Wednesday, March 14, 2007

Masalah sosial dan hala tuju masa depan keluarga di Malaysia

Hala tuju masa depan remaja terletak pada keluarga. Sebagai unit asas di dalam masyarakat, keluarga adalah tenaga yang sentiasa bergetar melingkari masyarakat dan negara. Semakin kuat getaran, semakin bertenaga masyarakat dan negara. Kekuatan getaran akan pudar jika terdapat gangguan yang menghalang fungsi dan peranan getaran tersebut. Keluarga, diakui sangat penting dalam membentuk peribadi dan watak seorang remaja, memberi kesegaran dan ruang untuknya melihat kehidupan.

Keluarga adalah unit asas dalam institusi sosial. Maju dan mundurnya sesebuah negara adalah berpunca daripada institusi keluarga (Mohd Taib Hj. Dora, 2005). Keluarga akan maju dengan pendidikan, keluarga akan musnah dengan kejahilan. Keluarga akan sejahtera dengan cukup perbelanjaan, keluarga akan porak-peranda dengan beban kemiskinan. Betapa pentingnya institusi keluarga ini, kerajaan menubuhkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk mengukuh dan meningkatkan kesejahteraan keluarga melalui program usahasama yang cekap dan berkesan ke arah melahirkan penduduk yang berkualiti. LPPKN sebagai agensi yang diberi tanggungjawab membuat penyelidikan mengenai keluarga di Malaysia telah membuat dapatan yang menarik mengenai senario keluarga Malaysia (Jalaludin Abd. Aziz, ISM Minda, Mac 2006). Antaranya ialah :


-Institusi keluarga semakin rapuh dan peningkatan keluarga asas secara tidak langsung telah mengurangkan saiz isi rumah. Pada tahun 1980, saiz isi rumah adalah 5.2 orang berkurangan ke 4.5 pada tahun 2000.

-Senario kahwin lewat bagi perkahwinan pertama dijangka meningkat. Purata umur perkahwinan pertama wanita adalah 25.1 dan lelaki 28.6.

-Penyertaan tenaga buruh wanita meningkat dari 44.5 peratus pada 2000 ke 49.0 menjelang 2010.

-Penurunan kadar kesuburan bakal mengubah struktur umur penduduk Malaysia. Peratusan penduduk 15 tahun ke bawah telah menurun dari 35.5 peratus pada 1995 kepada 33.7 peratus pada 2000. Pada masa yang sama, penduduk 60 tahun ke atas meningkat kepada 6.6 peratus pada tahun 2000.

-Penghijrahan ke bandar memberi kesan terhadap sektor perumahan dan sosiobudaya masyarakat. Kawasan bandar menghadapi masalah sosial, pencemaran alam sekitar dan kesesakan.

-Pembangunan sosioekonomi yang pesat membawa cabaran baru kepada institusi keluarga. Ikatan kasih sayang sesama ahli keluarga semakin longgar dan memberi ruang kepada krisis keluarga yang merupakan antara punca utama kelemahan institusi keluarga dan peningkatan masalah sosial.


Terdapat berbagai-bagai definisi keluarga tetapi semuanya memberi makna yang sama. Namun definisi yang diguna pakai dalam masyarakat Timur berbeza dengan Barat. Coleman dan Cressey (1993) mentakrifkan keluarga sebagai sekumpulan orang yang wujud kerana perkahwinan, keturunan atau diangkat dan hidup bersama. Mahmood Zuhdi (1997) menyatakan keluarga sebagai unit sosial yang terdiri daripada bapa, ibu, anak yang di antara mereka wujud pertalian hidup tertentu dalam kelompok sosial berkenaan.

Kepincangan dalam keluarga bermula daripada pelbagai sebab seperti keganasan rumah tangga, orang ketiga, sibuk bekerja, sumbang mahram, kejahilan, persekitaran dan pengaruh media. Sangat susah untuk menganalisis punca kepincangan keluarga pada hari ini sehingga semuanya berakhir dengan satu jalan mati iaitu penceraian.

Masalah sosial yang melibatkan remaja boleh disumbatkan dalam satu bakul yang saiznya sangat fleksibel. Sebut sahaja apa masalahnya, semuanya boleh dibakulkan. Delikuensi remaja, penagihan dadah, jenayah, gengsterisme, ponteng sekolah, merokok, seks bebas, bohsia, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, buli, rogol, menghidu gam, sumbang mahram, lepak, bertumbuk, melanggar undang-undang jalan raya, malas dan leka dengan hiburan, senarai ini akan berterusan hingga entah sampai bila kesudahannya.

Seriusnya masalah remaja hari ini boleh diibaratkan seperti kayu yang nampak cantik di luar tetapi berlubang di dalam, tidak kukuh dan boleh rosak bila-bila masa. Kekuatan dalaman tidak ada. Banyak sogokan untuk melakukan itu dan ini apabila mencapai peringkat-peringkat hidup tertentu. Majalah dan filem sering mengasak pemikiran remaja untuk bertindak melakukan sesuatu apabila sampai peringkat remaja dengan “Hari Valentine,” harus ada teman lelaki atau wanita kerana jika belum ada akan dianggap sebagai ketinggalan zaman. Sogokan dengan muzik dan pesta menjadikan remaja hidup untuk berseronok tanpa memikirkan apa yang sepatutnya dibuat ketika ini. Akhirnya remaja berkembang dengan kekeliruan dan tidak tahu peranan sebenarnya.

Lebih malang ialah mereka mengambil seseorang sebagai idola dan ditonjolkan sebagai teladan sepanjang zaman. Kekeliruan ini sukar dielakkan kerana mereka berkembang dengan kekeliruan terhadap identiti dan peranan. Mukhsin, filem yang baru dipertontonkan menggambarkan lelaki dan perempuan dibina identiti mereka sejak kecil dan hubungan tersebut menyeronokkan. Justeru, kajian oleh pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia bukannya hendak berdebat mengenai betul atau salah sebaliknya mengakui aspek yang dikaji memang sedang berlaku dan membimbangkan.

Remaja menjadi liar kerana kurang atau tidak mendapat belaian ibu bapa dan tidak mempedulikan perkembangan anak-anak remaja mereka. Ketika kanak-kanak, ibu bapa akan menemani anak-anak mereka bersukan di sekolah rendah yang menjadikan suasana padang sukan lebih meriah tetapi keadaan tersebut tidak ketara di sekolah menengah. Merempit turut dikaitkan dengan keadaan keluarga yang tidak seimbang dari segi perkembangan mental, fizikal dan spiritual. Anak-anak muda yang mendapat motosikal tidak akan merempit dan memberi kesusahan kepada masyarakat sekiranya dia sedar apa yang patut dicari ketika usia muda ini. Tetapi dari mana kesedaran ini datang? Tentunya ibu bapa yang berperanan besar.

Kitaran masalah akan membiakkan masalah yang lebih besar dan sentiasa bergelora seperti ombak yang menghempas ke pantai tanpa pernah berhenti. Hanya satu cara yang dapat mengurang dan menghapuskan gangguan ombak yang boleh saja mengikis gigi pantai. Manusia, sama seperti pantai yang sentiasa resah, memerlukan penyelesaian yang meyakinkan. Pengamatan secara terperinci memperlihatkan trend penyelesaian masalah sosial di Malaysia lebih banyak digerakkan oleh kuasa politik dan ideologi. Pertembungan keduanya sentiasa menjadi perdebatan bagi menentukan hala tuju isu. Program kekeluargaan lebih kerap digerakkan oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dengan bilangan remaja yang semakin bertambah, sangat jenuh bagi menteri berkenaan untuk melihat semua wajah bahagia dan suram anak-anak remaja Malaysia. Apa yang boleh dilakukan ialah melaksanakan langkah-langkah yang mantap dan bersinergi dengan pelbagai agensi kerajaan, media, pertubuhan bukan kerajaan dan badan sahsiah.

Pendekatan untuk menerapkan nilai-nilai pengukuh jati diri di dalam program pembangunan tidak lagi boleh dibuat dalam bentuk kursus dan latihan bagi tempoh yang pendek, sebaliknya menggunakan pendekatan terapeutik iaitu “remaja cemerlang membiakkan remaja cemerlang” supaya kesedaran, iltizam dan kepuasan untuk berubah benar-benar menjadi kenyataan dan bukan bersifat retorik. Konsep mendidik yang realistik ialah umur kurang dari tujuh tahun, anak-anak dimanjakan, sehingga 14 tahun dianggap kawan dan sehingga 21 tahun perlu dipandu arah tuju hidup mereka.

Pemikiran, sikap dan tingkah laku yang hendak diubah bergantung pada pendekatan dan masa yang diambil. Perubahan sikap akan terzahir setelah tiga perkara diusahakan iaitu membuatkan berfikir, merasai sendiri dan daya tindak yang mantap. Tingkah laku yang ditonjolkan dalam fikiran membentuk perlakuan tertentu yang menjurus kepada matlamat yang diingini. Perubahan sikap akan berlaku setelah cara berfikir dibetulkan menimbulkan keinginan untuk berubah.

Sesebuah keluarga harus mempunyai sikap tertentu. Hala tuju keluarga ditentukan oleh sikap yang mereka miliki. Justeru, sikap yang ada menentukan hala tuju keluarga pada masa depan. Sikap juga menentukan budaya keluarga yang wujud daripada latar belakang, pendidikan, corak asuhan dan suasana dibesarkan. Proses pembentukan sikap bermula dengan memikirkan isu-isu utama keluarga yang mesti diberi perhatian. Cara gaya berfikir dapat menjadi imej keluarga untuk menentukan arah tuju yang dikehendaki. Berfikir menjadikan keinginan atau minat menjadi lebih mantap serta menggerakkan tingkah laku ke arah matlamat yang diingini.

Perubahan tidak dapat dipisahkan daripada elemen pendidikan. Mendidik ahli keluarga tidak boleh dibuat sambil lewa kerana hanya dengan kesungguhan dan cita-cita dapat melahirkan “keluarga sejahtera.” Pendekatan-pendekatan yang boleh digunakan ialah :


-Membentuk persepsi positif terhadap usaha-usaha membina keluarga sejahtera.

-Program penggalakan ke arah kemahiran keibubapaan, keibuan dan kebapaan menjadi acara tetap setiap bulan di agensi kerajaan dan swasta.

-Media harus mendidik.

-Mewajibkan kursus perkahwinan di institusi pengajian tinggi.

-Peranan pertubuhan bukan kerajaan digerakkan sepenuhnya bagi membantu agensi kerajaan melaksanakan program jangka panjang bagi menggalakkan pembentukan persekitaran yang harmoni dan selamat.

-Tidak ada kommpromi untuk menukarkan kawasan riadah kepada projek pembangunan di kawasan perumahan.

-Pemimpin harus menjadi contoh kepada masyarakat bagi membina keluarga sejahtera walaupun mereka sibuk dengan tugasan.


Untuk berjaya, pembaharuan adalah sangat penting. Ia tidak boleh dibuat dengan sia-sia kerana faedah yang diterima selepas pembaharuan wajar lebih baik dan memberi keberkesanan dan keseronokan. Mengkaji keupayaan diri sendiri, keluarga dan masyarakat adalah usaha terbaik untuk meramal masa depan. Di manakah kita dalam pendidikan, kedudukan ekonomi, penampilan dan kewibawaan dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun yang akan datang? Mulai sekarang kita harus memikirkan kualiti keluarga yang akan kita jana kerana di sinilah bermulanya jasad seorang remaja 12 tahun selepas itu. Iltizam ini memerlukan kualiti perancangan, kekuatan daya saing, ketahanan personaliti, perjuangan dan memantapkan keperkasaan mental dan fizikal.

Malaysia sedang berhadapan dengan isu-isu sosial yang merangkumi semua lapisan masyarakat. Isu-isu sosial yang sebahagian daripadanya melibatkan orang kurang upaya, wanita dan kanak-kanak serta remaja. Isu sosial di dalam keluarga ialah bertambahnya ibu bapa yang bekerja untuk menyara hidup khususnya di bandar. Perkembangan ini selari dengan kemajuan sesebuah negara yang memerlukan pendapatan yang lebih besar untuk menampung kehidupan. Selain itu, kadar penceraian dijangka terus meningkat melibatkan pasangan keluarga muda di bawah lima tahun yang mengundang pelbagai masalah sosial, kebajikan dan perkhidmatan. Peningkatan kadar penceraian akan menambah lagi jumlah ibu tunggal dan menyumbang kepada pemerhatian khas kepada golongan ini yang tentunya memerlukan sokongan dan bantuan.

Perubahan nilai yang berlaku di dalam keluarga turut meningkatkan jenayah domestik iaitu perbuatan jenayah yang melibatkan ahli-ahli keluarga sendiri seperti sumbang mahram dan rogol.

Pertambahan penduduk bandar kerana penghijrahan tidak dapat menyelesaikan masalah perumahan kerana kekangan kewangan yang dihadapi oleh mereka yang terlibat. Tempat yang paling mudah ialah mewujudkan penempatan setinggan yang lebih murah. Keadaan perumahan yang bersesak tidak sesuai untuk perkembangan mental dan sikap akan mengundang kepada perlakuan jenayah seperti kecurian dan rompakan.


Rujukan


Mohd Taib Hj. Dora (2005). “Faktor Keluarga Bermasalah di Malaysia dan Strategi Mengatasinya.” Liberalisasi Komuniti. Melaka : Penerbit Universiti KUTKM.

Coleman, J.W dan Cressey, D.R (1993). Social Problem. 5th edition. Harper Collins.

Mahmood Zuhdi (1997). Pengantar Undang-Undang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya.

Jalaludin Abd. Aziz (Mac 2006). Senario Keluarga Masa Kini dan Masa Depannya. ISM Minda, Vol. 6. Institut Sosial Malaysia.
Post a Comment