Thursday, August 27, 2020

COVID-19: Menteri dikompaun gagal kuarantin diri





Seorang menteri kabinet dikompaun RM1000 kerana tidak mematuhi prosedur kuarantin diri sselama 14 hari selepas pulang dari luar negara. Undang-undang Malaysia ketika ini menetapkan sesiapa sahaja yang pulang dari luar negara perlu patuh kepada arahan ini termasuk pegawai tinggi kerajaan dan orang kenamaan.

Selepas membayar denda, beliau memohon maaf dan menjelaskan akan memberi gajinya selama empat bulan kepada tabung yang diwujudkan kerajaan untuk kempen melawan COVID-19.

Sebelum itu seorang penduduk tetap yang baru pulang dari India telah mencetuskan panik dalam kalangan penduduk Napoh, mukim Kubang Pasu di Kedah kerana melanggar arahan kuarantin apabila berada di restoran nasi kandar miliknya. Beliau turut menjangkitkan virus korona kepada beberapa orang pekerjanya.

Pelanggan yang datang ke restoran berkenaan turut dijangkiti sehingga kerajaan memutuskan PKPD di kawasan berkenaan bagi mencegah penularan wabak. Namun, kesan kluster Napoh ini muncul di Sanglang, Perlis dan sekitarnya. Setelah agak lama tidak menunjukkan sebarang kes positif COVID-19 ini, Perlis mencatatkan kenaikan mendadak kes positif.

Kerajaan negeri itu memutuskan beberapa tindakan bagi mengekang penularan wabak termasuk menutup kembali masjid untuk solat berjemaah beramai-ramai dan menutup sekolah yang berada di dalam kawasan wabak.

Semua tindakan ini selari dengan pelaksanaan TEMCO selama 14 hari. Penduduk yang terlibat tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut sehingga tamat tempoh penguatkuasaan larangan.

Undang-undang sedia ada iaitu kompaun RM1000 dilihat gagal menghalang orang ramai daripada mencuri-curi keluar rumah. Walaupun ada cadangan supaya jumlah ini dinaikkan, ia belum tentu dapat menghalang mereka daripada keluar dari kawasan kuarantin.

Bagaimanapuna terdapat perkembangan baru di Amerika Syarikat di mana penumpang kapal terbang yang baru tiba dari negara-negara terpilih tidak lagi perlu menjalani kuarantin diri 14 hari. Perkara yang perlu dilakukan ialah mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan berwaspada dengan gejala demam.


No comments:

Post a Comment