Negara yang paling miskin di Carribean, Haiti, adalah negara paling tercemar dengan rasuah menurut laporan Indeks Persepsi Rasuah 2006. Rasuah juga berkait rapat dan dianggap saudara kandung kepada kemiskinan. Guinea, Iraq dan Mynmar juga tergolong dalam kelompok negara rasuah kerana kemiskinan. Haiti, Guinea dan Mynmar bukan negara Islam. Sebaliknya Iraq, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia ditadbir oleh sebahagian besarnya umat Islam dan sesetengahnya sangat taksub dengan undang-undang Islam.
Kenapa perlakuan rasuah tidak mengenal negara Islan atau bukan Islam? Sungguh malang bagi mereka yang tidak memahami kesan kemiskinan dan kaitannya dengan rasuah.
Malaysia berada pada kedudukan ke-44 daripada 163 buah negara pada IPR 2006 lalu yang memperlihatkan meluasnya kegiatan rasuah. Dalam tempoh 10 tahun, negara ini telah jatuh 16 tangga. Di peringkat antarabangsa, imej buruk negara perasuah akan diperbesarkan kerana terdapat persaingan antara negara untuk menarik pelaburan asing, perkhidmatan dan menjejaskan ekonomi negara terbabit.
Rasuah adalah perbuatan yang biadab dan dikutuk. Rasuah ditafsirkan sebagai busuk, rosak atau menyogok sesuatu bagi kepentingan tertentu. Perbuatan rasuah mencakupi pelanggaran undang-undang yang sedang dikuatkuasakan, penyalahgunaan harta benda, memberikan kerugian dan mendatangkan kekayaan yang luar biasa kepada diri sendiri dan kaum kerabat.
Setiap hari akhbar dan media menyiarkan berita mengenai penglibatan semua lapisan masyarakat yang terlibat dengan rasuah. Paling sensasi ialah melibatkan badan pengawas kegiatan rasuah negara, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah. Agak malu dan mendukacitakan apabila tuduhan terhadap beliau melibatkan hal-hal yang menyesakkan fikiran, sama seperti kajian masalah sosial baru-baru ini. Persepsi masyarakat umum terhadap imej Ketua Pengarah ini hilang begitu sahaja walaupun beliau belum didapati bersalah.Tindakan ini sedikit sebanyak memberi moral negatif ke atas pegawai dan seluruh kakitangan BPR. Agensi ini juga ditertawakan oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa samalah seperti peribahasa Melayu, “harapkan pagar, pagar makan padi.”
Banyak sebab yang mencetuskan perlakuan rasuah selain daripada kemiskinan dan budaya bangsa berkenaan.
Kaedah kepimpinan yang berpusat dan kurang berhubungan dengan masyarakat umum lebih cepat membiakkan perlakuan rasuah. Keadaan ini berlaku kerana kontrak dan projek pembangunan melalui tender berlegar-legar di kalangan pembuat dasar dan keputusan. Situasi perlegaran ini kerap berlaku di negara yang dilabel sebagai tidak demokratik dan kacau-bilau. Suara rakyat bawahan tidak mampu menghalang kerakusan pemimpin atasan yang mengutamakan kuasa dan harta untuk kemewahan dan keseronokan.
Sistem penyampaian yang kurang mantap dan lemah memberi ruang kepada perlakuan rasuah secara sembunyi dan terang-terangan. Hirarki yang terlalu birokratik ketika membuat keputusan, jurang yang luas di antara memohon dan membuat keputusan dan tidak sabar adalah peluang yang ternganga di hadapan pelaku rasuah untuk mendapatkan “minyak pelincir.”
Penguatkuasaan sering menjadi pertikaian dan menggambarkan kelemahan jentera kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Apa tidaknya? Pemimpin saling berbalah mengenai cara terbaik mencegah rasuah ketika rakyat sedang menderita tidak mendapat keadilan dalam perkhidmatan, pendidikan dan kebajikan sosial. Agensi kerajaan yang terlibat diberi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang sering kali tidak cukup kakitangan malah biang kuasa yang kecil untuk bersama-sama melaksanakan undang-undang tersebut. Masyarakat semakin terdesak untuk mengurusi mulut dan perut dengan nasi dan lauk, sewa rumah dan belanja harian. Kadangkala tragedi “tutup sebelah mata” menjadi amalan terbaik untuk meneruskan kehidupan. Malaysia, negara yang mempunyai sistem perundangan yang sangat baik tetapi pelaksanaannya masih boleh diperbaiki.
“Kawan lama” juga membawa penyakit. Sikap tidak tegas dan budaya “tak apa” menjadi duri dalam daging bagi membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Budaya ini pada hari ini dianggap biasa dan semakin menebal jika dibiarkan. Ia juga menjadi penghalang kepada tindakan yang lebih tegas.
Masyarakat kurang prihatin mengenai hak dan keperluan mereka untuk hidup dengan bebas tanpa rasuah. Pemimpin menyalahkan rakyat, parti-parti politik mula mencanangkan gendang pilihan raya ke-12. Kuasa memilih pemimpin terletak di tangan rakyat. Keupayaan mereka tidak boleh dipandang ringan dan sebelah mata.
Menganggap rasuah adalah perlu untuk pembangunan. Persepsi ini amat berbahaya dan sukar untuk dihilangkan kerana asakan mendapat projek dan kontrak. Justeru, istilah ada kabel, lobi dan ali baba muncul untuk memberi gambaran betapa kuatnya peranan kuasa politik atau ringgit. Nilai ini menjadi semakin kukuh apabila kurangnya projek pembangunan dan terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkannya.
Keperitan hidup kerana pendapatan yang rendah menjadi sumber mencari wang tambahan tanpa mengambil kira halal atau haram. Kepayahan bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang dengan gaji bulanan di bawah RM1000.00 amat membebankan kehidupan di bandar-bandar besar. Apa yang boleh dibuat? Hari ini semuanya berbayar. Sesetengah negara dikenali kerana kegiatan “memungut tol” khususnya di pintu-pintu masuk negara itu.
Rasuah memusnahkan keyakinan. Rasuah memusnahkan harga diri. Rasuah memusnahkan bangsa dan negara. Rasuah membazirkan sumber. Rasuah tidak harus menjadi beban kepada masyarakat dan negara.
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Surah Al-Baqarah, ayat 188)
Mencegah dan membasmi rasuah sangat sukar tanpa mengenal pasti puncanya. Transparency International sering mengulangi ubat mujarab kepada rasuah iaitu hapuskan kemiskinan. Bagaimanapun, kemiskinan bukanlah satu-satunya yang menyebabkan rasuah berleluasa. Berdasarkan huraian di atas yang meletakkan kaedah pentadbiran pemusatan sebagai punca rasuah, banyak usaha yang perlu difikirkan untuk membentuk pentadbiran yang berautonomi. Apakah ini penyelesaiannya? Rasuah tidak akan dapat dihapuskan sepenuhnya di dalam politik dan kerajaan tetapi dapat dikawal ke tahap minimum.
Negara-negara Scandinavia seperti Finland, terkenal kerana produk berkualiti tinggi, Nokia, adalah negara yang paling bersih daripada rasuah di dunia. Bagaimana mereka melakukannya? Mereka menggabungkan kemajuan sosial dan kemahuan politik yang tinggi.
Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat membenci rasuah. Sasaran utama ialah kakitangan kerajaan. Melalui Institut Integriti Malaysia (IIM), pelaksanaan PIN telah menjangkau ke peringkat negeri dengan menubuhkan cawangan IIM di setiap negeri. Kita harap usaha-usaha begini sedikit sebanyak dapat menaikkan taraf Indeks Persepsi Rasuah 2007 nanti.
Rasuah banyak berlaku kerana perniagaan. Justeru itu sistem perundangan wajar diperkemaskan. Hukuman yang lebih berat dan pada masa yang sama mendidik generasi muda membenci rasuah bukannya memperkenalkan mereka kepada rasuah. Barangkali sistem ekonomi yang lebih baik, berhemah dan mementingkan kebajikan daripada mengejar kekayaan perlu dicari supaya si kaya menjadi bank kepada si miskin dan masyarakat melihat hidup sebagai sesuatu yang membahagiakan, bukannya memberi penderitaan.
No comments:
Post a Comment