Sunday, April 30, 2017

Memperkasa institusi tahfiz







Kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin menarik simpati ramai pihak. Pihak istana, pemimpin negara, ketua komuniti dan orang ramai menzahirkan kesedihan masing-masing dengan menziarahi jenazah, membuat catatan di media sosial atau mengadakan bacaan yaa sin.

Mohamad Thaqif merupakan seorang pelajar yang bercita-cita mahu menghafal al-quran. Namun, sistem pengajian yang dilaluinya telah menghalang impian tersebut apabila proses pembelajaran menjadi lebih sukar dan memudaratkan.

Dewasa ini, institusi tahfiz semakin mendapat tempat dalam masyarakat Islam di Malaysia. Maklumat di portal Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mencatatkan sehingga 2011 terdapat 278 buah pusat tahfiz di seluruh negara. Daripada jumlah ini, hanya 14 buah yang berada di bawah kerajaan pusat atau negeri manakala 254 lagi berada di bawah seliaan swasta atau persendirian.

Pusat tahfiz banyak terdapat di Selangor (120), diikuti Kelantan (60), Perak (20), Kedah (15) dan Pulau Pinang (8). Bilangan pelajar pula dianggarkan seramai 13,000 orang.

Kewujudan pusat tahfiz swasta ini menunjukkan ibu bapa berminat dengan sistem ini, sekurang-kurangnya melahirkan seorang hufaz dalam keluarga mereka. Antara faktor yang menarik minat ibu bapa ialah integrasi sistem pendidikan agama dan akademik. Kaedah ini dapat memberi kemahiran tambahan kepada pelajar tahfiz supaya dapat bersama-sama bersaing dalam dunia pekerjaan kelak.

Di samping menghafal al-quran, pelajar dapat menguasai kemahiran bahasa, matematik dan sains. Pelajar yang berjaya menamatkan pengajian berupaya memiliki nilai tambah diri yang melayakkan mereka untuk dipilih semasa persaingan selepas pengajian. Kebanyakan ibu bapa percaya jika anak-anak diberi pendidikan al-quran, pemikiran dan moral anak-anak dapat menjadi pelindung paling kuat kepada ancaman sosial hari ini.

Pelajar yang pintar dan dihantar ke pusat tahfiz ridak mempunyai masalah pembelajaran malah dapat menaikkan imej institusi tahfiz.

Namun ia berbeza dengan pelajar yang dihantar ke pusat tahfiz kerana tidak ada pilihan lain. Pelajar jenis ini bakal memberi masalah kepada pihak pengurusan tempat belajar mereka dan turut memberi masalah kepada pelajar-pelajar lain. Mereka juga mungkin gagal menamatkan hafalan dan menjadi beban kepada kelaurga dan masyarakat.

Institusi tahfiz perlukan perubahan dalam semu aspek. Namun, tumpuan perlu diberikan kepada silibus yang lebih praktikal seperti pengajaran dan pembelajaran, pengukuran pencapaian dan kemahiran akademik. Aspek-aspek lain seperti kemudahan infrastruktur, kualiti pengajar dan beban tugasan guru boleh ditambah baik seiring dengan perkembangan tahfiz itu sendiri.

Pihak berkuasa yang menjaga hal ehwal tahfiz juga perlu memodenkan sistem dan prosedur pengawalan, pemantauan dan penilaian seiring dengan perubahan corak pendidikan agama hari ini. Kefahaman masyarakat terhadap peranan hufaz juga lebih jelas. Mereka tidak lagi bekerja dalam bidang keagamaan sebagai imam atau pembaca doa, sebaliknya boleh menjadi jurutera atau doktor.

Ia boleh berlaku kerana telah wujud kesedaran dalam kalangan pembuat polisi pendidikan tahfiz yang percaya bahawa pendidikan yang bersepadu berupaya melahirkan sumber manusia yang berketerampilan dan memberi manfaat kepada negara.

Dasar Pendidikan Tahfiz Nasional yang ada boleh menjadi panduan kepada semua pihak ke arah melahiran institusi tahfiz yang berkualiti dan berpengaruh di peringkat antarabangsa. Semua pihak yang terlibat wajar memberi komitmen bagi melaksanakan dasar ini seiring dengan kepercayaan umum masyarakat Islam terhadap sistem pendidikan berkenaan. Mendaftarkan pusat tahfiz adalah langkah awal memastikan pelajar mendapat pendidikan sewajarnya supaya pusat tahfiz dapat dibawa ke dalam arus perdana sistem pendidikan negara.



No comments:

Post a Comment