Thursday, June 25, 2020
COVID-19: Buka sekolah
Tuesday, June 16, 2020
COVID-19: SOP solat Jumaat
Kebebasan solat Jumaat dalam tempoh pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP amat terbatas. Aktiviti Solat Jumaat yang hendak dilakukan kini perlukan beberapa langkah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak majlis agama negeri.
Antara peraturan berkenaan adalah seperti berikut.
1. Berwudhuk terlebih dahulu sebelum ke masjid.
2. Membawa sejadah sendiri.
3. Mendapat kelulusan awal dari pihak masjid. Tiada kebenaran untuk yang walk in.
4. Perlu mengenakan penutup hidung dan mulut ketika berada di masjid.
5. Tidak dibenarkan kontak fizikal seperti bersalam dalam semua keadaan.
6. Bersegera meninggalkan ruang solat selepas selesai solat.
7. Tidak menunjukkan gejala seperti demam, selesema, sesak nafas dan batuk. Manakala suhu badan melebihi 37.5 Celsius dilarang masuk ke masjid.
8. Penggunaan tandas dan tempat wudhuk tidak dibenarkan.
Pengenalan kepada pendaftaran untuk menunaikan solat Jumaat adalah norma baharu yang mungkin memberi sedikit kesusahan kepada jemaah. Ia tidak dapat dielakkan kerana setiap masjid menetapkan jumlah tertentu untuk setiap kali solat Jumaat memandangkan pelaksanaan penjarakan sosial yang ekstrem iaitu sekurang-kurangnya satu meter.
Jarak ini telah mengambil ruang yang agak besar di dalam ruang solat, justeru jemaah perlu dikecilkan. Bagi memastikan bilangan ini menepati sasaran, proses pendaftaran dilakukan secara elektronik iaitu menggunakan kod QR atau laman sesawang yang disediakan. Pendaftaran secara manual dilakukan di pintu masuk ruang solat yang mana pen untuk menulis butiran diri perlu dibawa sendiri.
Ketika tidak ada penularan COVID-19, jemaah bebas datang sama ada awal atau akhir untuk melaksanakan kewajipan mereka. Sejadah juga tidak perlu dibawa kerana pihak masjid menyediakan sejadah yang banyak. Suhu badan tidak perlu dicatat malah gejala ringan seperti batuk atau selesema boleh hadir dan berada di saf pilihan masing-masing.
Kini, semua kebebasan yang ada telah disekat, dihalang dan diperkecilkan. Solat Jumaat yang dilaksanakan sekali dalam seminggu tidak lagi dapat sempurnakan secara tetap. Ia mungkin dilakukan secara berselang minggu mengikut kebenaran yang diberikan pihak masjid.
Namun begitu, kecintaan kepada solat berjemaah boleh lagi dilakukan melalui solat waktu. Biasanya solat jemaah lima waktu di masjid tidak penuh dan masih boleh disertai asalkan mematuhi peraturan yang diberikan.
Kegagalan mematuhi SOP ini bakal memberi musibah kepada semua jemaah.
Monday, June 15, 2020
COVID-19: Sidang media harian
Di peringkat awal penularan wabak COVID-19, sidang media harian perkembangan wabak ini dikendalikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada pukul lima petang. Namun saya belum pernah mendengar ucapannya sehinggalah suatu hari ketika sedang berjalan keluar dari asrama tempat tinggal di universiti.
Petang hari itu saya dan rakan telah berjalan di hadapan pos kawalan asrama dan melihat seorang pengawal di situ sedang menonton siaran media di YouTube mengenai perkembangan COVID-19 di Malaysia. Rakan saya membisikkan ke telinga saya memberitahu yang dilihat dan didengar oleh pengawal tadi adalah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.
Saya menyorot kembali bentuk sidang media yang dilaksanakan setiap hari. Perkara utama yang menarik adalah keyakinan beliau menjawab setiap soalan berdasarkan fakta yang diperoleh.
Sidang media harian ini mendapat sambutan setiap hari dan sentiasa menjadi rancangan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia bagi mengetahui perkembangan terkini bilangan kes positif COVID-19. Kandungan pencapaiannya adalah telus, berfakta dan mencakupi pelbagai aspek yang dimahukan oleh orang ramai.
Mesej utama ialah duduk di rumah, kerap mencuci tangan dan penjarakan sosial sentiasa diulangi dalam setiap sidang media. Ketiga-tiga pendekatan meresap masuk ke minda separa sedar orang ramai sehingga mendorong perubahan tingkah laku orang Malaysia. Selama sebulan mereka tidak keluar rumah kerana meyakini pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Sidang media oleh Ketua Pengarah Kesihatan itu ini dipantau oleh sebuah agensi berita China iaitu China Global TV Netwotk (CGTN) yang menamakan beliau sebagai salah seorang doktor terbaik yang menyampaikan maklumat pandemik COVID-19 di dunia bersama-sama Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Ashley Bloomfield dari New Zealand.
Penghargaan yang diberikan ini telah melonjakkan populariti beliau dan sidang media itu sendiri. Ia menaikkan lebih ramai penonton dan disiarkan oleh kebanyakan stesen penyiaran di Malaysia.
Perbezaan sidang media ini dengan negara-negara serantau sememangnya amat ketara. Di Brunei, sidang media dilakukan oleh Menteri Kesihatan, di Indonesia dilakukan oleh Achmad Yurianto iaitu juru cakap agensi kawalan dan pencegahan penyakit manakala di Singapura ia dilakukan oleh pelbagai menteri.
Sidang media harian berperanan memaklumkan perkembangan semasa kes COVID-19 dan bagaimana kerajaan menangani masalah berkenaan.
Saturday, June 13, 2020
COVID-19: Norma baharu di pasar raya
Barisan panjang orang ramai beratur memasuki pasaraya Mydin, MITC Ayer Keroh, Melaka adalah pemandangan biasa sepanjang PKPB dan PKPP ini. Pihak pengurusan Mydin membuka satu laluan sahaja untuk masuk ke pasar raya ini bagi mengawal bilangan pelanggan yang boleh membeli-belah dalam satu-satu masa di samping mengambil suhu badan.
Garisan merah di lantai memberi panduan kepada pelanggan untuk menjarakkan diri mereka antara satu sama lain. Pelanggan yang tidak memakai penutup hidung dan mulut tidak dibenarkan masuk. Bilangan minimum untuk sekali masuk ke premis Mydin adalah 20 orang.
Norma baharu ketika wabak COVID-19 ini menjadikan urusan membeli-belah barang keperluan semakin lambat dan mengambil masa. Biasanya pembelian sekitar satu hingga dua jam, namun kini dilanjutkan kepada tiga jam.
Suasana di pasaraya Family Store, Bachang, Melaka juga hampir sama. Setiap pengunjung perlu beratur, memakai penutup muka dan hidung serta tapak tangan disembur dengan cecair pembasmi kuman. Pelanggan juga diberi nombor giliran yang perlu dibawa ketika membeli-belah di dalam Family Store.
Petugas kaunter turut mengambil langkah keselamatan. Mereka memakai pelindung muka dan penutup mulut dan hidung semasa mengira barang pelanggan. Mereka juga memakai sarung tangan sepanjang masa.
Cowboy, sebuah lagi pasar raya borong turut mengambil pendekatan yang sama. Pelanggan perlu beratur panjang, mengambil nombor dan menunggu giliran untuk masuk membeli barang. Suhu badan dicatat sebagai rekod dan tapak tangan disembur cecair pembasmi kuman. Pihak pasar raya menggalakkan pembelian dalam tempoh 20 minit tetapi ia agak sukar bagi pelanggan baru yang mahu membeli lebih banyak barang keperluan kerana perlu bergerak ke sana-sini mencari barang tersebut.
Semasa PKPB dilaksanakan, prosedur masuk ke pasar raya dilihat lebih fleksibel yang mana pelanggan hanya beratur dan menulis maklumat diri seperti nama, nombor telefon dan suhu badan. Aliran masuk lebih lancar dan terkawal. Namun terdapat pasar raya yang masih melaksanakan prosedur seperti PKP iaitu pengambilan nombor, beratur dan selepas mengambil suhu badan, pelanggan dibenarkan masuk.
Pasaraya NSK di Taman Merdeka mengambil pendekatan ini kerana mahu memastikan setiap pelanggan berada dalam keadaan sihat dan mematuhi semua prosedur. Ada juga kelibat pengunjung yang diminta memakai penutup mulut dan hidung jika mahu meneruskan pembelian.
Rata-ratanya pengunjung pasar raya menyedari norma baharu ketika mahu membeli barang keperluan di pasar raya kegemaran mereka. Beratur panjang, mendaftarkan diri dan memakai penutup hidung dan mulut adalah pemandangan biasa hari ini. Keakuran terhadap saranan kerajaan telah membantu mengurangkan penularan wabak COVID-19 ini. Pematuhan terhadap peraturan yang disediakan membolehkan urusan harian pengguna berjalan lancar dan memuaskan.
Tidak dinafikan pasar raya menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli barng keperluan tetapi harus diperhatikan juga ia menjadi tempat paling mudah untuk virus berjangkit jika tidak ada langkah-langkah pengawalan dan pencegahan dari pihak pengurusan pasar raya sendiri.
Di AEON Mall Bandar Melaka, pelanggan yang membeli pakaian tidak dibenarkan mencuba pakaian sebaliknya mengambil pakaian tersebut dan terus membuat bayaran. Sekiranya saiz pakaian tidak menepati saiz badan, ia tidak dapat ditukar lagi. Pelanggan harus memahami peraturan ini dan memastikan pakaian yang dibeli telah dipilih dengan tepat dan sesuai.
Banyak perkara yang boleh dilakukan dengan bebas sebelum ini telah berubah sama sekali. Namun begitu, kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap pelbagai peraturan dan prosedur ini memberi kebaikan kepada mereka kerana sekali disahkan positif COVID-19, ia mengambil masa yang lebih panjang untuk kembali pulih seperti sedia kala.
Friday, June 12, 2020
COVID-19: SOP raya
Thursday, June 11, 2020
COVID-19: Harga petrol paling rendah
Tanpa perjalanan keluar dari rumah, minyak petrol tidak banyak digunakan. Kereta, motosikal, van dan lori tidak berganjak dari tempat parkir di rumah masing-masing selama sebulan kerana kenderaan ini tidak boleh berada di atas jalan raya untuk tempoh tertentu.
Suatu ketika, radius 10 kilometer adalah jarak paling jauh yang dibenarkan oleh kerajaan bagi mana-mana kenderaan untuk bergerak. Tidak banyak perkara yang boleh dibuat dalam jarak ini khususnya penduduk di luar bandar.
Perjalanan udara, darat dan laut terhalang kerana banyak negara yang menyekat kemasukan orang luar. Jadi, kapal terbang tersadai di landasan dan feri berlabuh di terminal laut. Bas ekspres tidak dapat bergerak kerana orang ramai tidak dibenarkan merentas negeri.
Akhirnya, harga petrol jatuh ke paras RM1.25 seliter. Harga ini sama seperti seliter petrol kira-kira 20 tahun lalu.
Dengan harga ini, tangki minyak kereta SUV dapat diisi kurang daripada RM50 untuk setangki penuh. Apatah lagi kereta bersaiz kecil seperti MyVi atau Iriz sudah tentu jauh lebih murah.
Setangki penuh ketika PKP boleh kekal bertahan selama dua minggu jika kurang kerap membuat perjalanan.
Bagi petugas kesihatan yang perlu bekerja setiap hari, beban kewangan untuk mengisi minyak petrol mungkin kurang terasa berast kerana tidak banyak wang yang perlu dibayar untuk tangki penuh. Malahan perjalanan lebih lancar kerana tidak banyak kenderaan yang bergerak di jalan raya.
Harga RM1.25 seliter tidak akan muncul lagi kerana aktiviti ekonomi telah kembali rancak dalam minggu-minggu selepas itu. Harga minyak akan terus naik, selari dengan permintaan pengguna yang kembali melakukan aktiviti perniagaan dan pekerjaan masing-masing.
Wednesday, June 10, 2020
COVID-19: PKP Pemulihan
Pengumuman perdana menteri tentang sambungan PKP Bersyarat kepada PKP Pemulihan melegakan rakyat Malaysia kerana banyak kelonggaran yang diberikan.
Antaranya ialah aktiviti sukan yang tidak bersentuhan pada 15 Jun 2020 selain premis berkenaan berdaftar dengan MITI. Selain itu operasi mesin ATM dan premis perniagaan dibenarkan seperti biasa.
Kelonggaran aktiviti ketika PKPP ini menunjukkan kerajaan telah berjaya mengawal penularan wabak COVID-19 dalam kalangan warganegra Malaysia sejak 18 Mac 2020 lalu.
Ia merupakan peringkat kritikal untuk negara kembali kepada kehidupan biasa, merancakkan ekonomi domestik dan mengembalikan keyakinan orang ramai melaksanakan aktiviti harian mereka.
PKPP ini selari dengan bajet PENJANA sebanyak RM35 bilion untuk memastikan pekerja yang kehilangan pekerjaan dapat dilatih semula dengan kemahiran-kemahiran baru seterusnya memasuki dunia pekerjaan yang dapat menyokong hidup.
Peranaan kerajaan dalam membantu golongan ini amat dihargai kerana ia akan menggerakkan pelbagai jenis inisiatif kepada syarikat penyedia latihan, industri penyajian dan pengangkutan.
Tempoh masa sehingga 31 Ogos 2020 dilihat cukup membantu orang ramai menyesuaikan diri dengan norma baru yang masih dikuatkuasakan seperti menjarakkan diri satu meter, kerap mencuci tangan dan memakai pelitup mulut dan hidung.
Tempoh ini juga diharap dapat membantu pencari kerja mendapat kemahiran baru untuk meringankan beban kos hidup mereka.
Perkara paling utama dalam PKPP ini ialah kebenaran merentas negeri untuk menyambut hari raya di kampung dalam suasana santai dan tenteram.
Tanpa perlu mengisi borang kebenaran rentas negeri atau sekatan jalan raya, orang ramai bebas merancang masa perjalanan mereka. Ia memberi ruang untuk bertemu sanak saudara dan meraikan sambutan hari raya kerana ia masih dalam bulan Syawal.
Tuesday, June 09, 2020
COVID-19: Kebenaran rentas negeri
Monday, June 08, 2020
COVID-19: Kali pertama lihat mangsa COVID-19
Saya merancang keluar dari Brunei dua minggu selepas kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh. Ia menjadi peristiwa penting dalam hidup saya kerana melihat sendiri prosedur menangani orang yang dijangkiti COVID-19.
27 Mac 2020, di Terminal Feri Serasa, Muara, saya menunggu feri ke Labuan bersama dua orang rakan. Kami duduk di kawasan awam dan masing-masing buat kerja sendiri.
Sambil menunggu dan duduk di kerusi, saya membaca maklumat yang terdapat dalam WhatsApp. Salah satu daripadanya berkaitan penerbangan khas rakyat Malaysia dari Brunei yang diuruskan Kedutaan Malaysia di Bandar Seri Begawan.
Saya tidak beri perhatian kepada informasi ini kerana beranggapan tidak ada keperluan lagi pun akan ke Labuan sebentar lagi.
Saya melihat sebuah van putih yang tiba di bahagian hadapan kawasan menunggu di laluan pejalan kaki yang dibawa seorang lelaki dan bersama rakannya. Kedua-duanya memakai pakaian pelindung diri yang lengkap, menunggu di van dan sekali-sekala berbual-bual dengan dua tiga orang kakitangan terminal.
Saya tergerak untuk ke bilik air tanpa mengetahui ketibaan mangsa COVID-19 dan akan melalui kawasan tersebut. Selepas keluar dari bilik air, saya tidak dibenarkan melintas laluan ke tempat duduk.
Selang tidak lama kemudian, muncul seorang remaja perempuan etnik Cina bersama beg pakaian terus menuju ke arah van putih tadi. Wajahnya nampak serius sambil menggenggam telefon bimbit. Beliau tidak bercakap apa-apa walaupun dengan petugas kesihatan yang mengiringinya. Sekali-sekala beliau membaca informasi di telefonnya.
Sebaik sahaja remaja berkenaan duduk di bahagian belakang dalam van, begnya diletakkan di bonet van, pintu ditutup dan mereka terus beredar.
Terdapat beberapa orang petugas kesihatan yang turut memakai pakaian pelindung diri sepanjang proses transportasi ini.
Berdasarkan proses penjagaan dan kawalan yang ketat, saya syak remaja berkenaan ada kaitan dengan COVID-19 yang sedang memuncak ketika itu. Kawalan yang dikenakan bukan biasa-biasa malah mematuhi standard operasi dalam kes virus ini.
Ada satu peristiwa penting untuk saya ingat.
Ketika semua penumpang diminta berbaris masuk ke kaunter imigresen bagi urusan pelepasan, saya segera mengenakan sarung tangan dan penutup mulut dan hidung. Berbaris bersama dan menunggu giliran untuk dicop keluar.
Apabila tiba di kaunter, petugas berkenaan bertanya, ’Ada kebenaran keluar negeri oleh Jabatan Perdana Menteri Brunei?’
Saya menjawab, ‘Tidak’. Saya jawab begitu kerana bukannya warganegara Brunei dan akan keluar dan tidak akan kembali lagi ke Brunei.
Prosedur begini amat diperlukan ketika keluar dari Brunei. Kakitangan berkenaan meminta saya menunggu sekejap untuk beliau mendapatkan pengesahan proses yang selanjutnya. Selang beberapa minit, seorang pegawai imigresen yang berpakaian biasa keluar dari biliknya dan menuju ke arah saya. Beliau memaklumkan saya perlu membatalkan permit cuti sabatikal dan membuat permohonan keluar negara dari Jabatan Perdana Menteri Brunei.
Penerangannya membuatkan saya agak emosional kerana tiket feri dan kapal terbang telah dibeli. Namun saya terima penerangannya dengan senang hati.
Oleh kerana hal ini, saya membatalkan rancangan untuk pulang ke Kuala Lumpur melalui Labuan. Sambil duduk-duduk memikirkan tindakan seterusnya, saya melihat kredit di telefon yang tinggal beberapa sen sahaja lagi.
Dalam hati saya berkata, ‘Siapa lagi yang hendak diberitahu?’
Pada ketika itu, dua tiga orang kakitangan awam yang lalu di hadapan saya tidak pun menegur atau bertanya apa-apa, mungkin kerana mereka faham keadaan saya ketika itu.
Tidak ada lagi feri yang akan ke Labuan kerana operasi feri yang terhad pada Isnin, Rabu dan Sabtu sahaja.
Saya memutuskan untuk memberitahu rakan di universiti supaya datang ambil. Beliau juga terkejut tetapi bergegas datang mengambil saya yang sedang ‘jem’ memikirkan tindakan seterusnya.
Gagal ke Labuan pada hari yang dirancang rupanya berganti dengan rancangan yang lebih baik.
Keesokan harinya, saya menguruskan pembatalan permit kerja di Jabatan Imigresen. Hari Sabtu adalah hari bekerja penuh di Brunei. Urusan ini mengambil masa lebih lama kerana banyak kaunter yang ditutup disebabkan kakitangan mengamalkan konsep bekerja dari rumah (BDR). Justeru, saluran lain digunakan untuk memastikan pembatalan permit kerja dapat dilakukan. Sebelum jam 1 tengah hari, saya beredar dari bangunan tersebut dengan senang hati.
Sebelah petangnya, kira-kira jam 3, saya bersama-sama rakan dari Brunei telah pergi ke Temburong. Inilah kali pertama saya merasa Jambatan Temburong sebelum pulang ke KLIA.
Saya memang berhajat untuk melihat pemandangan laut dari atas jambatan ini. Laluan ke Temburong mengambil masa antara 20 hingga 30 minit sahaja berbanding melalui Limbang iaitu sekitar dua jam. Jambatan ini dibuka sebaik sahaja kerajaan Malaysia memutuskan pelaksanaan PKP dari 18 Mac 2020. Jambatan Temburong dibuka pada 17 Mac 2020 dari jam 6 pagi hingga 10 malam namun kemudiannya disingkatkan kepada 6 petang sahaja.
Sepanjang perjalanan itu, saya bertukar-tukar mesej dengan kakitangan Kedutaan Malaysia untuk mengikuti penerbangan khas membawa pulang rakyat Malaysia dari Brunei. Saya berurusan dengan Encik Riduan, kakitangan kedutaan yang meminta nama penuh, nombor pasport, nombor telefon dan institusi pekerjaan. Permohonan awal saya ditolak kerana bilangan penumpang yang diperlukan tidak ramai. Notis penolakan ini dihantar melalui e-mel, yang pada awalnya saya tidak sedar.
Hampir waktu maghrib baharulah saya mendapat pengesahan nama yang saya diterima sebagai salah seorang penumpang yang akan dibawa pulang ke Malaysia. Kakitangan kedutaan meminta saya mengisi maklumat di pautan yang diberi. Rupanya pautan ini adalah permohonan khas kepada Jabatan Perdana Menteri Brunei untuk keluar dari Brunei.
Menjelang pukul 7 malam, saya telah menerima kelulusan berkenaan dan bersedia untuk belayar.
Keesokan hari, Ahad, saya berada di lapangan terbang bersama-sama kakitangan Kedutaan Malaysia dan para penumpang yang diterima menaiki penerbangan khas itu. Jumlah kami sekitar 27 orang. Setiap orang diberikan sarapan pagi dan dibekalkan cecair pembasmi kuman.
Bagi kenang-kenangan, kami bergambar beramai-ramai sebagai hadiah kepada usaha yang dilakukan untuk keluar dari Brunei ketika semua laluan utama ditutup kerana COVID-19.
Jam 12.15 tengah hari, saya tiba di KLIA, mengambil teksi dan terus ke Melaka.
Kisah ini memberi kesan kepada saya iaitu perancangan Allah adalah yang terbaik walaupun kita telah berusaha membuat perancangan yang rapi dan paling baik. Sesuatu yang hilang daripada kita, Insya Allah akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik untuk kebaikan kita juga.
Saturday, June 06, 2020
COVID-19: Imam terawih
Bulan Ramadhan tahun 2020 ini bertepatan dengan PKP yang melarang aktiviti ibadah di masjid atau surau. Walaupun azan dan qiamah dilaungkan oleh bilal, ia hanya dapat dihadiri oleh imam, bilal dan noja bagi solat waktu dan solat terawih. Selain daripada itu, mereka terpaksa mengerjakannya di rumah.
Ketika Ramadhan tanpa COVID-19, kita boleh memilih masjid atau surau untuk solat terawih kerana tertarik dengan bacaan merdu imam, suasana ruang solat yang kondusif dan pihak masjid menyediakan moreh. Kadang kala kita merungut kerana doa yang dibaca terasa amat panjang atau ayat yang dibaca melenguhkan lutut.
Ramadhan ketika PKP ini melenyapkan semua rungutan kerana kita sendiri yang perlu menjadi imam solat kepada keluarga. Maka, mahu atau tidak mahu, imam perlu membuat persediaan awal seperti memastikan hafalan surah-surah lazim yang pendek, menyusun kembali doa-doa yang ma’thur, menyediakan jadual azan dan iqamah serta menguatkan mental untuk menjadi imam terawih selama sebulan.
Minggu-minggu awal menjadi imam terawih mungkin tidak sempurna kerana kerap kali terlupa ayat, bacaan yang salah dan gangguan anak-anak kecil yang diajak bersolat. Keluarga yang mempunyai dua atau tiga orang anak lelaki dewasa boleh menggilirkan mereka sebagai imam dan bilal manakala anak-anak perempuan boleh menjadi makmum yang sempurna.
Dari segi bacaan al-quran, memilih ayat-ayat yang pendek sudah memadai namun jika mencuba ayat-ayat yang lebih panjang dan mencabar seperti Al-Kahfi tidaklah menjadi satu kesalahan. Yang penting adalah bacaan yang betul dan tidak terlupa.
Ada juga iman yang terlalu asyik membaca ayat-ayat al-quran yang panjang, langsung tidak sedar menambah rakaat solat terawih dari dua rakaat kepada tiga rakaat. Selepas ditegur, barulah imam tadi membaca ayat yang lebih pendek dan dapat disempurnakan dalam tempoh yang lebih singkat iaitu antara 15 hingga 20 minit.
Mereka yang menjadi imam terawih pada Ramadhan 2020 ini akan mengenang pengalaman tersebut sepanjang hayat. Ia boleh menjadi bahan bual bicara yang dikongsi dengan anak cucu dalam 10 tahun akan datang.