Friday, April 21, 2017

Rasuah jejas maruah diri







Sumber: Transparency International



Pemimpin Singapura, Lee Kuan Yew berkata, “If you want money, don’t go into politics. The moment you take a bribe, you sell your fate”. Mesejnya adalah jauhkan diri daripada politik jika mahu menjadi kaya.

Akhir-akhir ini kita melihat banyak pertuduhan rasuah dibuat terhadap pemimpin politik, penjawat awam dan pegawai atasan syarikat korporat. Jumlah keseluruhan rasuah ini mencecah jutaan ringgit. Rasuah dalam politik bukan sahaja memusnahkan kerjaya individu terbabit malah menjadikan masa depan bertambah kelam dan suram. Rasa malu turut terbeban ke atas keluarga dan rakan-rakan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga membuat perbandingan rasuah dan kesedaran mencari wang yang halal. Beliau sangat prihatin dengan sikap masyarakat Islam yang begitu sensitif dengan status halal makanan yang dimakan berbanding status sumber pendapatan sendiri. Contohnya, masyarakat Islam sangat peka dengan cara menyembelih ayam berbanding cara mendapatkan wang untuk membeli makanan kerana ada sebahagian wang tersebut diperolehi dengan cara riba, faedah dan rasuah yang tidak dihiraukan.

Transparency International memberi tumpuan kepada kaitan antara rasuah dan ketaksamaan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Kedua-dua perkara ini saling bantu-membantu untuk mencetuskan kitaran ganas rasuah, ditambah lagi dengan agihan kekayaan yang tidak sama rata.

“In too many countries, people are deprived of their most basic needs and go to bed hungry every night because of corruption, while the powerful and corrupt enjoy lavish lifestyles with impunity.” José Ugaz, Chair of Transparency International

Kaitan antara rasuah dan ketaksamaan turut mengukuhkan pemimpin yang menjadikan populariti sebagai sandaran mendapatkan kuasa. Apabila ada ahli politik yang gagal menyelesaikan masalah rasuah, orang ramai mula membina sinikal dalam diri mereka. Laluan keluarnya ialah memilih pemimpin popular yang menjadikan slogan anti rasuah sebagai tema utama pilihan raya. Sudahnya, ia bukan dapat menyelesaikan masalah sebaliknya menambah beban kepada masalah.

Pemimpin yang mengaitkan populariti dengan senario sosioekonomi dan agenda anti rasuah boleh mencetuskan perubahan rejim sesebuah negara. Pemimpin seperti ini kerap membuat hubungan antara kelompok elit rasuah yang berminat menambah kekayaan sendiri dan para penyokong tetapi meminggirkan rakyat.

Sejauh mana kebenaran kaitan antara politik dan ketaksamaan sosial boleh dilihat kepada dua negara iaitu Mexico dan Denmark.

Mexico mencatat Indeks Penyertaan Sosial kurang 3.5 iaitu catatan yang menunjukkan ramai yang terpinggir dalam pembangunan negara dan agihan kekayaan. Sebaliknya Denmark mencatat angka lebih tinggi dan penyertaan sosial yang bertambah.

Justeru, negara yang mencatat kadar pendapatan yang lebih tinggi lebih berupaya membelanjakan pendapatan negara terhadap khidmat sosial dan agihan kekayaan lebih merata, akhirnya mampu mengawal dan mengatasi gejala rasuah dalam sektor awam dan swasta.

Menghalang dan mencegah rasuah merupakan satu usaha yang sangat sukar. Usaha ini perlu ditangani secara serius dengan cara menyekat kitaran ganas rasuah daripada berulang. Aktiviti advokasi yang boleh dilakukan adalah menghentikan hubungan istimewa antara pimpinan perniagaan dengan pegawai-pegawai kerajaan yang berpotensi terlibat dalam salah guna kuasa, memberi fokus kepada memeriksa akaun pemberi dan penerima rasuah serta kawalan lebih ketat terhadap institusi perbankan, penjual barangan mewah, ejen hartanah dan peguam yang cenderung bekerjasama melupuskan wang haram. Langkah akhir ialah menyahkan syarikat yang terlibat dengan rasuah.

Dalam pada itu terdapat cadangan menjadikan rasuah sebagai musuh nombor satu negara. Ia satu langkah yang baik dan wajar direalisasikan. Bagaimanapun, untuk mengubah sebarang bentuk dasar, perancangan dan idea ke arah kebaikan, ia perlukan sekelompok pemimpinyang memiliki kesedaran untuk mendapatkan kuasa.

Kuasa itu pula boleh diperolehi melalui proses demokrasi yang memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk menggerakkan perubahan tersebut. Jika kita mahu mengubah negara kita, kita perlu berkuasa.


Post a Comment