Thursday, December 13, 2007

Kuat bekerja

"Rahsia paling besar dalam hidup ialah ianya tidak ada rahsia apa pun. Apa sahaja yang ada, anda mampu capai jika anda mahu berusaha." -Oprah Winfrey

Definisi mudah untuk kuat bekerja ialah cabaran-cabaran yang ada bagi mencapai kejayaan.

Kenapa cabaran penting? Kenapa tidak melakukan yang senang sahaja?

Kebanyakan orang lebih suka melakukan yang senang dan mengelak membuat kerja yang susah atau sukar. Peluang-peluang untuk berjaya dalam hidup akan dipenuhi oleh mereka yang melihatnya sebagai mudah. Lebih sukar cabaran biasanya tidak ramai yang akan bersaing, justeru menjadikan peluang untuk meraih kejayaan lebih banyak bagi mereka yang bersemangat waja.

Suatu masa dahulu terdapat sebuah lombong emas yang dalamnya dua batu jauh ke dalam bumi di Afrika. Ia memerlukan berpuluh-puluh juta ringgit untuk mengalinya kerana di dalam bumi itu terdapat lombong emas paling mahal dan menguntungkan. para pelombong yang terlibat berusaha menghadapi setiap cabaran dengan bekerja keras, sehinggalah usaha mereka berjaya.

Cabaran yang besar dikaitkan dengan hasil yang besar. Kadangkala kita mendapat nasib yang baik dan senang mendapat kejayaan tetapi apakah kita dapat mempertahankan kejayaan tersebut, atau secara kebetulan?

Adakah kita berupaya mengulangi kejayaan tersebut? Apabila kita dapati orang lain mengetahui bagaimana kita mencapai kejayaan, tiba-tiba di sekitar kita penuh dengan persaingan.

Apabila kita mendisiplinkan diri bagi melakukan sesuatu usaha yang sangat sukar, kita dapat melepasi keputusan yang dinafikan oleh orang lain. Kesediaan melakukan sesuatu yang sukar umpama memiliki kunci kepada bilik khas harta karun.

Satu perkara yang sangat menarik tentang kuat bekerja ialah ia mempunyai makna yang sangat luas. Tidak kira bidang yang kita ceburi, konsep kuat bekerja boleh digunakan untuk meraih hasil dalam jangka masa panjang tanpa mengira bidang pengkhususan.

Saya menggunakan falsafah yang sama bagi membina bisnes pembangunan diri ini. Saya melakukan banyak perkara yang sukar. Cuba mencari topik yang besesuaian dengan pembaca, menyelidik minat dan mencari daya penarik melalui pembacaan dan penyelidikan. Saya menulis artikel dan memberi idea yang terbaik dengan percuma, saya melancarkan bisnes ini pada Oktober tahun lepas dan melakukannya sepenuh masa tanpa bayaran.

Dalam pada itu, saya menyertai pasukan latihan yang terlibat memberi kursus kepada pelbagai jabatan. Di sini saya membina kemahiran bercakap dan mengendalikan kelompok kecil. Pada masa yang sama, saya sedang melengkapkan sijil amalan kerja kelompok dengan sebuah institusi pengajian tinggi awam sementara membuat analisis bagi tesis sarjana saya.

Semuanya memerlukan usaha dan barangkali saya perlukan setahun lagi untuk memasuki bisnes yang mencabar.

Saya mengambil inisiatif yang sama untuk menulis sebuah buku. Ia kerja yang susah. tetapi saya mahukan sebuah buku yang orang masih membacanya walaupun telah lima tahun berlalu. menulis buku jenis ini sepuluh kali ganda lebih susah.

Kuat bekerja hasilnya berbaloi. Apabila seseorang bertanya apa yang akan terhasil selepas itu, usaha kita sebelum itu telah pun berjaya. Lebih besar semangat kita bekerja, lebih besar ganjaran berada di dalam genggaman. Lebih dalam kita menggali, lebih banyak potensi untuk berjumpa dengan kejayaan.

Menjaga kesejahteraan adalah kuat bekerja. Mengekalkan hubungan persahabatan adalah kuat bekerja. Menetapkan matlamat, membuat perancangan dan berusaha merealisasikan impian adalah kuat bekerja. Malah gembira adalah hasil daripada kuat bekerja yang datang daripada harga diri yang tinggi.

Kuat bekerja beriringan dengan penerimaan. Satu perkara yang kita mesti terima ialah ada sesetengah bidang di dalam hidup kita yang tidak boleh tunduk kepada apa-apa perkara kecuali kuat bekerja. Barangkali kita tidak bernasib baik dalam persahabatan, dan satu cara untuk menghadapinya ialah lakukan apa sahaja yang dapat mengelakkannya daripada berlaku.

Barangkali kita mahu meningkatkan pendapatan. Kita harus menerima hakikat bahawa satu jalan yang dapat merealisasikannya ialah kuat bekerja.

Kehidupan kita akan mencapai tahap kehidupan yang baru apabila berhenti daripada mengelak berhadapan dengan sifat kuat bekerja ini dan menyerah kepada cara berfikir begitu. Jadikan sifat kuat bekerja sebagai rakan, bukannya musuh. Apabila kita sedang menapak ke puncak kejayaan, barulah kita sedar betapa kuat bekerja adalah teman kejayaan kita yang sangat hebat.

Kerajaan Belanda peruntukkan €2.5 juta untuk promosi homoseksual

Kerajaan Belanda pernah memimpin masyarakat dunia untuk mengiktiraf kegiatan homoseksual dengan memperkenalkan gerakan politik homoseksual. Kini, mereka sedang menjadi jaguh untuk bagi meruntuhkan perbezaan pendapat daripada "persepsi rasmi toleransi" ke atas kegiatan homoseksual khususnya warganegara Belanda yang terikat dengan nilai dan tradisi agama.

Pakatan kerajaan itu telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak €2.5 juta dari tahun 2008 hingga 2011 bagi mempromosi homoseksual sebagai kegiatan yang normal dalam masyarakat. Kerajaan Belanda berkata wang tersebut akan digunakan bagi program yang mensasarkan anak-anak muda Islam di sekolah, kelab sukan atau persatuan kejiranan. Matlamat akhir program ini ialah mempastikan aktiviti homoseksual diterima di dalam masyarakat tanpa ada prejudis.


Di Belanda, pengamal homoseksual mendapat hak yang sama seperti orang lain bagaimanapun kegiatan ini tidak mendapat tempat di kalangan mereka yang mengamalkan ajaran agama.

Belanda adalah negara pertama di dunia yang menginstitusikan perkahwinan sejenis dan membenarkan pasangan ini mengambil anak angkat.


Polisi ini akan dikembangkan lagi kepada kegiatan sumbangan atau derma untuk negara asing khususnya yang sedang membangun. Program ini selaras dengan cita-cita kerajaan Belanda bagi mempromosi persamaan hak untuk kelompok homoseksual seberapa banyak yang boleh.

Kerajaan Belanda juga akan memaklumkan kepada duta di negara-negara membangun supaya meningkatkan tekanan kepada mana-mana negara tersebut yang melakukan diskriminasi terhadap golongan homoseksual.

Contoh perlakuan homoseksual yang hendak diterapkan ialah tidak ada apa-apa yang salah apabila dua orang lelaki yang bercium di khalayak. Bagaimanapun undian umum yang dibuat baru-baru ini menunjukkan 48 peratus daripada masyarakat terkejut dengan kelakuan tersebut dan jumlah ini meningkat 75 peratus apabila melibatkan golongan pendatang asing.

Pengamal homoseksual Belanda sangat berpengaruh di Kesatuan Eropah di mana mereka sedang memberi tekanan kepada Poland untuk menerima pakai prinsip Hak-hak Asasi yang menjadi instrumen penting kepada pelaksanaan program dan aktiviti homoseksual.

Kumpulan berkenaan,
ILGA-Europe memuji tindakan Pesuruhjaya Kesatuan Eropah yang sedang meningkatkan tekanan kepada Turki dan Serbia supaya menjadikan kegiatan homoseksual sebagai aktiviti normal jika ingin menjadi sebahagian daripada kesatuan itu.

ILGA-Europe adalahsebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili organisasi homoseksual seperti pondan, mak nyah, darai, biseksual dan sesama jantina di seluruh Eropah. Sehingga kini terdapat 200 organisasi dan pertubuhan ini semakin kukuh mengembangkan konsep persamaan hak. Beribu pejabat di Brussels dan mempunyai tujuh orang kakitangan. Ia juga menerima bantuan kewangan dari Kesatuan Eropah.

Antara program dan kempen yang sedang dijalankan ialah 2007 European Year of Equal Opportunities, Freedom of Assembly and Expression, Freedom of Movement, Health Project dan Social Exclusion.

Wednesday, December 12, 2007

Teknologi jana integriti perkhidmatan awam

Tidak sukar untuk memahami mengapa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mahu perkhidmatan awam negara keluar dari persepsi negatif dan membawa dimensi baru perkhidmatan awam yang memiliki penghormatan tinggi.

Ketua Setiausaha Negara mahu perkhidmatan awam menjadi institusi yang memenuhi keperluan rakyat. Perkhidmatan awam negara yang unggul dan memahami rintihan serta jeritan rakyat. Menjadi jentera kerajaan yang mempertahankan kedaulatan pemerintah yang dipilih oleh rakyat. Asas kepada sebuah perkhidmatan kerajaan yang diharap mampu mentransformasinya sehingga menjadi ikon kepada pembangunan negara ialah integriti. Integriti menjadi pemangkin kepada keyakinan orang ramai kepada kerajaan dan sekali gus kepada perkhidmatan awam.

Sejarah peradaban tamadun manusia menunjukkan keutuhan kerajaan berpaksikan kepada keutuhan jentera perkhidmatan pemerintahnya. Ruang yang memisahkan perkhidmatan awam yang baik dan sebaliknya ialah integriti. Sekali lagi kita diasak supaya sentiasa memberi perkhidmatan kepada orang ramai dengan penuh integriti dan menghidangkan sistem penyampaian yang cekap serta berkualiti.

Tuntutan orang ramai untuk mendapatkan khidmat daripada jentera kerajaan tidak terbatas. Rakyat sudah tahu menilai prestasi perkhidmatan awam masa kini. Rakyat sudah boleh akses melalui teknologi terhadap tugas dan tanggungjawab jentera kerajaan. Piagam pelanggan yang mencatatkan janji perkhidmatan awam melaksana tugas dalam tempoh tertentu menjadi rujukan rakyat. Orang ramai akan mempersoalkan sebarang kelewatan dalam perkhidmatan yang ditawar oleh jabatan kerajaan jika tidak selari dengan apa yang dijanjikan. Laman web yang disediakan oleh agensi kerajaan dengan mudah diakses oleh rakyat. Rakyat boleh mengetahui siapa peneraju sesebuah jabatan atau agensi kerajaan. Orang ramai pada setiap masa boleh berhubung dengan mana-mana jabatan untuk mengadu hal, bertanyakan sesuatu perkhidmatan yang ditawarkan dan lain-lain lagi. Perlu juga diingat, orang ramai juga boleh menyalur terus sesuatu perkara kepada ketua jabatan hatta terus kepada menteri yang bertanggungjawab atau kepada Perdana Menteri sekalipun. Kuasa rakyat semakin jelas mahukan yang terbaik daripada perkhidmatan awam.

Perkhidmatan awam sentiasa diperhatikan dengan penuh waspada oleh orang ramai. Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu pun, isu perkhidmatan awam tidak terlepas daripada menjadi bahan pidato perwakilan. Ini menunjukkan rakyat semakin sensitif dengan sistem penyampaian kerajaan. Kemakmuran negara dijenterakan oleh perkhidmatan awam yang cekap.

Integriti, sistem penyampaian awam, piagam pelanggan, memenuhi keperluan rakyat dan sebagainya merupakan analogi yang sering menjadi piawaian jentera perkhidmatan awam menurut kaca mata orang ramai. Ini bermakna penjawat awam tidak ada pilihan kedua atau ketiga dan seterusnya. Pilihan yang ada hanyalah satu iaitu mesti melaksana tugas dengan penuh integriti.

Tugas yang dijalankan harus seiring dengan penghayatan nilai murni dan berteraskan etika kerja mulia. Bahasa integriti itu satu. Integriti menyentuh harga diri dan penghormatan. Dalam konteks antarabangsa, integriti sudah menjadi satu produk jenama negara yang menjadi indikator utama keupayaan negara bersaing secara dinamik di pentas global. Pelabur hanya mahu mencurahkan wang pelaburan di negara yang integriti jentera kerajaannya tidak dipersoalkan.

Seperti mana yang ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Negara, tuntutan rakyat ke atas perkhidmatan awam masa kini sudah jauh berlainan dengana zaman lalu yang ditinggalkan.

Untuk memaksimumkan keupayaan jentera kerajaan memenuhi kehendak orang ramai, aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi wajar dieksploitasi oleh penjawat awam. Ketua Setiausaha Negara sendiri sudah mempelopori penggunaan ‘teknologi di hujung jari’ dalam melaksana tugas seharian. Meningkatkan keupayaan teknologi bermakna mempercepatkan proses membuat keputusan dan menyerap budaya menyegerakan tindakan. Dalam keadaan tertentu akan mengurangkan interaksi rakyat dengan penjawat awam yang memungkinkan wujudnya soal tawar-menawar, rasuah dan penyelewengan dalam sesuatu urusan kerajaan.

Kastam Diraja Malaysia salah satu contoh jabatan kerajaan yang mengintegrasikan teknologi dalam memperkasa integriti dan memperkukuhkan sistem penyampaian kerajaan. Sebagai agensi penguat kuasa dan pemungut hasil untuk negara, KDRM tiada pilihan lain kecuali mengukuhkan integriti di kalangan pegawai dan kakitangannya melalui aplikasi teknologi. Integriti dalam konteks KDRM tidak terhad kepada soal-soal rasuah dan penyelewengan. Seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Abd. Rahman Abd. Hamid, Ketua Pengarah Kastam Malaysia bahawa isu ketidakcekapan melaksana tugas, telus, prestasi tugas, keupayaan menyumbang perlaksanaan tugas organisasi dan pembangunan negara, soal pengetahuan, kewibawaan dan kejujuran dalam melaksana tugas mempunyai pertalian rapat dengan integriti.

KDRM percaya sistem atau proses kerja yang dibangunkan berteraskan teknologi mampu mengurangkan kerenah birokrasi, menyegerakan perlaksanaan arahan, membantu pengoperasian sistem kerja yang lancar dan lain-lain. KDRM adalah antara agensi kerajaan yang awal menyahut seruan kerajaan ke arah penggunaan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses kerja sebaik sahaja kerajaan elektronik dilancarkan.

[Utusan Online]

Monday, December 10, 2007

Growing Up in Trengganu

Judul buku: Growing Up in Trengganu
Penulis: Awang Goneng
Penerbit: Monsoon Books
Harga: AS$15.95
Pengulas: Baharom Mahusinwan

Ahmad Hulaimi tinggal di London begitu lama, iaitu lebih separuh daripada usianya yang kini menjangkau 60 tahun. Beliau tiba di England ketika usia remaja untuk belajar di London School of Economics (LSE) pada awal 1970-an.

Hulaimi belajar bidang undang-undang di LSE. Sekembalinya ke Malaysia pada pertengahan tahun 1970-an beliau bekerja sebagai tutor di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya sebelum bertukar kerjaya menjadi wartawan, mula-mulanya sebagai penulis kanan di The New Straits Times sebelum berkhidmat dengan agensi berita Bernama.

Pada tahun 1979 beliau kembali ke London dan sejak itu terus-menerus menjadi penulis yang berpangkalan di sana.

Kehidupan di kota London tidak pernah membuatkan Hulaimi melupakan negeri kelahirannya, Terengganu.

Tiga setengah tahun lalu, pada usia 57 tahun, beliau memulakan blog Kecek-Kecek dalam Internet untuk menceritakan pengalaman masa kecilnya di Terengganu dan keindahan kehidupan di negeri Pantai Timur itu.

Penulisannya berasaskan fakta-fakta yang diperoleh daripada memorinya dan hasil penyelidikannya di beberapa perpustakaan dan arkib di London. Nada tulisan- tulisan itu kadangkala begitu nostalgik.

Dalam Kecek-Kecek, Hulaimi menggunakan nama samaran Awang Goneng. Secara konsisten sejak 2004 Awang Goneng memperkatakan tentang Terengganu, manusia, bahasa dan sosio-budayanya, khususnya pengalaman pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an ketika Awang Goneng membesar di sana.

Dua bulan lalu, kompilasi tulisan Awang Goneng dalam Kecek-Kecek telah dibukukan oleh penerbit dari Singapura, Monsoon Books, dengan judul Growing Up in Trengganu.

Awang Goneng menceritakan bagaimana dia membesar dalam masyarakat Melayu di Terengganu yang tinggal di sebuah negeri menghadap Laut China Selatan dengan bahasa Terengganu menjadi identiti mereka, dan bahasa itu, menurut beliau, memaparkan falsafah shyness yang juga wujud dalam komuniti puak Indian Wintu di Amerika Utara.

Nama Terengganu itu sendiri, menurut Awang Goneng, tidak digunakan oleh penduduk Terengganu. Orang Terengganu memanggil negeri mereka ‘Trengganu.’ Dalam tradisi keluarga Awang Goneng, mereka memanggil negeri itu ‘Teganung.’ manakala orang lain memanggilnya ‘Teganu.’ Ada juga yang sekadar gunakan ‘Ganu’ atau ‘Gganu.’

Untuk blog Kecek-Kecek dan buku Growing Up in Trengganu, Awang Goneng memanggil negerinya ‘Trengganu.’

Buku setebal 336 halaman itu bukan sebuah buku sejarah tetapi merupakan koleksi tulisan yang amat tajam pengamatan penulisnya tentang nilai-nilai yang membentuk masyarakat Terengganu.

Awang Goneng memulakan kisahnya dengan cerita ibunya, rumah Terengganu, tikar mengkuang, lempok durian dan nasi dagang. Dari halaman ke halaman pembaca kemudian dibawa oleh Awang Goneng mengenali Terengganu dengan cerita-cerita yang jarang kita dengar mengenai Istana Maziah, Bukit Putri, Pantai Teluk, Batu Buruk, Kuala Terengganu, Besut, Bukit Besi, Kuala Manir, Dungun dan banyak lagi.

Dengan kupasannya yang menarik, Awang Goneng juga memperkenalkan karakterkarakter dari Terengganu yang amat dekat dengan hidupnya daripada ibu, bapa, Ayoh Ngoh Pok We, Wan Salleh, Tok Pelam, Wang Mamat, Wang Mang Perahu Besar, Ah Chin Tukang Jahit, Abdullah AlYunani, Pok Mat Nasi Minyok, Talib Ahmad Turki, Che Mat Dok Dek, Cikgu Wan Chik, Lay Ling, Chee Seek, Dr. Sunder Raj dan berpuluh-puluh lagi nama yang tidak pernah kita dengar dalam buku-buku lain tetapi menjadi personaliti yang menyerikan Growing Up in Trengganu.

Ia diindahkan lagi dengan pantun-pantun lama yang digunakan oleh masyarakat Terengganu, antaranya: Bas kompeni, Jatoh dalam lokang; Kelahi laki bini, Berebut kepala ikang.

Memandangkan artikel-artikel dalam buku Growing Up in Trengganu asalnya adalah catatan Awang Goneng dalam blog Kecek-Kecek, tulisannya pendek-pendek. Artikel berjudul Doh Nok Wak Guane, misalnya, cuma sepanjang empat perenggan yang hanya memenuhi satu halaman. Keseluruhannya terdapat 131 artikel dalam buku ini selain glosari perkataan-perkataan dalam loghat Terengganu.

Beberapa penyesuaian juga dilakukan. Awang Goneng sendiri mengakui bahawa penulisannya dalam Kecek-Kecek dibuat secara tergesa-gesa, asalnya untuk memenuhi hobinya sebagai penulis. Apabila diterbitkan sebagai buku, beberapa pengubahsuaian dilakukan, misalnya dalam cerita bagaimana pahlawan dari Terengganu, Megat Panji Alam, terkorban di Pahang kerana berebut tunangnya, Tun Teja. Megat Panji Alam mati ditikam dari belakang dalam satu pertarungan yang tidak adil.

Versi Internet dan buku agak sedikit berbeza kerana dalam Growing Up in Trengganu tiada rujukan langsung kepada pahlawan dari Melaka bernama Hang Tuah yang membunuh Megat Panji Alam.

Berbeza dengan penulisan buku lain, sebahagian artikel dalam buku ini adalah hasil interaksi Awang Goneng dengan rakan-rakan yang memberi respons kepada tulisannya dalam blog Kecek-Kecek. Salah seorang yang memberi komen kepada blog itu ialah lelaki bernama Long Ladang yang antara lain menceritakan tentang “buoh-buoh kerekuk, pisang, setor, setiar, jambu golok, jambu arang, jambu air, jambu butir banyak minjar dan terajang.”

Menurut Awang Goneng, Long Ladang muncul dalam laman blognya pada bulan April 2005 tetapi apabila Awang Goneng menjemput Long Ladang bertemu dengannya ketika beliau berada di Malaysia, tiada jawapan daripada e-mel Long Ladang. Tidak lama kemudian, daripada seorang pengunjung blog itu yang tidak mahu dikenali, Awang Goneng dimaklumkan bahawa seorang lelaki separuh umur dipanggil Pak Long dari Sedili, Johor telah pun kembali ke rahmatullah.

Di Mekah, Pak Long yang dipercayai Long Ladang menceritakan mengenai penyertaannya dalam laman blog Kecek-Kecek kepada beberapa rakannya ketika mengerjakan umrah.

Awang Goneng menyatakan rasa terharunya kerana tidak berpeluang bertemu dengan Long Ladang. Dia hanya mempunyai gambaran mental mengenai Long Ladang, budak Terengganu yang melalui masa-masa kecil yang begitu menyeronokkan di negeri asalnya.

Melalui bukunya, Awang Goneng alias Wan Ahmad Hulaimi memberikan kita begitu banyak peluang untuk mengenali sosiobudaya Terengganu dan sedikit kesempatan memahami dirinya yang sentiasa nostalgik kepada Terengganu walaupun beliau kini memilih untuk meneruskan hari-hari tuanya di England, yang jauh beribu-ribu batu dari pantai Terengganu yang cantik.

[Utusan Online]

Sunday, December 09, 2007

Pengumpulan data

Data dikumpulkan melalui tiga cara utama dalam kajian kualitatif iaitu rekod awam, dokumen peribadi dan peralatan fizikal. Sumber-sumber data dikenali dengan nama seperti dokumen, artifak ataupun data. Bagaimanapun istilah yang digunakan oleh Merriam ialah dokumen.

Dokumen adalah sumber data sedia ada dan senang untuk digunakan oleh penyelidik. Huraian mengenai tiga cara berkenaan adalah seperti berikut:


1. Rekod awam – sijil lahir, kematian dan perkahwinan, bancian, laporan polis, keputusan mahkamah, media, arkib, keratan akhbar, memo dan minit mesyuarat.

2. Dokumen peribadi – diari, surat, filem peribadi, khutbah, rekod perkembangan anak-anak, album gambar, buku skrap, kalendar, biografi dan dokumen perjalanan. Dokumen jenis ini menjadi sumber yang boleh dipercayai untuk mengenal pasti sikap, kepercayaan dan pandangan seseorang. Bagaimanapun keseluruhan kajian boleh menggunakan dokumen peribadi seperti perpindahan sesuatu kaum ke tempat lain secara bersar-besaran.

3. Peralatan fizikal – juga dikenali sebagai artifak iaitu sebarang perubahan dalam persekitaran fizikal kerana tindakan manusia.

Terdapat limitasi tertentu dalam penggunaan dokumen-dokumen ini seperti kebanyakan dokumen yang ada bukannya disediakan untuk tujuan penyelidikan. Besar kemungkinan ianya tidak lengkap. Kadangkala maklumat yang disediakan juga tidak berguna sepenuhnya. Juga terdapat dokumen yang tidak tepat seperti laporan kejadian jenayah oleh pasukan polis.

Teknik dalam pengumpulan data ialah temuduga, pemerhatian lapangan dan analisis dokumen. Dalam sesetengah kes, hanya satu teknik manakala dalam kes yang lain, ianya melibatkan ketiga-tiga teknik. Walau bagaimanapun semua teknik yang digunakan adalah untuk memahami sesuatu fenomena.

Saturday, December 08, 2007

Konflik keluarga: Perbezaan gender dan keletihan emosi

Institusi keluarga yang berhadapan dengan usaha mencari keperluan hidup kerapkali menghadapi konflik yang berterusan. Bezanya ialah kecil atau besar konflik berkenaan dialami dan mengikut status sosial di dalam masyarakat.

Kerja dan peranan di dalam keluarga sering juga menghadapi pertindihan dan kekaburan sempadan apabila terdapat gangguan dalam kesejahteraan emosi khususnya suami atau isteri yang kedua-duanya bekerja.

Konflik kerja dan konflik keluarga memberi kesan terhadap kedua-dua bidang ini.

Konflik kerja-keluarga berlaku apabila sesuatu kejadian yang tidak disangka di tempat kerja (seperti mesyuarat tergempar) mengganggu masa keluarga (mesyuarat tergempar berkenaan menghalang ibu bapa dari mengambil anak di pusat jagaan harian).

Konflik keluarga-kerja pula ialah apabila pengalaman keluarga mengganggu kelancaran kerja di pejabat atau apa saja yang berkaitan dengan kerja hakiki seperti ibu atau bapa perlu mengambil cuti bagi menjaga anak yang sakit.

Salah satu konflik atau silang konflik ini akan menyebabkan timbulnya simptom keletihan emosi seperti "burnout," mengejar pencapaian peribadi dan seterusnya menjejaskan kerja.

Konflik kerja-keluarga terus meningkat kerana bertambahnya persaingan suami isteri yang bekerja dan menjejaskan kualiti hubungan keluarga. White dan Rogers (2000) menyifatkan pasangan yang bekerja ini lebih kerap berhadapan dengan konflik berkenaan berbanding situasi pasangan yang lain.

Huffman (2003) pula mendakwa 70 peratus daripada pekerja tidak berpuas hati dengan keseimbangan kerja dan keluarga manakala separuh daripadanya pernah berpengalaman menghadapi masalah peribadi dan kerja.

Di tempat kerja, konflik kerja-keluarga dikaitkan secara positif dengan keazaman dan penghargaan, jumlah masa yang diperuntukkan bagi kerja-kerja berbayar berbanding masa yang diperuntukkan dalam urusan keluarga, pekerjaan dan tekanan keluarga, dan komitmen masa kerja dan bebenan kerja.

Kesan daripada konflik kerja-keluarga jelas dapat diperhati secara langsung dengan kualiti kerja yang rendah, tekanan, tidak seronok bekerja dan meningkatnya "burnout" di tempat kerja.

Kossek & Ozeki (1998) dan Thomas (1995) pula menyatakan kesannya yang lebih ketara ialah ponteng kerja, sering lambat, moral yang rendah, tahap tidak puas kerja yang tinggi dan produktiviti yang rendah.

Kajian-kajian secara intensif terhadap tindak balas konflik kerja ke atas keluarga lebih jelas dilihat ke atas kesan fizikal berbanding emosi. Simptom keletihan emosi ini dapat diperhatikan pada keadaan tubuh badan pelaku yang tidak bermaya, wajah yang muram dan aturan makan yang telah berubah.

Punca sebenar perubahan ini lebih kepada kesan emosi yang tidak kelihatan. Contohnya wanita yang menghadapi konflik di dalam rumah tangga seperti penceraian akan merasai penurunan prestasi kerja. Walaupun pada wajahnya nampak senyuman tetapi jiwa dan fikirannya penuh keserabutan. Memikirkan keadaan keluarga dan pada masa yang sama memikirkan juga masa depan kerja. Keadaan rungsing ini akan melekat di hati dan fikiran wanita itu bergantung pada berapa cepat mereka dapat menyelesaikan masalah atau konflik berkenaan.

Satu kajian jangkaan peranan di tempat kerja dan konflik keluarga-kerja dari perspektif gender telah dilakukan oleh Margaret Posig dan Jill Kickul untuk melihat keletihan emosi yang berlaku kerana tekanan yang meningkat.

Hubungan di antara jangkaan peranan kerja individu dan keletihan emosi mungkin dipengaruhi oleh konflik keluarga-kerja dan konflik kerja-keluarga ini berbeza di antara lelaki dan perempuan.

Responden kajian dipilih dari kalangan mereka yang bekerja sekurang-kurangnya 30 jam seminggu. Semuanya berjumlah 163 orang melibatkan 40 pengurus daripada syarikat Fortune 100 dan pada masa yang sama mendaftarkan diri bagi program MBA. Jawatan mereka adalah pelbagai seperti pengurusan, teknikal, kerani dan bahagian jualan. Purata umur responden ialah 33 tahun.

Daripada 163 responden, 90 adalah lelaki dan 73 adalah perempuan.

Bagi mengukur konflik keluarga-kerja, impaknya adalah dari kehidupan keluarga dan kehendak peribadi, kehidupan peribadi yang ada kaitan dengan kehendak keluarga ataupun memperuntukkan masa ke atas kehidupan peribadi sahaja.

Penemuan kajian ada kaitan yang signifikan dengan jangkaan peranan kerja di mana responden perempuan menerima jangkaan kerja yang lebih tinggi daripada lelaki.

Jangkaan peranan kerja dan konflik kerja-keluarga ada kaitan langsung dengan keletihan emosi.

Bagaimanapun hanya responden perempuan yang ada hubungan langsung di antara jangkaan peranan kerja dan keletihan emosi serta hubungan timbal balas di antara konflik keluarga-kerja dan konflik kerja-keluarga.

Penerangan ke atas kajian ini amat menarik kerana ia mendedahkan hubungan di antara gender ke atas keletihan emosi. Bagi responden perempuan, mereka kurang terkesan dengan emosi yang letih kerana mendapat sokongan rakan sekerja. Sifat perempuan yang mudah menceritakan masalah adalah satu jalan keluar bagi beban peribadi yag dihadapi.

Manakala responden lelaki lebih cenderung berhadapan dengan konflik emosi ini kerana tidak mahu berbincang secara terbuka dengan orang lain. Bagaimanapun mereka kerap memperuntukkan masa untuk kegiatan hiburan bagi menyelesaikan masalah berbanding responden perempuan.

Komitmen terhadap kerja dan tanggungjawab keluarga menajdikan perempuan berisiko tinggi untuk mendapat "burnout" dan keletihan emosi ini.

Implikasi penemuan kajian ini ialah pemimpin organisasi yang cenderung kepada budaya korporat mesra keluarga berada di kedudukan selesa. Beberapa kajian lebih memihak kepada jenis kepimpinan ini kerana ia memberi kesan positif kepada kedua-dua pihak.

Thompson et al (1999) melihat sokongan pihak pengurusan ke atas keseimbangan keluarga yang berkerjaya ada kaitan dengan niat yang rendah untuk berhenti kerja.

Manakala penemuan kajian oleh Carlson & Perrewe (1997), Schmelz & Ramsey (1997) dan Sommer & Stephen (1993) mengukuhkan lagi hubungan positif tersebut. Mereka sepakat menyatakan pemahaman penyelia ke atas keperluan keluarga pekerja mereka dapat mendorong kepada impak positif kepuasan kerja, prestasi dan seterusnya komitmen ke atas organisasi.

Konflik keluarga-kerja atau kerja-keluarga memberi pengaruh ke atas kesejahteraan emosi lelaki dan perempuan. Organisasi korporat yang berjaya dan menjadi pilihan biasanya meletakkan keseimbangan kerja-keluarga lebih daripada perkara-perkara lain. Beehr (1995) menyatakan sokongan sosial daripada rakan-rakan atau yang ada kaitan dengan kerja adalah lebih penting daripada sumber-sumber yang tidak ada kaitan dengan kerja.

Walau bagaimanapun ada beberapa strategi untuk mengurangkan konflik ini.

Strategi pertama ialah keperluan terhadap peranan dan masa yang merangkumi keanjalan komunikasi bagi ibu bapa. Contohnya syarikat IBM memberi jaminan 3 tahun bekerja bagi ibu bapa yang baru mendapat anak melalui konsep keanjalan masa. Ertinya ibu bapa boleh menangguhkan kerja selama tiga tahun bagi menjaga anak yang baru lahir. Sebanyak 97 peratus daripada mereka menggunakan kemudahan ini di IBM.

Strategi kedua ialah menyediakan sumber-sumber kewangan seperti baucar untuk pusat jagaan kanak-kanak, diskaun untuk tuisyen dan kemudahan keluarga yang lain. Syarikat Lucent menawarkan pekerjanya 6 bulan perkhidmatan dalam setahun bagi kelahiran anak dengan cuti separuh gaji.

Strategi ketiga ialah perkhidmatan koporat yang merangkumi penjagaan anak, khidmat gantian semasa kecemasan dan khidmat rencam. SC Johnson menawarkan pekerjanya subsidi bagi perkhidmatan rencam seperti penyelenggaraan kereta dan membeli-belah.

Ketiga-tiga strategi ini diguna pakai oleh syarikat-syarikat korporat bagi mewujudkan konsep mesra keluarga supaya pekerja dapat berperanan pada tahap maksimum. Organisasi boleh membuat perbezaan dengan mempromosi budaya kekeluargaan untuk membantu pekerja mereka menyeimbangkan di antara keluarga dan kewajipan kerja.

Perancang dan pembuat dasar wajar melihat keperluan ini dapat memberi faedah kepada lelaki dan perempuan di tempat kerja. Pada masa yang sama sebuah masyarakat yang prihatin dan penyayang dapat dibentuk sesuai dengan aliran semasa masyarakat dunia ketika ini.

Thursday, December 06, 2007

Kesungguhan hati

"Perbezaan di antara orang yang berjaya dan gagal ialah bukannya kekurangan kekuatan dan pengetahuan, tetapi kekurangan kesungguhan hati." - Vince Lombardi

Kesungguhan hati – barangkali menjadi perkataan yang tidak digemari pada hari ini. Banyak produk di pasaran cuba menggantikan kesungguhan diri – untuk kurus, diiklankan "cepat dan mudah," pil atau alat sukan menguruskan badan. Kerapkali juga penjual-penjual iklan ini memberi jaminan yang tidak pasti tetapi pembeli yang tidak ada kesungguhan hati untuk mengambil masa melakukan senaman, tidak akan menunggu lama bagi mendapatkan produk-produk berkenaan. Bagi mereka, lebih baik melaburkan wang daripada bersusah-susah bangun pagi, berlari dan menjaga makan-minum.

Apakah yang dimaksudkan dengan kesungguhan hati?

Kesungguhan hati adalah keupayan diri untuk menyediakan satu arah tindakan dan berkata, "lakukan!"

Kesungguhan hati menyediakan satu peningkatan yang sangat berkuasa tetapi sama seperti satu tembakan, ia meletup dengan sangat pantas, jika diarahkan pada sasaran, dapat memberi letusan bagi memulakan langkah perubahan dan mewujudkan momentum.

Kesungguhan hati adalah peledak disiplin diri. Kesungguhan hati juga menjadi pemusat daya yang mengumpulkan seluruh kekuatan, tenaga dan menonjolkan perubahan yang ketara.

Menyerang masalah-masalah kita secara terancang pada punca-punca kelemahan diri sehingga menjadi retak dan punah, memberi ruang yang cukup untuk kita meneroka wilayah yang menjadi punca kepada kelemahan tersebut, seterusnya menamatkan penguasaan tabiat negatif.

Bagi melaksanakan kesungguhan hati ini, langkah-langkahnya adalah seperti berikut:

1. pilih objektif yang tepat
2. rancang pelan tindakan
3. laksana pelan secara sistematik

Dengan kesungguhan hati, kita akan mengambil sedikit masa untuk memulakan langkah 1 dan 2 tetapi setelah sampai ke langkah 3, kita perlu melaksanakannya dengan pantas.
Elakkan daripada menyelesaikan masalah dan cabaran-cabaran kita dalam keadaan kesungguhan hati yang sentiasa tinggi kerana semangat dan keazaman sentiasa berubah-ubah. Jika kita cuba menggunakannya dalam jangka masa yang panjang, minat kita yang berkobar-kobar tadi akan padam.

Umpama sebutir peluru emas, kesungguhan hati hanya dapat digunakan dalam tempoh yang singkat. Jadi, bagaimana langkah terbaik untuk menggunakannya? Bagaimana kita dapat mempastikan tabiat lama tidak akan berulang kembali setelah kesungguhan hati kita tidak lagi membara?

Strategi terbaik untuk mempraktikkan kesungguhan hati ialah mencari posisi terbaik yang mampu merangsang usaha-usaha sebelum itu (beachhead) kerana kedudukan terbaik adalah satu langkah daripada langkah-langkah kejayaan.

Wednesday, December 05, 2007

Pengucapan awam (2)







Unsur-unsur komunikasi

Pengirim

Pengirim adalah unsur yang paling penting dalam proses komunikasi. Peranannya ialah menyampaikan mesej yang dikehendaki melalui saluran tertentu. Antara ciri-ciri pengirim yang berkesan ialah:

-keupayaan diri yang tinggi
-berkarisma
-mengetahui bidang yang disampaikan
-membuat persediaan
-beradab dan beretika

Penerima

Menerima mesej yang disampaikan, boleh jadi individu, kumpulan, organisasi atau komuniti. Terdapat 3 jenis iaitu:


-pendedahan terpilih: hadkan komunikasi pada golongan tertentu
-tanggapan terpilih: mentafsir mesej mengikut kepercayaan sendiri
-ingatan terpilih: hanya ingat perkara yang hendak diingat dan tidak mempedulikan perkara lain

Penerima memilih mesej kerana pengetahuan, minat, pengalaman, matlamat, nilai dan sikap yang berbeza.

Homofili ialah persamaan di antara pengirim dan penerima yang membolehkan mereka mempunyai tanggapan yang sama.

Heterofili ialah perbezaan di antara pengirim dan penerima seperti minat, perlakuan dan pengetahuan.

Dalam keadaan tertentu, heterofili jauh lebih berkesan daripada homofili seperti proses pembelajaran. Homofili penting dalam aspek sikap dan situasi.

Mesej

Mesej ialah susunan simbol untuk menyampaikan maklumat, idea dan pandangan. Dihasilkan oleh pengirim dan unsur-unsur yang terdapat di dalam mesej ialah kod, isi dan susunan.

Mesej dibahagikan kepada dua jenis iaitu verbal dan nonverbal

Mesej verbal ialah bercakap atau bertutur. Jenis ini membentuk 10 peratus daripada proses komunikasi. Maknanya, bercakap sama ada kuat atau perlahan, tidak banyak menyumbang kepada penyampaian mesej yang berkesan. Ibu yang berleter kepada anaknya sangat susah untuk mempengaruhi perubahan pemikiran, sikap dan tingkah laku kerana tidak banyak mesej dapat diserap oleh penerima.

Mesej nonverbal ialah pergerakan badan, paralanguage, penampilan diri, ruang, cahaya, suhu dan warna. Jenis ini membentuk 90 peratus daripada proses komunikasi. Nonverbal sangat berpengaruh untuk membuat perubahan walaupun hanya dengan jelingan mata atau wajah yang garang.

Mesej sangat penting dalam proses komunikasi. Pertama, mesej memberi sokongan dalam proses komunikasi seperti tunjukkan arah dalam komunikasi. Ia juga bertindak untuk menyangkal sesuatu perkara yang diperlihatkan melalui gerakan geleng atau anggukkan kepala, dan sebagai gantian pada emosi seperti menangis apabila soalan-soalan sensitif ditanya.


Saluran

Saluran adalah ruang untuk pengirim menyampaikan mesej seperti telefon, radio dan televisyen. Hari ini saluran dibuat dalam pelbagai bentuk supaya proses komunikasi lebih berjaya tetapi boleh memberi kesan kepada penerima dan pengirim.

Terdapat dua jenis saluran iaitu langsung dan tidak langsung. Saluran langsung ialah secara berhadapan manakala tidak langsung ialah melalui orang ketiga.

Antara aspek saluran yang perlu diambil kira ialah kredibiliti, maklum balas, penglibatan, kebolehan menyimpan mesej, keupayaan melipatgandakan mesej, keupayaan menyokong saluran lain dan jumlah kos.

Maklum balas

Dalam komunikasi, tindak balas menentukan sama ada mesej disampaikan atau tidak. Jika ada tindak balas, keadaan tersebut menunjukkan mesej yang dihantar mendapat perhatian. Seterusnya penerima akan memberi maklum balas iaitu makluman yang diberikan mengenai mesej yang telah diterima.

Makluman ini boleh jadi dalam bentuk verbal dan nonverbal untuk memberitahu pengirim apa yang didengar, dilihat, difahami atau ditafsirkan.


Gangguan

Elemen lain dalam proses komunikasi ialah gangguan iaitu apa sahaja yang menghalang penyampaian mesej. Terdiri dari dua sumber iaitu dalaman (pengirim dan penerima ada masalah) dan luaran (khalayak, suasana, waktu dan keadaan fizikal).

Situasi

Situasi adalah masa dan tempat berlakunya proses komunikasi. Aspek-aspek yang mempengaruhi situasi ialah tempat, mood, warna dan suhu.


Penyediaan ucapan

Komunikasi yang berlaku setiap hari mempunyai prinsip yang membantu menjayakan proses berkenaan supaya mesej yang hendak disampaikan dapat diterima dan difahami dengan baik. Prinsip-prinsip komunikasi ini ialah bertujuan, relasional (hubungan dengan orang lain), boleh dipelajari dan mesej berubah mengikut kesedaran semasa enkod.

(Enkod adalah sebahagian daripada proses yang ada dalam fikiran dan dipancarkan oleh pengirim)

(Dekod ialah apa yang perlu dibuat oleh penerima)


Tujuan-tujuan ucapan

1. Memberitahu

Ucapan ialah untuk memberitahu maklumat-maklumat baru seperti teknik, kaedah dan strategi ke arah peningkatan kefahaman. Memberitahu dipecahkan kepada tujuh jenis iaitu proses – menerangkan cara dapat dan hasilkan sesuatu; demonstrasi – menerangkan kaedah melakukan; objek dan tempat – penerangan semasa lawatan dan ziarah; orang – cerita pengalaman orang yang telah berjaya; idea – penerangan dan definisi; dan laporan lisan seperti perniagaan, ringkasan fakta atau idea.

2. Mempengaruhi

Ucapan adalah untuk mempengaruhi ke arah mengubah, menukar dan memaksa perubahan sikap dan tingkah laku. Kekuatan ucapan ini ialah cuba menukar bagaimana orang lain berfikir dan bertindak.

Kaedah mempengaruhi memerlukan daya tarikan melalui:

a. perhatian – petikan, soalan retorikal dan humor.
b. keperluan – kenal pasti keperluan khalayak untuk mempastikan mereka menerima mesej.
c. kepuasan – terangkan bagaimana mengurangkan ketakpastian dan meningkatkan pencapaian.
d. tindakan – laksanakan penyelesaian.
e. pembayangan – bantu untuk memahami sesuatu perkara.

3. Mewujudkan persefahaman

Peranan ucapan seterusnya ialah mewujudkan persefahaman bagi mengurangkan jurang perbezaan pendapat, nilai dan pandangan di antara pengirim dan penerima. Mendapatkan kefahaman mengenai sesuatu mesej dapat mengatasi halangan yang dapat membantutkan kelancaran proses komunikasi sama ada halangan fizikal atau psikologikal.

4. Meluahkan perasaan

Ucapan boleh dianggap sebagai satu unsur psikologi bagi meningkatkan semangat pengirim dan penerima untuk lebih mengenali diri sendiri kerana khalayak lebih bersedia membuka pintu mental untuk memahami dan menghayati apa yang didengar.

Apabila seseorang meluahkan perasaan, ia dapat membina hubungan yang intim setelah wujud kesan terapeutik yang dapat menenangkan jiwa dan perasaan.


Menyusun ucapan

Ucapan dapat diberikan kepada 3 bahagian utama iaitu pembukaan, isi dan penutup. Ketiga-tiga bahagian ini mesti ada di dalam mana-mana ucapan supaya khalayak dapat memahami dan menghayati ucapan yang bakal disampaikan kelak.

a. Pembukaan

Sangat penting kerana menjadi daya penarik pendengar. Lebih banyak perhatian yang diperolehi, mesej yang jelas dapat dan kehendak ucapan dapat disampaikan dengan sempurna.

Pentingnya pembukaan terhadap ucapan ini ialah ia akan membentuk "mood" dan semangat khalayak berkaitan topik yang disampaikan. Selain itu dapat membantu mereka memahami topik secara ringkas sebelum masuk ke bahagian isi.

Banyak kaedah untuk memulakan bahagian pembukaan ini dan lebih kerap bergantung kepada kebijaksanaan perucap sendiri. Antaranya ialah mulai dengan soalan dan kenyataan umum, mengambil petikan, ilustrasi atau cerita, menunjukkan gambar, gambarajah atau statistik, melontarkan soalan-soalan retorik dan petikan ayat al-quran, hadis atau kata mutiara.

Kadangkala akibat terlalu ghairah, perucap gagal mengawal perasaan dan mula melakukan tindakan yang tidak anggap dan boleh mengganggu kelancaran pengucapannya. Antara perkara yang perlu dielakkan di bahagian ini ialah meminta maaf. Tidak perlu meminta maaf kerana tindakan ini menunjukkan perucap tidak layak untuk menyampaikan topik berkaitan. Seterusnya menyampaikan cerita yang tidak ada kena-mengena atau menyimpang daripada topik. Berlaku juga perucap menerangkan gambar atau jadual yang tidak ada sebarang kaitan dengan sesuatu topik, tetapi disebabkan syok sendiri, beliau menerangkan sesuatu yang tidak perlu. Terakhir, menyampaikan ucapan yang meleret-leret dan dapat menghilangkan minat khalayak untuk mendengar.


b. Isi

Bahagian yang sangat penting kerana menyokong fakta dan topik yang disampaikan. Kandungan isi membentuk 70 peratus daripada keseluruhan ucapan dan perlu disampaikan dengan kemas, teratur dan ada unsur mempengaruhi pendengar.

Ciri-ciri utama isi ialah bahan kajian yang bersistematik, penemuan baru yang mengesahkan sesuatu kajian, kenyataan fakta atau dokumentasi, rajah, statistik, definisi, contoh dan ilustrasi. Semakin banyak isi, ucapan yang disampaikan bertambah kukuh dan dapat membuatkan khalayak terpengaruh dan membuat keputusan sendiri.


c. Penutup

Bahagian ini adalah kemuncak kepada ucapan yang disampaikan kerana ia menentukan sama ada wujud elemen tindakan atau membuat perubahan. Penutup yang baik mempunyai kenyataan untuk diingati, kata-kata indah, ungkapan, pantun, ayat al-quran atau hadis.

Ciri-ciri penutup yang berkesan ialah
A (win their attention), I (arouse their interest), D (create a desire) dan A (stimulate).

Tuesday, December 04, 2007

Memahami masalah masyarakat India

Setelah seminggu penyokong Hindraf melepaskan kemarahan mereka ke atas pasukan polis dan agensi penguatkuasa, nada ketegasan kepimpinan pertubuhan itu nampaknya agak kendur sedikit. Jika sebelum ini mereka begitu agresif menyalahkan polisi kerajaan yang menyebabkan masyarakat India di Malaysia dipinggirkan melalui tuduhan pembersihan etnik, kini mereka mahu pula bertemu dengan musuh yang mereka sendiri menciptanya iaitu ketua kerajaan: Perdana Menteri.

Dalam masa seminggu ini juga, pemantauan bebas ke atas laman web sosial dan ruang sembang maya memaparkan emosi yang bercampur. Ada yang marah, kesal, mencaci dan sedih. Laman YouTube.com umpamanya memperlihatkan sentimen kata-mengata di antara kelompok Melayu, Cina dan India berkaitan keadaan hidup, peluang bekerja dan perdebatan sebab-musabab kenapa masyarakat India terpinggir. Ada seorang pelayar yang meminta penyokong Hindraf balik ke India kerana di situlah mereka datang tetapi dibantah kerana Malaysia adalah tanah tumpah darahnya. Ternyata di sini ada elemen “benci tapi sayang.”

Ruangan sembang maya turut memaparkan keadaan yang sama. Seorang pelayar Internet mengutuk keras memorandum Hindraf kepada Ratu Elizabeth II kerana berpendapat masyarakat India yang menyokong tuntutan Hindraf sebagai lupa diri dan tidak mahu menerima hakikat bahawa India dan Malaysia adalah dua buah negara yang berbeza.

Ada juga Yahoogroups yang dikemudikan oleh kelompok yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Tamil Malaysia yang membincangkan keadaan masyarakat India di Malaysia. Kelompok ini lebih daripada 4,000 ahli menerima kenyataan bahawa masyarakat India di Malaysia masih jauh ketinggalan, sekali-sekala mengkritik polisi kerajaan dan keberkesanan peranan MIC bagi memajukan orang India dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan perniagaan.

Debat di antara pemimpin kerajaan dan pembangkang berterusan dan ruang bagi mencari jalan kepada masalah masyarakat India semakin terbuka. Menteri Besar Selangor umpanya meminta orang India sendiri melihat kembali sikap mereka kerana telah banyak ruang dan peluang yang diberikan oleh kerajaan bagi kaum itu. Hanya mereka sahaja yang tidak dapat memenuhinya kerana enggan mengambil peluang berkenaan yang antara lain ialah bantuan rumah, peluang pekerjaan dan melanjutkan pelajaran. Kegagalan merebut peluang dan bersaing dengan kaum-kaum lain menjadi penentu kepada peminggiran kaum itu sama ada di bandar ataupun luar bandar.

Nada yang lebih lebih tegas ialah pelucutan taraf hak warganegara kerana tindakan Hindraf didapati boleh menjurus kepada merosakkan perpaduan etnik dan kemajuan negara yang telah dibina sejak 50 tahun yang lalu.

Pemimpin pembangkang melihat dari perspektif yang berbeza. Tidak membenarkan perhimpunan umum dan menindas kaum minoriti adalah idea yang dibentangkan kerana amalan demokrasi dilihat tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan yang memerintah. Justeru, tidak ada masalahnya Hindraf menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Tinggi British. Penekanan kepada “demokrasi” lebih penting kerana pihak yang sangat berminat dan menjuarai konsep ini ialah Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang lain.

Hindraf dilihat daripada pelbagai perspektif: politik, ekonomi dan sosial. Masyarakat India di Malaysia masih ketinggalan dalam pelbagai bidang dan mereka juga berjaya dalam bidang-bidang tertentu. Kemiskinan memang melata di kawasan ladang dan estet tetapi konsep miskin yang diukur itu ialah tidak ada pendapatan dalam bentuk wang ringgit, bukannya harta benda. Majikan menyediakan rumah dan keperluan lain bagi mereka bekerja seperti sekolah untuk anak-anak, kemudahan kesihatan dan pengangkutan.

Di bandar, orang India sangat gigih bekerja dan akan melakukan apa sahaja aktiviti yang dapat memberikan wang bagi menyara hidup. Seorang pemuda yang saya perhati amat tekun mencuci kereta pelanggannya dari pukul 4 pagi hingga 7 pagi setiap hari di sebuah kawasan perumahan. Setiap kereta akan dicuci tiga kali seminggu dengan bayaran RM38 ringgit satu bulan. Dalam sebulan beliau mendapat hampir RM1,000. Modalnya hanyalah sebaldi air, kain pencuci, kain pengelap dan sebuah basikal tua. Rutinnya yang tetap menjadikan pelanggan berpuas hati dan gembira dengan hasil kerja yang dilakukan.

Masyarakat India di kawasan luar bandar didapati sangat terikat dengan amalan agama yang mementingkan ritual berbanding di bandar. Jadi, bekerja kuat dan bersungguh-sungguh bukanlah sesuatu yang diberi keutamaan. Perubahan sekeliling dan pendidikan yang diterima menjadikan masyarakat India di kawasan bandar lebih cepat menyesuaikan diri dengan amalan agama dan arus perubahan hidup. Ini bukan bermakna mereka tidak lagi alim tetapi lebih kepada membawa agama Hindu ke arah yang lebih berdaya tahan dan mengenengahkan konsep beragama tidak akan membawa kemunduran.

Kajian oleh Yayasan Strategik Sosial iaitu insitusi pemikir MIC mendapati keciciran sekolah menjadi masalah kepada penyakit sosial di kalangan generasi muda kaum India. Pendidikan yang menjadi teras kepada kejayaan masa depan anak-anak muda tidak diperolehi dengan sebaiknya. Impak keadaan ini ialah kegagalan kaum India untuk bersaing dengan kaum-kaum lain yang lebih berani kehadapan dan sedia menghadapi cabaran.

Kes jenayah dan gengsterisme yang melibatkan anak-anak muda kaum India semakin meningkat khususnya di kawasan berprofil tinggi seperti Klang dan Kuala Lumpur. Kenyataan Hindraf yang mengaitkan hampir 60 peratus penjenayah yang ditembak mati oleh polis adalah kaum India tidak boleh dikaitkan secara langsung kerana motif kepada setiap kejadian adalah berbeza-beza. Kajian yang lebih terperinci wajar dilakukan bagi mengenal pasti keadaan tersebut kerana ada yang berpendapat peningkatan kes jenayah di kalangan generasi muda India adalah kerana pengaruh filem dari negara India yang menyelitkan unsur-unsur keganasan.

Masyarakat India di Malaysia adalah etnik minoriti tetapi peranan mereka juga amat signifikan bagi membangunakan negara. Berbeza dengan etnik India di Fiji yang membentuk hampir 48 peratus daripada keseluruhan penduduk, mereka juga memonopoli perdagangan dan pernah menguasai politik negara jajahan British itu. Di Malaysia, etnik India diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. Menjadi tanggungjawab pemimpin India untuk merancang usaha bagi kepentingan mereka kerana dalam sistem yang bersaing, yang malas dan masih bersikap tidak apa akan terus ditinggalkan.

Walaupun ada program pembangunan yang dirancang, mereka tetap akan ditinggalkan kerana pemikiran dan perlakuan yang ada pada mereka. Bangsa India bukannya malas kerana tidak pernah ada mitos bangsa pemalas di dunia ini. Yang ada adalah bentuk pemikiran, sikap dan tingkah laku yang tidak membangun ke arah kejayaan dan kemajuan.

Monday, December 03, 2007

Tukar pandangan pada OKU

Tidak ramai yang tahu barangkali, golongan orang kurang upaya (OKU) ada hari mereka tersendiri untuk diraikan, sama seperti Hari Kekasih, Hari Bumi, Hari Pelarian dan sebagainya.

Walaupun Hari OKU ini tidak begitu popular berbanding hari-hari lain yang tertera dalam kalendar antarabangsa, ia tetap memberi signifikan tersendiri. Di peringkat antarabangsa Hari OKU disambut pada 3 Disember, setiap tahun.

Malaysia, yang mahu seboleh-bolehnya peranan, kejayaan dan sumbangan OKU ini diiktiraf, menyambutnya tanpa gagal sejak dua tahun lepas pada 4 Disember.

Dahulu istilahnya ialah orang cacat. Bunyinya yang kurang manis dan tidak sopan seolah-olah menyisihkan golongan itu menyebabkan ia ditukar kepada OKU. Selepas nama OKU dipakai, terdapat juga yang mahukan ia terus diubah menjadi lebih ‘mesra’. Antara yang kedengaran ialah biar mereka dikenali dengan nama ‘orang berlainan upaya’ pula.

Seperkara yang perlu diingatkan ialah orang cacat, OKU atau orang berlainan upaya kesemuanya merupakan istilah sahaja.

Biar kita jelas di sini. Namakan apa juga istilah yang lebih manis, sopan dan menyebelahi mereka, tetapi kalau persepsi, cara kita melayan mereka tetap sama, ia tidak membawa apa-apa makna.

Kalau disorot kepada perkembangan semasa, tentunya belum boleh disimpulkan bahawa kesedaran terhadap OKU ini di kalangan ‘masyarakat penyayang’ Malaysia wajar ditabik.

Secara jujur juga kalaupun ada segelintir yang mengakui sedar lagi prihatin terhadap OKU ini adalah kerana kumpulan itu memiliki keluarga OKU. Yang selebihnya, mereka mungkin sedar atau simpati tetapi selepas beberapa ketika ia hilang begitu sahaja apabila tidak diingatkan sebegitu.

Bukan tiada kejayaan yang dicatatkan OKU. Tidak sedikit sumbangan mereka pada negara. Kejayaan negara juga banyak dicatatkan oleh kumpulan ini. Bukan tidak ada profesional datang daripada golongan OKU.

Nah, ini buktinya mereka perlu mendapat hak sepertimana kita semua yang normal merasainya. Itu pula menjadi penanda aras bahawa tahap kesedaran dan keprihatinan terhadap OKU ini perlu juga ‘normal’.

Selebihnya, mereka juga manusia, apa bising-bising mahu menyisih, memandang rendah pada mereka?

Apakah perlu satu undang-undang untuk memberi kesedaran terhadap apa juga yang berkaitan dengan OKU?

‘‘Tidak perlu sampai ke situ, kesedaran wajar tercetus kerana telah disemat, dan boleh diterima pula bahawa OKU adalah sebahagian anggota masyarakat. Kerana mereka ialah sebahagian anggota masyarakat, golongan ini mempunyai hak untuk hidup seperti biasa, normal menyerupai yang lain-lainnya,’’ kata seorang kaunselor yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kalau kita belum lupa, perihal kesedaran menjadi begitu penting dan dipentingkan sehingga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terpaksa menggesa supaya kerajaan menggubal satu akta memastikan OKU menikmati kesaksamaan.

Akta itu juga secara tidak langsung melindungi OKU daripada sebarang bentuk penganiayaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Mengikut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semua negara di dunia secara puratanya mempunyai sekurang-kurang satu peratus OKU. Satu peratus memang kecil tetapi kalau satu peratus daripada 25 juta rakyat Malaysia, secara matematik besar juga jumlahnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan bahawa 10 peratus daripada penduduk setiap negara ialah OKU.


Di Malaysia sendiri dianggarkan terdapat seramai 2.6 juta OKU.

Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula mencatatkan negara ini mempunyai 197,519 OKU yang berdaftar dengan mereka sehingga akhir tahun 2006. Ini termasuklah seramai 18,258 cacat penglihatan, 29,522 cacat pendengaran, 66,250 cacat anggota, 887 (cerebral palsy) dan 76,619 menghadapi masalah pembelajaran. Lain-lain jenis kekurangan upaya yang dicatatkan ialah seramai 5,983.

Apa erti angka-angka itu sebenarnya? Maknanya, lebih banyak OKU, lebih meluas sepatutnya rasa kesedaran kita terhadap mereka. Lebih meluas kesedaran membawa pula makna wajar lebih banyak kemudahan untuk menyenangkan golongan ini.

Lupakan rasa bangga kita ke atas Kuala Lumpur yang mempunyai menara berkembar yang sebelum ini tertinggi di dunia. Bangga itu secara jujurnya hanya secebis daripada perasaan positif kalau kita jarang bertanya apakah Kuala Lumpur sudah cukup mengambil peduli perihal manusia dan kemanusiaan.

Kita tidak mahu Hari OKU yang disambut nanti persoalan seperti akses kepada bangunan awam menjadi halangan utama bagi penyertaan mereka dalam masyarakat.

Kita juga tidak mahu lagi bercakap-cakap tentang kurang senang kita terhadap sistem pengangkutan awam sedia ada tidak mesra OKU. Ini menghalang mereka daripada menjalani aktiviti harian dan kehidupan dalam masyarakat.

Kita mahu semua itu diperbaiki. Selebihnya kita ingin persepsi terhadap mereka berubah. Itulah signifikan Hari OKU yang disambut di peringkat antarabangsa mahupun nasional.

Apalah yang ada pada Hari OKU jika persepsi masyarakat masih di takuk lama – mengakui simpati dan kasihan pada OKU tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menyokong mereka.

Hari OKU yang akan disambut nanti, pada kali ini barangkali cukup istimewa. Kita menantikan akta khas bagi OKU ini menjadi realiti.

Itulah komitmen besar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan menjadi hasrat menggunung kita semua juga.

“Akta yang sedia ada ialah berasaskan kebajikan. Sekarang kita bercakap tentang hak mereka. Saya menjangka tahun depan saya dapat bentangkan ke Kabinet,’’ itu kata Shahrizat pada sambutan Hari OKU yang lalu.

Kita mengharapkan, menunggu sebenarnya, ia berubah pada sambutan kali ini.

[Utusan Online]