Monday, August 05, 2024

Perkemas prosedur promosi jenama di sekolah



Baru-baru ini syarikat pengelur minuman arak telah menjadikan sebuah sekolah jenis kebangsaan sebagai platform menayang jenama minuman keras telah mendapat perhatian ramai. Kain rentang yang dipegang bersama-sama wakil pihak sekolah, penganjur dan jemputan dipaparkan bersama logo jenama pengeluar minuman keras berkenaan.

Ia menjadi isu hangat kerana mempromosi jenama minuman keras di sekolah bukannya satu amalan pada sistem pendidikan normal di Malaysia. Berbanding di luar kaasan sekolah, minum minuman keras dianggap sebagai budaya pada sesetengah masyarakat.

Namun secara umumnya kita lebih melihat kepada kesan minuman keras ke atas kesihatan biarpun sumbangan dana dari syarikat yang menghasilkan dan memasarkan minuman keras ini sangat banyak.

Bagi penerima sumbangan dana syarikat seperti ini, mereka melihat keuntungan kebendaan melebihi keuntungan lain. Hal ini kerana dana yang diberi dapat digunakan untuk menambah baik kemudahan pembelajaran, membaiki fasiliti dan menaikkan imej sekolah.

Bagi masyarakat Islam pula, pandangan mereka berbeza, sangat jauh perbezaannya.

Rujukan kepada pengharaman minuman keras dan apa juga yang berkaitan dengannya ada dinyatakan dalam al-quran dan hadis. Dua sumber rujukan ini menjadikan masyarakat Islam sangat berhati-hati dan berwaspada terhadap apa juga sumbangan dana dari syarikat munuman keras tanpa mengira jenama, dalam atau luar negara, kecil atau besar, langsung atau tidak langsung.

Promosi jenama minuman keras di sekolah adalah tindakan tidak wajar dan patut segera dihentikan. Kajian-kajian lepas di luar negara menunjukkan promosi minuman keras mempengaruhi sikap dan mental pelajar terhadap amalan pengambilan minuman ini.

Di Kemboja, kumpulan bukan kerajaan mengambil inisiatif mengadakan kempen bagi menghalang pelajar daripada tercicir dalam pelajaran yang berpunca daripada faktor sosioekonomi dan isu peribadi seperti merokok dan mengambil minuman keras (The Phnom Penh Post, 7 June 2024). Kempen ini bertujuan menghalang produk tersebut daripada sampai kepada golongan muda yang berminat untuk menggunakannya.

Di Laos, satu kajian ke atas pelajar yang berumur 10 hingga 19 tahun berkenaan perubahan tingkah laku akibat pengambilan minuman keras mencatatkan 58 peratus responden mengakui mereka pernah minum minuman keras sama ada sebagai peminum tegar atau minum sekadar hiburan. Kajian juga mendapati sebaik sahaja mereka berumur 19 tahun, kebanyakan pelajar mula mengambil minuman keras. Satu per tiga daripada mereka telah diberi kebenaran oleh ibu bapa dan tabiat minum ini diperkukuhkan melalui tekanan daripada rakan sebaya (Kunnavong et al., 2022).

Manakala di Thailand, syarikat minuman keras menggunakan strategi pemasaran yang berkesan itiu promosi jualan terus kepada pengguna melalui penggunaan botol kecil yang berwarna-warni yang dikatakan memberi kesan buruk kepada orang muda dan mereka yang tidak minum minuman keras (Philippi, 2018).

Setiap negara mempunyai peraturan dan kaedah yang membolehkan apa juga bentuk sumbangan dana disalurkan kepada pelajar. Dalam isu di Malaysia, jenama minuman keras dipaparkan secara terang-terangan yang dikhuatiri merupakan strategi halus bagi mempromosi jenama berkenaan kepada sekolah.

Ketika kita mahu melahirkan pelajar yang sihat dan cerdas, aktiviti yang merosakkan kesihatan dan mental pelajar seharusnya dihalang. Malah dalam agama Islam sekali pun, rezeki yang datang dari sumber yang tidak halal dan meragui dikhuatiri menyebabkan apa juga amalan tidak akan mendapat berkat. Sebab itulah kita tidak pernah mendengar sekolah-sekolah kebangsaan menerima sumbangan atau tajaan dana dari syarikat minuman keras.

Selain bercanggah dengan agama, tindakan itu juga bakal merosakkan pemikiran murni pelajar-pelajar.


Rujukan

Kounnavong T, Vonglokham M, Moji K, Okumura J. Factors affecting alcohol drinking behaviour among secondary school students in Vientiane Province, Lao People's Democratic Republic: a cross-sectional study. Int Health. 2022 May 2;14(3):319-328.

Philippi, R. S. (2018). Alcohol marketing strateies in Thailand and their effect on customer purchases. Master Thesis.

No comments:

Post a Comment