Tuesday, May 10, 2016

Pembangunan inti pati pilihan raya Sarawak







Kemenangan besar Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) pada sabtu lalu disambut meriah oleh penyokong parti-parti komponen itu seluruh negara.

Kemenangan 72 buah kerusi Dewan Undangan Negeri adalah jumlah yang cukup besar dan menghukum keangkuhan parti-parti pembangkang yang merasakan mereka selesa untuk menambah kerusi dalam pilihan raya itu.

Analisis dan congakan terdekat sebelum ini memberi gambaran Barisan Nasional akan dapat meraih sekurang-kurangnya 70 kerusi, namun lima kerusi DAP yang hilang baru-baru ini menunjukkan terdapat strategi luar biasa yang digunakan oleh pemimpin Sarawak kali ini iaitu Tan Sri Adenan Satem untuk memenangi hati pengundi Sarawak.

Strategi pertama ialah menggunakan faktor Adenan untuk mendapatkan undi. Keinginan mahu mendapat kemenangan menguatkan semangat beliau untuk melakukan usaha meraih seberapa banyak undi sehingga meranapkan impian Pas dan Amanah, parti anak-beranak yang bercita-cita mengembangkan pengaruh di negeri itu. Di samping kempen, Adenan juga mengambil pendekatan mengekang kemasukan pemimpin-pemimpin parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia melalui sekatan imigresen. Justeru, pengundi tidak dapat menerima maklumat secara langsung daripada pimpinan parti.

Kedua, seperti mana pilihan raya kecil, kempen di Sarawak menggunakan pelbagai pendekatan dari agensi kerajaan seperti mempercepatkan sesuatu projek pembangunan. Ketika inilah pengundi mudah melihat pergerakan calon pemimpin kawasan mereka yang begitu ramah dan sangat mesra. Mungkin ada sesetengah kawasan itulah kali pertama dan terakhir menteri atau timbalan menteri datang ke kawasan mereka. Walaupun ada persepsi yang melihat projek sesebuah kementerian sebagai memancing undi ketika pilihan raya, ia sebenarnya sebuah projek yang sedia ada cuma dipercepatkan sebagai sebahagian daripada strategi pilihan raya.

Ada juga kawasan parkir diperkemaskan waktu ini walaupun lima enam bulan lepas baru sahaja ditar.

Ketiga, polisi awam. Ia ada kaitan dengan kehilangan undi Cina yang tidak bersama kerajaan. Tanpa bersama kerajaan, etnik Cina Sarawak dipinggirkan kerana suara mereka tidak diberi perhatian. Justeru, PRN-11 ini sebagai taktik untuk masyarakat Cina meraih kembali perhatian kerajaan terhadap keperluan mereka. Peralihan lima kerusi DAP kepada Barisan Nasional dan peningkatan jumlah undi Cina di beberapa kawasan mungkin menjelaskan keadaan ini.

Sarawak sudah mempunyai kerajaan sendiri yang dipilih oleh rakyat. Masa hadapan negeri itu seharusnya tidak jauh berbeza dengan Semenanjung Malaysia malah boleh bergerak seiring. Projek pembangunan yang dirancang harus dapat memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.


No comments:

Post a Comment