Tuesday, January 12, 2016

Pandangan masyarakat bukan Islam terhadap makanan halal








1.0 Pengenalan

Masyarakat Malaysia terdiri daripada rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama. Setiap agama mempunyai makanan halal masing-masing. Dalam prinsip makanan halal dalam agama Islam, Allah swt telah berfirman yang bermaksud: “Diharamkan kamu memakan bangkai binatang, darah yang mengalir, semua bahagian babi, binatang yang disembelih tetapi tidak menyebut nama Allah swt dan binatang yang mati kerana tercekik, terpukul, terjatuh, ditanduk, binatang yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat disembelih jika masih kuat bernyawa”. (Surah al-Maidah, ayat 3). Akan tetapi, masyarakat bukan Islam seperti masyarakat Buddha, Hindu dan lain juga memiliki konsep makanan halal yang berbeza. Makanan halal merupakan aspek yang amat penting dalam agama masing-masing. Hal ini demikian makanan yang dihalal akan mendatangkan manfaat kepada tubuh badan kita manakala makanan yang diharamkan akan memudaratkan kesihatan manusia.

Kebersihan dan mutu produk makanan halal di pasaran Malaysia dijamin oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Logo “Halal” boleh terdapat atas produk makanan yang halal. Islam mempunyai nilai dan peraturan serta batas tersendiri dalam setiap urusan kehidupan termasuk soal pemakanan. Pengambilan makanan bukan sahaja dinilai daripada aspek keseimbangan, malahan aspek halal adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan. Makanan merupakan satu daripada keperluan harian dalam kehidupan kita. Generasi muda pada masa kini tidak menitikberatkan konsep makanan halal dalam pengambilan makanan. Mereka hanya mengutamakan keenakan makanan dan abaikan konsep makanan halal. Dengan ini, pelbagai usaha harus dijalankan untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap makanan halal Islam.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui konsep makanan halal dalam Islam dan bukan Islam, mengkaji kefahaman masyarakat bukan Islam terhadap makanan halal dan mencadangkan usaha-usaha peningkatan kefahaman terhadap makanan halal.


2.0 Hasil Kajian

2.1 Konsep makanan halal dalam masyarakat Islam

Dalam kamus fiqih mengatakan halal difahami sebagai segala sesuatu yang boleh dikerjakan atau dimakan. Seterusnya, makanan halal juga boleh dijelaskan dengan sesuatu bahan makanan yang suci dan baik di samping tidak melanggari syariat Islam sewaktu mendapatkan dan menggunakannya. Makanan yang halal selalunya dikaitkan dengan konsep ‘halalan toyyiban’. Jelaslah bahawa Islam mewajibkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik serta makanan yang berkhasiat dan seimbang. Antara ciri-ciri makanan yang halal menurut agama Islam ialah makanan dari jenis yang dihalalkan mengikut hukum syarak. Selain itu, sumber perolehan makanan adalah dari sumber yang halal bukan dari sumber yang haram. Bersih dan tidak memudaratkan kesihatan tubuh badan. Manakala ciri-ciri makanan haram pula ialah makan yang boleh memudaratkan jasmani dan rohani.

Justeru, makanan yang halal haruslah dalam keadaaan masih elok dan baik untuk digunakan. Islam amat menitikberatkan umatnya agar memakan makanan yang bersih bagi melindungi diri dari serangan penyakit , memelihara kewarasan akal fikiran untuk berfikir (sihat jasmani dan rohani) serta membentuk akhlak dan tingkah laku yang baik. Dalam aspek ibadat pula makanan, minuman dan pakaian amat berkait rapat dengan ibadat kerana ibadat itu sendiri bersifat suci maka jika apa yang dimakan adalah halal maka eloklah ibadatnya.

Islam mengharuskan umatnya makan makanan haram jika berlakunya darurat dengan syarat hanya terdapat makanan dan minuman yang haram pada ketika itu, makan atau minum sekadar menyelamatkan nyawa dan makan atau minum tidaklah sampai kenyang. Hikmat rukhsah makan dan minum daripada sumber haram ialah membuktikan ajaran Islam tidak membebankan malah memudahkan umatnya. Seterusnya, menunjukan nyawa adalah amat berharga dalam Islam dan perlu dipertahankan. Hikmat seterusnya ialah memberi kelonggaran ketika darurat kepada umat Islam demi untuk menyelamatkan nyawa.

Konsep halal dalam Islam perlulah dipraktikkan oleh umatnya agar tidak berlaku sebarang kesan keburukan yang tidak di ingini. Kesimpulannya, konsep halal dalam Islam banyak menekankan tentang betapa pentingnya kebersihan terhadap makanan yang dimakan serta kesan penjagaan kewarasan jasmani dan rohani umatnya dalam melakukan ibadat dan aktiviti harian.

2.2 Konsep makanan halal dalam masyarakat bukan Islam

Terdapat tiga agama selain agama Islam di Malaysia seperti Kristian, Hindu dan Buddha mempunyai konsep yang tersendiri tentang makanan halal. Bagi penganut agama Kristian mazhab Roman Katolik, mereka tidak dibenarkan memakan khinzir. Selain itu, haiwan yang berkuku belah, bersela panjang,  tidak memamah biak dan juga ikan yang mempunyai sirip/sisik juga tidak dibenarkan. Bagi mazhab Sevent Day Adventist pula tidak dibenarkan penggunaan alkohol, tembakau (rokok) atau ubat-ubatan yang terlarang. Orang-orang Advent juga menghindari daripada konsumsi kopi dan minuman yang mengandungi kafein.

Di samping itu, bagi agama Hindu atau berbangsa India pula, mereka dilarang memakan lembu kerana mereka menganggap lembu itu Tuhan mereka. Namun begitu, menurut ajaran Hindu Bali pula, makanan yang diperbolehkan ialah makanan yang memiliki sifat kebaikan untuk memperpanjang usia hidup, menyucikan kehidupan dan memberi kekuatan, kesihatan, kebahagiaan dan kepuasan yang memiliki kandungan penuh sari, berlemak, bergizi dan menyenangkan hati. Sementara itu, antara kriteria ataupun sifat serta ciri-ciri makanan yang dilarang untuk dimakan ialah makanan yang terlalu pahit, terlalu masam, panas sekali atau menyebabkan badan menjadi panas, terlalu pedas, terlalu kering dan berisi banyak bumbu yang keras sekali yang disukai oleh orang dalam sifat nafsu. Makanan ini dipercayai akan menyebabkan dukacita, kesengsaraan dan penyakit.

Akhir sekali, bagi agama Buddha, hanya bahan-bahan yang benar-benar suci, bersih dan berkhasiat dibenarkan untuk dimakan, yang lain semuanya dilarang. Agama Buddha sekeras-kerasnya melarang pengikutnya untuk makan daging binatang, hasil laut, burung dan kehidupan-kehidupan yang lain. Di samping itu, agama Buddha hanya mengesyorkan pengikutnya untuk makan sayur-sayuran berdaun, sayur-sayuran berbuah dan buah-buahan yang bersih dan suci. Selain itu, penganut agama Buddha juga mempunyai tumbuh-tumbuhan yang haram untuk dimakan. Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di bawah tanah seperti halia, bawang, bawang putih dan sebagainya dilarang untuk dimakan oleh pengikut agama Buddha. Tumbuh-tumbuhan tersebut hanya perlu dimakan oleh manusia yang makan daging supaya daging yang mereka makan dapat dicerna dengan cepat.

2.3 Kefahaman masyarakat bukan Islam terhadap makanan halal

Kajian ini telah melakukan temubual dengan empat orang responden bukan Islam untuk mengkaji kefahaman mereka terhadap makanan halal. Mereka terdiri daripada kaum Cina, India, Orang Asli, dan Iban.

Melalui temubual dengan responden, dapat disimpulkan bahawa kebiasaan masyarakat bukan Islam mengetahui dan mendapatkan maklumat berkenaan dengan makanan halal Islam melalui ahli keluarga, rakan sebaya dan internet. Ahli keluarga merupakan orang yang terdekat kepada kita. Dengan ini, ahli keluarga yang berpengetahuan tentang makanan halal Islam akan menyampaikan maklumat tersebut kepada ahli keluarga lain. Sistem pendidikan di Malaysia telah melibatkan pelajar yang berbilang kaum. Rakan sebaya yang beragama Islam boleh memberi maklumat mengenai makanan halal Islam kepada pelajar yang bukan Islam. Internet pula muncul sebagai sumber yang paling popular untuk mencari maklumat. Oleh itu, generasi kini banyak mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan makanan halal Islam melalui sumber internet.

Selain itu, didapati bahawa masyarakat bukan Islam mempunyai kefahaman bahawa makanan halal Islam merupakan makanan yang dibenarkan, suci dan bersih untuk dimakan melalui temubual dengan responden. Sebenarnya dalam konteks Islam, makanan yang tidak mengandungi apa-apa bahagian dari binatang yang dilarang dalam hukum syarak seperti khinzir boleh dikatakan sebagai makanan halal dalam Islam.

Di samping itu, masyarakat bukan Islam dapat mengenal pasti bahawa produk makanan dalam pasaran halal ataupun tidak melalui logo Jakim. Kebiasaan produk makanan dan minuman dalam pasaran Malaysia mempunyai logo Jakim supaya boleh dibeli oleh pengguna yang beragama Islam atau bukan Islam.

Keempat-empat responden dalam temubual terdiri daripada kaum yang berbeza dan mempunyai agama masing-masing. Melalui temubual tersebut telah mendapati bahawa agama Buddha dan agama Hindu juga mempunyai makanan yang dihalalkan dan diharamkan. Dalam agama Buddha, daging lembu telah diharamkan untuk diambil kerana binatang lembu telah  menyumbang besar dalam bidang pertanian pada zaman dahulu dan ramai penganut Buddha tidak akan makan daging lembu. Dalam agama Hindu pula penganut Hindu menganggap lembu sebagai Tuhan mereka dan juga muncul sebagai makanan yang dilarang makan dalam agama mereka. Selain lembu, minuman seperti arak juga diharam dalam agama Hindu kerana akan memudaratkan manusia.
2.4 Usaha-usaha peningkatan kefahaman terhadap makanan halal

Berdasarkan laporan yang telah dikemukakan, usaha yang boleh dijalankan bagi meningkatkan kefahaman terhadap makanan halal dalam kalangan masyarakat telah diringkaskan secara terperinci. Terdapat empat usaha yang dikemukakan iaitu dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran, mengetatkan undang-undang khusus terhadap makanan halal, keperluan pendidikan dan menerbitkan buku-buku tentang kefahaman sebenar produk-produk makanan halal di pasaran. Setiap usaha ini mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan kefahaman dan kesedaran kepada pengguna tentang kepentingan dan ciri-ciri makanan halal. Pengambilan makanan halal dan bersih dalam kehidupan seharian amat penting. Oleh itu setiap anggota masyarakat harus bijak dalam  membezakan antara makanan yang halal atau makanan yang meragukan. Oleh itu kempen-kempen yang dijalankan dapat membantu menyedarkan masyarakat tentang produk-produk makanan yang ada di pasaran yang telah secara sah mendapat pengesahan dan diiktiraf oleh Jakim. Terdapat juga sesetengah produk yang menggunakan logo palsu yang berjaya memasuki pasaran melalui pihak yang tidak bertanggungjawab. Hal ini terjadi kerana kurangnya kefahaman tentang status makanan halal.  

Selain itu juga, usaha mengetatkan undang-undang terhadap makanan halal dapat membendung masalah penggunaan logo halal palsu secara berleluasa. Undang- undang yang dijalankan adalah bertujuan bagi memastikan setiap syarikat yang mengeluarkan makanan halal mestilah mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan. Bagi mengukuhkan lagi kefahaman dan kesedaran tentang produk makanan halal dalam kalangan masyarakat, keperluan pendidikan ditawarkan di Malaysia. Pelbagai institusi yang menawarkan pendidikan latihan halal sama ada di peringkat badan bukan berkanun, institusi latihan swasta dan institusi pendidikan di universiti telah diwujudkan. Tujuan institusi-institusi ini ditubuhkan adalah bagi membantu menyediakan kefahaman, pendidikan dan kesedaran halal kepada pengguna dan pengguna industri halal. Pendidikan ini lebih tertumpu untuk generasi muda supaya dapat mendidik mereka dengan lebih awal dan cepat.

Usaha keempat yang juga amat penting untuk meningkatkan kefahaman tentang makanan halal adalah dengan menerbitkan buku-buku tentang kefahaman sebenar produk-produk makanan halal di pasaran. Isu kesucian sesuatu produk atau perkhidmatan adalah sensitif kepada masyarakat islam. Bagi orang islam, sebarang isu berkaitan dengan persoalan halal dan haram perlu diberi perhatian. Dengan menerbitkan buku-buku sebegini, ianya dapat memberikan input-input yang lebih terperinci dari setiap aspek yang berkaitan dengan status produk halal. Oleh itu, dengan usaha ini, ianya mampu membantu pengguna untuk membuat pilihan yang lebih bijak.


3.0 Rumusan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai perbezaan pendapat tentang makanan halal dalam masyarakat bukan Islam dan masyarakat Islam. Bagi masyarakat bukan Islam, makanan halal dikategorikan mengikut kepercayaan agama dianuti seperti Hindu, Buddha dan Kristian. Manakala makanan halal bagi masyarakat Islam pula dirujuk oleh hukum yang telah ditetapkan oleh syarak. Banyak perbezaan yang didapati jika dibandingkan antara konsep halal dalam Islam dan bukan Islam.

Dalam Islam makanan halal dan berkhasiat (halalan toyyiban) amat penting dalam kehidupan manusia untuk membentuk peribadi diri seseorang. Makanan yang halal juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan jasmani dan rohani. Jika elok apa yang dimakan maka eloklah sikap manusia itu. Seterusnya bukan sahaja masyarakat Islam malahan masyarakat bukan Islam juga mempunyai makanan halal mereka yang tersendiri mengikut kepercayaan agama masing-masing. Contohnya seperti agama Hindu yang mempercayai lembu adalah tuhan mereka. Untuk masyarakat Islam pula makanan halal harus ditinjau dari segala aspek cara mendapatkan dan kandungan bahan yang terdapat dalam makanan tersebut agar tidak mencemari tubuh badan seseorang individu.

Akhirnya, setiap masyarakat mempunyai persepsi yang tersendiri tentang makanan halal haram. Ini menunjukkan bahawa sesetengah pengguna tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang status makanan dan halal yang sebenar. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa  Jakim  haruslah mengambil langkah bagi membantu meningkatkan pengetahuan pengguna tentang makanan halal dan  haram menerusi kempen, media massa dan media elektronik.


Rujukan

Noraini Haji Idris. (2007). Malaysia ke arah hab makanan halal dunia. Selangor: Dawama Sdn.Bhd.
Nor Aini Ramlan. (2000). Halal Haram. Selangor: Pustaka Ilmi.
Saadan Man, Zainal Abidin Yahya. (2014). Halalkah makanan kita? Selangor: PTS Islamika Sdn.Bhd.
Yusuf Qardhawi. (2003). Halal dan haram dalam Islam. Indonesia: PT Bina Ilmu Surabaya.

http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/makanan-halal-untuk-umat-islam-1.292364
http://zahirzainudin.blogspot.my/search?q=makanan+halal
https://prezi.com/aeeq1whzbqyj/pemakanan-halal-dan-haram-setiap-agama/
https://ms.wikipedia.org/wiki/Hukum_pemakanan_Islam
http://www.slideshare.net/SitiNadzirahSupar/makanan-halal-menurut-islam


MZ Zainudin, Nur Syazila Hamzah, Nur Amirah Bahari, Syafiqah Nordin, Yap Chui Xian



Monday, January 11, 2016

Inside Apple






Penulis: Adam Lashinsky
Tahun: 2012
Penerbit: Busines Plus, New York, USA.
Muka Surat: 223

Semasa Tim Cook ditanya oleh Wall Street bagaimana proses perancangan di Apple Inc bergerak, beliau menjawab, 'Saya tidak mahu orang lain tahu bagaimana magik kami kerana saya tidak mahu sesiapa meniru kami'.

Cook merupakan sebahagian daripada pemikir hebat dalam dunia bisnes. Produk Apple dan pengasasnya, Steve Jobs menjadi terkenal seluruh dunia tetapi amat sedikit yang mengetahui apa yang berlaku di dalam ibu pejabat mereka di Cupertino, California...


...hingga sekarang.


Buku ini penuh dengan idea, pembuka mata tentang apa yang eksekutif Apple panggil 'sos rahsia' dalam sistem, taktik dan strategi pengurusan yang melahirkan kekuatan demi kekuatan yang menjadi inspirasi seperti yang dihasilkan pada Macs, iPods, iPhones dan iPads.


Dalam inovasi dan pengurusan, Adam Lashinsky iaitu salah seorang wartawan yang membuat liputan di Lembah Silikon, memperkenalkan pembaca pada amalan di Apple seperti DRI dan Top 100.


Berdasarkan siri temubual, buku ini menawarkan maklumat baru yang eksklusif tentang bagaimana Apple menggunakan rahsia, tanggungjawab dan struktur pengurusan yang aneh untuk memastikan ia menjadi sebuah syarikat awam yang paling bernilai.


Dalam buku ini Lashinsky menunjukkan bagaimana kejayaan Apple telah digunakan dalam sekolah perniagaan utama pada hari ini.



Sunday, January 10, 2016

Cuai urus kelahiran







Penukaran bayi yang berlaku di sebuah pusat bersalin swasta baru-baru ini amat mengejutkan. Kejadian ini memberi kesan trauma kepada ibu bapa bayi yang terlibat.

Media melaporkan bahawa ia berlaku kerana terdapat pelanggaran prosedur yang dikategorikan sebagai kelalaian dan mengambil mudah. Biasanya setiap proses kelahiran mempunyai manual khusus supaya pertukaran bayi tidak berlaku. Ia juga mempunyai prosedur khusus untuk menangani kes kematian bayi, kelahiran bermasalah dan sebagainya.

Dalam kes ini, pertukaran bayi berkenaan telah dapat diselesaikan dalam tempoh dua jam namun kesan trauma akan berpanjangan bagi tempoh yang lama. Sebaik-baiknya ialah kedua-dua pihak melupakan kejadian ini selepas yakin dan berpuas hati bahawa bayi yang dikembalikan merupakan anak yang sah.

Kes tertukar bayi pernah dilaporkan berlaku di sebuah hospital kerajaan beberapa tahun lalu. Ia melibatkan pertukaran bayi lelaki berbangsa melayu dan Cina. Walaupun menyedari terdapat kelainan pada bayi mereka, pasangan yang terlibat tidak bertindak aktif untuk menukarkan kembali anak masing-masing.

Anak-anak ini membesar dengan keluarga yang berbeza dan menggunakan nama mengikut bangsa mereka sehinggalah cerita sebenar didedahkan.

Semasa pendedahan dibuat, bayi berbangsa Melayu telah pun berkahwin dengan wanita Cina dan mempunyai seorang anak. Beliau hidup sebagai seorang Cina, beragama Buddha dan semua proses sosialisasi adalah mengikut kebudayaan Cina.

Bayi berbangsa Cina masih belum berkahwin. Beliau sangat marah apabila diberitahu bahawa ibu bapanya yang sebenar berketurunan Cina. Beliau marah kerana hilang peluang dalam ekonomi kerana pada anggapannya hanya dengan berbangsa Cina beliau akan kaya dan hidup senang-lenang.

Selepas itu, kita tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka.

Banyak iktibar yang kita boleh ambil dalam kes-kes seperti ini. Pihak yang terlibat dalam proses kelahiran mesti mengambil langkah yang lebih tegas supaya ia tidak berulang dan memberi kesan trauma yang berpanjangan. Pada masa yang sama, imej sebagai pusat bersalin turut terjejas serta menimbulkan kegelisahan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan.

Ibu bapa juga wajar melihat bayi mereka semasa dilahirkan supaya dapat mengenal pasti rupa fizikal dan gerak hati bahawa bayi mereka adalah seperti mereka, sekurang-kurangnya ada tanda lahir atau pengenalan lain.



Thursday, January 07, 2016

Kesepaduan sosial di restoran mamak








Restoran mamak berperanan besar dalam membentuk kesepaduan sosial rakyat Malaysia. Sumbangan restoran ini sangat penting kerana ia menjadi tempat pertemuan sosial pelbagai bangsa dan peringkat masyarakat.

Satu-satunya elemen kritikal yang menaikkan restoran ini adalah makanan selain petugas yang cergas dan penyediaan makanan yang pantas.

Shamsul Amri dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia menyifatkan restoran mamak sebagai tarikan kepada ramai orang pelbagai latar belakang kerana mampu menyedia dan menyediakan selera pelbagai budaya di bawah satu bumbung. Mereka boleh menyediakan pelbagai jenis makanan yang datang dari masyarakat Melayu, Cina dan India.

Pemandangan yang biasa setiap malam minggu ialah masyarakat Malaysia berkumpul di sini untuk menonton perlawanan bola sepak melalui layar besar yang disediakan.

Restoran mamak telah banyak berubah untuk menjadi peneraju makanan di Malaysia. Ia dibuka seawal jam enam pagi sehingga larut malam malah ada yang beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Sebaik sahaja kita masuk dan duduk di kerusi, akan datang seorang petugas bertanyakan makanan dan minuman yang kita mahu. Sama ada dia membawa buku nota atau tidak, ia tidak menjadi masalah kerana mereka boleh berkomunikasi secara langsung dalam bentuk yang unik. Makanan dan minuman akan sampai di hadapan kita dalam tempoh lapan hingga sepuluh minit. Jarang sekali makanan yang dipesan lambat datang.

Jumlah pekerja yang ramai di restoran mamak memudahkan mereka mengenal pasti setiap pelanggan yang masuk ke situ. Biar pun ada petugas yang baru beberapa hari bekerja, mereka mampu memahami permintaan pelanggan kerana telah menjalani latihan intensif sebaik tiba dari India. Keupayaan mereka ini telah meningkatkan keyakinan pelanggan untuk terus datang ke restoran mamak.

Kita perlu membuat kajian yang lebih menyeluruh tentang operasi restoran mamak dari pelbagai aspek seperti bentuk latihan, operasi kerja ataupun aspirasi pemilik restoran mamak supaya elemen pembentukan kesepaduan sosial yang wujud di situ dapat diperkukuhkan.


Wednesday, January 06, 2016

Nilai keyakinan diri








Perbezaan antara seorang usahawan yang sentiasa rugi dengan seorang perucap yang tersohor terletak pada keyakinan diri mereka. Begitu juga perbezaan antara penghantar surat yang ceria dengan jurujual yang stres, terletak pada keyakinan diri. 

Nilai keyakinan diri menjadi pendorong utama kepada kebanyakan orang, menolak mereka ke arah pencapaian yang lebih besar. 

Dalam pendidikan, anak-anak yang ada keyakinan diri dikatakan memiliki kemahuan belajar yang lebih besar dan bersedia menghadapi cabaran. 

Saya fikir orang dewasa juga sama. Cuma apabila dewasa, keyakinan diri didorong oleh keluarga, rakan-rakan, pemimpin atau informasi yang kita dapat daripada pembacaan dan pengalaman. 

Sama ada kecil ataupun besar, keyakinan diri sangat penting.

Tuesday, January 05, 2016

Peranan agama Islam dalam masyarakat plural di Malaysia








1.0 Pengenalan

Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum melahirkan pelbagai budaya dan juga agama yang menjadi pegangan hidup rakyatnya. Orang Melayu yang semestinya beragama Islam, Cina beragama Buddha, Konfusian serta masyarakat India beragama Hindu. Ketiga-tiga kaum utama inilah yang mendominasi perubahan nilai dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dalam tajuk “Peranan agama Islam dalam masyarakat plural di Malaysia”, kita membincangkan aspek berikut: bagaimana cara-cara hidup orang-orang muslim boleh membawa keharmonian dalam masyarakat yang pelbagai di Malaysia.


2.0 Kajian Literatur

Agama ialah ajaran yang dianuti atau dipercayai oleh seseorang. Agama merupakan sesuatu yang dipegang dan menjadi ikutan. Agama merupakan salah satu fenomena sosial yang mana penganutnya mengikut sesuatu ajaran. Di Malaysia, terdapat agama Islam, Hindu, Buddha dan Kristian. Plural bemaksud jamak atau banyak. Dalam konteks kajian ini, plural merujuk kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Masyarakat majmuk terdiri daripada Melayu, India dan Cina.

Penghayatan nilai-nilai baik dari setiap agama dapat membantu menjadikan Malaysia terus aman dan makmur. Hubungan yang harmonis antara kaum di Malaysia mestilah terus dipupuk dan ditanam dengan nilai-nilai baik yang disarankan oleh setiap agama yang dianuti oleh rakyat Malaysia. Rasa hormat-menghormati kepercayaan dan agama kaum lain perlu disemai dalam kalangan generasi kepada generasi agar diteruskan bagi mengekalkan keunikan negara kita ini. Masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai budaya dan agama sememangnya mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Sekiranya nilai-nilai ini dihayati maka masyarakat akan hidup aman dan tenteram. Penghayatan nilai-nilai murni dalam agama dan budaya akan mewujudkan kehidupan yang bertamadun dan dapat bertindak sebagai pemangkin kepada keutuhan nilai murni dalam masyarakat.

Malaysia yang terdiri daripada negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah serta Sarawak ditubuhkan pada 16 September 1963. Penduduk Malaysia boleh dikategorikan kepada dua kumpulan utama iaitu penduduk pribumi dan bukan pribumi. Penduduk peribumi sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu. Selain orang Melayu, terdapat juga pelbagai kumpulan etnik pribumi lain seperti Orang Asli di Semenanjung dan pelbagai etnik pribumi di Sabah dan Sarawak. Penduduk bukan pribumi terdiri daripada orang Cina dan India serta sebilangan kecil etnik-etnik lain.


3.0 Metodologi

Kajian ini telah dijalankan menggunakan cara literal dan kualitatif. Buku-buku dan internet merupakan sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai kajian ini. Selain itu, pengkaji turut menemu bual tiga orang responden yang berlainan kaum seperti Melayu, India dan Cina bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kajian ini.


4.0 Hasil Kajian

Soalan 1: Bagaimanakah peranan agama Islam dapat menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik?

Menurut responden Melayu, salah satu peranan yang dapat dijalankan oleh umat Islam untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik ini adalah ketika orang-orang muslim menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mereka boleh mengadakan rumah terbuka atau mengadakan jamuan kecil-kecilan yang sekali gus mereka dapat menjemput sanak-saudara dan jiran tetangga.

Seterusnya, responden kedua dan ketiga iaitu Cina dan India mempunyai idea yang sama. Mereka bersetuju bahawa agama Islam adalah agama yang membawa kedamaian dan ketenangan yang sentiasa mensejahterakan penduduk-penduduk di muka bumi ini.

Soalan 2: Apakah faktor-faktor yang menyumbangkan kepada peranan agama Islam dalam masyarakat plural di Malaysia?
           
Menurut responden Melayu, beliau menyatakan bahawa faktor yang dapat menyumbangkan kepada peranan agama Islam dalam masyarakat plural di Malaysia adalah dengan mengeratkan hubungan silaturrahim antara masyarakat. Contohnya ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ketika inilah mereka dapat berjumpa beramai-ramai dan berkongsi cerita dan gelak tawa justeru hubungan mereka akan menjadi semakin akrab.

Seterusnya bagi responden India, beliau mengatakan Islam banyak mengajar nilai-nilai murni kepada penganutnya yang sekali gus memberi impak positif kepada orang-orang di sekelilingnya. Sebagai contoh salah satu yang diamalkan dan disanjung tinggi oleh masyarakat Islam adalah menjaga hubungan silaturrahim. Selepas itu responden yang seterusnya dari responden Cina. Beliau juga memikirkan hal yang sama seperti responden India.

Soalan 3: Sejauh manakah nilai dalam agama Islam dapat diterapkan dalam masyarakat plural di Malaysia?

Respons yang diberikan oleh ketiga-tiga responden ialah mereka memberikan contoh nilai bertolak ansur. Mereka mengaitkan hal ini dengan perayaan kaum. Responden India menyatakan bahawa setiap kaum bertolak ansur dengan perayaan kaum masing-masing walaupun sedikit bunyi bising yang dilakukan semasa menyambut perayaan manakala repondan Melayu dan Cina berpendapat bahawa kerajaan bertolak ansur semasa perayaan disambut dengan memberi cuti kepada semua kaum agar dapat menyambut perayaan tersebut bersama-sama. Nilai kebebasan beragama sangat penting dalam mewujudan keamanan dah keharmonian sesebuah negara. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kebebasan beragama sedia terjamin dalam perlembagaan negara. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia sejak kita memperoleh kemerdekaan. Kesefahaman kepada pengaruh dan peranan nilai agama itu mewujudkan masyarakat yang mampu bekerjasama dan berinteraksi. Dalam erti kata lain, masyarakat harmoni dalam menangani masalah yang dihadapi.

Soalan 4: Adakah agensi kerajaan seperti Jakim dapat menyumbang kepada peranan agama Islam dalam masyarakat plural?

Jawapan yang diberikan oleh ketiga-tiga responden ialah Jakim memainkan peranan yang besar seperti menyumbang dana bagi membina masjid ataupun menghasilkan infrastruktur yang dapat menyumbang ilmu agama seperti sekolah-sekolah agama. Hal ini sekali gus memberikan kesan yang cukup mendalam dari sudut sumbangan yang dilakukan oleh pihak Jakim. Selain itu, ia juga dapat menangkis salah faham dan tuduhan-tuduhan terhadap Islam. Sekiranya pihak Jakim aktif dalam dialog antara agama, ia akan dapat menyelesaikan banyak salah faham mngenai Islam serta menyangkal tuduhan-tuduhan mansyarakat bukan Islam. Seterusnya, sumbangan Jakim adalah dapat membina hubungan baik dan menunjukkan sifat keterbukaan antara penganut pelbagai agama.

Soalan 5: Bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk berdakwah kepada orang bukan Islam?
           
Tiga responden telah ditemu bual yang berlainan bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Melalui temu bual yang dijalankan, responden Melayu menyatakan kaedah yang sesuai adalah melalui ceramah agama manakala, responden India dan Cina berpendapat bahawa media massa adalah cara terbaik. Penyebaran maklumat merupakan peranan utama dalam media massa, oleh itu penyebaran dakwah amat sesuai melalui media massa seperti facebook dan seumpamanya kerana laman sosial seperti itu menjadi tumpuan utama masyarakat pada hari ini. Contohnya mereka boleh berkongsi ilmu-ilmu agama di timeline mereka. Ini dapat memudahkan bagi orang yang beragama lain untuk membaca secara terbuka.

Soalan 6: Berikan pandangan tentang penyebaran agama Islam dalam  masyarakat Islam?
           
Melalui temu bual yang telah dijalankan responden Melayu berpendapat bahawa ianya berkesan kerana ramai bangsa lain yang beralih agama kepada agama Islam manakala responden Cina dan India mengatakan ianya tidak berkesan atas sebab yang berlainan. Bersandarkan pendapat responden Melayu, kita dapat melihat bilangan umat Islam semakin bertambah setiap tahun. Di sini kita dapat melihat bahawa penyebaran agama Islam yang berkesan berjaya menambah jumlah umat Islam di muka bumi. Dakwah ini boleh ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Di era permodenan ini, teknik berdakwah ini berlaku dengan lebih luas dan lebih efektif malah lebih mudah.

Responden India mengatakan ianya tidak berkesan disebabkan banyaknya berlaku kes murtad (keluar agama) dalam masyarakat Islam sendiri. Responden Cina pula menyatakan ramainya masyarakat Islam sendiri tidak mempraktikkan perkara yang diperintahkan agama mereka.

Soalan 7: Siapakah memainkan peranan dalam  penyebaran agama Islam?

Mengikut responden India, ulamalah yang memainkan peranan dalam penyebaran agama Islam. Responden Cina juga mempunyai pandangan yang sama dengan responden India iaitu ulama berperanan sebagai penyebar agama Islam. Mengikut jawapan daripada responden Melayu, peranan penyebaran agama Islam patut diberikan kepada Jakim, Maim dan Jais serta jabatan-jabatan agama yang lain. Dengan wujudnya jabatan agama, kita tidak boleh menyangkal bahawa agama Islam lebih tersebar dan terjaga kesuciannya. Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh semua responden iaitu ulama dan jabatan agama. Adalah penting untuk kita mengetahui siapa sebenarnya yang layak memainkan peranan penyebaran Islam ini. Ini supaya kita boleh membantu mereka yang perlukan rujukan penyelesai masalah atau pembimbing, tidak kira yang Islam atau bukan Islam.

Soalan 8: Adakah sambutan dalam agama Islam seperti hari raya korban dapat memberi impak kepada masyarakat plural di Malaysia ?
           
Mengupas jawapan responden Melayu, responden menyatakan ada impak ke atas masyarakat plural melalui sambutan hari raya korban tersebut. Hari raya korban tidak hanya mempunyai aktiviti penyembelihan tetapi aktiviti gotong-royong juga ada dijalankan. Jadi, pada masa inilah aktiviti-aktiviti ini dijalankan dengan penyertaan daripada kaum-kaum lain. Mengikut responden India pula, dengan penyertaan masyarakat plural lain dalam aktiviti hari raya korban, kita dapat meningkatkan nilai tolong-menolong. Responden Cina pula menyatakan bahawa impak yang diberikan sangat besar. Beliau berpendapat apabila mereka yang berlainan kaum tolong-menolong antara satu sama lain, mereka akan secara automatik akan lebih rapat atau erat. Respons yang diberikan menunjukkan bahawa mengeratkan hubungan adalah sangat penting untuk menyampaikan dakwah yang berkesan pada masa akan datang. Justeru menunjukkan masyarakat plural di Malaysia bersifat terbuka untuk menerima Islam.

Soalan 9: Di manakah masyarakat plural di Malaysia dapat mempelajari tentang ilmu agama Islam?
           
Responden India menyatakan bahawa terdapat dua tempat di Malaysia untuk mempelajari ilmu agama Islam iaitu masjid dan sekolah. Hal ini jelas membuktikan bahawa kaum lain juga didedahkan tentang agama Islam sejak di sekolah lagi melalui subjek-subjek wajib atau am di sekolah. Responden Melayu pula berkata tempat untuk masyarakat plural di Malaysia dapat mempelajari tentang agama Islam adalah di masjid, madrasah dan sekolah. Responden Cina yang turut menyatakan bahawa tempat untuk belajar agama Islam ialah di masjid dan institut pengajian tinggi. Hal ini kerana tempat belajar seperti sekolah dan tempat pengajian tinggi amat sinonim dengan ilmu. Ilmu dalam konteks ini ialah ilmu sains dan agama. Di sekolah juga, kaum bukan Islam juga dapat mempelajari tentang agama mereka dan pada masa yang sama dapat mempelajari ilmu agama Islam memandangkan sekolah dan institut pengajian tinggi mempunyai surau atau masjid mereka sendiri.

Soalan 10: Sejauh manakah keberkesanan media massa dalam mengembangkan dakwah kepada orang bukan Islam?
           
Responden India menyatakan media massa amat berkesan dalam mengembangkan dakwah kepada orang bukan Islam. Media massa menerusi iklan-iklan agama Islam di televisyen dan filem yang bertemakan agama Islam. Responden Melayu menyatakan bahawa media massa berkesan melalui iklan dan facebook. Facebook dalam konteks media massa ialah media sosial. Responden Cina juga bersetuju dengan keberkesanan media massa dan menyatakan pengaruh televisyen dan akhbar memainkan peranan yang penting. Hal ini jelas menyatakan bahawa televisyen berjaya menyebarkan agama Islam kepada orang bukan Islam dengan iklan atau ceramah. Mustahil untuk sesebuah rumah tidak mempunyai televisyen. Jadi, medium yang paling dekat dengan orang ialah televisyen. Pihak penyiaran hendaklah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan agama Islam kepada etnik bukan Islam.


5.0 Kesimpulan

Agama Islam hendaklah diangkat sebagai agama yang harmoni oleh masyarakat plural di Malaysia. Umat Islam hendaklah bijak dalam mempertahankan agama mereka di samping bertolak ansur sesama penganut agama Islam demi menjamin keberkesanan dakwah kepada orang bukan Islam.


Rujukan

Temu bual bersama Cik Varneshwaran a/l Seathuraman pada 10 November 2015.

Temu bual bersama Cik Mohamad Bukhairihar Alzhumar bin Osman pada 11 November 2015.

Temu bual bersama Cik Hoh Chee Seng pada 29 Oktober 2015.

Sora. (2014). Pengertian Media Massa dan Menurut Para Ahli, diambil 16 November 2015, dari http://www.pengertianku.net/2014/07/pengertian-media-massa-dan-menurut-para.html.

Romel. (2014). Media Sosial: Pengertian, Karakteristik dan Jenis, diambil 17 Novemebr 2015, dari http://www.romelteamedia.com/2014/04/media-sosial-pengertian-karakteristik.html.


MZ Zainudin, Mohammad Ridwan Rosli, Ahmad Wahi Ab.Rahman, Ahmad Hidzir Shamsudin, Wan Muhammad Faruqi Wan Abdillah, Muhammad Zakwan Mohd Zin                            


Monday, January 04, 2016

Alibaba's world







Penulis: Porter Erisman
Tahun: 2015
Penerbit: Macmillan Publishers Limited, London, UK.
Muka Surat: 241

Pada September 2014, syarikat China yang tidak pernah didengar oleh kebanyakan orang Barat telah mengeluarkan IPO paling besar dalam sejarah, lebih besar daripada kombinasi Google, Facebook dan Twitter. Alibaba, kini merupakan syarikat e-dagang paling besar di dunia, hampir sepenuhnya tidak pernah diketahui kewujudannya oleh Barat lebih daripada sepuluh tahun, ketika itu sedang membina asas pelanggan yang lebih besar daripada Amazon dan menangani sejumlah besar transasksi di China. 


Bagaimana ia berlaku? Apakah ia merupakan sebahagian daripada perjalanan sebuah revolusi?

Dalam buku Alibaba's World, penulis Porter Erisman, salah seorang daripada pekerja Barat yang membantu mengembangknan perniagaan antarabangsa dari 2000 hingga 2008, menceritakan bagaimana Jack Ma, guru sekolah China yang telah gagal dua kali peperiksaan untuk memasuki kolej, keluar daripada kegagalan untuk menubuhkan Alibaba dan memimpinnya sejak awal hinggalah menjadi pemain e-dagang utama dunia.

Kini, buat kali pertama, bahasa Inggeris mengambil berat kejayaan Alibaba. Erisman berkongsi kisah rebakan dotkom, menyingkirkan ego eBay dan Google, berunding dengan kerajaan China yang tidak dapat dijangka serta berusaha mendapatkan nasihat sesat daripada pakar luar negara, semuanya adalah untuk membina raksasa hebat yang menggemparkan dunia e-dagang.

Analisis Erisman sebagai petanda terhadap dunia baru landskap yang memberi tumpuan kepada Timur, bukannya Barat, pasaran yang baru muncul bersama kelincahan usahawan untuk mengatasi kuasa industri utama ketika ini.

Seperti yang bakal kita hadapi kelak, kisah Alibaba merupakan warisan yang tidak dielakkan, penting dan memberi pengajaran.