Sunday, April 16, 2017

Aksi agresif cemar imej







United Airlines tersenarai tempat keempat sebagai syarikat yang memiliki reputasi terburuk dalam kajian 24/7 Wall Street. Sebelum ini syarikat itu pernah mengurangkan pembayaran gaji pekerja dan menjumudkan beberapa jawatan manakala prestasi ketua pegawai eksekutif dinilai sebagai kurang berkesan.

Imej United Airlines sebagai syarikat penerbangan tersohor di Amerika Syarikat tercemar gara-gara tindakan kasar terhadap seorang penumpang Asia-Amerika yang ditarik secara ganas kerana enggan melepaskan tempat duduk secara sukarela.

Penumpang berkenaan, David Dao mengalami trauma dengan keadaan hidung berdarah dan gegaran di kepala. Kisah keadaannya boleh dibaca di sini.

Beliau menyifatkan keadaan hari itu seperti “lebih teruk daripada pengalaman melarikan diri meninggalkan Vietnam”.

Kritikan dan ulasan negatif menyebabkannya mengalami kemerosotan nilai saham mencecah hampir satu bilion ringgit.

Kebanyakan individu dan syarikat membidas United Airlines dalam pelbagai bentuk. Ada yang memperli secara lisan, ada juga yang berkongsi imej dan video bagi membantah polisi berat sebelah serta membuat kritikan di ruang twitter masing-masing.

Sebenarnya, pada yang sama terdapat seorang penumpang disengat kala jengking semasa berada dalam pesawat United Airlines.

Sesebuah syarikat besar yang yang bergantung pada perkhidmatan pelanggan mempunyai polisi yang menyeluruh untuk melindungi kepentingan pemegang saham dan pekerja. Namun, polisi berkenaan tidak semestinya dianggap terbaik apabila ia melibatkan aksi ganas dan kecederaan melampau.

Polisi dan prosedur yang menyulitkan pengguna pasti menerima maklum balas dan kritikan pedas. Pada masa yang sama imej syarikat turut terjejas dan bakal menghalang orang ramai menggunakan perkhidmatan yang disediakan secara sukarela.

Di negara kita juga wujud prosedur yang agak pelik. Sebuah syarikat penerbangan memaklumkan mereka perlu memastikan tidak ada parut, tatu atau kecacatan pada bahagian atas anggota badan bakal krew penerbangan wanita. Justeru, semasa sesi temu duga, calon dikehendaki menunjukkan sebahagian daripada anggota badan. Alasannya adalah kerana corak pakaian yang akan dipakai nanti boleh menerobos pandangan mata sehingga ke bahagian dalam pakaian.

Polisi ini telah dibantah kerana didakwa menjatuhkan maruah pekerja wanita. Beberapa pihak turut meminta syarikat itu menilai kembali prosedur temu duga berkenaan.

Kejayaan dalam perniagaan bergantung pada banyak sebab. Antaranya ialah khidmat pelanggan yang cemerlang, kemahiran dan kepakaran, kepercayaan umum, tanggungjawab sosial dan layanan terhadap pekerja.

Ada syarikat yang begitu mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan kebajikan pekerja. Upah yang rendah, tidak peduli dengan permit kerja, mengambil mudah makan atau minum pekerja dan komunikasi umpama diktator merupakan antara tanda-tanda kemerosotan dinamika progresif perniagaan. Selepas pekerja bertindak balas dengan meninggalkan syarikat, ia umpama hidup segan tetap enggan mati.

Masyarakat umum sentiasa menilai syarikat yang menawarkan produk sama ada berkualiti atau sekadar cukup makan.


No comments:

Post a Comment