Tuesday, September 27, 2016

Faktor-faktor pengaruhi pasangan untuk berkahwin







Zainudin MZ, Siti Nur Syafiqah Yahayah, Rifhan Nur Adibah Mohamad, 
Siti Sarah Zaid, Norlia Ismail


1.0 Pendahuluan

Setiap manusia tidak kira lelaki mahupun wanita pastinya mempunyai keinginan untuk berkahwin. Hal ini telah menjadi suatu fitrah kepada manusia yang ingin berpasang-pasangan. Dan setiap yang berkahwin ini pastinya mempunyai keinginan untuk melayari bahtera perkahwinan dengan bahagia di samping yang tersayang. Perkahwinan sememangnya nampak seperti sesuatu yang mudah di luarannya, akan tetapi sebenarnya sekiranya seseorang itu berkahwin, mereka harus sedar bahawa tanggungjawab mereka semakin bertambah dan banyak benda perlu diberi perhatian bagi menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga.

Setiap pasangan, baik lelaki mahupun perempuan pastinya sudah mempunyai ciri-ciri atau kriteria yang mereka inginkan. Perkara paling penting adalah untuk memastikan segala kriteria yang diinginkan oleh mereka hendaklah kriteria-kriteria yang baik dan positif. Hal ini adalah penting kerana pasangan yang baik dapat membantu untuk mengekalkan sesebuah perkahwinan daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini. Setiap manusia hendaklah memilih pasangan mereka dengan baik dan teliti supaya tidak akan ada masalah dikemudian hari.

Dalam artikel ini, terdapat empat kriteria yang akan dikemukan iaitu personaliti, tanggungjawab, harta benda dan kerjaya. Keempat-empat kriteria ini adalah antara yang terpenting dalam memilih pasangan untuk berkahwin. Jika kesemua kriteria ini dapat dipenuhi oleh setiap pasangan, sesebuah perkahwinan itu akan terhindar daripada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui maksud sebenar sesebuah perkahwinan, mengenal pasti kriteria-kriteria yang penting dalam mewujudkan sebuah perkahwinan yang bahagia, dan  mengenal pasti dengan lebih lanjut tentang empat kriteria iaitu personaliti, tanggungjawab, harta benda dan kerjaya.


2.0 Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah temu bual dan pemerhatian responden di Melaka. Tempoh temu bual dan pemerhatian ini adalah satu hari yang melibatkan responden pelbagai lapisan umur dalam lingkungan 25 hingga 55 tahun seramai enam orang awam daripada pelbagai kaum.

Selain daripada itu, kajian ini juga melibatkan pemerhatian dan perbandingan terhadap perkahwinan dalam setiap etnik berdasarkan empat aspek penting dalam perkahwinan iaitu personaliti, tanggungjawab, kerjaya dan harta benda.


3.0 Hasil Kajian

3.1 Personaliti

Personaliti yang dimaksudkan di sini ialah perangai dan sifat dalaman seseorang beserta penampilan luarannya. Jika elok perangai dan sifatnya, maka tampak eloklah penampilan luarannya. Personaliti boleh berubah apabila sudah berkahwin. Hal ini boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan. Kebaikannya ialah apabila individu itu menukar personalitinya yang buruk kepada personaliti yang lebih baik.

Namun, apa yang menjadi mimpi buruk setiap orang ialah apabila perkara yang sebaliknya berlaku kepada pasangan mereka, iaitu personaliti pasangan yang disangkakan baik rupanya tidak benar. Oleh sebab itu, personaliti harus dititikberatkan dalam soal pemilihan teman hidup. Kenalilah pasangan dengan sebetul-betulnya sebelum berkahwin. Sebaik-baiknya, setiap pasangan haruslah berterus terang tentang kekurangan dan kelemahan diri masing-masing agar masing-masing dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.

3.2 Kerjaya

Kerjaya amat penting dalam kehidupan berkeluarga. Skop kerjaya ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu kepentingan kerjaya kepada lelaki dan juga kepada wanita. Kepentingan kerjaya kepada lelaki ialah sebagai sumber pendapatan keluarga dan agar sekufu dengan pasangannya. Seperti yang kita ketahui, wanita di zaman maju ini kebanyakan sudah menjadi wanita yang berjaya dan berpendapatan tinggi. Maka kerjaya amat penting kepada kaum lelaki supaya mereka sekufu dengan pasangan mereka. Kepentingan kerjaya kepada wanita pula ialah sebagai ‘back up’
dalam kehidupan mereka. Jika perkahwinan mereka terputus di tengah jalan, mereka akan mempunyai sumber pendapatan mereka sendiri.

3.3 Harta Benda

Harta benda penting dalam sesuatu perkahwinan bagi setiap pasangan kerana harta benda diperlukan bagi meneruskan kelangsungan hidup terutama dalam ekonomi semasa yang semakin meruncing. Dunia sekarang ialah dunia materialistik yang mana tanpa harta benda, hidup akan melarat dan merempat. Tidak dinafikan duit bukanlah segala-galanya namun segala-galanya memerlukan duit.

3.4 Tanggungjawab

Setiap tanggungjawab yang diterima harusah dilakukan dengan sebaik mungkin. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab dalam rumah tangga menyebabkan perkahwinan tersebut tidak bertahan lama. Meskipun suami dan isteri bertukar tanggungjawab dalam menguruskan rumah dan mencari rezeki, hal ini tidak menjadi masalah asalkan mereka masih menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan jayanya.


4.0 Kesimpulan

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, empat aspek penting dalam perkahwinan adalah personaliti, kerjaya, tanggungjawab dan harta benda manakala tunjang utama kebahagiaan rumah tangga adalah tanggungjawab. Tidak dikatakan jika pasangan tersebut tidak memenuhi keperluan salah satu aspek tersebut, maka perkahwinan mereka tidak akan bahagia tetapi, jika mereka memenuhi keempat-empat aspek, dijanjikan perkahwinan mereka akan berkekalan lama.Bagi memenuhi keempat-empat aspek tersebut, setiap pasangan haruslah mendisiplinkan diri sendiri dan membantu pasangan masing-masing dalam usaha itu. Tidak ada gunanya jika hanya salah seorang daripada mereka sahaja yang memenuhi aspek-aspek tersebut.

Bagi aspek tanggungjawab khususnya, disiplin yang tinggi amat penting untuk memastikan tangungjawab dilaksanakan dengan sempurna.terdapat banyak kes pembubaran perkahwinan disebabkan oleh ketiadaan sifat berdisiplin dalam memenuhi tangungjawab masing-masing. Dalam agama tidak kira agama Islam, Kristian, Buddha ataupun Hindu, perceraian adalah perkara yang amat buruk dan harus dielak. Ini kerana perceraian boleh meninggalkan kesan yang tidak baik terutama sekali kepada tumbesaran minda anak-anak. Oleh itu, setiap yang berumah tangga disarankan untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjamin masa depan anak-anak dan keluarga.



Monday, September 26, 2016

Elak tragedi "go-kart" berulang







Kematian dua beranak ketika menonton perlumbaan “go-kart” di Educational Innovation of Motorsports and Automotive (EIMARace) 2016 Kuantan baru-baru ini amat menyedihkan. Kehilangan dua nyawa serentak adalah peristiwa paling pahit yang tidak disangka oleh kita semua lebih-lebih lagi keluarga mangsa. Kesedihan mereka kita turut berkongsi bersama.

Walaupun kereta “go-kart” ini bersaiz kecil, ia tidak bermakna selamat jika aspek keselamatan diabaikan.

Perlumbaan kereta jenis ini memerlukan sistem pengurusan yang lebih terperinci termasuk hal yang dianggap remeh seperti kehadiran penonton berhampiran kawasan litar. Orang ramai yang teruja dengan perlumbaan ini akan menerpa ke arah litar kerana ingin mengambil gambar atau melihat dengan lebih dekat pelumba kegemaran mereka untuk memberi semangat.

Dalam kejadian di Kuantan itu, pihak penganjur memaklumkan mereka telah mengambil semua langkah keselamatan. Andaian awal ialah terdapat kelonggaran dalam menguatkuasakan peraturan keselamatan perlumbaan. Penganjur menyatakan kawasan kemalangan adalah kawasan larangan tetapi mengapa orang ramai boleh masuk ke kawasan berkenaan.

Tanggungjawab perlumbaan ini terletak kepada penganjur sepenuhnya. Mereka mesti memastikan semua kemungkinan yang boleh menjejaskan perlumbaan dan mencemarkan nama baik mereka sendiri.

Orang ramai tidak akan datang jika mereka mengetahui penganjur mengabaikan aspek keselamatan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.

Selain kawasan perlumbaan, aspek teknikal dan kemahiran pengendalian jentera juga perlu diberi perhatian.

Pemandu “go-kart” mesti memiliki kemahiran memandu yang merangkumi keupayaan mengendalikan jentera ketika keadaan panik. Oleh kerana perlumbaan ini melibatkan antara universiti, terdapat kemungkinan pemandu “go-kart” yang kurang berpengalaman mengendalikan jentera mereka.

Keadaan litar juga mempengaruhi tahap keselamatan pemandu dan penonton. Pihak penganjur perlu juga memastikan keadaan litar yang menitikberatkan keselamatan semua pihak seperti ruang perlumbaan yang besar dan sistem menyerap kemalangan yang berkesan. Keadaan ini dapat mengelakkan pemandu dan jentera terpelanting jauh dari litar.

Kemalangan jiwa yang melibatkan perlumbaan “go-kart” ini jarang-jarang kita dengar.
Sebelum ini terdapat pertunjukan helikopter kawalan jauh yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berlaku di Negeri Sembilan. Walaupun dianggap kecil, helikopter jenis ini boleh menjadi pembunuh jika tidak dikawal oleh pengendali yang mahir. Sebelum itu terdapat perlumbaan “drift” kereta yang menyebabkan kecederaan kerana kereta perlumbaan terbabas.

Kemalangan ketika perlumbaan “go-kart” atau seumpama dengannya boleh dielakkan jika penganjur memberi keutamaan kepada aspek keselamatan. Biasanya pihak penganjur akan terus mempertahankan langkah-langkah keselamatan mereka kerana sudah tentu mereka telah mengambil kira semua aspek bagi memastikan perlumbaan itu berjaya.


Saturday, September 24, 2016

Peminjam PTPTN dihimpit sekatan







Peminjam PTPTN yang liat membayar pinjaman pendidikan akan terus dihimpit dengan pelbagai halangan dan sekatan. Di sebalik senarai hitam ini, mereka turut dihalang daripada meninggalkan negara kerana nama mereka sudah dimasukkan ke dalam senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.

Jumlah peminjam yang disenarai hitam mencecah 1.3 juta orang. Semuanya dimasukkan ke dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS) yang mempunyai tanda hitam pada kadar hutang kerana gagal membayar pinjaman pendidikan pada masa yang sepatutnya.

Senarai hitam dalam CCRIS menyebabkan peminjam sukar mendapat sebarang pinjaman kerana dimasukkan dalam kategori "penghutang bermasalah". Kini terdapat 2.49 juta peminjam PTPTN.

CCRIS merupakan sistem yang diasaskan oleh Bank Negara Malaysia yang menggabungkan maklumat hutang berkenaan peminjam atau bakal peminjam ke dalam satu bentuk laporan hutang yang standard. Maklumat ini boleh diperolehi oleh institusi perbankan dan orang perseorangan berdasarkan permohonan.

Sistem perbankan individu diintegrasikan ke dalam sistem CCRIS dan secara automatik akan mengemukakan laporan individu untuk entiti hutang ketika proses kelulusan dilakukan. Setiap peserta dalam institusi kewangan perlu menyediakan maklumat hutang pelanggan mereka ke dalam sistem ini.

Kategori maklumat yang terdapat dalam laporan CCRIS adalah pinjaman yang belum diselesaikan seperti perumahan, sewa beli, kad kredit, pinjaman peribadi, overdraft dan sebagainya, akaun perhatian khusus seperti non-performing loan (NPL) ataupun jadual pengurusan hutang seperti yang ditangani oleh AKPK dan permohonan kemudahan kredit atau pinjaman yang dibuat dalam masa satu tahun lepas.

Mempunyai nama dalam CCRIS merupakan mimpi ngeri kepada peminjam PTPTN. Mereka yang terlibat wajar mengambil langkah segera untuk membayar pinjaman pendidikan supaya tidak mengganggu pinjaman-pinjaman lain apabila telah selesai pengajian.

Para peminjam PTPTN ketika ini harus sedar kesan dan akibat gagal menyelesaikan hutang PTPTN. Insentif oleh PTPTN kepada pelajar cemerlang wajar direbut oleh mereka supaya dapat menukar pinjaman kepada biasiswa. Galakan seperti ini boleh memotivasikan peminjam supaya berusaha bersungguh-sungguh dan bebas hutang PTPTN.



Friday, September 23, 2016

Keselamatan jalan raya ketika ke sekolah







Dalam tempoh seminggu ini, kita dikejutkan siri kemalangan jalan raya di hadapan sekolah. Ada yang berkaitan dengan kecederaan kekal dan kematian. Kejadian seperti ini menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia memohon bantuan pihak polis bagi memastikan keselamatan pelajar ketika pergi dan pulang dari sekolah.

Kebanyakan sekolah di negara ini dibina berhampiran jalan raya utama. Ada sesetengahnya hanya beberapa meter dari tepi jalan raya yang sering dilalui oleh lori-lori tanah dan trailer panjang. Tidak semua pemandu-pemandu lori ini memahami betapa pentingnya mengawal kelajuan kenderaan mereka ketika melalui kawasan sekolah.

Mereka memandu tanpa rasa bersalah apabila melihat pelajar-pelajar sekolah berjalan atau berbasikal di tepi jalan raya menuju sekolah. Barangkali mereka beranggapan tindakan mereka tidak berbahaya. Pemandu kereta juga menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kemalangan jalan raya melibatkan pelajar sekolah.

Kesalahan memandu sehingga menyebabkan pelajar sekolah dilanggar bukanlah satu-satunya faktor yang meningkatkan kadar kemalangan jalan raya di kawasan sekolah, sebaliknya ada faktor-faktor lain seperti kesedaran penjaga pelajar ketika menghantar anak-anak mereka ke skolah. 

Ada sesetengah daripada mereka kurang prihatin laluan pelajar ketika menuju ke sekolah dan juga tidak memerhati pelajar semasa menurunkan pelajar di tepi sekolah. 

Ada juga penjaga pelajar yang membiarkan pelajar melintas jalan ke sekolah secara bersendirian tanpa pengawasan.

Pihak sekolah juga tidak menyediakan lintasan garisan kuning untuk pelajar melintas. Keadaan seperti ini menjadikan suasana melintas jalan ke sekolah tidak bersistematik. 

Banyak usaha wajar dilakukan untuk menjadikan laluan jalan raya di hadapan kawasan sekolah sebagai kawasan istimewa. Kita harus disedarkan bahawa jalan raya di hadapan sekolah sangat penting kerana di sinilah kita melahirkan pemimpin-pemimpin negara. Agensi jalan raya perlu menyediakan papan tanda khusus lima meter sebelum melalui hadapan sekolah bagi mengingatkan pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan dan memandu dengan berhati-hati.


Tuesday, September 20, 2016

Nasi lemak membina jambatan etnik di Malaysia







Zainudin MZ, Siti Aishah Abdul Rahim, Nurul Fahana Zizam,
Tan Jian, Simon Liew Hong Xin, Chai Jun Qi


1.0 Pendahuluan

Di Malaysia, makanan tradisi mempunyai keunikan yang tersendiri dan ia merupakan salah satu identiti negara yang mempunyai pelbagai jenis makanan yang merangkumi pelbagai kaum, etnik dan budaya yang tersendiri dan patut dibanggakan. Setiap kaum dan etnik di Malaysia mempunyai makanan tradisi dan mempunyai resepi, rupa bentuk, cara hidangan dan rasa yang tersendiri. Sebagai contoh, makanan yang sinonim dan terkenal bagi masyarakat Melayu ialah nasi lemak, manakala bagi masyarakat Cina ialah kuey teow goreng atau makanan bersup manakala makanan yang terkenal bagi masyarakat India ialah capati atau roti canai.

Kepelbagaian makanan di Malaysia mewujudkan hubungan yang utuh dikalangan rakyatnya yang berbilang kaum hasil daripada perkongsian makanan tradisi walaupun pada awalnya makanan-makanan tersebut dihidangkan pada waktu-waktu tertentu atau pada waktu perayaan, tetapi kini telah disediakan sebagai hidangan biasa dan umum terutamanya di gerai atau kedai makan di Malaysia.

Pada masa ini, kaum lain dapat menerima dan menikmati keenakan makanan etnik lain di Malaysia. Contohnya, kaum Cina dapat menikmati dan turut menjadikan makanan kaum Melayu sebagai menu makanan harian mereka seperti nasi lemak begitu juga dengan kaum lain. Kini, pelbagai restoran turut menyediakan pelbagai menu makanan yang merangkumi makanan mengikut kaum-kaum di Malaysia seperti Melayu, Cina, India dan makanan etnik lain. Situasi ini menggambarkan bahawa Malaysia berjaya mewujudkan perpaduan dan konsep Satu Malaysia melalui aspek makanan. Selain itu, masyarakat Malaysia juga dapat makan di bawah satu bumbung malah semeja bersama kaum lain seperti mana yang dapat kita perhatikan di tempat makanan kawasan umum seperti medan selera di pusat membeli belah, pusat rawat dan rehat dan sebagainya.

Oleh itu, kesepaduan yang terjalin ini haruslah terus diperkukuh dan faktor kepada hubungan ini haruslah dikekalkan ke generasi seterusnya dan kesinambungan dalam mengekalkan kepelbagaian makanan tradisi terus menjadi teras kepada jalinan ini bersesuaian dengan tajuk kajian ini iaitu Nasi Lemak Membina Jambatan Etnik di Malaysia.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengenal pasti keistimewaan nasi lemak dalam kalangan rakyat Malaysia dan mengenal pasti pengaruh nasi lemak terhadap hubungan etnik di Malaysia.

1.2 Skop Kajian

Kajian ini dijalankan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Kediaman UTeM Bunga Raya. Melibatkan pelajar dan staf dari semua fakulti di UTeM dan khusus kepada yang menggemari nasi lemak sahaja.


2.0 Sorotan Kajian

Nasi lemak adalah contoh makanan orang Melayu yang dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dan ia patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Nasi lemak bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut dipelopori oleh kaum Cina, India dan bangsa lain. Nasi lemak dahulunya dihidangkan untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Jelasnya, ramai bersependapat bahawa nasi lemak atau makanan tradisi selainnya mampu membentuk muafakat melalui perpaduan yang terjalin melalui makanan.

Makanan pelbagai cita rasa yang dinikmati rakyat Malaysia mencerminkan kumpulan etnik dan budaya yang terdapat di negara ini. Oleh itu, aktiviti yang melibatkan makanan seperti promosi makanan tradisi pelbagai kaum dan program menjamu selera yang dapat menarik penyertaan masyarakat pelbagai lapisan perlu ditingkatkan. Perkara ini jelas mencerminkan bahawa makanan itu sendiri memberi kesan yang sangat besar dan cepat untuk mengumpulkan pelbagai etnik pada satu-satu masa tanpa ada kekangan dan secara harmoni lantas dapat memperkukuh jalinan antara pelbagai etnik di Malaysia.

Nasi lemak bukan sekadar makanan semata-mata malah ia dikira sebagai lambang perpaduan orang ramai kerana ia seolah-olah telah sebati dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Perkara ini sememangnya sudah terbukti sekian lama kerana pelbagai kaum boleh duduk semeja tanpa mengira status pekerjaan malah bertegur sapa untuk mengeratkan lagi perpaduan yang sekian lama terjalin di antara kaum di Malaysia.

Walaupun nasi lemak ini hanya sebagai makanan rutin kepada masyarakat Malaysia namun impak di sebaliknnya mempunyai maksud yang tersirat yang membawa kepada kemesraan dan menyatupadukan rakyat. Jelasnya bahawa nasi lemak bukan sekadar membawa identiti sebagai makanan semata-mata tetapi membawa identiti yang lebih besar iaitu identiti Malaysia.

Nasi lemak yang berbalutkan daun pisang bukan sahaja dinikmati orang Melayu sahaja namum melibatkan semua kaum di negara di samping menjadi penghubung kepada masyarakat. Keadaan ini jelas menggambarkan bahawa semua orang tidak kira bangsa mahupun agama mampu menikmati nasi lemak seolah-olah ada daya tarikannya yang tersendiri sehingga tidak dapat terungkai rahsianya walaupun dinikmati di tepi jalan ataupun kedai selainnya.

Mengekalkan makanan Melayu sangat penting untuk menyatukan rakyat negara yang berbilang kaum. Nasi lemak merupakan makanan melayu yang sangat terkenal dan hampir digemari oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira umur, pangkat, kaum, agama dan sebagainya Oleh itu, sekiranya makanan tradisi ini tidak dikekalkan ia akan memberikan impak yang besar terhadap hubungan antara etnik di Malaysia kerana makanan merupakan salah satu sumber yang dapat mengeratkan hubungan perpaduan berlainan etnik dan boleh didapati di mana sahaja.

Makanan merupakan elemen terpenting dalam memupuk perpaduan kaum. Misalnya, majoriti rakyat Malaysia tidak dapat menolak keinginan untuk menikmati keenakan rasa nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang. Jika dahulu, nasi lemak hanya sinonim sebagai makanan orang Melayu, tetapi kini perkara ini telah berubah dan menjadi makanan rutin kaum Cina, India dan bangsa lain malah ada antara mereka menikmati nasi lemak panas ini menggunakan tangan. Tiada siapa yang dapat menafikan budaya ‘memakan nasi lemak’ mampu menjadi kuasa perpaduan antara kaum.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini melibatkan soal selidik dan temu bual. Bagi memperolehi dapatan kajian yang lebih tepat, borang kaji selidik telah dibentuk berpandukan kepada tujuan dan objektif kajian dan diedarkan kepada responden. Selain itu, borang kaji selidik ini juga dibentuk agar dapat membantu pengkaji menjawab persoalan-persoalan kajian yang telah ditetapkan. Soalan-soalan yang terdapat di dalam borang soal selidik ini terdiri daripada tiga bahagian. Temu bual dijalankan melalui sesi soal jawab di antara pengkaji dan responden. Seramai tiga orang responden ditemu bual mengikut tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.


4.0 Hasil Kajian

Hasil kajian melalui temu bual, responden pertama, Sakthivel berumur 22 tahun dan merupakan pelajar FKP mengatakan bahawa nasi lemak merupakan makanan yang paling popular dan digemari oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan lapisan umur. Beliau juga mengakui bahawa nasi lemak adalah salah satu makanan kegemarannya dan sering mengambil nasi lemak sebagai sarapan pagi.

Menurut responden kedua, Seah Mei berumur 22 tahun dan pelajar FKP sangat setuju bahawa makan nasi lemak semeja dengan kaum lain sememangnya dapat mengeratkan hubungan etnik di Malaysia kerana komunikasi akan berlaku ketika mereka makan bersama. Selain itu, mereka juga dapat bertukar pendapat mengenai makanan tradisi etnik masing-masing lantas mengukuhkan lagi kesepaduan antara kaum.

Seterusnya, responden ketiga,  Nuraina berumur 21 tahun merupakan FKE menyatakan nasi lemak akan terus menjadi makanan yang dapat mengeratkan perpaduan di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik selagi makanan tersebut diwarisi dari generasi ke generasi. Nasi lemak sememangnya mempunyai banyak keistimewaan antaranya rasa yang enak, cara hidangan yang pelbagai serta harga yang berpatutan yang mampu menarik pelbagai etnik untuk menggemarinya.

Rajah 1: Ciri-ciri nasi lemak yang popular dan digemari

Merujuk kepada Rajah 1, nasi lemak mempunyai pelbagai keistimewaan antaranya resipi yang pelbagai, cara hidangan yang menarik dengan bahan tambahan yang membangkitkan selera seperti kacang tanah goreng, ayam goreng dan sebagainya. Di samping itu, harga berpatutan juga menjadi antara salah satu faktor penarik responden untuk menggemari nasi lemak. Melalui kajian, sebanyak 50% iaitu sepuluh orang responden berpendapat bahawa cara hidangan yang membuatkan mereka untuk menggemari nasi lemak manakala sebanyak 40% responden iaitu lapan orang bersetuju bahawa mereka menggemari nasi lemak kerana resipi yang bersesuai dengan citarasa mereka. Sebanyak 25% responden iaitu lima orang berpendapat harga yang berpatutan merupakan punca utama mereka menggemari nasi lemak dan diikuti dengan sebanyak 5% iaitu seorang berpendapat yang berbeza dan lain-lain seperti mereka lebih memetingkan kebersihan makanan dan sebagainya.

Rajah 2: Nasi lemak memberikan pengaruh dan impak yang besar terhadap hubungan etnik di Malaysia

Rajah 2 menunjukkan bahawa sebanyak sepuluh orang bersamaan 50% responden sangat setuju bahawa nasi lemak memberikan pengaruh dan impak yang besar terhadap hubungan etnik di Malaysia dan diikuti seramai lima orang iaitu 25% setuju seterusnya seramai tiga orang iaitu 15% tidak pasti dan seramai dua orang iaitu 10% kurang setuju bahawa nasi lemak memberikan pengaruh dan impak yang besar terhadap hubungan etnik di Malaysia manakala tidak ada responden sangat tidak setuju dengan soalan yang dikemukakan.


5.0 Kesimpulan

Nasi lemak merupakan makanan tradisi bagi orang Melayu. Nasi lemak pada mulanya diperkenalkan dan digemari oleh masyarakat Melayu tetapi kini masyarakat dan etnik lain juga turut menggemarinya. Kajian ini menunjukkan nasi lemak sememangnya sinonim dengan juadah sarapan pagi namun peredaran masa membuatkannya bukan sekadar dinikmati pada waktu pagi namun ia juga dinikmati dan boleh didapati pada waktu-waktu lain. Hal ini jelas menggambarkan bahawa penerimaan nasi lemak sebagai salah satu menu makanan popular dan makanan kebangsaan di Malaysia oleh masyarakat etnik yang lain. Selain mempunyai rasa yang enak, nasi lemak juga mempunyai cara hidangan yang menarik serta harga yang berpatutan yang menjadi faktor utama masyarakat dan etnik lain untuk meminatinya.


Rujukan

Abu Musa. (2012). Pengalaman harian: menjalin kesepaduan dan melahirkan keharmonian, diakses jun 14, 2012, dari http://notactu553.blogspot.my/2012/11/tajuk-09.html
Hazlianayati, S. (2014). Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, diakses Oktober 9, 2014, dari http://www.1malaysia.com.my/affiliates/bersatu-kita-teguh-bercerai-kita-roboh-0
Shamsul Amri Baharudin. (2012). Modul Hubungan Etnik. Ed.ke-2. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zahir Zainudin. (2014). Perpaduan kaum melalui makanan tradisi, diakses dari http://zahirzainudin.blogspot.my/2014/03/perpaduan-kaum-melalui-makanan-traisi.html
Chef Ismail memartabat makanan Melayu. Utusan Melayu, (2014, Jun 29).
Nasi lemak satukan rakyat. Utusan Melayu, (2008, Mei 23).
Tingkat perpaduan rakyat melalui makanan pelbagai kaum. Utusan Melayu, (2003, Jun 16).


Sunday, September 18, 2016

Harun Din contoh peribadi berilmu








Kali terakhir saya melihat allahyarham Datuk Harun Din , musryidul am PAS adalah pada pilihan raya umum lalu. Ketika itu beliau sedang berjalan menuju ke tempat pengundian, Sekolah Kebangsaan Jelempok, Arau, Perlis. Beliau diiringi beberapa orang rakan yang rata-ratanya memakai ketayap.

Harun Din kelihatan kemas dan sentiasa melemparkan senyuman kepada orang yang memerhatinya.

Beberapa hari lalu, beliau kembali ke rahmatullah akibat komplikasi jantung yang telah lama dihadapinya.

Harun Din merupakan anak jati Perlis, bersekolah di Arau dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir. Keperibadian dan keilmuan yang ada pada beliau membawa sekali kebanggaan masyarakat Perlis ke seluruh negara.

Ketokohan dan keilmuan beragama beliau dapat dilihat dan didengar melalui pelbagai siri ucapan dan buku yang menyingkap soal kefahaman beragama seperti Manusia dan Islam, Hukum Hudud dalam Perundangan Islam, Pengantar Perubatan Islam dan banyak lagi. Ucapan dan buku-buku inilah yang menjadi panduan kepada umat Islam di Malaysia dalam memenuhi keperluan beragama. Beliau juga menubuhkan Darussyifa' (Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia) yang berkembang sehingga ke Brunei.

Peribadi Harun Din yang mudah berkawan dengan ramai orang membuatkan ilmunya berkembang dengan meluas dalam masyarakat. Beliau berjaya membina hubungan dengan pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi jambatan persahabatan dalam politik.

Kemesraannya bersama pemimpin-pemimpin kerajaan dalam isu-isu berkaitan Islam membuktikan sikap terbukanya terhadap perbezaan pendapat dan perjuangan. Bukan mudah bagi seseorang yang berlainan bentuk pemikiran membuka ruang kerjasama dengan seteru politik melainkan seorang yang berjiwa besar.

Selain daripada perjuangan politik, ketokohannya dalam agama sentiasa menjadi perhatian. Beliau mempunyai prinsip hidup yang tegas dan tidak gentar menyatakan kebenaran. Kepakaran beliau dalam isu-isu masyarakat Islam wajar menjadi contoh kepada generasi muda untuk membina masyarakat Malaysia yang dinamik.

Harun Din juga mempamerkan strategi politik Islam yang diyakini. Peranan beliau sebagai musryidul am PAS mempengaruhi corak berfikir dan tindakan ahli PAS seluruh negara. Sumbangannya dalam memperkasa dakwah Islamiah bersama-sama kerajaan Malaysia membuka mata ramai orang supaya dapat melihat dan menjadikan kepentingan ummah sebagai agenda. Beliau menunjukkan cara tentang bagaimana parti-parti politik yang berbeza ideologi boleh duduk semeja membincangkan pelbagai perkara yang melibatkan masyarakat Islam.

Ilmu yang disampaikan oleh beliau akan terus mekar dalam minda pelajar-pelajarnya yang dikembangkan kepada masyarakat. Mudah-mudahan ilmu yang bermanfaat itu akan memberi sinar kepada kehidupan kita.

Tuesday, September 13, 2016

Akhlak anak pengaruhi pengislaman ibu







Kisah pengislaman ibu seorang artis, Shela Lama, menjadi perhatian pelbagai media massa baru-baru ini. Laporan Bernama melaporkan Wong Lan Eng, 74 tahun, memilih menjadi seorang penganut Islam pada hari raya korban setelah melihat bagaimana tiga orang anaknya yang telah awal menjadi Islam menunjukkan peribadi yang lebih baik selepas menjadi muslim.

"Sungguhpun anak-anak saya dan cucu-cucu saya adalah muslim, mereka masih menghormati saya. Inilah yang menjadi sebab utama kenapa saya memilih mejadi seorang Islam", katanya kenapa beliau memilih hari raya korban untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Kisah artis dan selebriti bertukar kepada agama Islam sudah acapkali kita dengar. Banyak sebab yang mendorong mereka menjadi Islam seperti perkahwinan, mencari arah hidup dan pengaruh rakan-rakan. Biasanya peralihan agama ini mendapat reaksi yang pelbagai. Ada yang menerima dengan senang hati sebaliknya ada yang mengeji.

Reaksi terhadap pengislaman Shela Lama juga turut menerima reaksi bercampur-campur.

Dalam ruangan emoji akhbar thestar online, emoji paling tinggi peratusannya adalah marah (41 peratus), diikuti gembira (36 peratus) dan menyakitkan hati (10 peratus).

Kita tidak tahu kenapa pembaca akhbar ini memilih kemarahan sebagai reaksi mereka yang utama. Mungkin juga pembaca di sini mempunyai persepsi negatif terhadap pertukaran agama kepada Islam ataupun ada sebab-sebab yang lain.

Di media, Islam telah pun menjadi sebahagian daripada isu yang mendapat liputan negatif yang lebih banyak berbanding agama-agama lain. Justeru, ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang berasa malu dengan agama mereka dan membuat keputusan untuk mencari agama lain.

Di Indonesia, seorang ustaz yang dipanggil Kyai Haji Sariffudin Ibrahim bertukar agama kepada kristian kerana beberapa sebab. Alasannya adalah kerana doktrin, pengalaman peribadi dan panggilan Elohim pada diri Sarifuddin. Kisah menjadi kristian ini ditulis dalam bukubeliau Kenapa Saya Memilih Kristus dan Dialog Dengan Saddam Husein

Kisah Sarifuddin Ibrahim ini menjadi perdebatan di Indonesia kerana sikap terbuka masyarakat mereka berkaitan pertukaran agama. Ada juga artis negara itu yang menukar agama kerana berkahwin.

Pemurtadan orang Islam di Malaysia adalah perkara sensitif kepada masyarakat. Kes seperti ini tidak boleh dibincang secara terbuka di media kerana ia memberi kesan yang besar. Terdapat kes murtad yang dibawa ke mahkamah dan diputuskan oleh mahkamah sendiri dalam ruang lingkup yang terkawal. Ada kes yang memang dibenarkan murtad dan ada yang tidak boleh. Namun, dalam kes-kes seperti ini, hakim membuat pertimbangan yang sangat wajar kenapa sesuatu keputusan itu diputuskan.

Biarpun kita sering mendengar ada rungutan yang tidak puas hati terhadap ruang kebebasan agama di Malaysia, agama Islam berada pada kedudukan yang teristimewa di sisi perlembagaan. Bagaimanapun agama lain boleh diamalkan tanpa mengganggu masyarakat Islam.


Saturday, September 10, 2016

Pemaju berupaya biayai pinjaman rumah







Cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar supaya pemaju perumahan diberi lesen pemberi pinjaman kewangan untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank dan bagi menangani masalah bayaran pendahuluan.

Sebagai pembeli, kini mereka mempunyai sumber pinjaman yang lebih banyak untuk membiayai pembelian rumah idaman berbanding mendapat pinjaman bank.

Pada hari ini, seorang pelajar universiti yang baru menamatkan pengajian dan mula mendapat kerja, ia mengambil masa untuk memiliki sebuah rumah kerana jumlah gaji yang kecil.

Keadaan lebih sukar jika tinggal di bandar besar kerana kos hidup yang tinggi. Sewa rumah, kenderaan dan keperluan harian perlukan belanja yang besar menyebabkan sukar membuat simpanan melainkan melakukan dua pekerjaan dalam satu hari. Pada siangnya bekerja di pejabat manakala pada sebelah malamnya membuat perniagaan sendiri.

Ada juga ibu bapa yang membantu anak-anak membayar desposit awal untuk membeli rumah kerana mereka tahu anak yang baru bekerja tidak mampu mengumpul wang untuk membayar pendahuluan.

Jika kaedah ini dilaksanakan, beberapa persoalan yang perlu diselesaikan dahulu seperti sejauh manakah pemaju berupaya menyediakan pinjaman yang banyak untuk menjayakan kaedah ini. Adakah pemaju boleh memberi pinjaman dalam tempoh yang singkat dan tidak ada masalah senarai hitam jika gagal membayar pinjaman?

Harga rumah di Malaysia sering meningkat sejak akhir-akhir ini. Ada rumah teres tiga bilik sudah menjangkau lebih RM250 ribu sebuah. Walaupun selesa, rumah sebegini tidak mampu dipunyai oleh orang yang bekerja dengan pendapatan kecil. Jika harga rumah itu setengah juta ringgit, suami dan isteri bersama-sama bergabung membayar ansuran bulanan. Mengharapkan seorang sahaja bayar tentu agak sukar.

Umum tahu, pertukaran asing ringgit Malaysia dengan wang asing semakin rendah. Jika dulu wang RM20 boleh beli banyak barang, kini hanya beberapa barang yang dapat dibeli. Kos hidup yang bertambah bakal menjadikan rakyat Malaysia kembali miskin, apatah lagi yang berpendapatan kecil dan sederhana.


Wednesday, September 07, 2016

Peranan pasar malam dalam memperkukuh kesepaduan sosial di Malaysia








Zainudin MZ , Sahril Rizali, Muhamad Fitri Abdul Kadir, Muhammad Khairulanwar Amisan, Kennedy Bradley Humoc, Tan Yon Shern


1.0 Pengenalan

Perkataan “Pasar Malam” diambil kerana aktiviti niaganya dijalankan pada waktu sebelah malam. Pasar malam merupakan sejenis pasar jalanan yang biasanya di kawasan perumahan. Kebiasaannya, aktiviti niaga pasar malam bermula jam 4.00 petang sehingga 11.00 malam dan ia dijalankan seminggu sekali di setiap kawasan perumahan tertentu kerana perniagaan berpindah-randah di kawasan perumahan berlainan setiap minggu. Terdapat pelbagai gerai mudah alih di pasar malam yang menjual barang-barang seperti makanan, hasil tani seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan bahan basah yang lain. Barang seperti permainan, perkakas, buku, pakaian dan sebagainya turut dijual di pasar malam.

Ramai orang mengunjungi pasar malam sama ada Melayu, Cina, India mahupun etnik lain-lain kerana keunikannya pasar malam tersebut. Berbagai-bagai aneka pilihan dan harganya yang berpatutan dijual di pasar malam.  Orang yang mengunjungi pasar malam tidak mengira bangsa dan agama. Semua etnik di Malaysia mengunjungi pasar malam  pada waktu yang sama. Pelbagai kemeriahan suasana yang berlaku di pasar malam. Tawar-menawar merupakan amalan biasa yang berlaku di pasar malam. Peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum bukan menjadi penghalang bagi meneruskan aktiviti jual beli di pasar malam.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui peranan pasar malam sebagai tempat perpaduan sosial. Seterusnya mengetahui persepsi masyarakat pelbagai kaum terhadap pasar malam sebagai tempat interaksi sosial.


2.0 Sorotan Kajian

Kamus Dewan mendefinisikan pasar malam sebagai kelompok gerai yang menjual barang-barang makanan keperluan atau bagi orang ramai membeli-belah pada waktu malam. Secara umumnya pasar malam sering dijumpai di kawasan dengan jumlah penduduk yang ramai. Pasar malam menjual pelbagai jenis barang termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, makanan ringan, mainan, pakaian, kasut dan banyak lagi. Pasar malam hanya dibuka beberapa hari dalam tempoh seminggu kerana kebanyakan pengusaha pasar malam akan berpindah kawasan pada hari yang berbeza. Pasar malam wujud disebabkan oleh permintaan daripada pihak peniaga untuk menambah jumlah pendapatan mereka dan pada masa yang sama memberikan peluang kepada pengguna untuk membeli pada kadar harga yang lebih murah. Aktiviti jual beli yang dijalankan di pasar malam turut menyumbang kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan memainkan peranan yang besar dalam menjana ekonomi negara.

Pasar malam selalunya diklasifikasikan mengikut etnik yang mana barang-barang yang dijual selalunya berbeza mengikut kaum dan etnik masing-masing. Oleh kerana kepelbagaian barang yang terdapat di pasar malam, tempat-tempat ini sering menjadi tumpuan bagi para pelancong untuk melihat juadah dan aneka jenis barang setiap kaum dan etnik yang berbeza di Malaysia. Menyedari hal ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah mengambil inisiatif untuk melancarkan bazaria larut malam untuk mempromosikan pasar malam kepada para pelancong tempatan mahupun antarabangsa seperti yang diterbitkan oleh akhbar Kosmo (Nurul Izza Rosly, 2006).

Rapii B. Salam (2012) turut menyatakan bahawa bagi negara yang terdiri daripada kaum dan etnik yang berbeza, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya pemikiran yang terbuka dalam hal-hal seperti adat resam dan kepercayaan kaum dan etnik yang lain untuk mengelakkan sebarang jenis penindasan yang berlaku di negara lain seperti Afrika dan Thailand. Selain itu juga perkara ini penting untuk mengelakkan berlakunya kembali rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Untuk menanam sifat ini di dalam keperibadian rakyat Malaysia, pergaulan di antara kaum yang berbeza harus digalakkan dan pasar malam merupakan salah satu contoh tempat yang mana rakyat berbilang kaum dan bangsa dapat bertemu dan berinteraksi. Pada masa yang sama juga kita dapat melihat barang-barang yang dijual oleh kaum lain untuk mengenali budaya mereka dengan lebih baik bak kata pepatah “tak kenal maka tak cinta”.


3.0 Metodologi Kajian

Dalam kajian ini, pengkaji telah menggunakan kaedah soal selidik sebagai salah satu cara untuk mendapatkan maklumat. Kaedah ini didapati sesuai dalam pengurusan kajian seperti ini kerana tinjauan yang hendak dilakukan hanya mengenai reaksi responden terhadap soalan yang pengkaji senaraikan. Antara kelebihan kaedah tinjauan ialah ianya boleh meliputi populasi yang luas. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk mengumpul data daripada responden menyentuh dalam pandangan responden berkenaan. Bentuk soalan yang dikemukakan dalam soal selidik ini adalah soalan jenis tertutup dan skala liket. Jenis soalan ini mudah untuk dianalisis dan memudahkan responden untuk memberikan jawapan tentang perkara ini. Soal selidik ini dilakukan di atas talian dan borang. Soal selidik ini dibahagikan kepada tiga kategori di setiap kategori merangkumi setiap objektif pengkaji dalam kajian ini. Tempoh pengedaran soal selidik ini adalah seminggu. Pengkaji dapat mengumpul jumlah responden adalah seramai 51 orang dalam tempoh seminggu.


4.0 Dapatan Kajian dan Analisis


Rajah 1: Jantina, umur dan bangsa

Hasil kajian menunjukkan seramai 51 responden telah menjawab soal selidik yang telah diedarkan secara rawak yang terdiri daripada berlainan jantina, umur, bangsa dan status. Berikut adalah hasil kajian yang telah direkod berdasarkan responden.


Rajah 2: Aktiviti jual beli dapat mengeratkan hubungan etnik di Malaysia

Rajah 2 menunjukkan bahawa responden (65%) bersetuju aktiviti jual beli dapat mengeratkan hubungan etnik di Malaysia dan tiada responden yang menyatakan mereka sangat tidak setuju dengan penyataan tersebut. Hal ini kerana kawasan pasar malam merupakan tempat jual beli yang peniaga dan pembelinya terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama berkumpul disuatu tempat untuk melakukan aktiviti jual beli. Di samping itu, peniaga dan pembeli akan berinteraksi antara satu samalain, jadi secara tidak langsungnya aktiviti ini boleh mengeratkan lagi hubungan etnik di Malaysia.


Rajah 3: Pelanggan di pasar malam terdiri daripada pelbagai kaum

Rajah 3 membuktikan responden bersetuju (45%) dan sangat setuju (43%) bahawa pelanggan di pasar malam terdiri daripada pelbagai kaum. Di samping itu, responden tidak memilih untuk menyatakan bahawa mereka sangat tidak setuju terhadap penyataan tersebut ini kerana pelanggan di pasar malam sememangnya bukan hanya terdiri daripada satu kaum sahaja tetapi terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain yang pergi ke pasar malam untuk membeli barangan. Oleh sebab itu, responden bersetuju pelanggan pasar malam terdiri daripada pelbagai kaum malahan ada juga pelancong dari luar negara pergi ke pasar malam di Malaysia untuk memberi barangan.


Rajah 4: Peniaga di pasar malam terdiri daripada pelbagai kaum

Rajah 4 memaparkan responden bersetuju (51%) dan sangat setuju (27%) bahawa peniaga di pasar malam terdiri daripada pelbagai kaum manakala tiada responden yang menyatakan bahawa meraka sangat tidak setuju. Hal ini kerana di kawasan peniaga di pasar malam tidak terikat pada satu kaum sahaja, semua rakyat Malaysia dibenarkan berniaga tanpa mengira kaum, bangsa dan agama kerana Malaysia mengamalkan perpaduan hidup dalam masyarakat majmuk. Oleh hal demikian, peniaga tidak terdiri pada sesuatu kaum sahaja tetapi pelbagai kaum yang terlibat dalam satu tempat.


Rajah 5: Pasar malam menjadi pusat pertemuan sosial paling berkesan di Malaysia

Rajah 5 menyatakan bahawa responden bersetuju (51%) dan sangat setuju (27%) pasar malam menjadi pusat pertemuan sosial pelbagai kaum yang sangat berkesan di Malaysia. Sebaliknya, tiada responden yang menyatakan bahawa mereka sangat tidak setuju dengan penyataan tersebut. Hal ini dapat dibuktikan dengan suasana yang berlaku di pasar malam yang sememangnya terdiri daripada pelbagai kaum dimana mereka saling mengadakan aktiviti jual beli. Di situ juga terdapat pelbagai jenis jualan sebagai contoh makan tradisi setiap kaum seperti maruku, nasi lemak, dim sum dan pelbagai lagi. Di samping itu mereka dapat merasa pelbagai jenis makanan tradisi pelbagai kaum. Oleh sebab itu, pasar malam merupakan pusat kesepaduan sosial yang paling berkesan.


Rajah 6: Pasar malam menjadi ruang interaksi sosial yang lebih terbuka dan luas

Rajah 6 memperlihatkan bahawa responden bersetuju dan sangat setuju dengan penyataan pasar malam memberi ruang kepada interaksi sosial yang lebih terbuka dan bebas di berikan oleh rakyat di Malaysia. Manakala, tiada responden yang menyatakan bahawa mereka sangat tidak setuju. Seperti yang sedia maklum, pasar malam adalah suatu tempat yang akan dikunjungi oleh ramai orang untuk melakukan aktiviti jual beli. Oleh sebab itu, kesepaduan sosial dapat dipupuk melalui aktiviti ini ketika proses jual beli lebih-lebih lagi dengan berlainan kaum sebagai contoh pelanggan dari kaum cina membeli barangan dari peniaga melayu disitu berlakukan interaksi yang dapat meningkatkan sikap kesepaduan. Demikian, pasar malam dapat memberi ruang interaksi sosial yang lebih terbuka dan bebas.


Rajah 7: Jual beli barang di pasar malam melibatkan pelbagai bangsa

Rajah 7 menunjukkan majoriti responden bersetuju (63%) bahawa jual beli barang di pasar malam melibatkan pelbagai bangsa manakala hanya seorang responden yang tidak setuju dengan penyataan tersebut. Perkara ini ialah kerana seperti yan kita tahu pasar malam merupakan satu kawasan tumpuan masyarakat bila hari minggu dan hari-hari lain. Oleh sebab itu, sebagai rakyat kita bebas untuk menjadi pelanggan ataupun peniaga di pasar malam tersebut kerana masyarakat mengamalkan hidup bermasyarakat majmuk. Justeru, rakyat Malaysia tidak kekok sekiranya ada bangsa lain yang mengunjungi pasar malam ataupun yang berniaga di pasar malam kerana budaya bermasyarakat majmuk ini sudah dipupuk sejak dari kecil lagi.


Rajah 8: Saya selalu membeli barang daripada peniaga berbilang bangsa

Rajah 8 menyatakan responden tidak pasti (35%) bahawa mereka selalu mengunjungi pasar malam dan membeli barangan daripada peniaga berbilang bangsa. Di samping itu, hanya seorang yang mengatakan bahawa beliau sangat tidak setuju dengan penyataan tersebut. Hal ini berlaku kerana majoriti responden yang telah menjawab soal selidik ini adalah daripada kaum Melayu yang sudah pasti beragama Islam. Oleh sebab itu, responden lebih mengutamakan tentang makanan apabila pergi ke pasar malam, agama Islam amat mengutamakan dalam aspek memilih makanan iaitu makanan yang halal. Oleh hal demikian, mereka lebih gemar membeli dari peniaga Melayu yang sememangnya beragam Islam daripada membeli daripada peniaga yang berlainan agama, bukan tidak mahu melakukan urusan hal jual beli tetapi lebih mementingkan tentang hal agama. Namun, untuk barangan selain makanan ia bukanlah satu permasalahan terhadap perkara ini.


Rajah 9: Saya tidak kisah membeli barang di pasar malam walaupun berlainan bangsa

Rajah 9 memperlihatkan responden bersetuju (41%) bahawa mereka tidak kisah untuk membeli di pasar malam walaupun berlainan bangsa. Sebaliknya, hanya seorang yang memilih untuk sangat tidak setuju untuk membeli di pasar malam walaupun berlainan bangsa. Perkara ini kerana kebanyakan masyarakat lebih berfikiran terbuka iaitu mereka tidak kisah untuk melakukan urusan jual beli walaupun berlainan bangsa kerana majoriti sudah biasa ataupun selesa dengan keaadan seperti itu. Walau bagaimanapun, masih yang berfikiran sebaliknya. Oleh demikian, masyarakat Malaysia tidak kisah membeli dari peniaga yang berlainan bangsa


Rajah 10: Berasa selamat jika membawa rakan-rakan dan keluarga ke pasar malam

Rajah 10 mencatatkan  majoriti responden memilih tidak pasti (39%) bahawa mereka berasa selamat jika membawa rakan-rakan dan keluarga ke pasar malam tetapi dikuti oleh responden yang memilih setuju (35%) bahawa mereka berasa selamat dengan hanya membezakan dua orang berbanding sebelum ini. Hanya seorang responden yang sangat tidak setuju. Perkara ini dapat dijelaskan bahawa responden mengutamakan keselamatan ketika berada di pasar malam kerana di situlah pelbagai orang yang datang dari pelbagai tempat serta kuantiti yang ramai di pasar malam membuatkan responden harus mengambil langkah berjaga-jaga sebelum berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Manakala responden yang bersetuju bahawa mereka selamat ketika mengunjungi pasar malam kerana masyarakat Malaysia hidup dalam masyarakat majmuk yang aman dan makmur


Rajah 11: Saya sangat gembira mengunjungi pasar malam

Berdasarkan Rajah 11, hasil kajian menunjukkan responden bersetuju (47%) bahawa mereka berasa gembira ketika mengunjungi pasar malam manakala tiada responden yang tidak setuju bahawa mereka sangat gembira mengunjungi pasar malam. Perkara tersebut dapat dijelaskan bahawa pasar malam merupakan satu tarikan masyrakat di negara ini tidak kira di negeri atau daerah manapun pasti ada pasar malam dan mendapat sambutan yang menggalakkan oleh masyarakat Malaysia tanpa mengenal kaum, bangsa dan agama yang berkumpul pada satu tempat untuk melakukan aktiviti urusan jual beli. Oleh sebab demikian, pasar malam merupakan satu altenatif dalam mengeratkan kesepaduan sosial di negara Malaysia.


5.0 Kesimpulan dan Cadangan

Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Interaksi antara pelbagai etnik telah mewujudkan keunikan dalam kehidupan rakyat Malaysia. Pasar malam telah menjadi tempat berkumpul antara pelbagai etnik sejak dulu sehingga sekarang. Pelbagai etnik pergi ke pasar malam menjalankan aktiviti jual beli di pasar malam dan berinteraksi. Jenis barangan berbeza yang dijual di pasar malam telah membuatkan pelbagai etnik di Malaysia berkumpul untuk membeli dan menikmati pelbagai makanan yang terdiri daripada etnik lain. Mereka juga akan membeli barangan lain seperti keperluan harian di pasar malam dan secara tidak langsung mereka berinteraksi dengan etnik yang lain.

Daripada hasil kajian, pengkaji mendapat keputusan yang positif berkaitan pasar malam berperanan penting dalam mengeratkan hubungan etnik. Interaksi melalui aktiviti jual beli dapat meningkatkan persefahaman antara kaum. Selain itu,  pasar malam dipenuhi oleh pelanggan dan peniaga yang berasal daripada pelbagai etnik. Suasana ini telah memberi ruang interaksi yang lebih luas dan bebas untuk membolehkan pelbagai etnik memahami antara satu sama lain.  Menurut perspektif responden bahawa mereka tidak kisah membeli barang dari pelbagai etnik asalnya bersikap jujur dan mesra pelanggan. Di samping itu, responden juga bersetuju dan berasa selamat serta gembira semasa mengunjungi pasar malam. Segala pergaulan di pasar malam mampu membantu rakyat Malaysia berinteraksi antara kaum lebih efektif. Di pasar malam juga, terdapat aktiviti tawar-menawar antara pembeli dan peniaga tidak kira kaum dan agama dan ini lebih dapat mengeratkan hubungan rakyat Malaysia walaupun berbeza agama dan etnik.

Untuk cadangan, pasar malam memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan etnik Malaysia dari pelbagai sudut secara tidak langsung. Justeru, pemilihan lokasi pasar malam perlulah ditempatkan  di kawasan lebih pesat dengan penduduk di mana pelbagai kaum lebih mengetahui dan dapat mengunjungi pasar malam tersebut bersama rakan-rakan dan keluarga. Pihak media juga perlulah selalu membuat hebahan yang lebih di media sosial dan juga radio tentang lokasi dan kebaikan pasar malam. Ini kerana secara tidak langsung dapat menarik minat pelbagai kaum untuk datang ke pasar malam.

Peniaga juga digalakkan menjual makanan dan barangan yang unik daripada etnik itu tersendiri dan dijual tetapi dikehendaki mengklasifikasikan kepada halal dan tidak halal untuk persefahaman antara etnik. Ini akan mendapatkan lebih permahaman pada sesuatu etnik seperti makanan tradisional mereka, pakaian tradisional dan lain-lain lagi secara tidak langsung. Selain itu, peniaga perlu terdiri daripada pelbagai kaum agar mewujudkan interaksi yang lebih mendalam antara rakyat Malaysia. Walaupun begitu, peniaga dari etnik lain perlu ditempatkan di setiap lokasi dan bukannya dibahagikan mengikut etnik. Setiap pasar malam perlulah membahagikan kuota untuk peniaga daripada pelbagai bangsa supaya jurang dapat dielakkan.


Rujukan

Ben Van Wijnen, The Nightmarkets – Pasar Malam.
Nurul Izza Rosly.(2006). Budaya beli-belah lewat malam. Kosmo
Rapii B. Salam. (2012). Kepentingan Memupuk Perpaduan Kaum.
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pasar+malam
http://www.malaysiasite.nl/pasarmalam.html
http://zaizak69.blogspot.my/2011/09/perpaduan-kaum-di-malaysia.html




Tuesday, September 06, 2016

Ketaksuban remaja terhadap artis K-Pop







Zainudin MZ, Nik Rusmariana Nik Ruhadi

1.0 Pengenalan

Kegilaan golongan remaja terhadap artis seperti artis K-Pop merupakan fenomena yang luar biasa. Artis K-Pop sentiasa digilai oleh sesetengah masyarakat tanpa mengira had umur terutamanya golongan remaja. Keterujaan dan ketaksuban golongan remaja terhadap K-Pop membuatkan mereka seolah-olah lupa diri, budaya serta anutan agama yang seharusnya membentengi diri mereka daripada perlakuan tidak sopan, memalukan diri sendiri serta keluarga.

Malahan kita sedia maklum bahawa pada awal tahun 2015 negara telah digemparkan dengan berita gadis Melayu bertudung dan beragama Islam dipeluk oleh artis K-Pop dalam konsert yang diadakan di ibu negara. Difahamkan gadis terbabit dicium dan dipeluk beberapa anggota dari kumpulan K-Pop B1A4 yang membuat persembahan di KL Live Centre, Kuala Lumpur.

Dalam Islam, konsep hiburan ialah untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, melepaskan diri daripada tekanan, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan pada waktu lapang, secara individu, bersama keluarga ataupun bersama rakan-rakan, bahkan kita sepatutnya beribadah dan mengikut fitrah kita sebagai seorang muslim seperti mengamalkan seni taranum membaca al-quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah swt dan sebagainya.

1.1. Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti kewujudan K-Pop di Malaysia, mengetahui pengaruh K-Pop dalam kalangan remaja Malaysia dan mengkaji saranan dan cadangan untuk mengatasi ketaksuban terhadap dunia K-Pop.


2. Sorotan Kajian

Hallyu atau Korean Wave (Gelombang Korea) adalah istilah yang diberikan untuk menyebarkan budaya pop Korea (K-Pop dan drama) secara global di peringkat antarabangsa. Kesannya, Hallyu telah memicu ramai orang di negara yang terlanda dengan demam ini untuk mempelajari bahasa dan kebudayaan Korea. Kejayaan utama Hallyu adalah apabila drama bersiri “Winter Sonata” (2002) diterima dengan baik di Jepun, Cina, Taiwan dan negara ASEAN. Sejak itu istilah Hallyu atau demam Korea muncul (Nor Hashimah & Zaharani, 2011).

Kejayaan Hallyu disebabkan budaya popular Korea menggabungkan secara kreatif nilai Barat dan Asia demi menghasilkan satu corak budaya Korea yang menjadi model budaya dan ekonomi terkemuka untuk diikuti dan diminati. Jika diperhatikan dramatis-dramatis Korea, mereka mempunyai tubuh badan langsing dan wajah tampan dan jelita. Ekspresi muka yang hebat semasa melakonkan watak memberikan kesan mendalam pada penonton. Cara berpakaian yang cocok dengan budaya dan suasana empat musim di Korea sering menjadi ikutan remaja Asia.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan fesyen Korea terutama dari segi pakaian, kasut malah penjagaan kulit muka menjadi ikutan ramai merentas Asia. Selain daripada drama, muzik juga mendapat tempat di hati peminat Asia. Muzik Korea jelas menggambarkan keyakinan diri rakyat Korea. Senimannya telah dapat memprojeksikan imej maskulin atau seksi dengan jayanya. Artis seperti Rain, Beast dan ramai lagi telah berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa. Kejayaan muzik pop Korea (K-Pop) menduduki tangga di bawah 100 di Amerika Syarikat membuktikan muzik mereka diterima oleh masyarakat antarabangsa.


3.0 Kaedah Penyelidikan

Soal selidik dibahagikan kepada empat bahagian iaitu A, B, C dan D. Bahagian A merangkumi maklumat diri, Bahagian B untuk mengenal pasti kewujudan K-Pop dalam kalangan remaja Malaysia, Bahagian C untuk mengetahui pengaruh K-Pop manakala Bahagian D untuk mengkaji saranan dan cadangan untuk mengatasi ketaksuban terhadap dunia K-Pop.


4.0 Hasil Kajian dan Perbincangan

Analisis dan interpretasi data telah dikemukakan untuk menjawab soalan-soalan yang terdapat dalam soal selidik yang disediakan. Data yang diperolehi dianalisis menggunakan Microsoft Word. Responden dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang serta pelbagai etnik yang berjumlah 30 orang. Mereka diberikan tiga soalan untuk dijawab.

Soalan 1: Saya faham bahawa pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu penyebab berleluasanya pengaruh K-Pop di Malaysia.

Graf di atas menunjukkan jumlah responden mengenai pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu penyebab berleluasanya pengaruh K-Pop. Seramai 27 orang responden besetuju, tiga responden tidak pasti manakala tiada responden yang tidak setuju dengan pernyataan tersebut.

Soalan 2: Saya setuju bahawa siaran media yang melibatkan K-Pop perlu disekat.

Graf di atas menunjukkan jumlah responden berkenaan dengan persetujuan untuk menyekat siaran media yang melibatkan K-Pop. Seramai tiga orang responden besetuju, empat responden tidak pasti manakala yang selebihnya iaitu 23 responden tidak setuju dengan pernyataan tersebut.

Soalan 3: Saya setuju bahawa pengaruh K-Pop memberi kesan negatif kepada masyarakat sekeliling dan juga negara.

Graf di atas menunjukkan jumlah responden berkenaan dengan pernyataan bahawa pengaruh K-Pop memberi kesan negatif kepada masyarakat sekeliling dan juga negara. Seramai tiga orang responden besetuju, empat responden tidak pasti manakala yang selebihnya iaitu 23 responden tidak setuju dengan pernyataan tersebut.


Kajian ini merupakan satu kajian kuantitatif untuk melihat tahap persetujuan responden berdasarkan daripada semua penyataan yang dikemukakan di dalam borang soal selidik mengenai ketaksuban kepada artis K-Pop dalam kalangan remaja. Perbincangan untuk setiap graf yang telah dikemukakan dalam kajian juga turut dihuraikan dengan lebih terperinci bagi memudahkan kajian yang akan dijalankan pada masa akan datang.

Soalan 1: Saya faham bahawa pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu penyebab berleluasanya pengaruh K-Pop di Malaysia.

Dapatan kajian untuk soalan ini menunjukkan seramai 27 orang responden bersetuju dengan penyataan bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu penyebab berleluasanya pengaruh K-Pop. Masalah sosial seperti pengaruh K-Pop ini adalah sesuatu yang merangkumi pelbagai tingkah laku negatif dalam kalangan remaja yang tidak memberikan faedah kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat, komuniti ataupun negara. Banyak faktor yang mendorong remaja pada masa kini terlibat dalam gejala sosial yang kurang sihat ini. Menurut Abd. Rahim (2006), penglibatan remaja dalam pelbagai gejala sosial berpunca daripada beberapa faktor, antaranya faktor dalaman diri remaja itu sendiri dari aspek perkembangan personaliti, kegagalan fungsi institusi keluarga dan juga pengaruh rakan sebaya. Zainal dan Sharani (2004) pula menyatakan pengaruh persekitaran di sekolah juga menjadi punca keruntuhan akhlak di kalangan remaja.

Soalan 2: Saya setuju bahawa siaran media yang melibatkan K-Pop perlu disekat.

Dapatan kajian menunjukkan jumlah responden berkenaan dengan persetujuan untuk menyekat siaran media yang melibatkan K-Pop. Seramai tiga orang responden besetuju, empat responden tidak pasti manakala yang selebihnya iaitu 23 responden tidak setuju dengan pernyataan tersebut. Menurut akhbar MyNewsHub (2015), Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohd Nordin Ibrahim berkata sebarang bentuk media haruslah mengikut garis panduan yang ditetapkan seperti umat Islam yang hadir perlu diasingkan lelaki dan wanita, tiada pergerakan badan yang melampau, penganjur juga digalakkan membuat kawasan khas bagi mereka yang hadir bersama keluarga masing-masing.

Soalan 3: Saya setuju bahawa pengaruh K-Pop memberi kesan negatif kepada masyarakat sekeliling dan juga negara.

Dapatan kajian menunjukkan jumlah responden berkenaan dengan pernyataan bahawa pengaruh K-Pop memberi kesan negatif kepada masyarakat sekeliling dan juga negara. Seramai tiga orang responden besetuju, empat responden tidak pasti manakala yang selebihnya iaitu 23 responden tidak setuju dengan pernyataan tersebut. Menurut forum Balqis Aisyah, orang ramai selalu beranggapan budaya popular yang dibawa dari Barat itu membawa kesan-kesan buruk kepada masyarakat tempatan, terutama golongan muda atau remaja. Misalnya, budaya Barat itu selalu dikatakan budaya kuning dan dianggap tidak sesuai dengan kehidupan orang Melayu. Namun aspek kebaikan, terutama nilai-nilai sosial yang patut menjadi teladan seperti pembinaan hubungan sosial, kekeluargaan, budaya ilmu, menjaga kebersihan dan sebagainya kurang mendapat perhatian. Perkara yang menjadi perhatian ialah berkaitan dengan nilai-nilai buruk yang dianggap boleh membawa kesan-kesan buruk kepada generasi muda. Hal ini sudah menjadi hal yang cukup serius kerana memiliki positif dan negatif bagi para remaja. Namun semua itu bergantung kepada diri remaja itu sendiri bagaimana menghadapi fenomena ini. K-Pop hadir dengan lagu-lagu penuh semangat yang sangat mudah diterima banyak kalangan di dunia walaupun muzik Korea juga banyak dipengaruhi musik pop Amerika. K-Pop mendapat sentuhan khas Korea yang membuat sebuah persembahan yang kreatif dan kesan baru. Kesan kreatif yang ditampilkan K-pop memberikan daya tarikan yang besar.

Aksi penyanyi sama ada dalam video atau secara langsung memberikan impak besar kepada populariti K-Pop. Kini, Korea merupakan contoh yang baik untuk negara-negara lain di dunia terutama dilihat dari sisi kreativiti sekali gus mempopularkan budaya bangsa sendiri di mata negara. Melalui penyelidikan ini juga, beberapa faktor-faktor penolak dan penarik telah dikenal pasti bagi remaja yang taksub kepada artis K-Pop ini.

4.1 Faktor-faktor penarik bagi remaja taksub kepada dunia K-Pop

· Penampilan yang sangat disenangi oleh para remaja.
· Fesyen yang terkini dan smart.
· Tarian bersahaja dan mantap.
· Teknologi yang canggih untuk mengikuti perkembangan mereka.
· Rentak lagu yang gemar didengar oleh remaja.

4.2 Faktor-Faktor Penolak bagi remaja taksub kepada dunia K-Pop

· Artis tempatan lebih sombong dan susah didekati.
· Artis tempatan kurang mendekati peminat.
· Rentak lagu artis tempatan tidak senang didengari oleh remaja.


5.0 Kesimpulan

Masalah ketaksuban terhadap K-Pop ini perlu segera dibendung supaya ianya tidak merebak ke generasi yang seterusnya. Sebagai golongan remaja, tidak salah sekiranya ingin berhibur, namun jangan terlalu taksub dan lalai terhadap tanggungjawab dan adab sebagai orang Islam. Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan utuk mengatasi masalah K-Pop ini ialah peranan diri sendiri seperti cuba menanamkan sikap bencikan budaya luar dan kembali kepada fitrah tujuan hidup di dunia ini agar tidak terlalu leka dengan budaya K-Pop yang membawa pengaruh tidak sihat kepada individu itu sendiri, peranan Pihak Bukan Kerajaan (NGO) iaitu tidak mengalakan penganjuran program hiburan yang boleh memberikan impak negatif kepada masyarakat terutamanya generasi Y yang telah diketahui lebih mudah terpengaruh dengan budaya luar, peranan ibu bapa yang sentiasa memerhati tingkahlaku anak-anak mereka terutamanya ketika penggunaan alatan digital atau melayari internet. Ibu bapa boleh meggunakan sistem keselamatan yang boleh memasang perisian keselamatan pada setiap alatan digital anak mereka untuk memantau penggunaan alatan digital dari jauh mahupun dekat, peranan kerajaan  iaitu mengenakan akta undang-undang dengan lebih ketat untuk kemasukan artis luar membuat persembahan atau jelajah Malaysia bagi menyebarkan pengaruh mereka, dan peranan media elektronik seperti mengurangkan penyebaran drama mahupun muzik K-Pop daripada melanda negara sebelum generasi seterusnya lupa daratan, lupakan tradisi dan adat sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama gara-gara fanatik yang melampau terhadap artis K-Pop.



Rujukan

Abd. Rahim Abd. Rashid (2006). Menangani Perkembangan dan Masalah Tingkah Laku Remaja Dalam Keluarga. Universiti Malaya: Pusat Pembangunan Keluarga.

Zainudin Sharif dan Norazmah Mohamad Roslan. (2011). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Remaja Terlibat Dalam Masalah Sosial Di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka. Journal of Education Psychology & Counseling, 1(3), 115-140.

Nor Hashimah Jalaluddin & Zaharani Ahmad.2011.Hallyu Di Malaysia: Kajian Sosiobudaya. Jurnal Komunikasi Malaysia. Jil. 27(2), 203-219.

Harian Metro Atas Talian. Depan mata: Gelombang K-Pop terus melanda. (2011) http://www. hmetro.com.my. [dipetik: 9 Mac 2015].

Wikipedia http://id.wikipidea.org/wiki/Hallyu [dipetik: 9 Mac 2015].