Friday, August 16, 2024

Transformasi bandar di tangan wanita


Di seluruh dunia, wanita semakin melangkah ke hadapan dalam meningkatkan penyertaan mereka dalam politik. Namun, di banyak negara, wanita masih jauh ketinggalan dari segi perwakilan politik terutamanya dalam kerajaan tempatan.

Dalam kerajaan tempatan, perwakilam wanita masih jauh daripada mencapai tahap yang disasarkan. Walaupun beberapa bandar bertaraf dunia seperti Tokyo, Washington, San Francisco, Bogota, Cologne, Paris, Zurich, Mexico City dan Sydney telah melakar sejarah dengan memilih datuk bandar wanita, hakikatnya, kajian oleh Women Mayors Foundation mendedahkan bahawa kurang daripada 15 peratus daripada datuk bandar di seluruh dunia adalah wanita.

Terdapat kajian lain yang menunjukkan angka ini lebih rendah lagi. Di Eropah dan Amerika Utara, dianggarkan hanya sekitar 30 hingga 35 peratus ahli majlis bandar terdiri daripada wanita. Walaupun terdapat sedikit kemajuan, wanita masih mewakili sebahagian kecil dalam kepimpinan bandar di seluruh dunia.

Daripada 300 bandar terbesar di dunia, hanya 25 yang diperintah oleh wanita, walaupun beberapa ibu kota Eropah termasuk Rom, Madrid, Paris, Warsaw dan Stockholm mempunyai datuk bandar wanita. Wanita paling berkuasa dalam kerajaan tempatan di dunia adalah Yuriko Koike, Datuk Bandar Tokyo. Pemimpin bandar wanita berpengaruh lain termasuk datuk bandar Sydney, Surabaya, Havana, Perth, Barcelona dan Cape Town.

Kajian menunjukkan bahawa apabila wanita menduduki peranan kepimpinan, mereka membawa pengalaman unik ke dalam kerajaan yang membawa kepada dasar awam yang inklusif gender, pertumbuhan ekonomi, persekitaran yang lebih selamat, pembangunan infrastruktur dan peningkatan keseluruhan kualiti hidup rakyat, baik untuk lelaki mahupun wanita.

Selain itu, apabila wanita mengisi lebih daripada 30 peratus kepimpinan politik, kerajaan menjadi lebih inklusif, egalitarian (semua individu, tanpa mengira latar belakang, jantina, atau status sosial, mempunyai hak dan akses yang sama terhadap sumber, peluang dan perlindungan undang-undang) dan demokratik.

Sebagai contoh, selepas pemberontakan ekstremis Islam di Zamboanga, Filipina, Datuk Bandar Beng Climaco menubuhkan majlis dialog antara agama yang mengumpulkan komuniti Kristian dan Muslim untuk memupuk keamanan dan persefahaman.

Sejak penubuhan inisiatif ini, terdapat penurunan serangan pengganas di bandar tersebut. Di Amerika Syarikat, Betsy Price, Datuk Bandar Fort Worth, Texas, melancarkan FitWorth yang menangani masalah obesiti kanak-kanak melalui pemakanan sihat dan aktiviti fizikal. Sejak pelancaran program ini pada tahun 2012, inisiatif ini telah mencapai lebih daripada 25,000 kanak-kanak dan 20 juta minit aktiviti fizikal.

Antara tugas Datuk Bandar adalah seperti berikut:





Pelantikan Datuk Bandar Kula Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mewakili suara wanita dalam pengurusan tertinggi ibu kota utama Malaysia. Melihat kepada latar belakang, beliau, ia memang pilihan yang tepat.

Maimunah, 63 tahun adalah seorang tokoh yang sangat berpengaruh dalam bidang perancangan bandar dan perbandaran mampan. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan dilantik sebagai Duta Khas Malaysia untuk Perbandaran Mampan serta pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Program Petempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dengan latar belakang pendidikan dalam bidang perancangan bandar, beliau memperoleh ijazah dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom.

Kerjayanya bermula di Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada tahun 1985 dan pada tahun 2003, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Perancangan dan Pembangunan. Dalam portfolio ini, beliau memainkan peranan penting dalam mengawasi kawalan pembangunan untuk projek-projek bandar dan pembangunan landskap di Pulau Pinang.

Beliau juga menerajui pasukan yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan projek pembaharuan bandar di George Town. Pada November 2009, beliau mencipta sejarah dengan menjadi pengurus besar pertama yang menubuhkan George Town World Heritage Incorporated, badan yang menguruskan Tapak Warisan Dunia George Town yang telah disenaraikan oleh Unesco pada Julai 2008.

Pada tahun 2011, beliau sekali lagi memecahkan rekod menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai. Perjalanan kerjayanya yang cemerlang menunjukkan dedikasinya terhadap pembangunan bandar yang mampan dan peranan penting yang beliau mainkan dalam perancangan bandar di Malaysia.

Kita akan melihat lebih banyak program pengindahan sekitar Kuala Lumpur khususnya pembersihan gerai haram yang dikaitkan dengan rasuah dan juga kawasan khas untuk peniaga tepi jalan yang kerap kali menganggu kelancran lalu lintas.

No comments:

Post a Comment