Sunday, August 30, 2020

COVID-19: PKPP dilanjutkan





Perdana menteri membuat keputusan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020 selepas menilai keberkesanan PKPP yang sedang dilaksanakan sekarang yang berakhir pada penghujung bulan Ogos 2020.

Tindakan ini dibuat supaya kerajaan dapat mengenal pasti kewujudkan kluster baru yang mungkin muncul bila-bila masa supaya semua bentuk pencegahan dapat dilakukan segera. Ia mungkin berkaitan kebimbangan pihak berkuasa kesihatan yang mengenal pasti terdapat virus yang membiak pantas dalam masyarakat apabila mengesahkan super spreader "D614G" dari kluster Sivagangga di Napoh, Kedah baru-baru ini.

Keputusan ini juga memberi peringatan kepada rakyat Malaysia untuk bersedia dengan tempoh "norma baharu" yang lebih panjang memandangkan pandemik COVID-19 sedang memuncak di peringkat global.

Kehidupan norma baharu sangat menyulitkan kerana membantut pergerakan dan membatas aktiviti seharian. Sebaik sahaja keluar dari rumah, kita harus berfikir dengan lebih mendalam ke mana hendak pergi, apa yang hendak dilakukan dan bagaimana dapat segera pulang ke rumah.

Pelajar sekolah yang datang ke sekolah dengan riang kini perlu mematuhi prosedur baru sebelum masuk kelas - memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menjarakkan diri dari rakan-rakan sekelas. Waktu makan juga perlu menjaga jarak peribadi masing-masing supaya tidak dijangkiti virus. Perkara utama ialah hadir ke sekolah tanpa ada gejala demam, batuk atau selesema.

Waktu pembelajaran disingkatkan dan tidak ada lagi makan tengah hari bersama atau belajar selepas kelas seperti biasa. Semuanya perlu dilakukan dengan prosedur dan kawalan kendiri yang berterusan.

Di kawasan tumpuan umum, masyarakat mulai sedar kepentingan memakai pelitup muka. Tanpa pengecualian, semua pengunjung perlu mengambil bacaan suhu badan dan mencatat maklumat diri di pintu masuk premis perniagaan. Pengulangan tindakan seperti ini menjadikan urusan pesanan makanan di restoran semakin perlahan, apatah lagi jika ramai yang datang serentak.

Dalam tempoh PKPP ini, hanya restoran yang terkenal dan popular dengan masakan terus bertahan, menerima pelanggan tanpa putus dan sibuk dengan pesanan baru. Restoran baru dan sentiasa bertahan tidak mampu lagi menarik pelanggan dan hilang dari padangan.

Kedai jualan di gedung membeli-belah juga tidak terkecuali. Jika dua tiga bulan lalu kita dapat melihat semua kedai dibuka, kini keadaan itu sudah berubah. Yang ada hanya notis untuk disewa kerana kedai tidak mampu lagi menjana pendapatan ketika pelanggan semakin merosot. Kedai yang masih bertahan umumnya ada kaitan dengan perkhidmatan seperti komunikasi, pakaian atau makanan. 

Adakah suasana ini akan terus dilihat sehingga hujung tahun ini?


No comments:

Post a Comment