Friday, April 14, 2017

Datang sekolah: insan atau teknologi?







Kehadiran pelajar ke sekolah adalah isu penting dalam proses pembelajaran hari ini, di sebalik pendekatan kelas dalam talian. Kelas maya tidak menjadi masalah kepada pelajar di institusi pengajian tinggi  tetapi tidak di sekolah, lebih-lebih lagi sekolah rendah.

Penggunaan perakam waktu untuk merekodkan kehadiran pelajar sekolah rendah di Malaysia menjadi pilihan beberapa buah sekolah. Idea ini dikatakan menarik kerana perakam waktu berupaya membuat pembaharuan terhadap tingkah laku pelajar di peringkat awal persekolahan. Antara perubahan yang dijangka ialah tahap kehadiran dapat dipantau dan sebarang masalah kehadiran dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Sudah tentu pengenalan perakam waktu bukan sekadar mencatat masa hadir sebaliknya membaharui nilai dan sikap pelajar terhadap sekolah masing-masing.

Dalam erti kata lain, idea itu adalah positif. Impak kehadiran yang memuaskan ialah implikasi positif dalam akademik. Impak positif ini memnjadi rantaian di sepanjang proses persekolahan pelajar sehingga memulakan tugas pada hari pertama mendapat pekerjaan.

Banyak sekolah di seluruh dunia menggunakan pelbagai pendekatan untuk menggalakkan pelajar datang awal ke sekolah. Dua kaedah yang menjadi pilihan ialah menggunakan pendekatan kemanusiaan dan teknologi.

Mari kita lihat pendekatan yang diguna pakai oleh sekolah di Amerika Syarikat dan Jepun untuk menggalakkan pelajar “suka” sekolah masing-masing.

Sebuah sekolah di Amerika Syarikat telah menjemput kakitangan awam dan swasta dalam pelbagai bidang. Ada yang dijemput ini adalah hakim, peguam, doktor, penghantar barang FedEx dan sebagainya. Mereka hadir untuk menyambut kedatangan pelajar pada hari pertama persekolahan selepas cuti panjang. Mereka hadir dengan berpakaian kerja untuk memberi mesej kepada pelajar iaitu “memastikan pelajar melangkah masuk ke kelas dengan impian masa depan berada di minda mereka”.

Melalui kaedah ini pelajar sekolah berkenaan dapat berfikir merentasi sempadan kelas dan pagar sekolah di samping mempunyai keupayaan berfikir bahawa mereka memiliki semangat dan wajar belajar bersungguh-sungguh dalam pembelajaran.

Ada juga sekolah yang menjemput pasukan pancaragam bersama penyanyi hip-hop sebagai mesej bahawa wujud peluang yang jauh berbeza daripada apa yang diajarkan di dalam kelas.

Pelajar mahu hadir ke sekolah kerana pengaruh guru mereka. Jika pelajar telah “jatuh hati” pada guru mereka, sudah jelas, kehadiran ke sekolah kerana guru berkenaan, tidak yang lain. Walau bagaimanapun terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi semangat dan keinginan belajar di sekolah. Ianya jauh berbeza dengan konsep dan falsafah pembelajaran Amerika Syarikat.

Di Jepun, pendekatan yang diguna pakai bersifat inklusif iaitu penglibatan pelajar. Bilangan pelajar antara 30 hingga 35 orang dalam sebuah kelas tidak menjadi masalah atau beban kepada guru, sebaliknya di sinilah konsep kerjasama diterapkan.

Justeru, lebih ramai pelajar bererti lebih banyak penglibatan dan di akhir proses pembelajaran, semua pelajar telah belajar sesuatu.

Modelnya begini.

Dalam kelas, guru akan memulakan tugas dengan memberi satu masalah yang dekat di hati pelajar iaitu masalah harian yang dihadapi dengan cara menulis di papan nota, dalam bentuk helaian ataupun secara lisan. Matlamatnya ialah menggalakkan pelajar berfikir. Sepanjang proses pembelajaran ini tiada ujian diadakan.

Sepanjang proses ini, beliau akan bergerak dari satu kumpulan ke kumpulan untuk memantau kaedah penyelesaian yang dipilih. Sekali-sekala beliau akan meminta pelajar menulis kaedah penyelesaian di papan nota. Sudah tentu ada dalam kalangan pelajar ini yang memberi penyelesaian dan ada yang gagal sama sekali. Selepas semua kaedah penyelesaian ditulis, pelajar diminta memberi justifikasi kenapa kaedah berkenaan dipilih.

Di sini berlaku interaksi yang sangat aktif melibatkan guru-pelajar dan pelajar-pelajar. Secara tidak langsung ia menggalakkan proses percambahan idea dan berfikiran logik dalam kalangan pelajar sendiri.

Contohnya, jika pelajar merasakan kaedah yang dipilih tidak berjaya dan tidak dapat dapat menyelesaikan masalah, mereka sendiri mesti berfikir dan memberi alasan “kenapa”, di sini pelajar belajar tentang menerima kesalahan dan kesilapan. Penerangan daripada guru tentang kesalahan berkenaan membuka minda pelajar untuk menganalisis dan menilai hasil kerja masing-masing.

Dari perspektif lain, pelajar juga belajar lebih daripada satu pendekatan untuk menjawab soalan berbanding penyelesaian masalah yang lebih berkesan. Cara pengajaran begini membina kesedaran dalam diri pelajar bahawa menyelesai masalah secara berkumpulan lebih baik.

Selain itu, pendekatan terhadap kesalahan dan kesilapan juga menarik. Dalam pendidikan Barat, kesalahan seboleh-bolehnya dielakkan. Pelajar yang cepat menjawab soalan dan betul sudah tentu dihargai manakala pelajar yang gagal memberi jawapan seringkali diketepikan dan tidak dihiraukan.

Sebaliknya pelajar di Jepun menghargai kesalahan dan kesilapan sebagai proses pembelajaran berterusan.

Di Malaysia, kita menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik perhatian pelajar supaya kerap datang sekolah. Kita boleh belajar daripada model Amerika Syarikat atau Jepun namun keutamaan dalam pendidikan ialah menjadi orang yang pada akhirnya menjadi pandai dalam bidangnya, mempunyai akhlak dan adab yang mulia serta memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.



No comments:

Post a Comment