Sunday, May 27, 2018

Pilihan Raya Umum ke-14: Anjakan perubahan rakyat







Sebahagian besar rakyat Malaysia menyambut kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 lalu. Gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH) menyaingi Barisan Nasional (BN) telah menewaskan kerajaan BN yang mentadbir Malaysia 60 tahun. Selepas pengumuman kemenangan, pemimpin-pemimpin PH memberi pelbagai reaksi. Semuanya berharap akan wujud perubahan yang lebih baik dan maju kehadapan. Negeri yang dikuasai PH adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Gagasan Sejahtera (GS) menguasai Kelantan dan Terengganu manakala Sabah dikuasai oleh Parti Warisan Sabah yang mesra kepada PH. Tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Sarawak kekal di bawah pentadbiran BN.

Sejarah yang terjadi pada hari ini akan menjadi permulaan yang segar kepada masyarakat Malaysia dalam berpolitik. Kehendak pengundi baru dan lama tidak dapat ditahan lagi kerana mereka mahukan pengurusan baru yang lebih baik dan bebas daripada skandal.

Mengimbas kembali kempen pilihan raya lalu, PH menggunakan media sosial untuk menyampaikan mesej kepada pengundi. Penggunaan aplikasi yang popular dan mudah dicapai oleh kebanyakan pengundi seperti WhatsApp, Facebook dan YouTube dapat menerobos minda pengundi-pengundi muda dan yang baru kali pertama mengundi. PH lebih popular di media sosial kerana akhbar arus perdana seperti Utusan dan Kumpulan NSTP serta media elektronik seperti TV3 dan Radio Televisyen Malaysia lebih banyak menyiarkan berita berkaitan kerajaan BN. Justeru, pengundi muda beralih kepada media sosial yang memberikan maklumat lebih pantas dan jelas.

Analisis terhadap klip-klip video terpilih ketika PH berkempen menunjukkan lebih ramai tontonan berbanding kempen oleh BN. Semua tempat tumpuan dari Perlis hingga ke Johor menunjukkan ribuan pendengar yang datang semasa Jelajah Harapan diadakan. Mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum dan mempunyai matlamat yang sama iaitu mendengar isu-isu negara yang tidak disiarkan oleh media kerajaan BN.

Analisis ini dilakukan terhadap klip-klip video ceramah politik yang disampaikan oleh pemimpin BN, PH dan Pasti Islam Semalaysia (Pas) di YouTube. Klip video yang dianalisis diambil secara rawak dengan ciri-ciri berikut: dimuat naik dari 1 hingga 11 April 2018, durasi ceramah lebih daripada 15 minit dan mempunyai ulasan daripada penonton di ruangan “comments”.

Analisis dilakukan berdasarkan tema yang dikesan kerap muncul dalam ruangan “comments” bagi setiap klip video yang dipilih.

Hasil kajian menunjukkan penonton tertinggi adalah pada klip video ceramah yang disampaikan oleh Mat Sabu yang bertajuk “Terkini: Mat Sabu Amanah-PBPM Bubar! Najib Razak lawan Tun Mahathir (Tun M) secara kunyit”, dimuat naik pada 5 April 2018. Jumlah dilihat adalah sebanyak 213,310 kali. Klip video terbanyak adalah “Ucapan Tun M dihadapan ribuan rakyat Muar Johor” yang dimuat naik pada 7 April 2018 dengan jumlah 140,050 kali.

Bagi BN, klip video tertinggi adalah manifesto pilihan raya ke-14 dengan 14,577 kali. Tajuk klip video berkenaan adalah “Kantoi besar Manifesto BN PRU-14 Aku Tipu” yang dimuat naik pada 8 April 2018. Klip video kedua terbanyak ditonton adalah “Bn doubles down on BR1M in GE14 manifesto” dengan tontonan berjumlah 11,751 kali. Ia dimuat naik pada 7 April 2018.

Untuk Pas pula, klip video tertinggi adalah ucapan yang disampaikan oleh Yusuf Azmi di pentas Pas dengan jumlah tontonan sebanyak 38,746 kali. Tajuknya adalah “Penampilan istimewa Yusuf Azmi pemikat PRU14” yang dimuat naik pada 5 April 2018. Klip video terbanyak adalah “Ustaz Nasuruddin 742018: Harapan! Puak tak puas hati” yang dimuat naik pada 7 April dengan jumlah tontonan sebanyak 21,532 kali.

Analisis tema terhadap klip-klip video berkenaan dipecahkan mengikut kumpulan parti. Dalam ulasan terhadap klip video PH, tema-tema adalah seperti berikut:


              Positif  -  ubah/tukar                              Negatif - rasuah                                       
                             lawan                                                    tipu
                             harapan                                                pecah-belah                                                   
              Tun Mahathir      


Dalam ulasan terhadap klip video BN, tema-tema adalah seperti berikut:


            Positif - BR1M                                        Negatif - janji tipu
                         janji ditepati                                             GST
                         pembangunan                                         tolak BN
                                                                                         PRU13


Dalam ulasan terhadap klip video Pas, tema-tema adalah seperti berikut:


            Positif - ulamak                                       Negatif - sangsi
                         bai’ah                                                       hipokrit
                                                                                          rasuah


Tema positif bermaksud penonton memberi pandangan baik terhadap parti politik berkenaan manakala tema negatif bermaksud penonton mempamerkan pandangan buruk terhadap parti politik tersebut.

Berdasarkan ulasan penonton di ruangan “comments” setiap klip video, mereka lebih cenderung kepada PH dan membuat ulasan buruk ke atas BN dan GS. Penonton lebih gemar dengan penampilan orang muda seperti Syed Saddiq yang mempamerkan kemahiran berpidato yang sangat berkesan. Sebaliknya ceramah politik dari GS kurang mendapat sambutan dengan rata-ratanya sekitar 1,000 hingga 2,000 kali tontonan termasuk yang disampaikan oleh presiden Pas sendiri. Ia jauh berbeza dengan ceramah PH yang kebanyakannya melebihi 10,000 kali tontonan. Penonton untuk klip video ceramah BN amat berkurangan dan kurang mendapat sambutan.

Kejayaan PH terletak dalam pelbagai faktor dalaman dan luaran. Berikut adalah huraian faktor-faktor berkenaan.


1. Tun Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir dilihat sebagai faktor terkuat yang mempengaruhi pengundi luar bandar, orang pencen dan warga tua serta golongan kelas menengah Melayu untuk menyingkirkan BN. Beliau mulai bersikap vokal terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mendapat tahu terdapat kepincangan dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sejumlah RM2.6 bilion dalam akaun banknya.

Tun Dr Mahathir menyusun strategi dengan keluar dari UMNO, menulis artikel di blog chedet.cc dan mencari lebih banyak maklumat tentang 1MDB. Beliau bergabung dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meluaskan sempadan kempen melangkaui Yayasan Kepimpinan Perdana. Keputusan paling berani beliau ialah bergabung dengan PH bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Bersama-bersama Tun Dr Mahathir, pemimpin-pemimpin PH boleh belajar pelbagai perkara tentang strategi politik, pengurusan pemimpin dan kesatuan hala tuju. Antara yang penting adalah meletakkan kepentingan kumulan lebih tinggi daripada kepentingan peribadi, meletakkan matlamat yang sama iaitu meruntuhkan UMNO dan BN, sentiasa bertemu dan mengelakkan perpecahan. Beliau menggunakan pelbagai cara untuk mengikat kesatuan parti-parti komponen PH.

PH menggunakan Tun Dr Mahathir untuk menyampaikan ceramah dalam Jelajah Harapan di seluruh negara. Setiap kali beliau hadir, ribuan pengunjung memenuhi kawasan ceramah dan jumlah itu sentiasa meningkat di akhir-akhir minggu berkempen. Pengunjung yang datang ini tidak dibawa dengan bas atau kereta sebaliknya datang sendiri. Mereka juga tidak diberi wang saku atau hadiah. Gelombang Tun Dr Mahathir ini terlalu kuat untuk ditolak oleh BN sehinggakan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjadi calon di Titiwangsa berkata “gelombang Tun M sangat kuat”.

Presiden Amanah, Mohd Sabu pula berkata “jangan main dengan Mahathir” dalam ceramah di Permatang Pauh pada tahun 2015. Kepintaran Tun Dr Mahathir dalam mengurus pembangunan Malaysia menjadi bukti keupayaannya untuk menjadi perdana menteri kali kedua biarpun hasrat berkenaan ditepis oleh UMNO dan BN.


2. GST dan kenaikan kos hidup

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan oleh kerajaan BN pada April 2015 telah memberi kesan langsung kepada perbelanjaan masyarakat Malaysia. GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax) yang mana mereka yang berbelanja lebih adalah daripada kalangan yang berpendapatan lebih. Tujuan asal pelaksanaannya adalah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan hanya terdapat dua juta pembayar cukai di negara ini. GST enam peratus yang ditetapkan merupakan gantian cukai jualan sepuluh peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus yakni bukan cukai tambahan. Dalam erti kata lain, GST mengurangkan empat peratus cukai sedia ada dan meluaskan sumber pendapatan negara. Sistem cukai ini menurunkan beberapa jenis harga barangan namun dalam kebanyakan keadaan, pengguna tidak merasai penurunan berkenaan seperti harga makanan dan minuman.

Sistem cukai terbaru ini membebankan apabila pendapatan tidak seiring dengan kenaikan harga barang. Bermula dari bayi yang baru lahir sehingga orang mati yang hendak dimasukkan ke liang lahad, semua keperluan mereka dikenakan cukai. Lampin pakai buang bayi, susu dan kain kafan dikenakan cukai. Kebanyakan barangan keperluan yang dibeli ini menyebabkan sesebuah isi rumah yang mempunyai lima orang anak merasai perit apabila membelanjakan setiap ringgit. Ditambah lagi dengana hidup di bandar, tidak ada apa-apa lagi yang tinggal apabila masuk minggu kedua setiap bulan.

GST juga menyebabkan beberapa jenis perniagaan ditutup atau mendapati melihat bilangan pelanggan mereka berkurangan. Hal ini berlaku apabila pelanggan mula memikirkan harga barang dengan nilai wang mereka ada. Jika sebelum GST, wang sebanyak RM100 boleh membeli barang keperluan rumah hampir separuh troli, kini mungkin suku troli sahaja. Maksudnya, cukai yang dikenakan menyebabkan tidak banyak barang yang boleh dibeli. Lalu, ramai orang mengambil keputusan mengurangkan perbelanjaan mereka menyebabkan perniagaan terjejas kerana kekruangan hasil jualan. Keadaan ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan sehingga sampai ke satu tahap, syarikat perlu mengecilkan saiz pekerja kerana kekurangan dana, seterusnya menjejaskan ekonomi secara keseluruhannya.


3. Kepimpinan Najib Razak

Tun Dr Mahathir menggelar Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kleptokrat iaitu pencuri, penyangak dan perompak wang negara. Beliau juga menyebut Najib Razak menggunakan konsep “Cash is King” untuk mencari dan membeli sokongan. Beliau percaya kaedah itu telah membebankan pentadbiran negara dan merosakkan sistem nilai masyarakat. Dalam setiap siri ceramah. Tun Dr Mahathir sering kali merujuk skandal 1MDB dan wang tunai RM2.6 bilion dalam akaun Najib Razak sebagai punca kepada pelabelan berkenaan.

Rakyat Malaysia melihat tindak balas Najib Razak dalam ini hanyalah dengan menggunakan Peguam Negara untuk menafikan penglibatannya di samping mempengaruhi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengesahkan RM2.6 bilion sebagai derma. Beliau juga memperuntukkan sejumlah perbelanjaan untuk menaja imam dan bilal masjid menunaikan haji dengan alasan 1MDB tidak ada masalah kewangan.

Kemahiran beliau memimpin organisasi UMNO juga menjadi masalah. Untuk menyelesaikan kritikan dalaman ahli-ahli UMNO terhadap 1MDB, Najib Razak memecat tiga orang berpengaruh iaitu timbalan presiden, naib presiden dan menteri besar. Ketiga-tiga orang ini membawa satu haluan selepas dipecat iaitu menjatuhkan Najib Razak. Mereka menubuhkan parti baru, membina pengaruh dan sokongan, bergabung dengan Pakatan Harapan dan bertanding dalam PRU14. Kesilapan besar Najib Razak ialah tidak membuat jangkaan terhadap kempen ketiga-tiga tokoh ini untuk mengumpul kekuatan dan mencari tempat dalam politik Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir bergabung menubuhkan Bersatu sebagai parti alternatif kepada UMNO. Parti berkenaan terus berusaha mencari sokongan dalam kalangan bekas-bekas penyokong UMNO yang tidak sehaluan dengan Najib Razak. Usaha mereka berbaloi apabila ramai ahli UMNO dan anak-anak muda yang berminat dengan pendekatan yang digunakan.

Di Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal menubuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menarik minat rakyat tempatan untuk menumbangkan UMNO Sabah. Warisan dapat menarik pengundi yang ramai dalam masa yang singkat sehingga dapat menubuhkan kerajaan di Sabah. Kebangkitan rakyat Sabah mungkin juga kerana pengaruh sentimen dari Semenanjung yang menolak apa juga pengaruh UMNO dan Najib.

Selain daripada peribadi Najib Razak, kehidupan isterinya juga menjadi bualan. Datin Seri Rosmah Mansor dikaitkan dengan kehidupan bermewah sehingga menimbulkan persepsi negatif berkenaan pembaziran wang. Salah satu kisah yang menarik adalah bayaran RM1,200 untuk membuat gaya rambut. Ramai orang percaya berlaku lebih banyak pembaziran dan salah guna kuasa seperti penggunaan kapal terbang rasmi kerajaan.

Penglibatan anak Rosmah Mansor dalam pembikinan filem Wolf of Wall Street dikatakan menggunakan dana yang dialih dari 1MDB pada tahun 2013. Walaupun Najib Tun Razak cuba menafikannya, maklumat yang didedahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat memberi kesan terhadap persepsi negatif masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Najib Razak mempengaruhi orang ramai melalui kempen dan slogan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Biarpun banyak program dan perkhidmatan menggunakan “1Malaysia” seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau Klinik 1Malaysia, usaha-usaha ini tidak dapat mengurangkan resah masyarakat terhadap bebanan kos hidup. Tidak ada gunanya Salam 1Malaysia kalau hidup dalam kesusahan kerana harga barang yang mahal sedangkan peningkatan gaji tidak setara dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.


4. Akhbar dan media berat sebelah

Akhbar dan media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star atau New Straits Times menyiarkan berita yang condong kepada BN setiap hari. Sindiran kerap bertukar kepada penghinaan peribadi yang mengundang simpati masyarakat kepada pimpinan PH khususnya Tun Dr Mahathir sendiri. Pada 27 April 2018, Utusan Malaysia menyiarkan ucapan Najib Razak yang berkata Tun Dr Mahathir sebenarnya hanya diperkudakan DAP untuk memecahbelahkan undi Melayu pada PRU14. Di Berita Harian, A Jalil Hamid mengutarakan pandangan sinis yang bertajuk “Dua ucapan berbeza menjelang hari mengundi” pada 9 Mei 2018 terhadap ucapan Tun Dr Mahathir di Langkawi selaku pengerusi PH. Beliau berkata ucapan berkenaan “tiada apa yang baharu” dan “di pentas itu hanyalah seorang lelaki berusia 93 tahun yang keletihan, tanpa kekuatan mahupun inspirasi”. Dan akhirnya beliau merumuskan “Pakatan pembangkang gagal menggunakan ucapan Langkawi bagi menampilkan Dr Mahathir sebagai ketua pakatan”. Pandangannya begitu sinis dan merasakan BN akan menang dan terus berkuasa.

Media kawalan BN iaitu RTM dan TV3 berterusan menyiarkan sisi negatif pemimpin PH sehingga menimbulkan rasa meluat penonton. Oleh kerana siaran negatif ini, TV3 sering kali digelar “TV tiga suku” dan penyampai beritanya dikecam. Mungkinkah editor di akhbar-akhbar perdana dan media elektronik ini tidak menyedari bahawa gelombang perubahan besar bakal berlaku pada Rabu, 9 Mei 2018 yang meruntuhkan tembok pemikiran pengundi yang mahukan perubahan?

Gelagat laporan seperti ini mengundang rasa meluat dan marah sebahagian masyarakat yang kemudiannya beralih kepada maklumat yang diperoleh dari media sosial dan ceramah. PH tidak perlu mencetak banyak bahan maklumat sebagai serangan balas kempen mereka. Umumnya penonton di media sosial lebih mudah berkongsi maklumat melalui pandangan yang disalurkan dalam ruangan komen sesuatu platform media sosial. Kesilapan media pro-BN ialah mereka mengasak fikiran masyarakat dengan memperlekeh kemampuan PH secara keterlaluan menyebabkan masyarakat merasa muak dan tidak percaya dengan kandungan laporan yang disiarkan.


5. Sabotaj ahli parti

MCA dah MIC terpaksa bergantung harap kepada untuk terus mendapat kepercayaan pengundi khususnya undi pengundi Melayu. Di kawasan bandar, calon MCA tidak mendapat sokongan masyarakat Cina kerana pelbagai faktor seperti tidak berupaya menyampaikan mesej masyarakat Cina kepada kerajaan Barisan Nasional dan wakil Cina dianggap sebagai boneka dalam kabinet kerajaan. Kebanyakan pengundi bandar yang bermajoriti kaum Cina akan beralih kepada DAP.

Begitu juga MIC. Parti ini hilang taringnya dalam setiap kali pilihan raya dan sangat bergantung kepada ihsan UMNO untuk menang di kawasan yang ditandingi. Parti ini juga tidak lagi memiliki sentuhan luar biasa bagi masyarakat India kerana mereka sendiri merasakan keadaan masyarakat India di Malaysia tidak banyak perubahan. Dalam PRU14, MIC ditolak oleh pengundi sama ada kerusi parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Hanya beberapa kawasan luar bandar masih berminat dengan parti ini.

Keadaan paling genting berlaku kepada UMNO. Perebutan jawatan dan tamak untuk menjadi calon menyebabkan calon-calon yang tersingkir membuat bantahan senyap. Mereka tidak turun berkempen sebaliknya turun beramai-ramai untuk memilih calon lawan pada hari mengundi. Kes yang berlaku di Kuala Perlis menjadi contoh apabila calon popular diketepikan oleh pucuk pimpinan UMNO negeri. Hal ini menyebabkan ahli-ahli parti membantah. Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, DUN Kuala Perlis dimenangi oleh calon PKR yang lebih muda. Keadaan ini juga berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Sabotaj seperti ini berlaku dalam banyak keadaan. Kesannya ialah jentera parti tidak bergerak. Keadaan ini memberi peluang kepada lawan untuk menarik sokongan. Suasana sabotaj parti ini bertepatan dengan jangkaan Tun Dr Mahathir terhadap jangka hayat UMNO yang berakhir pada atau sebelum tahun 2020 kerana perebutan kuasa yang menyebabkannya menjadi sebuah parti yang lemah.

Di samping sabotaj, ahli-ahli BN juga kurang berusaha mendekatkan diri mereka dengan pengundi kerana berkeyakinan rakyat masih memilih komponen parti itu. Berdasarkan pelbagai jenis bantuan dan keadaan ekonomi negara yang baik ketika itu, telahan pelbagai agensi penyelidikan juga memaparkan BN akan memenangi pilihan raya ini malah ada yang berpandangan BN akan mendapat majoriti dua pertiga. Justeru, BN memilih untuk tidak berusaha bersungguh-sunguh dan berkempen dalam keadaan selesa tanpa menyedari pasukan kempen PH bergerak ke seluruh negara mempengaruhi pengundi.

Pilihan Raya Umum ke-14 mencatat sejarah di Malaysia. Rakyat telah membuat keputusan untuk mengubah kerajaan sedia ada kerana menghadapi pelbagai kekangan hidup yang memberi masalah besar. Kerajaan yang baru ini dilihat cuba untuk membuat sejarah Malaysia yang baru, Malaysia yang bebas dalam erti kata berdikari, lebih terbuka dan progresif. Bagi merealisasikan Malaysia yang baru ini, sudah pasti kerajaan PH memerlukan sokongan dan juga dukungan yang padu supaya pelbagai dasar, perancangan dan program yang dimuatkan dalam manifesto pilihan raya baru-baru ini dapat disempurnakan. Pemansuhan GST, pengurangan kadar tol, peningkatan pendapatan dan memenuhi kebajikan rakyat boleh menjadi realiti apabila semua pihak mengambil bahagian untuk menjadikan kehidupan rakyat Malaysia sebagai sebuah kehidupan yang lebih baik, bermaruah dan bahagia.

No comments:

Post a Comment