Sunday, April 23, 2017

'Fake news' dalam pilihan raya Amerika







“Fake news” atau berita palsu menjadi trend di media Barat hari ini. Ia dikatakan bermula apabila terdapat dakwaan penglibatan Russia dalam kempen pemilihan Donal Trump sebagai presiden Amerika Syarikat pada November lalu.

Pegawai-pegawai Amerika menyatakan dua dokumen daripada institusi pemikir Russia telah menyediakan kerangka kerja dan rasionalisasi untuk turut mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.

Institusi pemikir berkenaan adalah Institut Kajian Strategik (Institute for Strategic Studies) yang dikepalai oleh pegawai kanan perisikan luar Russia yang telah bersara.

Strategi yang terdapat dalam dokumen itu mencadangkan Kremlin membuat kempen propaganda di media sosial dan melibatkan agensi berita Russia seperti Russia Today (RT) dan Sputnik yang menggalakkan pengundi Amerika memilih presiden lebih mesra terhadap Russia.

Dokumen kedua dilihat memberi amaran terhadap kempen Hillary Clinton. Justeru, ia mencadangkan Russia menamatkan kempen pro-Trump.

Kedua-dua dokumen berkenaan menjadi isu besar dalam pentadbiran Obama yang membuat kesimpulan bahawa Russia membesarkan berita palsu dalam kempennya dan melancarkan serangan siber bagi menentang kempen Parti Demokratik khususnya Clinton.

Bagaimanapun, presiden Russia Vladimir Putin menafikan penglibatan Russia.

Trump juga mengatakan aktiviti-aktiviti Russia tidak memberi impak ke atas persaingan kerusi presiden.

Analisis menunjukkan RT membangkitkan cerita anti-Clinton sementara para bloger pro-Kremlin menyediakan kempen di Twitter dengan menimbulkan persoalan keadilan terhadap jangkaan kemenangan Clinton.

Video popular RT mengenai Clinton iaitu”How 100% of the 2015 Clinton’s ‘charity’ went to...themselves” mengumpul sembilan juta pelayar di media sosial. RT dan Sputnik dilapor mendedahkan kandungan e-mel yang digodam daripada Parti Demokratik.

Dua seteru ini sentiasa bersaing untuk menjadi terbaik dan cenderung membuat tuduhan sesama sendiri. Russia menggunakan kesempatan pilihan raya presiden sebagai waktu paling sesuai untuk memastikan dasar-dasar luar Amerika Syarikat lebih mesra dan memihak kepadanya. Kemungkinan besar Russia sudah serik dilayan ketika era Obama dan memilih pendekatan serangan siber untuk menamatkan dominasi Demokratik demi masa hadapannya.


  
Post a Comment