Thursday, May 12, 2016

Migrasi jadi masalah besar di Eropah








Ataka, Front National, Alternative für Deutschland, Party for Freedom, Golden Dawn, Finns, Danish People’s Party, Jobbik, Austrian Freedom dan Lega Nord merupakan ancaman politik baru kepada Eropah. Parti politik neo-Nazi yang baru muncul ini berpunca dari satu ancaman: migrasi.

Kewujudan parti neo-Nazi ini juga merupakan tindak balas sikap reaktif Parlimen Eropah terhadap rasisme dari tahun 1995 hingga 2001.

Satu perkara yang penting dalam teori pengaruh parti berhaluan kanan radikal ialah keinginan untuk menyatakan keprihatinan terhadap pendatang asing ini. Jadi, kemasukan besar-besaran pelarian dari Timur Tengah dan Afrika ke negara-negara Eropah menimbulkan suasana kelam-kabut.

Persamaan setiap parti ini ialah anti pendatang. Mereka menggunakan platform politik untuk mempengaruhi minda orang ramai bagi menghentikan kebanjiran pelarian asing. Pelbagai kempen dan slogan rasis menjadi daya penarik.

Parti ultranasionalis Greek, Golden Dawn meraih populariti apabila dapat menempatkan seorang wakil dalam Parlimen Eropah. Jurucakap utama parti itu memiliki tatu berlambang swastika manakala sebahagian pemimpin parti berada dalam penjara.

Party for Freedom yang diketuai Greet Wilders lebih lantang mengecam pendatang Islam di Belanda. Kempennya ialah menamatkan penghijrahan semua orang Islam ke negara itu dan menghalau keluar semua orang Islam yang masih berada di Belanda.

Kempen dan slogan parti-parti anti pendatang ini mencetuskan konflik perkauman dan agama yang serius.

Pada 2011, ahli parti Ataka di Bulgaria telah menyerang masjid ketika solat Jumaat. Pada 2013, pemimpin pari nasionalis VMRO, Angel Djambasky disiasat kerana menyeru orang ramai untuk mengangkat senjata melawan pendatang.

Di Finland, jenayah kebencian kaum menunjukkan trend meningkat. Hasil kajian pada 2011 menyatakan satu per tiga responden yang ditemui setuju dengan kenyataan “ Islam adalah ancaman kepada nilai-nilai Barat dan demokrasi”.

Di Sepanyol, kebencian kaum wujud dalam sukan bola sepak negara itu. Penyerang Barcelona, Samuel Eto’o dan penjaga gol Sepanyol, Carlos Kameni mengalami pengalaman buruk kerana dihina.

Laporan Racism and Xenophobia in Sweden menyatakan orang-orang Islam lebih banyak terdedah kepada gangguan keganasan di Sweden. Europian Network Against Racism mendedahkan Sweden adalah sebuah negara yang mewujudkan hirarki kelas etnik paling jelas apabila mengutamakan etnik Swedish berbanding etnik lain. Perbezaan kelas ini berlaku di hospital dan bidang pendidikan di samping diskriminasi dalam kalangan kelompok minoriti seperti Roma dan Sami negara itu. Pencari kerja yang mempunyai sama Swedish pula memiliki 50 peratus peluang yang lebih tinggi untuk mendapat panggilan temu duga.

Di Jerman, kebanjiran pelarian Syria pada awal tahun 2016 disambut dengan ucap selamat dan senyuman. Hotel bertukar menjadi tempat perlindungan dan sukarelawan bertungkus-lumus menyediakan makanan dan minuman. Masyarakat Jerman, di bawah Angela Merkel, menyerlahkan simpati kepada 1.1 juta pendatang baru di negara mereka.

Empat bulan selepas itu, nilai-nilai “Willkommenskultur” mulai retak apabila sekumpulan pembantah menjerit-jerit ke arah bas yang membawa 20 orang pelarian ke Saxony, Clausnitz.

Slogan “Go Home” dan “We are the people!” ditayangkan sebagai luahan hati mereka di atas sikap berlembut dan mesra kerajaan Jerman. Beberapa hari kemudian sebuah hotel yang menempatkan pelarian di Bautzen telah dibakar. Orang ramai yang melihat kejadian itu bersorak meraikannya.

Penghijrahan menjadi ancaman besar kepada Eropah. Kehadiran pelarian ke benua itu mencetuskan pelbagai isu domestik dan antarabangsa.

Senario yang berlaku du Eropah hari ini merupakan respon terhadap ketakutan mereka untuk menerima ribuan pendatang asing dari Timur Tengah, Afrika dan Asia. mereka takut negara-negara Eropah akan menjadi Eurabia, merosakkan nilai-nilai kebebasan yang dibanggakan dan menjejaskan peluang dalam persaingan ekonomi.

Di sebalik kebencian mereka terhadap penghijrah atas nama pelarian atau mangsa politik, Eropah sedang menghadapi perubahan demografi sudah tidak dapat dielakkan kerana kadar kelahiran masyarakat Eropah semakin merosot. Industri yang sedia ada di benua itu perlukan sumber kerja baru yang lebih ramai untuk menjadi penyumbang kepada kekayaan dan kebajikan keseluruhan penduduk Eropah. Justeru, polisi Kesatuan Eropah terhadap migrasi perlu berhati-hati supaya jenayah kebencian tidak merosakkan reputasi mereka pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment