Thursday, August 22, 2024

Terus tulis isu rasuah tanpa henti


Ucapan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan baru-baru ini tentang rasuah telah menarik minat orang ramai untuk memberi ulasan masing-masing. Ia telah mendapat banyak komentar positif dan kemudiannya dikongsi di platform media sosial. Tindakan ini sedikit sebanyak telah memberi kesedaran kepada ramai orang untuk melihat rasuah sebagai satu ancaman kepada masyarakat dan negara.

Jika sebelum ini dadah dinobatkan sebagai musuh nombor satu, rasuah sedang diberi tumpuan sama seperti dadah, malah ia lebih ketara ketika ini dibawah pentadbiran kerajaan.

Boleh dikatakan setiap hari terdapat laporan berita yang menyiarkan kes rasuah sampai ke peringkat pertuduhan di mahkamah. Orang Kena Tuduh (OKT) dibawa dengan van Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memakai baju jingga dengan tangan bergari sambil jurufoto merakamkan wajah. Latar belakang OKT terdiri daripada pelbagai peringkat pekerjaan sama ada di sektor awam atau swasta, ada juga yang bekerja sendiri.

Kes terkini ialah seorang pegawai bomba yang dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara kerana memberi tender kepada perniagaan ahli keluarga sendiri. Banyak lagi kes yang masih berjalan di mahkamah yang melibatkan rasuah dan penyelewengan jutaan ringgit. Entah bila akan tamat dan pelakunya disumbat ke penjara.

Satu buku yang saya telah membaca adalah karya tulisan Syed Hussein Alatas iaitu ‘Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi’ antara lain memberikan dapatan yang penting ialah definisi rasuah yang diambil dari Brooks iaitu, ‘Dengan sengaja melakukan kesalahan atau melalaikan tugas yang diketahui sebagai kewajipan atau menyalahgunakan kuasa bertujuan sedikit sebanyak memperoleh keuntungan peribadi’.

Amalan rasuah menerima kesan yang amat buruk kepada ekonomi negara seperti kehilangan pendapatan, kekurangan kecekapan, kacau-bilau dalam dasar dasar kerajaan dan terdapatnya amalan pemusatan modal. Negara yang memiliki ciri-ciri ini digelar negara kleptokratis dan sangat popular di Malaysia beberapa tahun lepas.

Dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah, sepuluh negara teratas yang kurang rasuah terdiri daripada negara negara maju sama ada di Eropah ataupun di Asia. Tidak ada negara dari Afrika ataupun Timur Tengah. Hal ini menunjukkan amalan rasuah ada kaitan dengan pembahagian negara maju dan negara membangun dalam masyarakat.

Negara yang kurang kadar rasuah ini mempunyai kadar celik huruf yang tinggi, kemudahan kesihatan yang sangat baik dan berpendapatan tinggi. Ketiga-tiga elemen ini menjadi kayu ukur kepada amalan rasuah yang lebih rendah dalam masyarakat. Seseorang yang mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi sudah tentu memiliki tahap kesedaran yang lebih baik.

Beberapa soalan penting seperti bagaimana rasuah berfungsi, kesan rasuah kepada masyarakat dan juga negara serta bagaimana mengatasi rasuah sentiasa menjadi tumpuan perbincangan.

Antara elemen utama yang menghidupkan perbincangan mengenai rasuah dalam masyarakat ialah peranan media cetak yang tidak henti-henti membuat liputan kes-kes rasuah di akhbar ditambah pula penulisan berterusan tentang apa juga isu-isu rasuah. Malah perbincangan terbuka tentang bahaya rasuah telah membuka minda dan mengubah sikap masyarakat khususnya pelajar untuk menentang rasuah yang ada dalam masyarakat.

Biarpun sekali-sekala muncul juga kes kes rasuah, namun ia jarang-jarang berlaku kerana secara umumnya masyarakat di negara-negara ini menolak rasuah. Selain itu, masyarakat yang terpelajar ini mengikuti perbincangan tentang rasuah secara telus dan terbuka di akhbar kerana akhbar memiliki kebebasan untuk menyediakan apa juga isu dalam masyarakat.

Kebebasan inilah yang mencetuskan kesedaran intelektual orang ramai untuk mereka menekan kelompok perasuah dan mengasingkan elemen-elemen yang dilihat dapat menolong perasuah.

Ingatan terhadap bahaya rasuah yang berterusan ini telah menimbulkan rasa malu dan keinginan masyarakat untuk membuang rasa hormat dan percaya kepada perasuah. Di Malaysia, setiap tahun terdapat laporan rasuah yang memaparkan pelaku dan kesalahan rasuah yang dilakukan. Laporan ini menyatakan nama, jawatan dan jabatan tempat bekerja perasuah. 

Tindakan ini menyebabkan pesalah rasuah menanggung rasa malu sepanjang hayat tidak kira sama ada di sektor awam, swasta ataupun berjawatan besar kecil sama ada warganegara ataupun orang luar.

Semua orang kecuali perasuah dan kumpulannya menyambut baik tindakan SPRM dan agensi pelaksana yang sentiasa berusaha membawa pelaku rasuah ke muka pengadilan. Biar lebih ramai perasuah ini dibicarakan supaya dapat menimbulkan kesedaran yang luas terhadap bahaya rasuah. 

Sarjana akademik dan intelektual perlu sentiasa menulis dan bernahas apa sahaja tentang isu rasuah supaya dapat memberi kesedaran yang lebih meluas kepada masyarakat. Gunakan media sosial yang popular untuk memberi maklumat lebih luas berkaitan rasuah.

No comments:

Post a Comment