah paling teruk, diikuti oleh Kementerian Dalam Negeri yang mengawal selia kuasa polis. Keadaan keselamatan yang semakin teruk di selatan negara itu tidak hanya dikaitkan dengan semakin kuatnya pengaruhnya Taliban sebaliknya ketidakupayaan kerajaan untuk membasmi rasuah. Apa tidaknya, The New York Times dalam laporannya pada 10 Mac 2007 menyatakan ketua jabatan anti rasuah Afghanistan adalah penjual dadah.
Separuh daripada bantuan asing yang diperuntukkan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat umum telah disalurkan ke tempat lain oleh pegawai-pegawai perasuah di dalam kerajaan Presiden Hamid Karzai yang disokong oleh Barat. Untuk menambahkan lagi kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Afghanistan, negara itu tidak lagi dilindungi daripada wabak AIDS. Semua punca yang menyebabkan virus HIV merebak telah wujud secara serentak.
Pemisahan yang panjang daripada penyakit selama dua dekad akibat peperangan dan di bawah pentadbiran Taliban, Afghanistan sangat lemah untuk berhadapan dengan jangkitan AIDS. Beberapa kajian terdahulu menjangkakan negara itu mempunyai rekod yang kurang munasabah terhadap HIV iaitu 69 kes dengan tiga kematian. Data ini sukar untuk dipercayai kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 1,000 hingga 2,000 rakyat Afghanistan telah dijangkiti virus berkenaan tetapi angka ini disyaki tidak menggambarkan keadaan realiti.
Pakar-pakar kesihatan Afghanistan dan antarabangsa memberi amaran bahawa kedudukan geografi dan proses migrasi menyebabkannya rentan kerana dikelilingi oleh negara yang lebih cepat merebaknya AIDS di dunia iaitu Rusia, China dan India. Kebimbangan ini ditambah dengan kemerosotan dalam sistem kesihatan dan kurangnya tahap pendidikan serta perkhidmatan kerajaan.
Kesan rasuah terhadap individu, masyarakat dan negara sangat buruk. Hasil kajian IWA adalah selari dengan Indeks Persepsi Rasuah 2005 yang meletakkan kedudukan Afghanistan pada tangga ke-117 iaitu antara negara yang tenat dengan rasuah. Amalan memberi hadiah sebagai ganjaran telah membiakkan rasuah dari sekecil-kecilnya seperti melepasi pintu sempadan hinggalah mendapatkan kelulusan di pejabat kerajaan atau membebaskan pasalah. Afghanistan, negara yang pernah terkenal dengan kekentalan pejuang-pejuang Islam, sedang berhadapan dengan kitaran kemiskinan, kegoyahan keselamatan, politik etnik, persepsi negatif dan amalan agama yang bercelaru.
Peperangan demi peperangan dengan pelbagai punca menghancurkan kedamaian dan menjadi tempat subur melahirkan panglima-panglima perang yang entah bila akan sedar diri. Laluan kemajuan yang dijanjikan oleh Barat khususnya Amerika Syarikat selepas kempen menghapuskan Al-Qaeda belum nampak hasilnya kerana Barat tidak pernah memahami keperluan sebenar masyarakat Afghanistan.
Sistem pentadbiran kerajaan yang belum mantap hanya mengesahkan masa yang lebih panjang untuk bermulanya pembangunan kerana laporan oleh Lembaga Pemantauan dan Penyelarasan Afghanistan – PBB (JCMB) memberi amaran bahawa serangan dan pertempuran di seluruh Afghanistan membunuh rakyat empat kali ganda bagi tahun ini.
Krisis, politik balas dendam dan perang di Afghanistan hanya boleh diselesaikan oleh masyarakat negara itu sendiri. Menjemput ketua perompak untuk mengira berapa banyak harta di dalam rumah sendiri menyebabkan niatnya bertambah gelora untuk membolot semua harta. Presiden Hamid Karzai tidak diyakini dapat membawa kestabilan dan kemakmuran pada jangka masa panjang kerana struktur asas ke arah itu sememangnya tidak pernah diwujudkan.
Justeru, apakah kita masih berharap untuk melihat Afghanistan menjadi negara yang aman dan membangun bagi tempoh lima atau sepuluh tahun yang akan datang?
Sumber : www.islamonline.net
No comments:
Post a Comment