Wednesday, August 28, 2024

Menghadapi negara tua


Masyarakat Malaysia sedang berhadapan dengan pelbagai isu yang mencabar pada hari ini. Bermula dengan isu ekonomi, ia ada hubung kait dengan isu sosial seperti pertambahan bilangan warga emas yang dijangka mencapai 15 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia pada tahun 2030. 

Proses penuaan sebuah masyarakat di dalam negara berlaku secara semula jadi khususnya berkaitan dengan kadar kelahiran yang semakin rendah, tahap ekonomi yang lebih baik dan kemudahan kesihatan yang menjangkau ke kawasan luar bandar.

Di Malaysia, golongan warga emas yang ditakrif sebagai penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas yang merupakan 5.7 peratus daripada jumlah penduduk atau 745.2 ribu pada tahun 1980. Ia telah meningkat ke 6.2 peratus atau 1.5 juta pada tahun 2000 dan mencapai 10 peratus atau 3.4 juta tahun 2020. Pada tahun 2030, Malaysia akan memasuki kategori negara menua mengikut jangkaan Bangsa-bangsa Bersatu dan lebih daripada 7 peratus penduduk akan berumur 65 tahun dan ke atas.

Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043 iaitu 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.

Salah satu negara yang telah menua ialah Singapura yang mana dianggarkan satu per empat daripada penduduk negara itu akan berusia 65 tahun dan ke atas pada 2030. Keadaan ini disebabkan rakyat SIngapura menikmati tahap kesihatan yang baik dan tidak memiliki ramai anak. Warga emas juga hidup keseorangan.

Bagi menghadapi senario ini, kerajaan Singapura telah menubuhkan National Silver Academy untuk mempromosi program pembelajaran sepanjang hayat khusus untuk warga emas bagi mengekalkan kesihatan fikiran dan pengetahuan sedia ada mereka. Pada masa yang sama interaksi dalam kalangan masyarakat dikekalkan melalui inisiatif sokongan terhadap penghargaan diri.

Begitu juga dengan inisiatif menyokong pelan persaraan yang lebih bersesuaian dan mempromosi kesihatan serta galakan aktiviti kesukarelaan dalam kalangan warga emas. Dengan cara ini, mereka dapat mengukuhkan hubungan dan juga dapat meningkatkan keharmonian antara generasi.

Selain itu, program "Live Well, Age Well" juga diadakan untuk memastikan warga emas dapat bekerja dengan lebih lama dan masih dapat bersama dengan ahli keluarga yang lain. Program ini menyasarkan mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas melalui aktiviti yang melibatkan sesi latihan bersama kumpulan dan sesi pembelajaran dalam kesejahteraan mental yang diperkenalkan dari semasa ke semasa bagi mengekang rasa jemu.

Banyak dasar berkaitan warga emas dan penuaan telah diformulasi sebagai persediaan ke arah negara tua. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melancarkan Dasar Kesihatan Warga Emas Negara untuk meningkatkan taraf kesihatan warga emas, menggalakkan penyertaan warga emas dalam aktiviti promosi kesihatan dan pencegahan penyakit sepanjang hayat, menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mesra umur, berkemampuan dari segi kos, saksama, mudah diperolehi, setanding dengan budaya, tidak mendiskriminasikan gender dan mempunyai sistem berkesinambungan, serta diberi secara holistik di semua peringkat. Di samping itu sebagai advokasi dan menyokong pengwujudan persekitaran yang membolehkan hidup berdikari (penuaan setempat).

Banyak inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan untuk menyesuaikan masyarakat warga emas yang bertambah ini supaya kehidupan mereka akan berjalan lancar dan sempurna. Antara inisiatif ini ialah melaksanakan dasar yang akan memberikan perhatian ada kehidupan selepas bersara dengan pelbagai bantuan sara hidup dan juga keperluan-keperluan lain seperti kemudahan pengangkutan, kesesuaian bangunan yang mesra warga emas dan sistem yang sesuai dengan kehidupan orang tua.

Pelaksanaan Agenda Negara Menua yang akan dibentangkan nanti akan menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang, mengambil kira cabaran besar dalam pengurusan kesihatan, kualiti pendidikan, keterjaminan kewangan, peningkatan produktiviti dan buruh serta penggunaan teknologi.

Aspek-aspek ini sangat penting diberi perhatian kerana bakal menentukan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang dan mampan buat warga emas. Pada masa yang sama, persepsi bahawa warga emas menghadapi cabaran kesihatan semata-mata harus diubah kerana impak mencapai usia emas adalah lebih besar dan tidak terhad kepada penjagaan dan kebajikan sahaja.

Agenda ini merangkumi cabaran dalam kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan buruh serta penggunaan teknologi untuk menentukan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan mampan buat warga emas.

Hasrat kerajaan melihat kehidupan warga emas berada dalam keadaan yang selesa adalah satu yang amat dihargai kerana di negara yang sedang membangun dan bergerak ke arah menjadi negara maju seperti Malaysia ini, kehidupan warga emas perlu juga diberi perhatian lebih-lebih lagi apabila Malaysia akan berhadapan dengan bilangan warga emas yang semakin bertambah.

No comments:

Post a Comment