Sunday, August 25, 2024

Kemasyhuran hidup dan ketagihan dadah berakhir di penjara


Hukuman yang diterima oleh bekas penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman, akibat menanam pokok ganja mengundang ulasan yang berbelah bahagi. Agak mengejutkan apabila beliau dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana tiga tuduhan.

Tuduhan tersebut ialah, pertama, memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram, kedua, menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis dan ketiga ialah didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Penerangan di portal http://www.myhealth.gov.my/cannabis-3/, kanabis merujuk kepada sejenis pokok yang memiliki tiga spesies iaitu Cannabis sativa adalah spesies yang mengahsilkan bahan kimia 'cannabinoids' yang menyumbang kepada kesan halusinasi.

Kanabis adalah dadah haram yang paling banyak ditanam dan disalah guna. Di Malaysia, ia menyumbang sebanyak 16 peratus salah guna dadah. Dalam Akta Dadah Berbahaya 1952, Malaysia mengharamkan penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, eksport, pemilikan dalam penyalahgunaan. Antara nama yang digunakan dalam kalangan penagih adalah ganja, grass, sayur, tarek daun, Indian hemp, barang weed, joints, sticks, hashish, dope, pot dan weed.

Penagih dadah yang mengambil kanabis menunjukkan gejala anak mata membesar, kurang tumpuan dan pertimbangan, ketagihan gula-gula, bertambah selera makan dan mudah ketawa tanpa sebab.

Kesan pengambilan kanabis kepada kesihatan ialah denyutan jantung meningkat, hilang daya ingatan bagi tempoh yang singkat, berasa cemas, kerosakan paru-paru dan gila.

Berbalik kepada hukuman yang diterima oleh Yasin, ia menunjukkan betapa salah guna dadah telah memberi kesan kepada dirinya sendiri. kita yakin kesan yang sama turnt dirasai oleh keluarga dan rakan-rakannya.

Selepas keluar dari mahkamah, Yasin menyifatkan hukuman yang diterima sebagai 'hari kelam dalam hidupnya' iaitu tidak ada lagi harapan masa hadapan.

Dadah telah memerangkap ramai artis dan selebriti terkenal. Di Indonesia, penyanti Virgoun ditahan pihak berkuasa di Indonesia atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah. Di Malaysia, Empat tahun lalu seorang penyanyi kumpulan rock era 90-an ditahan kerana disyaki terlibat dengan dadah.

Isu dadah dalam kalangan selebriti di Amerika Syarikat telah lama. Ramai artis yang terlibat dalam dadah didedahkan kepada umum dan menjadi bualan peminat. Namun antara mereka yang berakhir dengan tragedi kematian dan ada juga yang berusaha untuk pulih daripada ketagihan.

Charlie Sheen: Pada tahun 1980-an, Charlie Sheen adalah salah seorang bintang muda Hollywood yang paling terkenal. Walaupun popularitinya naik turun dalam dekad-dekad berikutnya, dia dikenali sebagai salah seorang selebriti yang paling terkenal berada di pusat pemulihan berikutan kemerosotan mental.

Judy Garland: Artis yang disayangi daripada ‘The Wizard of Oz’ dilaporkan menjadi ketagih dengan pil dan alkohol untuk mengatasi kemasyhuran yang tiba-tiba dan jadual penggambaran yang ketat. Sepanjang hidup, dia terus bergelut dengan gangguan penggunaan bahan terlarang sehingga meninggal dunia akibat dos berlebihan.

Whitney Houston: Salah seorang penyanyi paling popular sepanjang masa, Whitney Houston, menghabiskan banyak masa di pusat rawatan kerana ketagihan yang teruk terhadap pelbagai bahan terlarang. Kematiannya pada tahun 2012 menamatkan kerjaya nyanyian dan lakonan akibat penyalahgunaan dadah.

Lindsay Lohan: Kehidupan Lindsay Lohan adalah salah satu daripada banyak kisah selebriti zaman kanak-kanak dan dadah. Bintang ‘The Parent Trap’ ini bergelut dengan dadah dan alkohol namun berusaha membuat beberapa percubaan untuk pulih. Apabila ‘Mean Girls’ menjadikannya terkenal, dia berpindah ke Los Angeles pada usia 18 tahun tanpa sistem sokongan. Di sana, dia dengan cepat mendapat reputasi kerana gaya hidupnya yang penuh dengan parti dan bahan terlarang.

Corey Feldman: Corey Feldman membintangi beberapa filem yang meraih kutipan tinggi pada tahun 1980-an sebelum mencapai usia dewasa. Pertarungan pelakon itu dengan ketagihan heroin bermula semasa remaja. Penderaan zaman kanak-kanak, pengabaian dan kemasyhuran mungkin memainkan peranan dalam ketagihannya.

Johnny Depp: Dikenali kerana peranannya dalam banyak filem sepanjang beberapa dekad yang lalu, Johnny Depp juga bergelut dengan gangguan penggunaan dadah. Pelakon itu mengakui bahawa dia mula merokok pada usia 11 tahun dan bereksperimen dengan dadah sebagai mekanisme mengatasi masa suram zaman kanak-kanaknya. Sejak menyedari ketagihannya, Depp telah mendapatkan bantuan profesional untuk mengatasi masalahnya.

Marilyn Monroe: Perjalanan Marilyn Monroe ke puncak kemasyhuran dengan cepat membawa kepada ketagihan sehingga tidak dapat bekerja sehingga mengalami kemurungan dan kebimbangan. Kisah Marilyn Monroe mencerminkan bagaimana budaya selebriti dan gangguan yang berlaku bersama sering menjadi punca ketagihan.

Artis dan dadah tidak pernah selesai dan berlaku sepanjang masa. Bisanya ialah sama ada selebriti itu dikenakan hukuman adapun tidak kerana ia bergantung kepada undang-undang negara. Terdapat negara yang membenarkan penggunaan dadalh dalam jumlah tertentu untuk kegunaan peribadi atau nasihat doktor perubatan.

Di mana-mana negara pada hari ini, dadah tidak pernah terhenti sebagai topik utama yang membawa masalah dalam masayrakat.Kehidupan kelaurga menjadi parah dan porak-peranda apabila terdapat seorang ahli eluarga yang terlibat dengan dadah sama ada sebagai penagih atau pengedar dadah.

Bagi jangka masa panjang, keluarga ini akan dipantau oleh agensi penguatkuasa kerana orang yang terlibat sukar menghentikan ketagihan. Biarpun selepas menjalani hukman, ajakan kembali kepada dadah semakin membuak-buak kerana tekanan dan pengaruh rakan sebaya yang sentiasa mencari sasaran jualan dadah.

Mencegah penularan penagihan dan pengedaran dadah adalah tanggungjawab bersama semua pihak. Masing-masing dengan kaedah yang bersesuaian supaya isu dadah dapat dikurangkan dari semasa ke semasa seterusya dapat elahirkan generasi yang kuat.

No comments:

Post a Comment