Tuesday, May 17, 2016

Kasihi anak-anak







Tindakan seorang bapa merantai seorang anak lelaki tanpa berpakaian di susur tangan tangga berhampiran rumahnya selama lima jam tidak dapat diterima sama sekali.

Bapa menambat anaknya dari pukul 10 malam hingga tiga pagi.

Bagaimana keadaan kanak-kanak yang berusia lapan tahun duduk selama lima jam dengan keadaan dingin, sejuk, badan dikerumuni nyamuk dan menggeletar. Beliau juga terpaksa buang air kecil di situ.

Apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh si bapa terhadap anaknya?

Kes yang melibatkan kanak-kanak dirantai dan dibogelkan serta dibiarkan seorang diri telah berlaku di banyak tempat. Di Pulau Pinang, sepasang kanak-kanak berumur enam tahun dan dua tahun dirantai dan dikurung di dalam bilik air rumah kedai dari jam tiga petang hingga lapan malam pada tahun 2011.

Di Bidor, Perak, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dirantai dan dikunci pada tiang papan tanda oleh neneknya kerana nakal dan tidak melakukan kerja sekolah.

Di China, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dirantai selama tiga tahun kerana dikhuatiri akan lari dan tersesat jalan. Kanak-kanak itu tidak boleh bercakap tetapi penampilan fizikalnya seperti kanak-kanak normal. Dunianya hanya di sekitar rumah. Kanak-kanak ini juga dibiarkan berbogel.

Sangat sedih apabila melihat kanak-kanak yang tidak berdaya dibuat begitu oleh ahli keluarga sendiri.

Memang menjadi tabiat kanak-kanak berumur tujuh atau lapan tahun untuk meneroka kehidupan mereka. Tentulah sifat ingin tahu mereka itu diselang-seli dengan sedikit sifat agresif dan tidak mahu mendengar kata.

Mereka leka dengan dunia mereka, menguji sedikit tahap kesabaran ibu dan bapa di samping menanam minat dengan aktiviti lasak sama ada di dalam atau di luar rumah.

Anak-anak adalah anugerah yang paling hebat dikurniakan kepada keluarga. Mereka adalah waris kehidupan yang akan mendoakan kesejahteraan ibu bapa sepanjang hayat mereka. Sewajarnya anak-anak ini diberi didikan agama dan adab yang menjadi pemangkin kepada kejayaan kehidupan mereka.

Dalam kes-kes yang melibatkan pengabaian dan penderaan kanak-kanak, hukuman yang setimpal harus dikenakan kepada ibu atau bapa kanak-kanak itu supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Post a Comment