Monday, August 17, 2020

COVID-19: Kluster Tawar muncul di Kedah





Kluster terbaru di Kedah, Tawar kini menghantui penduduk di sekitar Sungai Petani, Kuala Ketil dan Sik. Mukim Tawar merupakan kawasan kampung yang dipenuhi penanaman getah dan kelapa sawit. Terdapat 26 buah kampung yang meliputi kawasan ini.

Pekan Tawar sangat kecil, yang terdiri dariapda beberapa buah kedai, sekolah dan taman perumahan. Umumnya terdiri daripada penduduk luar bandar yang sangat kental dengan budaya dan tradisi kampung.

Jumlah terkini kluster Tawar adalah 46 meliputi tiga generasi. Ia telah menjangkau ke Pulau Pinang.

Namun, kemuncuan COVID-19 di kawasan ini menggemparkan kerana ia dikaitkan dengan kelompok agama yang terpencil. Soalannya, dari mana kumpulan ini mendapat virus yang bahaya ini?

Kes pertama dikesan pada 8 Ogos 2020 selepas mangsa mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan. Sebelum itu, lelaki yang mengahadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga dari 31 Julai hingga 1 Ogos 2020. Saringan dilakukan pada 9 Ogos 2020 dan beliau disahkan positif COVID-19 pada 11 Ogos 2020.

Penemuan ini membuatkan kawasan sekitar Mukim Tawar gempar kerana tidak menyangka mereka perlu berhadapan dengan situasi di luar jangka. Kakitangan hospital, kontak rapat, saudara-mara dan rakan-rakan yang bersama dalam upacara keagamaan menjalani ujian saringan dan dijangka terdapat peningkatan kes positif.

Masyarakat kampung yang kurang menitikberatkan SOP dan kerap keluar dari rumah menyebabkan virus ini mudah merebak dan menjangkiti sesiapa sahaja yang gagal mengambil langkah-langkah mencukupi. Mahu ataupun tidak virus ini sedang menjalar dalam masyarakat sehinggalah terdapat inisiatif bersungguh-sungguh untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya melaksanakan penjarakan sosial, mematuhi SOP dan kerap mencuci tangan.

Jika mangsa COVID-19 berada dalam kalangan kita, boleh dikatakan kita sedang berhadapan dengan ancaman bahaya yang serius. Tidak ada apa lagi yang hendak dikatakan apabila virus yang halus ini berada di dalam badan kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada paru-paru dan anggota dalaman badan. Serangannya begitu cepat dan tidak dapat ditangkis dengan mudah selagi vaksin yang sesuai tidak dijumpai.

Dalam kes yang teruk, kerosakan boleh merebak melepasi paru-paru dan masuk ke dalam organ seperti jantung, hati, buah pinggang dan sebahagian daripada sistem saraf. 

Walaupun COVID-19 bukannya sebuah hukuman mati kepada orang yang dijangkiti, gejala-gejala yang muncul membuatkan kehidupan menjadi resah. Penduduk mukim Tawar dan kawasan sekitar harus berwaspada, mengikuti langkah yang diambil oleh pihak berkuasa dan bersedia untuk dikuarantin sekiranya mengalami gejala demam dan batuk. Tindakan sendiri yang mesti diambil ialah membasuh tangan berulang kali dan melaksanakan penjarakan fizikal.

Perkara inilah yang orang kampung di Mukim Tawar mesti lakukan pada hari ini.

No comments:

Post a Comment