Friday, June 01, 2018

Bina imej kaunter perkhidmatan








Perkhidmatan pelanggan merupakan elemen penting yang menentukan imej sesebuah organisasi. Petugas di bahagian kaunter maklumat menjadi objek penilaian orang ramai yang berurusan dengan mereka. Penarafan cemerlang biasanya diberikan kepada organisasi yang mempamerkan perkhidmatan pelanggan yang mesra dan membantu memudahkan urusan.

Dalam era teknologi pada hari ini, setiap tindakan yang baik dan buruk petugas kaunter akan dinilai secara langsung.

Itulah yang terjadi kepada Imigresen Malaysia Malaysia di Johor Bharu baru-baru ini. Tindakan ‘garang’ seorang petugas kaunter yang melentik kepala seorang pelanggan telah menjadi tular selepas disiarkan di media sosial. Dengan serta-merta beliau ditukarkan ke tempat lain.

Banyak organisasi yang mempraktikkan langkah-langkah khusus bagi menjaga imej profesionalisme kerja mereka. Bagi petugas di kaunter hadapan, mereka meletakkan individu yang boleh mempamerkan senyuman, mesra, boleh mengawal emosi dan perwatakan kemas. Mereka juga boleh memberi perhatian ketika menggunakan ayat-ayat yang sesuai dengan pelbagai ragam pelanggan.

Ada juga yang membuat pelaburan dengan menghantar pekerja menghadiri kursus-kursus etika di kaunter, kemahiran berkomunikasi dan penampilan imej. Pelaburan yang besar dalam perkhidmatan pelanggan dapat meningkatkan imej organisasi ke tahap yang lebih baik dan dihormati.

Jabatan Imigresen Malaysia  juga perlu memikirkan pelaburan seperti ini supaya imej jabatan itu dapat diubah. Mungkin juga mereka boleh adakan kempen bersopan santun dalam kalangan anggota jabatan supaya budaya ini dapat dikongsi bersama.

Berhadapan dengan orang ramai yang berbeza latar belakang, bahasa, budaya dan tahap pendidikan  juga memerlukan teknik layanan yang berbeza. Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Imigresen Malaysia patut berfikir untuk merombak  kembali bentuk kursus sedia ada supaya dapat dimasukkan elemen-elemen kemanusiaan dalam setiap anggota kerja.

Perkhidmatan pelanggan yang baik dapat menggambarkan cara fikir dan budaya kerja anggota-anggotanya. Tidak perlu memiliki sistem dan teknologi yang canggih jika organisasi menyimpan pegawai yang garang, emosional dan mementingkan diri sendiri.


No comments:

Post a Comment