Monday, August 31, 2020

Nikmat negara merdeka





Kemerdekaan Malaysia yang ke-63 pada tahun 2020 ini merupakan satu nikmat yang sangat bernilai kepada masyarakat majmuk yang membentuk negara Malaysia apabila mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pencapaian ini merupakan kesan kepada kesatuan yang wujud dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum-kaum lain yang mahu menzahirkan sebuah negara merdeka.

Kewujudan Malaysia diikat oleh kontrak sosial yang memeterai nilai tradisi Melayu yang mendasari kontrak sosial iaitu agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu. Sebagai pertukaran, masyarakat Melayu menerima kemasukan bukan Melayu sebagai warganegara yang hidup bersama dalam sebuah negara baru yang bebas daripada penjajahan.

Kehidupan daam sebuah negara yang berbilang etnik perlu kepada pasukan pengurusan yang mentap dan bijak menyelesaikan konflik. Parti Melayu yang mengetuai kerajaan bersama parti bukan Melayu yang tidak ekstrem telah berjaya mewujudkan kestabilan berpanjangan merentas Rancangan Malaysia Kesebelas. Pembangunan yang mengambil kira kesejahteraan pelbagai kaum ini telah dapat mengurangkan jurang kemiskinan dan meningkatkan lebih ramai golongan menengah yang hidup di bandar.

Kesepaduan dalam kepimpinan negara juga berjaya mewujudkan masyarakat yang sentiasa mengamalkan tolak ansur yang memberi ruang kepada kemajuan negara yang lebih agresif. Biarpun terdapat kekangan dalam perpaduan kaum seperti 13 Mei 1969, chauvinisme politik dan tuntutan wilayah, Malaysia terus berkembang sebagai sebuah negara yang aman damai. Orang luar begitu terpesona dengan kehidupan pelbagai kaum ini sehingga menjadi contoh kepada banyak negara.

Di sini tidak ada konflik seperti di Bosnia-Herzegovina, Mynmar, Lubnan, Sudan atau Afghanistan. Perbezaan kaum dan agama tidak menghalang masyarakat daripada membina potensi diri ke arah kesejahteraan hidup. Setiap konflik yang berlaku diselesaikan oleh pemimpin kaum yang memahami keperluan penyelesaian segera supaya tidak merebak ke seluruh negara.

Pembinaan negara tidak dapat lari daripada memperkasa kedudukan ekonomi setiap kaum. Kaum yang ketinggalam sentiasa dibantu melalui pelbagai jenis skim dan janaan pendapatan sehingga mereka mampu berdikari dan bersaing. Usahasama perniagaan dalam bentuk kolabirasi dan mentoring sering menjadi eksperimen yang berdaya saing. Insitusi kerajaan yang ditugaskan membantu meningkatkan produktiviti kerap kali menjadikan perniagaan kecil dan sederhana sebagai sasaran untuk diperkuatkan.

Dalam pendidikan, peruntukan yang diberi sehingga mencecah bilion ringgit. Kemuncak kepada pembangunan pendidikan besar-besaran berlaku ketika awal 1970-an apabila kerajaan menghantar pelajar-pelajar pintar yang dikenal pasti sama ada di bandar mahupun di luar bandar ke luar negara untuk mendapatkan kepakaran. Ribuan pelajar yang dihantar ini kembali dengan ilmu dan kepakaran yang diguna untuk membina negara Malaysia yang kuat dan disegani. Pelbagai bentuk bantuan biasiswa diberikan kepada pelajar dalam negara untuk mereka belajar dan berusaha menjadi pakar dalam bidang masing-masing.

Aspek lain seperti pembangunan sosial, infrastruktur, luar bandar dan pemerkasaan pendapatan golongan B40 sentiasa menjadi agenda yang dibincangkan dari semasa ke semasa.

Hari ini, kebanggaan rakyat Malaysia ialah dapat bersaing dalam ekonomi negara, kadar jangka hayat yang tinggi, taraf pendidikan dunia dan kualiti hidup yang sangat baik.

Beberapa isu yang masih belum selesai dan masih ditangani ialah kehidupan rakyat yang berada dalam kategori B40 iaitu golongan berpendapatan rendah terdiri daripada penduduk di bandar dan luar bandar. Kehidupan golongan ini memang sukar dan sentiasa mencabar umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Apa lagi yang hendak dikata jika tidak ada bantuan langsung dari kerajaan sendiri khususnya mengenai bantuan sara hidup dan peluang mendapatkan pekerjaan.

Keprihatian perdana menteri yang melawat golongan ini baru-baru ini di Kuala Lumpur menunjukkan beliau mengambil peduli keadaan hidup mereka. Justeru kita menantikan pelbagai program pemerkasaan kemiskinan bandar supaya kelompok ini dapat bersama-sama meraikan agihan kek ekonomi negara.

Kehidupan yang sukar boleh dilalui, kemiskinan tegar boleh diatasi. 

Inisiatif yanf besar perlu datang dari kerajaan sendiri supaya wujud lingkaran aktif yang menarik lebih banyak insitusi dan individu merancang progam dan aktiviti bersasar. Secara tidak langsung, jenama "kerajaan prihatin" akan terus mekar dan berkembang di hati dan fikiran masyarakat. Geran dan dana permulaan yang diberi kepada insitusi ini boleh menjadi katalis kepada pengurangan jurang kemiskinan bandar dan luar bandar.

Kemiskinan bandar akan terus menjadi sasaran pembasmian kemiskinan negara kerana kejayaan pembasmian kemiskinan di luar bandar sejak berdekad-dekad lalu. Keluarga miskin di luar bandar telah berkurangan dan mengecil kerana kejayaan program intervensi pendidikan yang menarik keluar anak-anak miskin daripada lingkaran ganas yang menyebabkan beberapa generasi tidak dapat keluar dari lingkaran berkenaan. 

Inisiatif yang sama wajar dilakukan di bandar supaya generasi akan datang tidak lagi mewarisi kemiskinan keluarga mereka. Program dan usaha pembasmian kemiskinan bandar di Malaysia boleh mencontohi kejayaan negara-negara maju yang mampu mengatasi kemiskinan bandar biarpun berbeza dalam beberapa pendekatan.

Perkara utama yang peru diberi perhatian oleh kerajaan jika mahu melaksanakan inisiatif kemiskinan bandar ialah menjadikan dasar sosial sebagai pemacu kepada semua dasar yang ingin dilaksanakan. Jika sebelum ini kerajaan memberi perhatian kepada dasar berorientasikan ekonomi yang bertujuan meningkatkan pendapatan, kini dasar sosial harus menjadi keutamaan kerana maksud dan semangat kemiskinan sendiri telah berubah. 

Miskin tidak lagi dikaitkan secara langsung dengan kurangnya pendapatan tetapi ada kaitan dengan budaya hidup, kekayaan sumber dan pewujudan peluang untuk berubah.

Jika konsep ini dijadikan sebagai satu lagi tambahan kepada definisi kemiskinan, kerajaan boleh mengambil banyak pendekatan untuk mengeluarkan kumpulan B40 daripada kepompong kemiskinan. Peruntukan tidak hanya dapat diberikan dalam bentuk wang ringgit tetapi dalam bentuk perubahan minda dan sikap, budaya dan rutin harian supaya mereka dapat mempelajari cara hidup baru di sebalik bantuan sumber dan peluang perniagaan dan pekerjaan.

Andai kaedah ini diberi perhatian, kita dapat melahirkan golongan menengah yang lebih pantas dan membentuk peluang pekerjaan yang dapat dimanfaat oleh golongan terpinggir dan susah.


No comments:

Post a Comment