Sektor perkhidmatan merupakan ruang yang sangat mudah untuk
memberi dan menerima rasuah dalam pelbagai bentuk. Biasanya adalah wang tunai
dalam jumlah tertentu seperti dipersetujui, barangan atau produk yang setara,
imbuhan cuti, akses mudah kepada tender tertentu, habuan wanita, hartanah,
barang kemas atau kenaikan pangkat di samping tawaran komisyen yang tinggi.
Rampasan wang tunai, barang kemas, kereta mewah, jam tangan,
beg, geran tanah dan akaun simpanan dalam kes rasuah di Sabah baru-baru ini
sangat mengejutkan semua orang di seluruh negara. Suspek dalam kes ini adalah
pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri yang telah lama
mengumpul kekayaan tidak sah untuk kepentingan diri dan keluarga masing-masing.
Rumusan yang kita boleh buat dalam kes ini ialah jawatan tinggi menjadi batu loncatan
untuk menambah kekayaan.
Rasuah melalui salah guna kuasa tidak mengenal rupa bangsa
atau anutan agama. Bermulanya rasuah ialah apabila pengurusan ekonomi berada
dalam keadaan pincang. Agihan pendapatan dan perbelanjaan negara tidak seimbang
dan menjadi halangan utama kepada pembangunan ekonomi. Sama ada menjadi lebih
baik atau lebih teruk, peranan negara dalam mengurus ekonomi telah berkembang
dalam pelbagai cara selepas beberapa dekad.
Pada tahun 1913, terdapat 13 buah ekonomi utama dunia yang
membentuk 12 peratus daripada KDNK dunia. Jumlah ini meningkat kepada 43
peratus pada tahun 1990. Peningkatan ini dikaitkan dengan percambahan laba di
bawah kawalan negara dan pengenalan pelbagai cara menambah pendapatan negara
terhadap rakyatnya.
Negara-negara besar dunia tidak semestinya menunjukkan
kaitan langsung terhadap rasuah yang lebih canggih dan kompleks kerana terdapat
faktor-faktor lain yang menjadi indikator kepada amalan rasuah yang sangat
kurang dalam negara. Contohnya ialah negara-negara Nordik seperti Finland yang
mana peluang untuk mendapat bayaran perkhidmatan secara tidak sah adalah sangat
luas kerana interaksi pihak awam dan swasta yang kerap. Di negara-negara ini,
urusan lesen dan permit dilakukan secara dalam talian seperti mendapatkan
pasport, membayar cukai, daftar hartanah, kelulusan membina rumah dan
perdagangan asing. Kebanyakan urusan ini melibatkan transaksi kewangan jutaan
ringgit setiap hari yang diselia oleh pegawai. Namun, kerenah birokrasi tidak
menjadi isu.
Beberapa kajian di seluruh dunia menunjukkan entiti
perniagaan memperuntukkan masa dan sumber mereka untuk menguruskan kerenah
birokrasi ini. Wujud persepsi bahawa rasuah adalah kaedah untuk menjimatkan masa
dan meningkatkan kecekapan, malah di sesetengah negara, rasuah adalah satu
pilihan untuk mengelakkan persaingan korporat.
Tidak dapat disangkal lagi jika sistem perundangan dan
ekonomi tidak berfungsi di samping peraturan sedia ada yang membebankan, ia
menjadi galakan kepada individu dan syarikat untuk memberi rasuah. Peraturan
yang semakin menggila akan mendorong orang ramai melanggar peraturan berkenaan.
Satu perkara buruk yang dilakukan berterusan secara tersiratnya menganggap
bahawa kerajaan sangat bermotivasi dan komited kepada pelaksanaan dasar-dasar
yang menjurus kepada pembangunan ekonomi.
Hakikatnya ialah banyak dasar negara yang dicanangkan adalah
untuk faedah kelompok elit sahaja. Justeru di sini, rasuah boleh dikaitkan
sebahagiannya dengan tindak balas terhadap gangguan pasaran, kerenah birokrasi,
peraturan yang mengada-ngada dan melampau serta dasar yang lemah. Akibatnya
sangat ketara iaitu menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat.
Sistem cukai itu sendiri selalu dianggap punca rasuah khususnya
apabila pentafsiran terhadap undang-undang yang berkaitan adalah tidak jelas
atau sukar difahami, memberi ruang kepada pemeriksa cukai dan juruaudit mentafsir
dapatan mereka mengikut kefahaman sendiri. Undang-undang cukai yang tidak jelas
mewujudkan unsur-unsur kompromi yang tidak sihat antara pemeriksa cukai dengan
pembayar cukai.
Lebih umum lagi, terdapat beberapa cara dalam agensi
kerajaan seperti penggubalan dasar yang mencetuskan insentif kepada
kecenderungan melakukan rasuah. Contohnya, pengenalan subsidi yang menjadikan
harga barangan di bawah paras harga sebenar sebagai bibit awal kepada amalan
rasuah yang subur. Begitu juga dengan memberi permit atau menyediakan kouta
import dan eksport yang mana membenarkan jurang melebar antara harga tempatan
dan harga antarabangsa.
Sesetengah kes rasuah ditawarkan sebagai bayaran insentif
kepada anggota perkhidmatan awam. Ia boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti “duit
kopi” iaitu amalan yang diterima umum di sesetengah negara untuk mempercepatkan
proses transaksi, kelulusan dan sebagainya. Jika lebih banyak “duit kopi” yang
diberi, urusannya lebih lancar, jadi kadangkala “duit kopi” juga disebut “pelincir”.
Rasuah yang berlaku di Malaysia, suatu hari nanti, pasti
akan meruntuhkan kuasa politik penguasa sedia ada kerana kesan rasuah umpama
satu rantaian. Ia memusnahkan persepsi positif dan memberi tekanan kepada
kehidupan sosial rakyat. Perkaitan rasuah dan akhlak pemimpin akan akrab dan
lama-kelamaan penguasa ini hilang pengaruh walaupun mereka berusaha memberi wang
dan menyogok rakyat dengan pelbagai bentuk hadiah.
Akibat rasuah yang melanda sesebuah masyarakat atau negara
ialah kezaliman terhadap rakyat. Apa sahaja yang diperlukan oleh rakyat untuk
hidup sejahtera, aman dan tenteram tidak akan dapat dirasai jika pemimpin
melakukan rasuah dan mencuri wang negara secara terang-terangan.
No comments:
Post a Comment