Saturday, March 24, 2007

Islam Hadhari dari perspektif bukan Islam

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 23 September 2004 berkata, “Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas atau fundamental yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas dan difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah.” Serentak dengan itu, sepuluh prinsip Islam Hadhari didedahkan iaitu :1) keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, 2) kerajaan adil dan beramanah, 3) rakyat berjiwa merdeka, 4) penguasaan ilmu pengetahuan, 5) pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, 6) kehidupan berkualiti, 7) pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, 8) keutuhan budaya dan moral, 9) pemuliharaan alam sekitar, dan 10) kekuatan pertahanan.

Pensyarah dari Universiti Putra Malaysia, Dr. Sarjit S. Gill telah membuat soal-selidik kepada pelajar-pelajarnya mengenai kefahaman mereka terhadap Islam Hadhari yang telah digemakan lebih daripada dua tahun yang lalu. Hasil tinjauan itu memperlihatkan berbagai-bagai jawapan yang beliau simpulkan bahawa masih ramai orang bukan Islam belum begitu memahami apakah sebenarnya konsep Islam Hadhari ini dan bagaimana mereka boleh memberi sumbangan untuk menjayakannya. Apa yang mereka lihat, Islam Hadhari lebih kepada usaha mengembalikan masyarakat Melayu menghayati Islam di dalam hidup mereka. Antara jawapan yang sangat menakutkan ialah apakah Islam Hadhari ini satu agama baru dan merupakan satu bentuk proses Islamisasi yang baru di Malaysia?

Masyarakat bukan Islam masih belum memahami Islam Hadhari kerana maklumat yang betul tidak pernah sampai kepada mereka. Walaupun YAB Perdana Menteri telah menyampaikan ucapan beliau mengenai Islam Hadhari di Malaysia hinggalah ke Arab Saudi dan Jerman, gagasan ini belum dapat difahami sepenuhnya. Kekeliruan dan tidak faham terhadap Islam Hadhari dilihat bergantung sepenuhnya kepada kempen dan gerakan besar-besaran agensi kerajaan. Sepanjang tahun 2005, terdapat sepuluh seminar berkaitan Islam Hadhari, 2006 hanya dua dan 2007 belum lagi kedengaran. Kelesuan dalam mengadakan wacana bagi membincangkan intipati Islam Hadhari tersekat seiring dengan masa. Namun begitu, program yang sangat menonjol ketika ini ialah Perkampungan Hadhari yang dilihat menarik ramai pengunjung ke Kepala Batas dan Kuala Terengganu. Soal jawab Islam Hadhari di laman web JAKIM sehingga kini hanya mengandungi 56 soalan.

Kenapa pendekatan Islam Hadhari sangat penting di Malaysia? Jawapan tegas diberikan oleh YAB Perdana Menteri iaitu “memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta fizikal.” Justeru di sini, Islam Hadhari menekankan ketamadunan yang berpaksikan kepada ajaran asas agama Islam.

Bagi masyarakat bukan Islam yang melihat gagasan Islam Hadhari sebagai suatu usaha yang mengembalikan mereka kepada asas-asas agama, tidak menganggap prinsip pertama sebagai menafikan hak mereka untuk menyembah Tuhan agama sendiri, sebaliknya “keimanan dan ketaqwaan kepada Allah” boleh disifatkan sebagai “keimanan dan ketaqwaan kepada Tuhan (agama masing-masing)” yang tidak menampakkan percanggahan. Bagi yang tidak faham, prinsip ini amat menakutkan. Hakikatnya, secara rasional ia tidak bertentangan dengan mana-mana agama kerana banyak melibatkan prinsip asas dalam masyarakat Malaysia. Sembilan yang lain juga adalah pernyataan universal dan boleh diterima. Islam Hadhari ada nilai kemanusiaan, norma masyarakat yang berpendidikan dan tidak bertentangan dengan aspirasi rakyat Malaysia.

Oleh itu, kenapa masyarakat bukan Islam tidak memandang Islam Hadhari sebagai satu gagasan yang dapat membina peradaban dan kemajuan bangsa? Apakah terdapat mana-mana parti politik bukan Melayu yang membincangkan Islam Hadhari ini sejak mula diperkenalkan pada 2004 yang lalu?

Ianya berpunca kerana masyarakat Islam sendiri yang tidak memandang Islam Hadhari sebagai satu pendekatan yang sangat penting. Pelbagai pandangan dan kritikan ditujukan kepada gagasan ini yang menimbulkan keserabutan. Orang Islam sendiri pun berserabut apatah lagi bukan Islam. Di kalangan pemimpin kerajaan tidak ramai yang mahu berbincang lebar perkara ini. Begitu pun, amat jarang pemimpin politik dari MCA, MIC, Gerakan atau PPP yang memberi pandangan mengenai Islam Hadhari. Yang ada cuma “Memo untuk PM” dan semangat Islam Hadhari semacam diketepikan.

Penjelasan Islam Hadhari sejak awal tidak pernah sampai kepada akar umbi kerana fokus agensi yang terlibat bersifat musim dan tidak mempunyai jentera kempen yang cergas dan kreatif. Walaupun Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan slot khas Islam Hadhari, berapa keratkah yang memanfaatkan rancangan ini untuk menambah pengetahuan mereka? Tambah-tambah lagi bukan Islam?

Serangan balas oleh parti politik pembangkang yang melihat Islam Hadhari sebagai ajaran baru dalam Islam tambah mengelirukan. Bagi mereka, Islam Hadhari adalah agenda politik YAB Perdana Menteri untuk menarik tumpuan rakyat. Bagi yang dangkal akan melihat gagasan ini tidak memberi makna tetapi Perdana Menteri menjelaskan, “Islam Hadhari bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas atau fundamental yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam.”

Masyarakat bukan Islam ingin sekali mengetahui kandungan dan mesej Islam Hadhari memandangkan sepuluh prinsip yang diutarakan menyeru mereka kembali menghayati ajaran asas agama masing-masing. Barangkali selepas ini akan timbul pula Buddha Hadhari, Hindu Hadhari atau Sikh Hadhari.

Islam Hadhari mempunyai asas pelaksanaan yang sangat baik untuk mengajak umat Islam khususnya di Malaysia kembali kepada asas agama. Ia merupakan agenda pembangunan bukan sahaja mengajak masyarakat Melayu malah semua masyarakat beragama di Malaysia bangun berusaha memajukan diri masing-masing. JAKIM sebagai agensi yang diberi tanggungjawab melaksanakan keseluruhan intipati Islam Hadhari wajar menggiatkan usaha dengan pelbagai cara yang kreatif supaya masyarakat bukan Islam dapat memahami agenda ini. Ceramah, seminar atau kursus tidak wajar disunyikan, malah perlu dihebahkan supaya “bila gergasi berdiri, semua orang sudah tahu.” Tidak mengapa ramai orang yang memuji dan mencerca, yang penting adalah asas Islam Hadhari itu menjadi kuat. Sudah tiba masanya kita melihat minda masyarakat berubah kepada kemajuan kerana tidak perlu untuk menunggu orang lain mengubah hidup dan masa depan kita.



Rujukan

Wacana Bulanan "Islam Hadhari dari Perspektif Bukan Islam" oleh Dr. Sarjit S. Gill, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia, Mac 2007.

Laman web JAKIM "Pendekatan Islam Hadhari" dilayari di www.islam.gov.my/.

No comments:

Post a Comment