Thursday, May 19, 2016

Milik ayah







Saya sering bertanya-tanya apakah samgungan untuk kata-kata yang memuliakan ibu kita iaitu syurga anak di bawah tapak kaki ibu.

Umum mengetahui maksud kata-kata ini ialah memuliakan ibu, berbuat baik kepadanya, mengambil tahu keadaan hidupnya dan memberi keutamaan kepada ibu biarpun umurnya sudah tua.

Ia sesuai sekali dengan maksud sebuah hadis yang meletakkan keutamaan kepada ibu.

Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah saw: Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik? Rasulullah saw menjawab, ibumu. Kemudian aku bertanya, lagi siapa? Rasulullah saw menjawab, ibumu. Kemudian aku bertanya, lagi siapa? Rasulullah saw menjawab, ibumu. Kemudian aku bertanya, lagi siapa? Rasulullah saw menjawab, bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya.  (Hadis Riwayat Tirmizi)

Ibu sangat dimuliakan dan diberi perhatian oleh umat Islam kerana pengaruhnya terhadap perkembangan emosi, rohani dan fizikal yang sanagt besar. Kita ambil contoh peranan ibu dalam membina emosi anak-anak.

Pembinaan emosi ini berlaku sebaik sahaja ibu mengandung. Walaupun terdapat banyak perubahan emosi sepanjang proses kehamilan ini, ibu akan memastikan anak dalam kandungan sentiasa dalam keadaan selamat. Ibu juga tidak membenarkan keadaan emosi negatif mengganggu anaknya kerana hubungan ibu dan anak sangat akrab ketika ini dan sebarang gangguan boleh menjejaskan emosi anak.

Sejak kelahiran hingga berumur tujuh tahun, ibu memastikan anak mendapat belaian emosi yang cukup seperti sentiasa memberi pujian, mempamerkan kasih sayang dan galakan untuk sabar dan tabah. Malah, walaupun anak sudah berkeluarga, ibu tetap mengambil berat makan dan minum anak supaya anak berasa bahagia.

Sikap mengabil berat ibu berterusan sehinggalah dia menutup mata. Amat tepat kata orang bijak pandai bahawa kasih ibu sepanjang hayat.

Bagaimana pula dengan ayah? Adakah ayah tidak mempunyai apa-apa keistimewaan?

Jika dilihat pada hadis tadi, ayah masih ada bahagiannya, cuma keutamaannya berbeza.

Jika kita rajin sedikit untuk mencari dan mentelaah hadis-hasid Nabi saw, kita akan tahu juga yang ayah mempunyai kelebihan.

Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu bahwa ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah saw, dia berkata: Wahai Rasulullah, aku memiliki anak dan harta, namun ayahku ingin mengambil hartaku. Rasulullah saw bersabda; Engkau dan hartamu adalah milik ayahmu. (HR. Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis ini, ternyata ayah memiliki harta yang sangat bernilai iaitu anak-anak.

Dapat dirumuskan bahawa sambungan terhadap kata-kata syurga anak di bawah tapak kaki ibu boleh dipadankan dengan rasa mulia terhadap ayah dengan kenyataan dirimu sendiri dan hartamu itu adalah milik ayah.

Pada hemat saya, berbakti kepada kedua-dua ibu dan ayah adalah sangat mustahak.


Post a Comment