Friday, August 09, 2024

Era baharu Bangladesh


Perkembangan politik di Bangladesh menarik perhatian kita kerana kebangkitan mahasiswa universiti menyebabkan sebuah kerajaan yang memerintah telah hilang kuasa dan kemegahan.

Lebih malang lagi apabila perdana menteri telah melarikan keluar negara selepas meletak jawatan. Pihak tentera memberi masa yang singkat untuk Sheikh Hasina melarikan diri dengan laluan selamat, meninggalkan rakyat Bangladesh yang pernah dipimpinnya.

Bantahan oleh pelajar bermula apabila kerajaan Sheikh Hasina memperkenalkan sistem kouta dalam perkhidmatan awam yang dilihat tidak adil kepada masyarakat awam kerana hanya memberi keuntungan kepada penyokong parti kerajaan Liga Awami.

Bantahan yang pada awalnya berskala kecil bertukar menjadi besar dan ganas. Mereka benar-benar marah. Penunjuk perasaan memecahkan patung bapa Sheikh Hasina iaitu Sheikh Mujibur Rahman

Tindakan kerajaan yang menutup sekolah dan universiti tidak memberi kesan kepada lebih ramai mahasiswa yang berarak di jalan raya. Gerakan ini menjadi lebih bersemangat apabila bekas ketua tentera, Jeneral Ikbal Karim Bhuiyan mengkritik pendekatan kerajaan menguruskan bantahan dan menggesa pihak tentera menarik balik anggotanya yang dikerahkan untuk berhadapan dengan penunjuk perasaan.

Kritikan ini disokong oleh ketua tentara Jeneral Waker-uz-Zaman yang menyatakan tentera sentiasa menyokong rakyat.

Selepas seminggu bantahan besar-besaran yang menyebabkan kematian, bekas perdana menteri Sheikh Hasina diminta berundur dan beredar keluar negara. Selepas 15 tahun berkuasa, pemimpin berusia 76 tahun itu harus mencari tempat tinggal baharu. Antara pilihan yang disebut-sebut adalah India, United Kingdom, Amerika syarikat dan Finland. Namun belum ada kata putus sehingga kini.

Pemimpin pelajar mahukan penerima Anugerah Nobel Keamanan 2006 iaitu Mohamad Yunus untuk menjadi ketua kerajaan sementara.

Beliau juga berhadapan dengan cabaran besar apabila dikeluarkan dari Bank Grameen dan dituduh dengan pelbagai tuduhan sehingga dijatuhkan hukuman penjara. Antara tuduhan itu adalah kadar faedah yang tinggi, penyelewengan, mencuri wang dan pemalsuan pinjaman. Pada 2011 beliau disingkirkan dari Bank Grameen kerana alasan umur.

Hari ini, beliau kembali ke Bangladesh sebagai pemimpin negara dan berhadapan dengan suasana politik yang baharu. Masyarakat awam masih marah dengan Sheikh Hasina dan sudah mahukan perubahan segera dalam sistem pentadbiran negara.

Dalam ucapan sulung sebaik sahaja kembali ke Dhaka, beliau berkata;

‘Ini adalah masa yang membanggakan kita. Kita berjaya menjadikan hari ini sebagai hari kemenangan. Sekarang adalah masa kita menggerakkan perancangan untuk menjadikan negara ini kembali hebat. Mereka yang menjadikan perkara ini suatu realiti iaitu mahasiswa berada dengan saya pada hari ini. Saya menyatakan rasa syukur kepada mereka’.

Perubahan politik yang berlaku di Bangladesh memberi pengajaran kepada kita bahawa kuasa boleh hilang sekelip mata. Kuasa tidak kekal selama-lamanya dan boleh dijatuhkan oleh sesiapa sahaja dan bila-bila masa.



No comments:

Post a Comment