Sunday, August 09, 2020

COVID-19: Kluster Sivagangga ancaman baru

 




Kluster Sivagangga yang muncul di Napoh, Kedah telah disebutkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 29 Julai 2020 melalui siaran akhbar bersama-sama kluster Satok.

Kes ini bermula apabila seorang pemastautin tetap pulang dari India pada 13 Julai 2020. Beliau diperintahkan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) namun gagal mematuhi perintah ini.

Kontak dari kluster ini telah berkembang dalam tempoh yang pantas sehingga saringan menjangkau ke Perlis dan Pulau Pinang. Di Perlis, khususnya di Kuala Sanglang, sebuah keluarga didapati dijangkiti COVID-19 menyebabkan pihak negeri mengisyitharkan PKPD Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan berkenaan.

Kegemparan kluster ini yang bermula di Napoh melibatkan pemilik kedai makan dan empat orang pekerja melimpah sehingga ke Kodiang, Kulim dan Arau.

Perkara yang mengejutkan ialah kepantasan kluster ini yang melangkau ke banyak kawasan. Jika ditinjau kawasan dan mangsa yang terlibat, kebanyakannya melibatkan orang kampung yang tidak begitu arif dengan keperluan mematuhi SOP.

Kadangkala ketika berada di kedai atau kawasan awam, mereka mengambil mudah keperluan mengenakan pelitup muka dan membasuh tangan atau menggunakan cecair nyahkumah. Walaupun masuk ke premis perniagaan, penggunaan cecair sanitasi tangan dilihat 'buat tak pa, tak buat pun tak pa' yang mana akhirnya mengundang masalah kepada ramai orang.

Kluster Sivagangga ini juga merencatkan pendidikan di kawasan jangkitan dan juga menghalang pelajar mendaftarkan diri di universiti. Sekolah ditutup dua minggu dan pelajar tidak dapat keluar dari rumah memberi kesan kepada rutin harian keluarga dan perancangan institusi.

Contohnya, pelajar yang telah mendapat tawaran belajar di universiti dan diminta datang mendaftarkan diri. Namun mereka tidak dapat menghadirkan diri dan perlu menggunakan pembelajaran dalam talian untuk mendapatkan ilmu. Masalah lain pula berkaitan kestabilan internet di kawasan luar bandar.

Pentadbir universiti sedang mengambil langkah-langkah mengatasi untuk memastikan pelajar mereka dapat melalui kuliah dengan sempurna. 

Suasana pembelajaran tidak lagi sama seperti dahulu. Pengubahsuaian dan penambahbaikan akan membantu pelaksanaan pembalajaran yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment