Saturday, January 12, 2008

Bila pilihan raya?

Semakin dekat.

Barangkali parlimen dibubarkan pada pertengahan Februari 2008 dan dalam masa 60 hari, pilihan raya ke-12 perlu diadakan. Petunjuk ke arah itu sangat jelas. Saban hari media menyiarkan kenaikan Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) yang melebihi 1,500 mata. Kenaikan ini sebagai kesan psikologi kepada kemakmuran ekonomi negara dan meyakinkan masyarakat untuk bersenang-lenang dengan keadaan ekonomi dan politik semasa negara.

Cakap-cakap pilihan raya telah lama didengari. Selepas banjir besar yang melanda Pahang, Johor dan Kelantan baru-baru ini, selepas musim haji adalah waktu terbaik untuk pilihan raya ini diadakan. Kisah-kisah kejayaan Barisan Nasional memerintah dan mentadbir negara mula disiarkan di media elektronik dan menjadi bahan perbincangan di media massa. Pencapaian 5 tahun dijadikan bahan kempen untuk meraih simpati masyarakat untuk terus memberi sokongan kepada mereka.

Sebarang isu yang boleh menjejaskan sokongan orang ramai akan cepat-cepat diselesaikan. Contohnya kes bersekedudukan seorang menteri kabinet, perbalahan mulut Menteri Besar Perlis dengan seteru politiknya dan kritikan terbuka anggota parti komponen segera dialihkan daripada perhatian masyarakat.

Parti pembangkang juga turut dengan strategi mereka. Perhimpunan demi perhimpunan yang diadakan sebagai indikator kepada sokongan masyarakat awam kepada mereka. Tetapi bukan semuanya berakhir dengan kejayaan kerana ada sesetengah keadaan, demontrasi hanya mengundang rasa tidak puas hati di kalangan masyrakat khususnya yang terlibat dalam sektor perniagaan dan industri pelancongan.

Bagi melaksanakan pilihan raya kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
diberi mandat untuk menguruskannya dari awal hingga akhir. Fungsi SPR ialah :

1) membuat kajian dan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada 8 tahun selepas tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu;

2) menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih; dan

3) menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan.

Pilihan raya akan datang menyaksikan beberapa perubahan yang ketara seperti penggunaan kotak lut sinar dan mengenakan dakwat ke jari pengundi. Penambahbaikan ini diharap dapat memberi imej yang lebih positif kepada SPR untuk menjadikan setiap pilihan raya yang diadakan di Malaysia adalah bebas dari pengundi hantu atau yang sewaktu dengannya.

Dalam keghairahan SPR membuat penambaikan, tidak tahu sama ada disedari atau tidak, mereka membuat kesilapan besar apabila tidak meneliti pendaftaran nama pengundi.

Untuk menyemak daftar nama pengundi secara atas talian (online), kita hanya perlu menaip nombor kad pengenalan. Maklumat yang akan dipaparkan ialah kad pengenalan, nama penuh, jantina, lokaliti, daerah mengundi, DUN, parlimen dan negeri.

Namun ada tiga nombor kad pengenalan yang mencurigakan. Pertama: 991214740101 / 0562235
(berumur 8 tahun dari Sabak Bernam, Selangor); kedua: 981231081137 / 1207648 (berusia 9 tahun dan bergelar haji dari Sabak Bernam, Selangor); dan ketiga: 910815750017 / 3587582
(berusia 16 tahun dari Sepang, Selangor).

Paparan ini amat aneh dan melucukan. Di sebalik slogan "Cekap dan Telus," SPR tidak dapat mengenal pasti dengan tepat kelayakan pengundi seperti yang dinyatakan dalam Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu:

1. telah mencapai umur 21 tahun ke atas
2. menetap di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia
3. tidak hilang kelayakan untuk menjadi seorang pemilih

Cara bekerja anggota SPR mestilah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi supaya ia tidak mengecewakan pengundi. Pada masa yang sama menunjukkan tahap kecekapan dan ketelusan yang meyakinkan supaya pilihan raya yang akan datang berjalan dengan terurus.

Friday, January 11, 2008

Tenggiling dan labi-labi memberi wang

Kemiskinan membuatkan Mag Piah menjual tenggiling dan labi-labi untuk menjana pendapatan sendiri. Tenggiling ini ditangkap dari hutan berdekatan rumahnya manakala labi-labi dari sungai.

Labi-labi diperolehi dengan cara mengail di sungai. Kalau bernasib baik, dapatlah dua atau tiga ekor labi-labi yang dijual di pasar atau restoran. Tenggiling yang sering mendapat sambutan dan permintaan dapat dijual pada harga yang lebih tinggi. Jika bernasib baik, Mag Piah mampu tersenyum dan dapatlah sedikit wang untuk membeli barangan keperluan harian untuk keluarga.

Idea mencari wang dengan menjual binatang sangat unik khususnya bagi penduduk kampung. Mereka sangat mahir dan mengetahui selok-belok menangkap binatang-binatang ini.

Bagaimanapun menangkap tenggiling dan labi-labi sebagai penjana pendapatan tidak akan menjadikan anda seorang yang kaya jika dilakukan dalam skala yang kecil. Lainlah kalau anda mempunyai rangkaian restoran dan permintaan terhadap binatang itu sentiasa tinggi.

Bagi orang miskin seperti Mag Piah, sebab utama menangkap dua jenis binatang ini adalah kerana kemiskinan hidup. Beliau hanya perlu berusaha untuk mencari dan menjualnya kepada pelanggan yang dikenali. Jadi tidak ada alasan bagi beliau untuk meminta-minta kepada orang lain selagi mampu bekerja sendiri.

Thursday, January 10, 2008

Provokasi artikel Dunia Tanpa Islam

Jurnal Foreign Policy keluaran Januari-Februari 2008 memulakan penerbitan tahun barunya dengan tajuk A World Without Islam.

Di bawah tajuk Dunia Tanpa Islam secara ringkas penulisnya, Graham Fuller menyoal bagaimanakah dunia jika Islam tidak wujud langsung? Kepada sesetengah pihak, ia mungkin sesuatu yang membahagiakan: Tiada pertembungan peradaban, tiada jihad, tiada pengganas.

Adakah agama Kristian akan menguasai dunia? Adakah Asia Barat menjadi cahaya keamanan bagi demokrasi? Mungkin peristiwa 11 September tidak akan berlaku? Bahkan, jika Islam tidak disingkirkan daripada haluan sejarah, dunia akan menjadi lebih aman? Provokasi ‘jahat’ Fuller yang ingin mempengaruhi dunia membenci Islam dan beranggapan bahawa agama Islamlah merupakan punca masalah di dunia sekarang khususnya di Asia Barat.

Bagi penulis dunia tanpa Islam akan terus gelap kerana dengan kegemilangan tamadun Islamlah, Barat yang kuno itu mendapat cahaya kemajuan. Sumbangan tamadun Islam hasil daripada pertembungan melalui perdagangan dan juga Perang Salib itulah yang membuatkan manusia Barat yang hidup dengan serba daif dan kekurangan itu menemui cahaya tamadun Islam. Barat telah mengalami penyakit amnesia dan telah lupa daratan bahawa tanpa Islam, Barat tiada apa-apa.

Pada hakikatnya agama majoriti orang Barat lebih menggalakkan kehidupan rahib dan bersekongkol dengan pemerintahan zalim yang menindas rakyat.

Mereka tiada mendapat pembelaan sebab itulah sejak kebangkitan Barat ia meletakkan agama sebagai sesuatu yang peribadi sahaja. Tanpa Islam, Barat tidak akan menemui keilmuan sains dan teknologi pun kerana daripada tokoh-tokoh sains, teknologi, falsafah dan keilmuan Islam lahirlah kesedaran Barat tentang perkara-perkara tersebut.

Tanpa Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi, Ibn Sina (sekadar menyebut beberapa tokoh keilmuan Islam), Barat akan terus gelap tanpa cahaya kebenaran. Sayang sekali kegemilangan tamadun Islam telah membuatkan umatnya alpa, lalai dan berasa selesa sehingga meninggalkan pegangan dan rujukan kepada kitab al-Quran.

Kelemahan-kelemahan ini diambil kesempatan oleh Barat yang sememangnya anti-Islam dan mengaut segala hasil mahsul Islam untuk dibawa ke Barat dan mempelajari keilmuan Islam dan dikembangkan sehingga mereka mencapai kemajuan sekarang. Malah agama mereka direformasi supaya sejajar dan disesuaikan pemikiran saintifik yang diterima daripada Islam.

Apakah Barat akan maju dalam dunia tanpa Islam? Apakah segala masalah yang menimpa umat Islam tidak berpunca dari Barat iaitu Amerika dan Eropah yang menjajahi dan merampas hasil mahsul umat Islam serta mengindoktrinasikan ajaran, falsafah dan budaya mereka sehingga menjadi konflik kepada umat Islam sekarang?

Menguasai

Apakah kerana Islam dan umat yang sentiasa menentang segala usaha dan niat Barat hendak menguasai dunia sehingga jurnal tersebut sanggup menerbitkan tajuk Dunia Tanpa Islam.

Apakah Islam sekarang merupakan satu-satunya halangan bagi Barat meneruskan imperialisme dan hegemoninya ke atas seluruh dunia.

Sebab itulah sekarang mereka dengan sengaja mengadakan dan mengembangkan propaganda fobia Islam atau Islamofobia. Semua bertujuan menyingkir atau mengenyahkan ajaran Islam dari muka bumi.

Situasi fobia bukan sahaja mempengaruhi manusia di Barat tetapi juga sedikit sebanyak telah menguasai minda masyarakat bukan Islam di negara ini, sekurang- kurang meragui kebenaran Islam.

Mereka sering menyoal kebenaran kerana sentiasa dikaitkan dengan berita keganasan dan penentangan terhadap Barat. Kita tidak mempunyai persiapan secukup perhubungan awam dan ilmu propaganda bagi menentang fitnah Barat ini. Kita sekarang dihentam dari segala sudut dan segi kehidupan.

Masyarakat bukan Islam sering melihat umat Islam sebagai tidak berguna dan sering bercakaran sesama sendiri. Sebab itulah juga tajuk sebegini sering muncul, apakah dunia akan lebih baik jika tanpa Islam.

Kelemahan umat Islam dari dalam dan kesempatan yang digunakan Barat melalui mesin propagandanya menjerumuskan Islam dan umatnya kepada suatu kemelut sekarang. Dengan bertopengkan demokrasi, mereka boleh melakukan apa saja kezaliman untuk menguasai dunia.

Jurnal ini diasaskan oleh Samuel Huntington (pengasas teori pertembungan peradaban) dan Warren Demian Manshel pada 1970 dan kini diterbitkan oleh The Carnegie Endowment for International Peace di Washington, D.C., sebuah institusi penyelidikan bagi kerajaan Amerika Syarikat.

[Utusan Online]

Wednesday, January 09, 2008

Apa ada dengan Indon?

Semasa berbual-bual dengan seorang pelajar Indonesia yang sedang melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur, terkeluar perkataan "Indon" dan pelajar ini nampak tidak selesa dengan panggilan tersebut. Lalu saya bertanya, "apa salahnya Indon"?

Dengan nada yang agak keras dia menyatakan asal-usul penggunaan "Indon" di Malaysia. Kisahnya bermula apabila pekerja-pekerja Indonesia yang ditahan kerana tidak ada permit kerja dan dibawa ke tempat lapang untuk diambil kenyataan. Mereka disusun berbaris-baris. Peringkat awal polis dan agensi penguatkuasa memanggil pekerja ini dengan panggilan penuh: Indonesia. Disebabkan sangat kerap pekerja dan rakyat Indonesia yang ditahan kerana pelbagai kesalahan, akhirnya untuk memudahkan pangilan rakyat Indonesia ini, panggilan ringkas yang paling mudah ialah "Indon."

Jadi apa salahnya dengan istilah Indon ini?

Panggilan "Indon" adalah panggilan yang sangat indah, lambang sebuah masyarakat yang gigih bekerja, berani dan inginkan kejayaan hidup. Sebab itulah mereka beramai-ramai datang bekerja ke Malaysia dan dapat meningkatkan beberapa sektor ekonomi Malaysia khususnya perladangan dan pembinaan. Ada juga di kalangan Indon ini yang telah mendapat taraf penduduk tetap dan apabila ditanya datang dari mana, dengan bangga dia akan menjawab "Indon."

Jadi apa masalahnya dengan Indon?

Indon adalah lambang sebuah bangsa yang telah melalui banyak jenis tamadun yang hebat. Kerajaan Srivijaya, Mataram, Majapahit dan kisah Wali Songo adalah tinggalan keupayaan luar biasa mereka. Cita-cita pemimpin Indon sangat besar dan hebat. Mereka menguasai wilayah yang amat luas dengan rakyat yang begitu ramai. Kemakmuran negara dikecapi bersama tanpa ada masalah kemalaratan seperti yang berlaku di sesetengah negara Afrika ketika ini. Walaupun susah, Indon tetap berusaha dan berdikari.

Indon adalah lambang sebuah masyarakat yang mengamalkan demokrasi, bersikap terbuka dan mahu membuat perubahan. Keadaan politik yang semakin matang membuatkan rakyat Indonesia sentiasa vokal dalam membuat tuntutan yang kadangkala tidak rasional.

Indon adalah lambang sebuah masyarakat yang cepat melenting apabila berhadapan dengan konflik dengan negara-negara jiran kerana mengambil pendekatan yang sensitif apabila dikritik.

Aspek inilah yang melemahkan pemikiran dan emosi rakyat Indonesia. Tidak mampu untuk melihat dunia dari perspektif yang lebih luas. Hal remeh-temeh yang dicipta oleh orang lain menyebabkan rakyat Indonesia, istilah yang dibanggakan, tidak ada lagi makna.

Jadi apa masalahnya dengan Indon?

Indon bukannya lambang harga diri yang rendah, bukannya imej yang buruk atau bukannya rakyat sebuah negara yang dijajah, sebaliknya Indon adalah lambang sebuah masyarakat yang merdeka, gigih berusaha dan mahu berjaya.

Lebih baik menggunakan "Indon" yang melambangkan kebanggaan daripada "rakyat Indonesia" yang cepat melenting dan kadangkala hilang pertimbangan apabila tidak dapat menerima keputusan kalah dalam perebutan wilayah.

Jadi apa salahnya dengan Indon?

Monday, January 07, 2008

You‘ve got to read this book: 55 people tell the story of the book that changed their life

Penulis: Jack Canfield
Tahun: 2006
Muka surat: 286
Pengulas: Roosfa Hashim


Kita menjadi lebih kaya dengan membaca banyak buku. Buku yang bernilai dapat merubah kehidupan. Membaca memberi kita peluang berhenti dan bertindak. Ini tidak berlaku semasa menonton televisyen atau filem yang memaksa kita menerima apa saja.

Buku membolehkan kita membentuk sendiri gambaran teks mengikut kehendak kita. Kita boleh berhenti dan menghablurkan konsep yang dibaca, dan merubahnya mengikut tafsiran yang kita mahu. Kita boleh berubah dengan idea yang dapat dikutip daripada buku yang kita baca atau kita boleh juga tidak berubah.

Ada yang percaya buku tidak mungkin mengubah sesiapa. Anda sendiri yang mengubah hidup. Apabila dua orang membaca sebuah buku yang sama, seorang mungkin mendapat ilham manakala yang seorang lagi mungkin bosan membacanya. Kedua-dua mereka mungkin mempelajari perkara yang berbeza daripada buku yang sama.

Buku telah mengubah nasib ramai orang. Dalam buku berjudul You‘ve Got to Read this Book: 55 People Tell the Story of the Book that Changed their Life, kisah mereka yang kehidupannya berubah dengan membaca dapat kita selami. Mereka ini bukanlah orang biasa di Amerika, tetapi daripada pelbagai kedudukan tinggi dan kerjaya yang berbeza daripada politik, perubatan, psikologi, perniagaan, hiburan hinggalah kepada pelbagai cabang seni, sukan dan olahraga.

Kepada mereka, ada buku yang baik yang telah memberikan inspirasi, menyembuhkan mereka daripada tekanan hidup dan merubah kehidupan mereka sama sekali.

Tulisan dalam buku ini dicetuskan oleh Jack Canfield dan Gay Hendricks. Siapa yang tidak kenal Jack Canfield, pencipta dan editor siri terkenal Chicken Soup for the Soul yang dianggap oleh majalah TIME sebagai ‘the publishing phenomenon of the decade.’ Siri ini kini mempunyai 105 judul dengan lebih 100 juta naskhah diterbitkan dalam 41 bahasa. Gay Hendricks pula adalah seorang pakar dalam bidang transformasi perhubungan dan penyembuhan tubuh – fikiran.

Kedua-dua mereka telah menerbitkan banyak buku yang laris dan dibaca ramai.

Jack memulakan projek buku ini dengan menghimpunkan 25 pakar pelbagai bidang, perunding perniagaan dan penulis di rumahnya. Dalam perbincangan, timbul soal memilih buku yang baik-baik daripada beribu-ribu judul yang terbit saban tahun. Dalam ramai-ramai yang berhimpun itu, ada yang mengakui buku telah merubah kehidupan mereka manakala yang lain mengatakan mereka hanya membaca buku yang dicadangkan oleh orang yang diyakini.

Mereka ini ada yang telah menerbitkan buku best seller, tetapi apa pula buku yang telah merubah kehidupan mereka? Maka mereka saling bercerita tentang buku yang telah merubah kehidupan masing-masing. Kebanyakan buku itu tidak pula dibaca oleh sebahagian mereka yang berkumpul dan banyak juga yang tidak pernah diketahui akan kewujudannya! Maka timbullah idea bagi menghimpunkan buku yang telah merubah kehidupan mereka dalam sebuah buku.

Dr. Stephen Covey, salah seorang yang menulis pengalamannya dalam buku ini bukanlah calang-calang orang. Beliau diiktiraf oleh majalah TIME sebagai salah seorang daripada 25 orang Amerika yang paling berpengaruh. Buku dan karyanya memang dikenali dan dibaca ramai, salah satunya The 7 Habits of Highly Effective People yang terjual 15 juta naskhah dalam 38 bahasa di seluruh dunia. Buku terbarunya berjudul The 8th Habits: From Effectiveness to Greatness.

Dua buku yang telah merubah dan memajukan kehidupan Stephen Covey ialah Man‘s Search for Meaning karya Victor Frankl, dan A Guide for the Perplexed oleh E. F. Schumacher. Frankl mengajarnya membina kuasa memilih dalam apa jua keadaan. Frankl melakukan ini semasa hidup dalam kem tahanan Nazi Jerman yang sarat dengan kezaliman tanpa peri kemanusiaan – dengan penderaan mental, fizikal dan emosi. Pada satu peringkat, tentera Nazi membakar manuskripnya – tulisan tentang kehidupannya. Itulah hartanya yang tidak ternilai harganya.

Frankl tidak berteriak bertanya “Kenapa aku?” atau “Kenapa semua ini terjadi?" tetapi merubahnya menjadi “Apa yang hidup ini mahu daripada aku?” dan menjawabnya terus dengan kata-kata “Tulislah semula, baiki lagi.” Sepuluh tahun kemudian, Stephen Covey membaca A Guide for the Perplexed, yang menjelaskan konsep pemilihan personal pada tahap yang lebih tinggi dan menjadi pendorong besar dalam kehidupannya.

Seorang lagi yang dirakamkan dalam buku ini ialah Jacquelyn Mitchard yang dianggap oleh New York Times sebagai penulis buku paling laris. Novel pertamanya, The Deep End of the Ocean, adalah buku pertama dipilih untuk Oprah‘s Book Club dan kemudian difilemkan dengan lakonan Michelle Pfeiffer. Sewaktu kecil, ibunya membawa pulang apa saja buku untuk bacaannya, termasuk yang belum sesuai untuknya.

Pada usia 12 tahun, ibunya memberinya novel berjudul A Tree Grows in Brooklyn, karya Betty Smith yang kemudian dibacanya sebanyak 11 kali. Francie Nolan, watak utama dalam buku ini, kemudian menjadi idolanya yang membawanya maju dalam kerjayanya sebagai wartawan. Satu tabiat yang sukar dibuangnya ialah, buku ini wajib dibacanya setiap kali ingin menulis sebuah novel yang baru. Kata Jacquelyn Mitchard, tidak ada buku lain lagi yang dapat memberikan inspirasi kepadanya menjadi seorang penulis, seorang manusia, wanita dan ibu.

Kisah Gary Erickson, tuan punya Clif Bar & Co. Syarikat pengeluar makanan tenaga semula jadi dan makanan kaya nutrien juga tak kurang menarik. Beliau mengimbau peristiwa beberapa minit sebelum beliau hampir-hampir menjual Clif Bar kepada syarikat gergasi bertaraf multinasional. Eksekutif syarikat itu sedang menanti beliau menurunkan tandatangannya dalam kontrak yang telah disediakan.

Ramai pakar telah memberitahu rakan kongsinya bahawa Clif Bar tidak mungkin boleh maju lagi dan mereka perlukan modal besar untuk melonjakkan syarikat itu ke kedudukan yang lebih selamat. Cuma syarikat multinasional itu saja yang dapat melakukannya. Dua syarikat saingan mereka pun telah dibeli oleh syarikat multinasional lain. Kalau dijual, dia dan rakan kongsinya masing-masing menerima AS 60 juta dan tak perlu lagi menghadapi dan menenteramkan pekerja. Mereka boleh bersara dan bersenang-senang.

Beberapa minit terakhir itu beliau menjadi resah gelisah. Tertekan. Gary Erickson kemudian semacam dibisikkan kata-kata “Aku tidak patut melakukannya” dan kemudian beliau sedar bahawa “Aku belum menjualnya.” Melalui telefon, Gary Erickson kemudian memberitahu rakan kongsinya bahawa beliau tidak mahu menjual syarikat tersebut. Melihat Gary Erickson dalam keadaan tertekan, Leslie menghulurkan buku The Legacy of Luna karya Julia Butterfly Hill, sebuah autobiografi tentang seorang wanita mencari jalan memberikan sumbangan baktinya kepada dunia.

Demikianlah, buku ini memperkenalkan kita kepada ramai orang yang hebat dan terkenal dalam bidang masing-masing di Amerika yang hidup mereka berubah setelah membaca buku tertentu.

Setidak-tidaknya pembaca boleh mendapat inspirasi daripada pengalaman mereka ini, membaca tulisan mereka dan buku yang pernah mereka baca. Buku memang mempunyai kuasa merubah kehidupan.

[Utusan Online]

Sunday, January 06, 2008

Etika dalam penyelidikan

Isu-isu etika sangat penting dalam penyelidikan sebagai panduan untuk melengkapkan setiap kajian yang dijalankan. Penyelidik yang tidak mematuhi etika penyelidikan akan merosakkan reputasi penyelidikan sosial.

Tingkah laku beretika diberikan perhatian yang serius dalam sains sosial kerana ia melibatkan manusia sebagai subjek. Ia memberi kaitan langsung terhadap kehidupan subjek yang dikaji. Elemen penting dalam etika ini ialah:


Bahasa – penyelidik menyediakan maklumat lengkap dan bahasa yang mudah difahami. Penerangan juga perlu supaya responden memahami apa yang diinginkan oleh penyelidik.

Perasaan responden – beri masa yang cukup untuk responden menjawab soalan dan tidak boleh bertanya soalan-soalan yang memalukan, menyebabkan kekacauan emosi atau pengalaman yang tidak menyenangkan. Secara umum, penyelidik tidak boleh mendedahkan responden kepada tekanan mental atau fizikal.

Etika dalam semua peringkat kajian – penyelidik harus pentingkan etika pemilihan permasalahan kajian, tentukan kaedah penyelidikan, pengumpulan data, penganalisisan data, interpretasi dan melaporkan kajian.

Mengetahui tahap pendidikan responden – mengambil kira tahap pendidikan sampel yang ingin dikaji. Tidak boleh memberi tugas yang tidak wajar atau rumit kepada responden. Keadaan ini jika berlaku akan menyukarkan proses penyelidikan dan akan mendatangkan tindak balas yang negatif daripada sampel yang dikaji.

Berterus-terang dengan responden – berikan penjelasan kepada responden tentang matlamat dan tujuan kajian. Semua maklumat perlu dijelaskan termasuk prosedur yang terlibat dalam kajian. Dengan itu, responden akan secara sukarela melibatkan diri dalam kajian berkenaan.

Utarakan data yang tepat – bertindak memberikan data yang tidak lengkap, terkeluar dari konteks, memalsukan penemuan atau kemukakan fakta yang mengelirukan dianggap melanggar tatasusila penyelidikan.

Menjaga kerahsiaan responden – penyelidik sama sekali tidak boleh mendedahkan maklumat mengenai sampel kajian sehingga ia boleh menggugat keselamatan atau maruah responden. Hak-hak peribadinya harus dipelihara dan tidak boleh jatuh ke tangan pihak ketiga.

Mematuhi etika penyelidikan adalah tanggungjawab penyelidik. Kegagalan mematuhi etika berkenaan akan menggugat kesahan dan kebolehpercayaan kajian yang dilakukan.

Saturday, January 05, 2008

Nilai sebuah pekerjaan

"Kenapa anda mahu jadi doktor?" saya melemparkan soalan ini, selepas mempertontonkan kepada pelajar di IMU video dari koleksi Stephen R. Covey.

Pelajar yang hadir tersenyum-senyum. "Sebab minat biologi?" saya bertanya.

Ramai yang ketawa. Itu mungkin alasan semasa di Tingkatan 4 dahulu.

"Sebab suka tolong orang?" saya terus bertanya.Ramai yang mengangguk.

"Well, come on. Ramai yang hantar anak buat perubatan supaya boleh rawat ibu bapa sendiri nanti.

Tetapi realitinya, kamu bukan manusia pertama boleh muncul memberikan rawatan jika berlaku apa-apa kepada ibu bapa. Malah ketika di bilik pembedahan dan wad kecemasan, ahli keluarga bukanlah calon terbaik untuk merawat ahli keluarga sendiri.

Namanya "profesionalisma," saya menyambung provokasi.

"Kamu nak tolong suami, isteri dan anak-anak? Rasa saya, suami doktor, isteri doktor dan anak-anak doktorlah yang paling banyak kena berdikari," saya terus mencucuk jarum.

"Saya selalu beritahu isteri, bahawa apabila awak berjaya jadi specialist nanti, jangan lupa bahawa orang yang paling banyak berkorban ialah tiga orang ini. Anak-anak kita. Merekalah yang berkorban, melepaskan masa yang sepatutnya kita beri kepada mereka, agar kita berjaya," saya berkongsi cerita.

Saya sengaja mengacah pelajar-pelajar di IMU supaya berfikir bersungguh-sungguh, mengapa mereka memilih bidang perubatan.

Jika anda seorang perempuan yang bakal menjadi doktor, anda perlu tahu bahawa walaupun negara amat terdesak kepada adanya ramai tenaga pakar, anda tidak akan diberikan "kemudahan" untuk menjadi pakar. Anda tidak ada cuti bersalin, seandainya anda "termengandung" semasa sedang membuat program pakar. Anda tidak menerima sebarang elaun untuk membeli buku. Semua kena guna duit sendiri.


Kursus dan seminar yang anda hadir, anda mesti membayarnya sendiri. Mungkin anda terpaksa menawarkan diri menjadi AJK agar dapat dikecualikan dari yuran, walaupun anda tahu akibat menjadi AJK itu. Semua orang mahu anda bekerja seperti orang lain, ketika anda terdesak menghadapi peperiksaan. Tiada belas, tiada insentif.

Misalnya isteri saya, kerana 2 minggu cuti yang diperuntukkan untuk kecemasan dan lain-lain, sudah pun digunakan bersalin, lupakanlah kenduri kendara di kampung, lupakanlah ibu bapa, 6 bulan tiada cuti. Bukan calang-calang kerja.

Anda mahu menjadi pelajar perubatan kerana mahu menolong orang? Tolonglah diri sendiri kerana anda yang amat memerlukan pelbagai pertolongan itu nanti.

"Maka, apa tujuan anda mahu menjadi doktor?" soalan yang sama saya ulang sekali lagi. Pelajar-pelajar itu termenung. Sesi soal jawab tiada soalan, kerana semua soalan adalah untuk ditanya kepada diri sendiri, dan diri sendirilah yang perlu menjawabnya.

Persoalan nilai

Kuliah kali ini adalah tentang nilai. Apa nilai yang dibawa dalam sebuah pekerjaan? Dalam sebuah kehidupan. Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja rumahnya, kerjanya "melayan suami," tidak mungkin mampu dibalas walaupun dengan bayaran RM2,000 sebulan, maka nilai apakah yang ada pada dirinya?

Saya tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu menghargai isterinya, tetapi dalam kes ini, si perempuan itu sudah menjatuhkan dirinya.

Seorang ibu membuat kerja rumah kerana nilai kasih sayang. Seorang isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas nilai kasih sayang. Maka tanpa kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber kebencian.

Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan sesuatu adalah sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku kita terhadap pekerjaan yang kita lakukan.

Nilai duit

Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan dengan banyak masalah , walaupun wang berjaya diperolehi. Sekarang ini sudah menjadi satu trend kepada dua industri, kalau boleh saya katakan industri.

Yang pertamanya adalah industri perubatan, dan yang keduanya, industri berkaitan petroleum . Trend yang saya maksudkan di sini, adalah perpisahan di antara seorang suami atau isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan desakan nilai wang itu tadi.


Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumah tangga, berpisah sementara demi melepaskan isteri yang bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk.

Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum, bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan. .. tetapi output daripadanya merunsingkan.

Itu, belum lagi dikorek kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur. Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya ditakdirkan Allah bertemu dengan outputnya.

Saya bertemu dengan anak-anak remaja yang mana ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun. Saya bertemu dengan kes suami main kayu tiga ketika isteri meninggalkannya gersang setahun di tanah air. Saya juga bertemu dengan kes isteri yang mem"poligami" kan suaminya dengan bersuamikan orang lain semasa di perantauan.

Dan kes-kes ini membiak dari semasa ke semasa. Tidak pernah menjadi tajuk berita. Tentu sahaja, hasil kewangan dari kenaikan pangkat dengan bekerja jauh dari pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga.

Tetapi perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada nilai material?


Nilai - Harga - Korban

Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga. Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah harga yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu?

Kehancuran rumah tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa... itulah harga yang mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan asas bekerja.


Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang, "mereka adalah generasi yang kesunyian."

Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki itu memberi sesuatu yang tiada diperolehi remaja tersebut di dalam keluarganya iaitu kasih sayang dan perhatian.

Malam ini saya mahu pelajar-pelajar yang hadir ke kuliah ini, melatih diri mereka dengan tabiat "Begin With the End in Mind." Lihatlah apa yang menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor perubatan, jurutera dan sebagainya.

Tentukan nilai seawal perjalanan

Maka, semenjak mereka di bangku pengajian, soal nilai yang ingin dibawa pada kerjaya pada masa hadapan, mesti ditentukan.

Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah selagi mampu, kejarlah habuan material yang dikejar selama ini, tetapi anda perlu meneliti harga yang perlu dibayar.

Perhatikan di mana korbannya? Harga dan korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit,dan yang paling besar, mungkin sistem itu sendiri.


Apabila mendengar kawan-kawan saya dan isteri, mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan doktor, hati menjadi terhiris. Sama ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah seorang daripada mereka.

Provokasi demi masa depan

Atas provokasi inilah, saya mengajak sahabat-sahabat, untuk menyemak hubung kait bidang pekerjaan dengan tujuan hidup mereka. Kenang kembali siapa mereka di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi.

Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia yang disembah. Yang diabdikan diri kepadaNya. Ia hablun minaLlah. Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaanNya, kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikanNya ke alam ini. Ia hablun minannaas.

Buat baik kepada sesama manusia, boleh dengan sedekah, boleh dengan memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan yang paling utama, adalah pada menjadikan kerja sebagai ibadah.

Memberi kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada kita.


Jika kerja jadi ibadah

Jika kerja jadi ibadah, Allah adalah "CEO" kita. The unsung hero beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan.

Jika kerja jadi ibadah, ia jalan taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya. Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan keperluan, asalkan luas perjalanan mencapai tujuan.

Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja. Teruskan cita-cita menjalani kerjaya masing-masing.

[ingatan@yahoogroups.com]

Kes dera: Pek Ha diperintah bela diri

Suri rumah, Yim Pek Ha diperintah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini supaya membela diri atas empat tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas pembantu rumahnya warga Indonesia, Nirmala Bonat kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas beliau mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat tuduhan yang dihadapi oleh Pek Ha, 39.

Dalam keputusan lisannya, Akhtar berkata, beliau berpuas hati dengan keterangan Nirmala sebagai saksi pendakwa bahawa tertuduh yang menyebabkan kecederaannya dan adalah mustahil tertuduh dan suaminya sebagai majikan tidak mengetahui kecederaan yang dialami oleh mangsa.

“Nirmala (dalam keterangannya) memberitahu walaupun dia tidak basuh rambut pun, tertuduh akan tahu tapi dalam kes ini tertuduh dan suaminya langsung tidak membawa mangsa untuk diberi rawatan walaupun mengalami cedera parah.

“Ini menunjukkan bahawa tertuduh hendak menyembunyikan sesuatu dan ini bukan tingkah laku majikan yang prihatin,” katanya dalam nada tegas.

Sebaik sahaja selesai keputusan dibacakan, Pek Ha yang kelihatan tenang di kandang tertuduh selepas dimaklumkan mengenai tiga pilihan bela diri yang diperuntukkan, suri rumah itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan ibu kepada empat orang anak itu yang diwakili oleh dua peguam bela, Jagjit Singh dan Akbardin Abdul Kader, mula memberi keterangan bela diri pada 28 Januari ini.

Pek Ha dibicarakan setelah dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala, 22, menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di 22B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala menggunakan cawan besi pada 3 petang 17 Mei 2004 di tempat yang sama.


Bagi tiga tuduhan pertama, Pek Ha didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Tuduhan keempat dibuat mengikut Seksyen 325 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.


Sebanyak 16 saksi pendakwa telah dipanggil oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang mengambil masa lebih tiga tahun sejak dimulakan pada 28 September 2004.

Akhtar dalam keputusannya berkata, apa yang menarik perhatiannya dan tidak boleh dipertikaikan adalah gambar-gambar dikemukakan oleh pihak pendakwaan yang menunjukkan kecederaan Nirmala selepas laporan polis dibuat.

“Gambar ini menceritakan apa yang berlaku dan apa yang penting, gambar ini menunjukkan mangsa memang telah mengalami kecederaan yang ketara walaupun diambil selepas empat atau lima bulan kejadian berlaku,” ujarnya sambil menyatakan beliau tidak perlu menjadi pakar untuk berkata seperti itu.

Beliau berkata, memandangkan tiada saksi lain (eye witness) yang melihat kejadian itu, kes pendakwaan secara keseluruhannya adalah bergantung kepada keterangan mangsa semata-mata.

Berikutan itu, katanya, beliau perlu menilai keterangan mangsa dari tiga aspek iaitu tingkah laku (demeanour), kandungan keseluruhan keterangan yang telah diberikan mangsa dan keterangan sokongan.

Sebagai hakim kes itu, katanya, beliau telah meneliti tingkah laku Nirmala melalui cara dia memberi keterangan dan cara dia menjawab soalan serta dari segi air mukanya, lalu merumuskan gadis itu adalah seorang saksi yang jujur dan menjawab soalan dengan terang serta jelas.

“Walaupun tidak dinafikan terdapat percanggahan dalam keterangan mangsa dan ada perkara yang mangsa akui tidak benar tetapi adakah percanggahan itu begitu material sehingga boleh menyatakan saksi ini (Nirmala) tidak boleh dipercayai?” soal Akhtar.

Menurut hakim tersebut, beliau menerima penjelasan Nirmala mengenai butiran palsu yang tercatat dalam borang permohonan kemasukannya ke negara ini dan laporan polisnya pula bukan keseluruhannya tidak benar.

“Percanggahan keterangan Nirmala di mahkamah (dengan laporan polis mangsa), pada hemat saya ia berlaku akibat soalan bertubi-tubi oleh peguam bela.

“Ini menyebabkan saksi (Nirmala) akan merasa gusar dan ada kemungkinan dia memberi keterangan berbeza tapi ini tidak bermakna seseorang itu tidak boleh dipercayai,” katanya.

Dengan mengetepikan percanggahan tersebut, kata Akhtar, keterangan mangsa adalah konsisten dan tidak dicabar bahawa tertuduh yang mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.


Malahan, katanya, mangsa dengan jelas dapat memberitahu bagaimana kejadian itu berlaku dan mengenal pasti objek-objek yang dikemukakan di mahkamah.

Sebagai contoh, katanya, Nirmala dapat menjelaskan bagaimana tertuduh sendiri telah meminta mangsa membersihkan seterika panas yang digunakan untuk menekap dadanya kerana ada kulit yang terlekat.

Hakim tersebut turut menolak hujah pembelaan yang menyatakan kecederaan itu dilakukan sendiri oleh Nirmala berdasarkan gambar mangsa terutama gambar kecederaan di bahagian belakang mangsa.

Di samping itu, katanya, hujah pembelaan yang menyatakan kecederaan dilakukan oleh Nirmala kerana masalah mental dan epilepsi (sawan) adalah tidak berasas.

“Selama tiga tahun kes ini berjalan, saya perhatikan mangsa adalah normal dan tenang serta tidak menunjukkan sikap ganas,” katanya sambil menambah beliau tidak dapat mengesan masalah mental Nirmala seperti yang didakwa peguam bela.

Akhtar berkata, keterangan mangsa turut disokong oleh keterangan bebas terutama gambar tersebut, keterangan dua pengawal keselamatan yang menemui mangsa, keterangan doktor yang pertama memeriksa Nirmala dan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

[Utusan Online]

Friday, January 04, 2008

Natipah raih RM15,000 sebulan hasil ikan air tawar

Berkat mengusahakan tanah sawah terbiar, seluas dua hektar kira-kira 25 tahun lalu, kini mampu membuatkan seorang pengusaha di Kampung Ulu Sungai Buloh, Alor Gajah, Melaka, tersenyum lebar apabila projek ternakan ikan air tawar di kawasan itu, berupaya memberi pulangan lumayan.

Pengusaha berkenaan, Natipah Isnin, 48, sekarang mampu meraih pendapatan kasar antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan sekali gus membuktikan bidang pertanian menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan secara tekun.

Natipah yang dibantu suaminya, Kamarudin Hashim, 49, yang bekerja di Risda dan dua anaknya kini aktif membina empayar perniagaan ikan air tawar kerana mendominasi bekalan ikan air tawar bagi kawasan selatan khususnya di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Pada awalnya, beliau yang juga Ahli Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Alor Gajah ini mengusahakan tiga kolam ikan milik keluarga di atas tanah terbabit yang kemudiannya diperluaskan kepada 20 kolam ikan seluas 0.2 hektar setiap satu.

Antara ikan air tawar diternak ialah keli Afrika, patin, tilapia merah, bawal merah, lee koh, jelawat dan lampam jawa untuk dipasarkan ke pasar tani, restoran serta pengusaha kolam pancing.

Mengimbau pembabitannya dalam dunia perniagaan, Natipah berkata, beliau terdedah kepada dunia ternakan ikan air tawar sejak berusia belasan tahun, selepas melihat ibu bapanya yang menternak ikan secara kecil-kecilan sebagai hobi selain sumber pendapatan sampingan.

[Berita Harian Online]

Thursday, January 03, 2008

Sejauhmana MCA mampu melahirkan pemimpin bermoral dalam politik Malaysia?

Tahun baru 2008 tidak memberi harapan yang diimpikan kepada parti politik utama kaum Cina di Malaysia, MCA, khususnya kepimpinan bermoral. Semangat dan azam baru tidak mampu untuk melindungi kekecewaan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat apabila mendengar pengakuan terbuka hubungan sulit seorang menteri kabinet yang juga memegang jawatan kanan dalam MCA.

Ia lebih mengecewakan apabila kita memikirkan kepimpinan contoh dari kaum Cina Malaysia ketika ini didominasi oleh MCA. Di dalam kotak sebahagian besar masyarakat Malaysia ialah bagaimana MCA, sebagai parti politik yang mewakili etnik Cina menyusun strategi bagi membentuk dan melahirkan seorang bakal pemimpin parti itu pada masa depan. Urusan perkaderan sangat penting bagi mempastikan legasi kepimpinan terus berjalan setiap kali pertukaran pemimpin berlaku.

MCA bukannya sebuah parti politik yang maksum daripada kesilapan dan kesalahan. Sudah ada pemimpin kanan parti yang berkonflik sesama sendiri sama ada berkaitan pertandingan dalaman, urusan bisnes atau bertumbuk ketika persidangan diadakan. Tetapi konflik peribadi yang melibatkan hubungan seks di luar nikah adalah luar biasa kesannya kepada watak dan peribadi pemimpin.

Sama ada parti politik kerajaan atau pembangkang, kisah hubungan seks ahli-ahli parti ini menjadi perhatian umum seperti yang berlaku dalam kes Vijandran beberapa tahun lalu.

Keberanian menteri berkenaan membuat pengakuan secara terbuka penglibatan beliau dengan wanita muda disifatkan sangat hebat. Beliau sendiri yang mendedahkan aib diri untuk pengetahuan umum. Tindakan ini memberi implikasi besar bukan sahaja kepada dirinya malah keluarga, rakan taulan dan organisasi yang ada hubung kait dengan beliau.

Simpati masyarakat terhadapnya tetap ada tetapi tidak mampu untuk menghalang mereka daripada mencemuh dan mengkritik perlakuan yang tidak bermoral ini. Kata-kata nista telah bergema di sekitar beliau dan masyarakat Malaysia secara umum tidak dapat menerima sifat seorang pemimpin yang berkelakuan tidak bermoral. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana konsep kepimpinan melalui teladan masih menjadi teras kepada kepimpinan masyarakat.

Peribadi pemimpin menjadi contoh kepada masyarakat kerana baik pemimpin baiklah masyarakat. Justeru itu, pemimpin yang tidak bermoral di dalam masyarakat wajar diketepikan kerana kepentingan rakyat dan negara lebih penting daripada kepentingan individu.


Sejarah hitam yang dipalitkan ke muka MCA adalah gambaran kualiti kepimpinan parti itu. Anggapan orang ramai terhadap pemimpin lain dalam MCA telah berubah sama sekali. Biarpun pelakunya telah meletakkan jawatan, namun imej buruk peribadi pemimpin utama ini akan terus menjadi kajian dan buah mulut orang ramai.

Kita ingin melihat apakah strategi seterusnya yang akan dilakukan oleh MCA bagi memulihkan imejnya dalam senario politik negara. Pendekatan terbaik ialah membuat pengukuhan dan ikrar untuk menolak mana-mana pemimpin yang berjawatan dalam kerajaan dan parti.

Nilai-nilai kepimpinan yang baru perlu menjadi salah satu elemen penting dalam kursus-kursus kepimpinan kerana nilai beginilah yang menjadi pengawal kepada tingkah laku menyimpang dan songsang.

MCA sebuah parti politik yang kukuh dari segi kewangan dan tidak ada masalah untuk mengumpulkan dana bagi sebarang aktiviti. Tetapi wang yang banyak tidak mampu untuk membeli seorang pemimpin yang jujur, amanah dan berakhlak mulia kerana ciri-ciri ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Nilai-nilai diri seorang pemimpin dibentuk oleh jenis latihan dan didikan. Pemimpin tidak dilahirkan dalam masa satu hari, satu minggu atau satu bulan sebaliknya melalui proses, ujian dan cabaran. Pemimpin juga perlu ada seorang pendidik atau murabbi yang akan membimbing, memberi tunjuk ajar dan dapat memberi teguran jika melakukan kesilapan.

Dunia pengurusan dan kepimpinan moden meletakkan ketua atau bos di dalam organisasi sebagai pembimbing. Saranan ini dilihat agak tersasar kerana belum tentu bos ini dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang terbaik.

Konsep yang dibawa oleh Islam lebih tepat kerana falsafah dan konsep yang diterapkan sangat kukuh dan membawa setiap pemimpin untuk mentautkan diri dengan Tuhannya. Konsep yang digunakan ialah "jalan yang lurus" seperti maksud ayat dalam surah al-fatihah: tunjukilah kami jalan yang lurus.

MCA perlu menilai kembali strategi perkaderan yang digunakan sekarang bagi mengenal pasti kelemahan sehingga melahirkan seorang pemimpin penting dalam parti itu yang tidak mengendahkan perlakuan moral yang baik dan menjadi contoh kepada masyarakat. Merancang kepimpinan yang bermoral adalah satu kemestian jika hendak mendapat sokongan masyarakat Malaysia selepas ini.