Tuesday, April 04, 2017

Kebajikan pemain pacu kejayaan







Bola sepak Malaysia bakal kembali gagah. Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia yang baru, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berazam melakukan transformasi dalam persatuan itu supaya prestasi pasukan Harimau Malaya kembali bersinar.

Dalam ucapan perhargaan, Tunku Ismail memberi penekanan terhadap kebajikan pemain bola sepak supaya dapat mencapai sasaran. Tanpa perhatian terhadap kebajikan pemain, sama ada dalam soal gaji, pampasan atau keadaan kesihatan, sudah tentu moral pemain semakin merosot.

"Mereka terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak pernah mengambil berat terhadap kebajikan pemain. Mereka juga bermain untuk sebuah organisasi yang tidak mengambil kisah apabila mereka mengalami kecederaan. Saya sendiri bersama-sama pemain ini". (Kosmo!, 27 Mac 2017)

Bagaimanapun, sama seperti sebuah organisasi, bola sepak perlukan pengurus dan pemain yang mengambil berat dan tahu menjaga kebajikan pemain.

Sesebuah pasukan bola sepak hari ini memiliki pemain sepenuh masa dan bergantung sepenuhnya kepada bola sepak. Bakat dan kemahiran yang ada pada pemain menjadi aset pasukan untuk mendapat lebih banyak kejayaan dan pendapatan.

Kelab-kelab bola sepak ternama dunia seperti Manchester United, Barcelona atau Chelsea memiliki kelompok pemain yang berbakat di dunia. Pemain-pemain terbaik ini berada dalam kelab-kelab hebat ini kerana mereka berbakat di luar daripada biasa. Rata-ratanya dibayar gaji mengikut mingguan dan mampu mencecah jutaan ringgit dalam masa setahun.

Christian Ronaldo dan Lionel Messi merupakan dua pemain antarabangsa yang berpendapatan tinggi dan sentiasa menjadi contoh kepada pemain-pemain muda yang ingin mencipta keajaiban dalam bola sepak.

Gaji dan pendapatan tinggi menjadi tarikan kepada setiap pemain bola sepak untuk meningkatkan bakat dan kemahiran dalam posisi masing-masing lebih-lebih lagi di bahagian tengah dan serangan.

Pemain bola sepak yang hebat dan terkenal tidak selalu muncul sebaliknya lahir dalam tempoh tertentu. Mereka menjadi perhatian kelab bola sepak yang kaya-raya untuk diserap dalam akademi bola sepak kelab supaya digilap dan diperkukuh bakat sedia ada. Dalam kelab ini juga disediakan kemahiran sebagai satu pasukan. pada masa yang sama kebajikan diri dan keluarga dijaga.

Barangkali pengurus bola sepak persatuan bola sepak boleh melihat kembali cara mereka bekerja dan membuat sasaran. Malaysia ingin melihat bola sepak negara pergi lebih jauh dan dapat menandingi pasukan-pasukan lain yang telah maju kehadapan.


Post a Comment