Tuesday, September 03, 2024

Pengurusan dana penyelidikan perlu telus


Tuduhan pecah amanah ke atas Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose menunjukkan undang-undang tidak memilih pendakwaan sama ada berjawatan atau lanjut usia. Beliau merupakan Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pengerusi Lembaga Pengarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sedang menghadapi tuduhan pecah amanah jenayah.

Beliau dituduh menyalahgunakan dana sebanyak RM271,000 dalam kapasitinya sebagai Presiden MPN dan sebagai pengarah MPN Global Reach Sdn Bhd. Kes ini sedang berjalan dengan sebutan kes seterusnya dijadualkan pada 23 Oktober 2024.

Kes salah guna kuasa dan kedudukan dalam kalangan sarjana akademik agak jarang berlaku. Namun satu kes yang terkenal sebelum ini melibatkan Profesor Datuk Dr. Zakaria Kasa, bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris di mana beliau dituduh menyalahgunakan kuasa dengan memasukkan nama anak lelakinya dalam senarai calon temu duga di UPSI pada tahun 2014.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jun 2023 mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan serta denda RM10,000.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Februari 2024 membebaskan beliau daripada semua tuduhan dengan alasan bukti yang dibawa tidak mencukupi untuk menyokong pertuduhan tersebut. Beberapa hari selepas pembebasan itu, beliau meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River pada 18 Februari 2024.

Beliau telah berkhidmat di UPSI dari tahun 2007 hingga 2018, meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak. Pengebumian beliau dilakukan di kampung halamannya di Kodiang Lama, Kedah.

Sekolah lamanya ialah Sekolah Rendah Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah (1964 – 1969), Sekolah Menengah Tunku Bendahara, Kodiang (1970 – 1972) dan Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani, (1973 – 1974). Seterusnya melanjutkan pelajaran Diploma Pertanian, Universiti Pertanian Malaysia (1975 – 1978). Mendapat pendidikan sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dari Amerika Syarikat dan bertugas sebagai pensyarah UPM (1982) seterusnya dipinjamkan ke UPSI sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI (2007 sehingga 31 Ogos 2011).

Beliau menjalankan lebih daripada 35 projek penyelidikan yang ditaja oleh pelbagai agensi. Terdapat lebih 140 hasil penulisan dan penyelidikan yang beliau terbitkan dalam buku, jurnal, modul serta kertas kerja seminar dan persidangan.

Kepakaran beliau diiktiraf dalam bidang pertanian, agroteknologi, pendidikan teknikal dan vokasional. Di atas kepakaran itu, beliau dilantik menjadi Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN).

Jarang sekali kita mendengar mereka yang berpendidikan tinggi dan berjawatan akademik serta berpengalaman dalam pentadbiran universiti terlibat dalam penyelewengan dan salah guna kuasa. Ini kerana biasanya setiap proses yang berkaitan perjawatan, kewangan atau perolehan perlu melalui beberapa tingkat keputusan selepas siri mesyuarat kerana keputusan dibuat secara kolektif.

Sekiranya terdapat keadaan yang luar biasa, pandangan ahli mesyuarat yang arif dalam bidang masing-masing dapat memberi panduan untuk tindakan seterusnya.

Kaedah ini banyak membantu kepimpinan universiti membuat keputusan yang tepat dan dapat mengelak salah guna kuasa dan penyelewengan. Namun, alpa dan lalai adalah musuh utama mereka kerana 'pelanduk sering kali terlupa dengan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk'. Justeru tindakan kecil yang kadangkala dianggap 'tidak apa' menjadi penghalang utama untuk rakan-rakan yang iri hati membuat perancangan.

Kelemahan ini diperhati dan dilaksanakan sebagai usaha balas dendam yang telah lama disimpan. Apabila tuduhan dilakukan, merekalah yang bersorak gembira kerana dendam telah dapat dibalas.

Kebiasaannya, peguam dan pengurus bank dikaitkan dengan pecah amanah. Laporan akhbar pada Mei 2024 mencatatkan 53 kes pecah amanah melibatkan peuam dari tahun 2023 hingga Mei 2024. Anggaran nilai yang terlibat ialan RM54.96 juta manakala laporan akhbar pada Mac 2024, bekas pengurus bank dituduh 80 kes pecah amanah, pemalsuan dokumen dan penipuan yang melibatkan kerugian sebanyak RM6 juta.

Apabila berlaku kes seperti ini, apakah kita fikirkan? Sudah tentu perkara yang pertama ialah pertanyaan kenapa boleh berlaku.

Jika dibuat perbandingan, pelaku-pelaku ini memegang jawatan penting, bekerja dalam suasana bilik yang nyaman dan dilingkungi rakan-rakan yang bijak pandai. Golongan bawahan, orang miskin atau bekerja sebagai kumpulan pelaksana, kes mereka ada kaitan dengan jenayah, curi, rompakan atau ragut. Jumlahnya tidaklah besar sehingga jutaan ringgit tetapi hukuman yan gdikenakan ialah penjara dan denda. Ada juga yang disebat.

Kesimpulannya, dalam kes yang melibatkan pecah amanah ini, undang-undang tidak menyisihkan pelaku sama ada berjawatan atau tidak. Jika disabitkan pertuduhan, pelaku harus menyediakan pasukan peguam yang mantap dan bersedia untuk mempertahankan pelaku sehingga didapati tidak bersalah. Semakin banyak wang, proses perbicaraan akan menjadi lebih menarik kerana pelaku dapat menyediakan peguam yang mahir dan berpengalaman serta tahu selok-belok proses perundangan.


Rujukan

Mohd Yunus Yakkub. (2024, 28 Ogos). Dua profesor dituduh pecah amanah RM271,000. Kosmo Digital. https://www.kosmo.com.my/

Nuraina Hanis Abd. Halim. (2024, 17 Mei). 53 kes pecah amanah babit kerugian RM55 juta melibatkan peguam. https://www.utusan.com.my/berita/2024/05/53.

No comments:

Post a Comment