Saturday, June 02, 2018

Impak Bantuan Sara Hidup kepada kumpulan sasar







Bantuan Sara Hidup (BSH) yang baru diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia merupakan satu bentuk dasar sosial yang meneruskan kesinambungan bantuan-bantuan sosial sedia ada. Program ini bersasar dan memberi keutamaan kepada kelompok sosial yang berpendapatan rendah di seluruh negara.

Pendekatan yang diambil oleh kerajaan ini seiring dengan bantuan sosial yang dilaksanakan oleh pelbagai negara untuk meringankan kos hidup rakyat. Perbezaannya ialah dalam bentuk bagaimana bantuan itu disalurkan.

Ada sesetengah negara yang memberi bantuan wang tunai untuk penerima membeli barang keperluan di premis yang ditetapkan, ada juga memberi kupon atau baucar mengikut tahap pendapatan, ada juga yang memberi bantuan langsung seperti makanan atau keperluan-keperluan lain. Di negara-negara maju, kumpulan sasar diberi kad kebajikan untuk mereka mendapatkan perkhidmatan.

Dua program yang terkenal adalah Prospera dan Bolsa familia.

Prospera (sebelum ini dikenali sebagai Oportunidades) merupakan program pemindahan tunai bersyarat yang telah memberi manfaat kepada hampir enam juta keluarga dan telah guna pakai di 52 negara. Idea ini cukup mudah iaitu memberi wang kepada seorang ibu untuk menggalakkannya menghantar anak-anak ke sekolah dan pusat kesihatan. Program yang bermula pada tahun 1990-an, kini telah menjadi program primer di Mexico. Inisiatif ini meningkatkan kadar enrolmen sekolah dan pemakanan kanak-kanak di negara itu. Program ini telah diperluaskan skop kepada mempromosi akses pendidikan tinggi dan pekerjaan formal. Di samping itu, Prospera memudahkan akses kepada perkhidmatan kewangan bagi memastikan keterlibatan masyarakat termiskin.

Kajian-kajian menunjukkan impak positif program ini terhadap kadar pendaftaran sekolah dan tahap pendidikan, penambahbaikan yang signifikan dalam status pemakanan dan pencegahan kesihatan yang lebih baik. Contohnya, secara purata penerima bantuan persekolahan, manfaat lelaki muda dalam program ini mempunyai 0.85 tahun atau hampir 10 bulan bersekolah manakala peserta wanita muda mempunyai 0.65 tahun atau hampir lapan bulan bersekolah. Program ini juga telah menyebabkan penurunan 11.8 peratus kejadian anemia dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Kajian juga mendedahkan penurunan sepertiga kadar kemiskinan di luar bandar disebabkan program ini.

Terdapat empat faktor yang menjadikan Prospera program pembasmian kemiskinan yang berjaya. Pertama, kumpulan sasar sangat jelas melalui mekanisme pemilihan penerima yang telus dalam semua peringkat pemilihan.

Kedua, menyerahkan wang tunai secara langsung kepada keluarga menggalakkan penerima untuk menghantar anak mereka ke sekolah dan ke pusat kesihatan, dapat mengurangkan limitasi pendapatan sedia ada bagi menampung kos makanan dan membolehkan mereka membuat pelaburan penting untuk menghentikan kitaran kemiskinan.

Di samping itu, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan yang mana dapat memudahkan komunikasi secara langsung dengan penerima walaupun di kawasan terpinggir dan terpencil. Keadaan ini membolehkan pekerja program mengesan potensi masalah dan meningkatkan perpaduan sosial dalam komuniti.

Akhir sekali, program ini mempunyai agenda penilaian yang sangat baik yang telah membawa kepada penambahbaikan model program dari semasa ke semasa.

Program ini dianggap berjaya apabila menunjukkan impak pengurangan kemiskinan, tahap pendidikan yang lebih tinggi, pemakanan dan kesihatan yang lebih baik yang telah terbukti dalam konteks yang berbeza. Penekanan kepada penilaian membolehkan pelaksana program pemindahan tunai bersyarat ini membuktikan kejayaannya dalam pelbagai bidang sasar.

Kini Prospera telah diperluaskan kepada aktiviti keterangkuman sosial dan produktiviti bagi faedah kumpulan sasar. Prospera menggalakkan hubungan kumpulan sasar dengan program sosial dan produk yang saling melengkapi, memperluaskan perkhidmatan pendidikan kepada belia melalui pemberian dana untuk latihan vokasional dan akses kepada pekerjaan. Di samping itu, ia menggalakkan kerangkuman kewangan melalui peningkatan akses dalam simpanan, mikrokredit dan insurans.

Bolsa família atau elaun keluarga adalah program kesejahteraan sosial kerajaan Brazil yang menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga miskin. Jika keluarga berkenaan mempunyai anak, program ini memestikan keluarga itu menghantar anak-anak ke sekolah dan diberi vaksin. Jika jumlah ponteng sekolah lebih tinggi, dana bantuan keluarga akan digantung. Matlamat jangka pendek ialah mengurangkan kemiskinan melalui pemindahan tunai langsung dan matlamat jangka panjang dengan peningkatan modal insan melalui pemindahan tunai bersyarat. Ia juga berfungsi memberikan pendidikan percuma kepada kanak-kanak yang tidak mampu ke sekolah.

Program Bolsa família telah disebutkan sebagai satu faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar kemiskinan di Brazil sebanyak 27.7 peratus dan penurunan yang ketara dalam jumlah penduduk miskin di Brazil antara tahun 2003 dan 2005. Faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan ini adalah peningkatan dalam pasaran kerja dan gaji minimum.

Dalam kaedah bantuan di Malaysia, BSH ini dilihat mempunyai dua sasaran. Pertama, membantu kumpulan sasar meringankan bebanan hidup. Kedua, mengikat kumpulan sasar terhadap kebaikan-kebaikan kerajaan. Secara umum, bantuan ini merupakan pendekatan popular sesebuah kerajaan untuk meraih sokongan. Ia sama seperti BR1M yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Kumpulan sasar akan menterjemahkan rasa terhutang budi dan terima kasih mereka kepada kerajaan melalui undi dalam pilihan raya. Kumpulan sasar ini biasanya terdiri daripada warga emas, golongan pencen, suri rumah dan penganggur.

Kaedah bantuan perlu diperkemaskan supaya kumpulan sasar tidak bergantung kepada bantuan tersebut. Sebaiknya kaedah bantuan mesti disusuli dengan strategi pemerkasaan seperti menghadiri kursus dan kelas kemahiran, latihan industri atau program peningkatan kualiti diri sebagai penerima bantuan supaya mereka dapat berdikari selepas menerima bantuan.

Kerajaan boleh berkongsi peranan dengan pihak industri untuk mengenal pasti penerima yang layak dan boleh berdikari dalam pelbagai bidang kemahiran. Atau setidak-tidaknya komuniti setempat boleh diperkasakan melalui khidmat nasihat dan bantuan teknikal agensi-agensi kerajaan sendiri. Penglibatan ketua kampung amat penting jika kerajaan bercadang mengguna pakai kaedah pembangunan komuniti kerana pengaruh dan komunikasi dua hala yang lebih mudah dengan penduduk setempat.

Malaysia perlu menghubungkan dasar ekonomi dengan dasar sosial yanglebih meluas supaya generasi akan datang dapat dilibatkan dalam dasar sosial negara.

Malaysia boleh memberi peluang kepada semua rakyat melalui program sosial yang bersepadu dan inklusif dengan menjamin kecukupan keperluan makanan, mengukuhkan pembangunan modal insan, menguatkan dasar dan program yang memberi ruang kepada golongan muda mendapat pekerjaan serta menghubungkan program Bantuan Sara Hidup ini kepada pembangunan luar bandar, keterangkuman kewangan dan program mikrokredit.
Post a Comment