Friday, October 07, 2016

Kesedaran patriotisme dalam kalangan Gen-Y







Zainudin MZ, Mohamad Mustaqim Yacob, Mohamad Rafi Bin Malik, 
Saad'dudin Nordin, Firdaus Amran, Khoirey Mat Lazim


1.0 Pengenalan

Malaysia sudah mencapai kemerdekaan selama 58 tahun setelah negara kita bebas daripada penjajahan kuasa Barat. Hasil usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan selama ini haruslah kita sentiasa kenang dan hargai sehingga kini, khususnya Generasi Y (Gen-Y) yang kian mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Patriotisme ialah boleh kita tafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan ekonomi, politik, sosial, hubungan antara bangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang, dan sebagainya. Seseorang yang patriotik sangat prihatin terhadap untung nasib negaranya. Dia akan mudah tercuit dengan sebarang bentuk ancaman atau tindakan yang seakan memperlekehkan negaranya dan mudah terpanggil untuk bertindak balas atau melakukan sesuatu.

Patriotisme atau sifat patriotik juga harus merangkumi usaha-usaha yang dapat meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia seperti penerokaan dan perkembangan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, model dan kaedah-kaedah pembangunan, kerukunan hidup (seperti perhubungan etnik dan ras), keadilan sosial, keamanan dan kesejahteraan sejagat. Patriotisme digalakkan kerana ia menjamin ketahanan nasional. Ia juga dilihat sebagai satu-satunya tenaga yang mampu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman (dari dalam dan luar negera) dan dengan itu memastikan kestabilan dan kelangsungan sesebuah negara-bangsa.

Gen-Y ialah kelompok yang dilahirkan antara tahun 1980 hingga 2000. Selain itu, generasi remaja masa kini yang lahir ketika dunia kaya dengan ledakan maklumat, komputer malahan informasi serba canggih dan serba cepat dan sentiasa menjadikan gajet-gajet iaitu komputer dan telefon pintar sebagai suatu keperluan dan amat penting.

Kehidupan yang serba senang dan mudah dalam kalangan generasi muda masa kini adalah satu faktor yang dikhuatiri mengurangkan semangat patriotisme mereka. Pelbagai kemudahan sosial, kemajuan ekonomi, kehadiran berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran dan aneka bentuk hiburan, semua ini boleh melekakan generasi muda daripada hal-hal yang lebih serius seperti soal kedudukan dan kemajuan bangsanya atau peranan dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan negara. Mereka mungkin asyik atau mudah dibuai oleh segala kesenangan dan kemewahan hidup demikian sehingga tidak terpanggil untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan bangsanya atau beranggapan bahawa soal pembangunan, kemajuan dan masa depan bangsa dan negaranya bukan bidang yang menuntut perhatian mereka.

Semangat patriotisme dan cintakan negara bukanlah perkara yang mampu timbul sendiri dalam diri setiap individu. Ia perlu dipupuk dan disemat ke dalam diri seseorang sejak kecil lagi agar jiwa mereka sebati dengan perasaan itu. Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, ia akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Oleh itu, adalah sangat wajar bagi generasi muda khususnya menjadikan nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca modenisme dan dikenali sebagai masyarakat majmuk.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui tahap patriotisme Gen-Y masa kini, mengetahui cabaran-cabaran Gen-Y untuk menghayati nilai-nilai Patriotisme dan mengetahui faktor-faktor yang mendorong peningkatan tahap patriotisme Gen-Y.


2.0 Kaedah Penyelidikan

Bagi melengkapkan kajian ini, borang soal selidik telah diedarkan melalui internet dan sebanyak 12 soalan telah dikemukakan bagi memenuhi dan menjawab objektif kajian. Seramai 50 respondan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dari pelbagai fakulti iaitu lelaki dan perempuan diperlukan untuk menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan.


3.0 Hasil Kajian dan Cadangan

Hasil kajian yang dijalankan telah menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar pada masa kini mempunyai tahap patriotisme yang baik. Mereka masih memahami maksud patriotisme dan menunjukkan ciri-ciri rakyat Malaysia yang berwawasan dan bersemangat patriotik. Bagi isu mengetahui cabaran-cabaran Gen-Y untuk menghayati nilai-nilai patriotisme, majoriti bersetuju bahawa pada masa kini cabaran-cabaran untuk melunturkan semangat patriotisme sangatlah kuat. Kebanyakan responden mempersetujui faktor faktor yang mendorong peningkatan tahap patriotisme Gen-Y supaya nilai patriotisme itu masih kekal dalam diri Gen-Y yang kian mendapat perhatian pada masa kini.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk memupuk semangat patriotisme adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum dan kokurikulum di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, remaja akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal atau pun tidak formal sama ada di dalam kelas mahu pun di luar kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari Gen-Y di institusi pengajian tinggi. Selain itu, kita perlu menanamkan kesedaran tentang pentingnya memelihara kedaulatan dan kemerdekaan negara sejak usia masih muda.

Gen-Y perlu menyertai program yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Contohnya remaja kini perlu menyertai Program Latihan Khidmat Negara bagi lepasan sekolah menengah, dalam universiti pula dengan menyertai Pasukan Sukarelawan Siswa/Siswi Polis (SUKSIS) dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES). Program ini dipenuhi dengan aktiviti yang memupuk semangat patriotik seperti kawad kaki dan latihan berkumpulan. Program ini juga merupakan gabungan latihan ketenteraan dan memupuk semangat patriotik kepada mereka ke arah cinta akan negara. Pelatih-pelatih akan dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, kerjasama dan hormat-menghormati. Pelatih akan bercampur gaul dengan pelatih lain yang berbilang kaum, budaya dan agama yang berbeza. Hal ini akan dapat memupuk semangat perpaduan yang merupakan elemen yang penting dalam semangat patriotik seperti pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Di samping itu, program ini akan dapat melahirkan generasi yang mengetahui hal kenegaraan yang berkaitan dengan kerajaan dan kedaulatan negara.

Di samping itu, semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Hal ini demikian, remaja bersifat suka meniru dan terikut-ikut dengan sesuatu tindakan atau perilaku, dengan ini pemimpin-pemimpin sama ada di peringkat negara mahu pun di peringkat masyarakat perlu menunjuk teladan yang baik. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Kesimpulannya, semangat patriotik sangat penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain.


4.0 Kesimpulan

Natijahnya, kesedaran patriotisme sangatlah penting pada masa kini terutamanya generasi muda sekarang. Semangat patriotisme sangat penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Justeru, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotisme dapat dipupuk dan memberi kesedaran dalam kalangan Gen-Y pada masa kini.


Rujukan

Lee Lam Thye. (2015). Membangun masa depan melalui sejarah lampau. Utusan Malaysia. Diakses di http://www.utusan.com.my/rencana/membangun-masa-depan-melalui-sejarah-lampau.

Azizan Bahari. (2009). Generasi muda dan patriotisme. Diakses di http://www.sukarelawanmalaysia.com/v1/artikel-teks-pembentangan/33-generasi-muda-dan-patriotisme.html.

Cikgu Anelyza SPM. (2009). Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Diakses di http://anelyza.blogspot.my/2009/09/usaha-usaha-untuk-meningkatkan-semangat.html.

https://www.scribd.com/doc/307640558/contoh-karangan


No comments:

Post a Comment