Monday, October 31, 2011

Tiga hari di Brunei 3





Sepanjang sepuluh tahun lalu, perubahan berlaku dengan pantas. Simpang empat di hadapan Masjid Jame’ Asri Hassanal Bolkiah telah digantikan dengan persimpangan bulatan besar. Di bawah bulatan ini dibuat terowong hampir 200 meter. Dulu hanya lampu isyarat, sekarang telah ada terowong. Ini satu pencapaian yang hebat bagi sebuah negara yang komposisi penduduknya adalah kecil. Terowong ini juga membantu melancarkan perjalanan dari Bandar Seri Begawan ke lapangan terbang di Terunjing Lama dan kawasan perumahan di Lambak Kanan, Berakas, Manggis seterusnya ke Muara.

Cuma satu yang perlu ditambah baik iaitu lampu isyarat di bulatan besar atas laluan terowong. Bulatan besar menjadi pilihan pengguna jalan raya untuk ke Gadong, pasar basah Gadong, Beribi dan juga Kiarong. Kemudahan lampu isyarat memudahkan pengguna menguruskan laluan masing-masing dan paling penting ialah mengelakkan kemalangan jalan raya.

Jalan Tutong adalah laluan paling terkenal di Brunei kerana menghubungkan Bandar Seri Begawan dan daerah Tutong. Laluan ini memanjang dan merentasi beberapa kawasan yang baru muncul seperti Bunut, Tanjung Bunut dan Sengkurong. Di persimpangan Sengkurong, kita boleh bergerak terus ke Jerudong Park, kawasan taman permainan yang terkemuka di Brunei. Taman ini pernah mendapat sambutan pada pertengahan tahun 1990-an lalu namun kini tidak lagi. Ada beberapa acara yang masih dibuka sedangkan kawasan ini sangat luas. Ramai pelancong yang pernah mencuba semua jenis permainan pada tahun 1998 sebelum ia ditutup untuk disenggara. Ketika itu semuanya percuma, kini pengunjung perlu membayar jika ingin mencuba beberapa acara.

Kawasan bisnes yang baru muncul ialah Tanjung Bunut yang menempatkan Pasaraya Hua Ho, sebuah gedung membeli-belah terkemuka di Brunei. Kompleks bisnes di sini menjadi pilihan penduduk sekitar kerana baru, lebih menarik dan banyak kemudahan. Antaranya kedai perabot, restoran dan bank. Pendek kata, penduduk sekitar tidak perlu lagi ke bandar Brunei untuk membeli barangan keperluan harian kerana semuanya sudah ada di sini. Kemunculan Tanjung Bunut juga menyaingi Sengkurong dan Bunut yang telah lama dibangunkan. Ia juga selari dengan pertambahan penduduk Brunei yang semakin meningkat.

Jalan raya semakin sesak di Brunei. Sepuluh tahun lalu, kereta di atas jalan raya agak kurang menjadikan perjalanan ke tempat kerja amat lancar. Kakitangan awam yang keluar dari rumah pada pukul tujuh pagi sudah boleh sampai ke pejabat sebelum 7.30 pagi, namun kini keadaan itu sukar sekali. Mereka terpaksa keluar pada pukul 6.30 pagi supaya dapat sampai sebelum pukul tujuh setengah. Kereta semakin banyak kerana harga yang murah dan mudah mendapat pinjaman bank. Kelebihan rakyat Brunei terletak pada harga bahan api yang rendah iaitu sekitar 30 hingga 37 sen seliter (Brunei dolar). Tambahan pula mata wang semakin besar.

Pendidikan di Brunei semakin berkembang. Jika dulu hanya ada Universiti Brunei Darussalam, kini sudah ada Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan beberapa buah kolej universiti. Institusi teknikal terkenal di Brunei, Institut Teknologi Brunei juga berpotensi menjadi universiti teknikal pada masa depan. Selain itu ada juga institusi kejururawatan dan teknikal yang lain seperti Sekolah vokasional Nakhoda Ragam, Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah, Kolej Teknikal Sultan Saiful Rijal dan Kolej Kejuteraan Jefri Bolkiah. Satu yang menarik mengenai pendidikan di Brunei ialah kemunculan beberapa buah kolej swasta yang menawarkan pendidikan khusus sebagai pilihan kepada institusi pendidikan awam sedia ada. Antara kolej swasta yang ada ialah Laksamana College of Business, The Brunei Institute of Geomatics dan Kemuda Institute. Terdapat juga pelajar Brunei yang memilih universiti di luar negara sebagai institusi pilihan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kehidupan sosial di Brunei masih dalam skop masyarakat separuh bandar kerana negara ini belum menjadi negara bandar sepenuhnya seperti Singapura. Dianggarkan lebih 70 peratus penduduk Brunei hidup dalam lingkungan perbandaran. Dalam kalangan masyarakat Melayu, pemakaian baju Melayu lengkap ketika majlis perkahwinan, hari kebesaran Islam dan adat istiadat menunjukkan budaya Melayu sangat tebal. Pemandangan begini mungkin tidak begitu banyak di Malaysia, Indonesia atau Singapura. Oleh kerana baju Melayu begitu sinonim, masyarakat Brunei menggelarnya sebagai ‘cara Melayu’. Bagi pakaian wanita Brunei, baju kurung adalah pilihan tradisi. Cuma aneka tudung tidak begitu banyak seperti di Malaysia. Mereka lebih berminat mengenakan warna tudung sedondon dengan baju kurung. Tudungnya pula lebih banyak berbentuk skaf labuh hingga ke bahu berbanding tudung labuh bulat atau segitiga. Dengan pendedahan di majalah dan surat khabar, sedikit demi sedikit kita dapat lihat generasi muda wanita Brunei yang turut mengikut trend tudung kebanyakan artis dari Malaysia.

Di sini kita tidak dapat melihat peminta sedekah jalanan, suatu pencapaian yang hebat bagi sebuah negara kecil seperti Brunei. Keberkesanan agensi kerajaan yang menguruskan kebajikan rakyat sangat memuaskan lebih-lebih lagi pertambahan penduduk sedikit sebanyak membuatkan kakitangan agensi kebajikan tidak menang tangan menguruskan keperluan kebajikan rakyat. Pelbagai agensi yang turut serta dalam kebajikan ini menggunakan pelbagai pendekatan untuk membantu golongan yang miskin dan terpinggir. Peranan media juga sangat berkesan dalam menyalurkan maklumat golongan ini khususnya di daerah terpencil dan sukar dihubungi.

Brunei sebuah negara kecil dengan majoriti penduduk Melayu (66.3 peratus) diikuti Cina (11.2 peratus) dan lain-lain kaum termasuk pribumi dan pekerja asing. Kadar pengangguran hanya 3.7 peratus menggambarkan guna tenaga penuh sememangnya menjadikan Brunei sebuah negara yang tidak ada masalah dengan pekerjaan. Bagi pekerjaan yang melibatkan buruh yang tidak mahir, negara itu mengambil pekerja asing dari Malaysia, Thailand, Indonesia, India dan Pakistan di samping Nepal. Cabaran besar Brunei ialah mencipta peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk menyerap modal insan yang dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Kedengaran keluhan dan rintihan daripada graduan yang dikeluarkan oleh universiti tempatan betapa peluang pekerjaan semakin kurang dan persaingan mendapatkan pekerjaan bertambah besar. Sementara peluang pekerjaan menjadi syurga bagi pekerja asing, rakyat sendiri harus bersaing untuk menempatkan diri dalam sektor awam yang menjadi daya tarikan.

Pengalaman memberi ceramah motivasi kepada pelajar dan remaja menjadikan Masjid Kampung Tamoi sebagai kenangan indah. Imam masjid, Haji Daud merupakan seorang qari yang terkenal dan suaranya mengaji sangat indah. Sebelum ini kami pernah melaksanakan beberapa program yang  melibatkan pelajar dan remaja di sekitar kampung air. Masjid ini berhawa dingin sepenuhnya dan luas.

Berhampiran Masjid Kampung Tamoi adalah kawasan bisnes Batu Satu, Jalan Tutong yang pernah menjadi tumpuan suatu ketika dulu. Selepas kawasan Gadong dibangunkan oleh keluarga Haji Abdul Razak, Batu Satu tidak lagi memiliki daya tarikan yang kuat. Jika dulu ada Princess Hotel, kini premis tersebut telah ditukar kepada Le Gallery. Jika dulu ada Soon Lee Supermarket, kini pasar raya itu sudah ditutup, yang tinggal hanya Plaza Athirah sebagai tempat jualan dan tumpuan membeli pakaian dan buku-buku. Kedai makanan tradisi India  seperti roti nan juga sudah ditutup dan beralih tangan, bukan lagi restoran. Bangunan yang menempatkan kakitangan Kementerian Dalam Negeri turut berpindah ke kawasan lain dan jika dinilai secara umum, kawasan Batu Satu tidak banyak menyediakan kemudahan bisnes seperti di Gadong dan Kiulap.

Saingan kepada Gadong ketika ini ialah kawasan bisnes Kuilap yang dibangunkan sebagai kawasan  perniagaan baru. Deretan kedai di sini sentiasa sibuk dengan kereta yang keluar masuk ke premis perniagaan. Sepuluh tahun lalu hanya ada blok bangunan Hua Ho Supermarket, Islamic Development  Bank of Brunei, kedai mainan kanak-kanak dan beberapa buah kedai komputer, kini blok perniagaan di tambah lagi hingga ke belakang dan menghampiri Sungai Gadong. Dulu ada sebuah pasar raya yang bernama ‘Casa Italiana’ namun terpaksa ditutup selepas menghadapi masalah kewangan.

Saturday, October 29, 2011

Libya tanpa Ghaddafi






Selepas 42 tahun menjadi ‘raja segala raja’, legasi pemimpin yang menjadi presiden pada usia yang muda, 27 tahun, Muammar Ghaddafi, penghujung hidupnya amat menyedihkan. Dia dikatakan ditembak dan mayatnya diletakkan dalam bilik sejuk yang biasanya dijadikan tempat menyimpan daging. Mayatnya diletakkan di sebelah mayat anak lelaki, Mu’tasim yang ditawan lebih awal.

Keagungan dan kemegahan pemerintahan Ghaddafi berakhir sebaik sahaja kepalanya diledakkan dengan tembakan yang menyebabkannya mati ketika dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital selepas cedera dipukul oleh pasukan penentang.

Selama 42 tahun, Ghaddafi dan keluarganya hidup dengan kekuasaan dan kemewahan. Penglibatan anak-anak lelakinya dalam pentadbiran kerajaan menunjukkan pengaruh keluarga Ghaddafi dalam semua aspek perjalanan negara. Sistem ini sama seperti yang diamalkan di negara-negara yang menggunakan sistem monarki. Di Timur Tengah, negara-negara yang masih mengamalkan sistem monarki ialah Arab Saudi, Qatar dan Bahrain.

Bagi negara yang tidak ada raja, sistem pentadbiran republik masih lagi mengamalkan kaedah monarki iaitu menjadikan jawatan presiden sebagai hak keluarga dengan mempersiapkan anak lelaki sebagai pengganti. Dua negara yang mempraktikkan amalan ini ialah Syria dan Libya.

Dalam kes Libya, perasaan marah rakyat negara itu terhadap Ghaddafi amat jelas dan tidak ada penyesalan. Membunuh seorang pemimpin dan berpesta meraikan kematiannya adalah tindakan luar biasa rakyat yang bencikan pemimpin. Ada lagi tanda-tanda rakyat yang bencikan pemimpin ini. Antaranya ialah berasa sangat bangga sebaik sahaja melihat mayat pemimpin dan tidak segan silu mengambil gambar kenang-kenangan. Barangkali ada yang mengherdik dan meludah pemimpin berkenaan kerana benci yang tidak dapat dilindungi lagi.

Keadaan yang berlaku di Libya tidak sama dengan Syria. Amerika Syarikat dan sekutu Barat begitu berminat menjatuhkan Ghaddafi berbanding Hafiz Assad. Di Libya, simpanan minyaknya begitu banyak dan negara-negara besar begitu terdesak mencari sumber minyak yang baru. Namun Syria tidak ada seperti itu, jadi negara-negara Barat tidak ada hati untuk menggulingkan Hafiz ketika ini. Malahan kekuatan penentang Hafiz jauh lebih lemah daripada kumpulan penentang Ghaddafi.

Mana-mana pemimpin yang agak lama berada dalam keadaan tertekan dan tertindas akan lahir sebagai sebuah negara yang dinamik dan ingin memenuhi inspirasi yang ideal. Negara Libya pun akan mengalami keadaan yang sama seperti yang sedang berlaku di Tunisia. Rakyat negara itu sedang menikmati kebebasan bersuara yang telah lama tidak ada. Libya juga akan menikmati peluang yang sama selepas ini apabila setiap rakyat Libya berpeluang dipilih sebagai pemimpin melalui proses demokrasi.

Hala tuju Libya baru belum jelas kerana proses pemilihan pemimpin belum dilaksanakan. Namun adakah proses ini akan berjalan dengan lancar sedangkan hendak menguruskan jenazah Ghaddafi pun masih belum sempurna? Proses pemilihan pemimpin baru tentu akan dibayangi oleh tangan-tangan ghaib yang mahu pengaruh mereka diambil kira.

Sudah pasti Amerika Syarikat dan sekutunya akan berusaha memastikan tindakan menyokong penentang Ghaddafi dibalas dengan harta yang berharga iaitu minyak. Rakan dagang tradisi Libya seperti China pasti ditolak ke tepi dan perlu mencari sumber minyak yang baru. Jika dilihat dari perspektif ini, dasar luar yang akan digubal oleh pemimpin-pemimpin Libya selepas ini akan cenderung memenuhi kehendak ‘sahabat’ barunya.

Sebaik sahaja pengaruh kuasa penakluk menjalar dalam dasar dan pelaksanaan pentadbiran negara, golongan ulama yang begitu merindui cara hidup shariah di Libya tentu akan diberi perhatian. Kelompok ini telah pun menyuarakan keinginan mereka dan suara yang menentang golongan ulama ini pun memberi respon yang keras. Itu belum lagi mengambil kira kewujudan puak-puak yang berbalah.

Penglibatan pasukan tentera Libya ketika era Ghaddafi lebih banyak berfungsi sebagai pelindung kuasa Ghaddafi dan keluarganya, selepas kekalahan besar pasukan ini kepada pasukan penentang, ke mana pasukan yang setia kepada Ghaddafi hendak pergi? Senario kelompok ini akan sama seperti Tentera Nasional Indonesia yang tidak lagi dibenarkan berfungsi dalam politik negara itu.

Libya selepas Ghaddafi lebih cerah dan proses demokrasi akan berjalan lancar. Perubahan yang berlaku di negara itu dijangka memberi pengaruh yang sangat besar kepada negara-negara Arab dan Afrika yang lain khususnya dalam kebebasan menentukan pemimpin.

Pemimpin-pemimpin yang telah lama di puncak kuasa tentu tidak senang duduk apabila angin perubahan sedang merebak di rantau itu. Dasar terbaik ketika ini ialah pragmatik supaya kuasa kekal dan pada yang sama membuat pembaharuan sedikit demi sedikit.

 

Monday, October 24, 2011

Laporan konsisten PPSMI tak sesuai


Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pernah membawa kepada perpecahan di kalangan rakyat Malaysia.

Setelah mengkaji dasar itu dari berbagai segi, terutama kesannya yang negatif terhadap pembelajaran Sains dan Matematik, kerajaan akhirnya membuat pilihan mengubah PPSMI kepada pengajaran dua subjek itu balik ke dalam Bahasa Melayu beransur-ansur bermula tahun ini. Namun, di kala pihak yang menentang PPSMI mula merasa lega, isu sama kembali timbul menyebabkan 'luka lama berdarah kembali'.

Melalui kajian terbaru Profesor Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kumpulan penyelidik dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), PPSMI sekali lagi terbukti tidak membawa manfaat ketara terhadap pembelajaran Sains, Matematik mahupun subjek Bahasa Inggeris sendiri.

Kajian pertama dalam kohort 2007 dan 2008 diterbitkan dalam April 2008, kajian terbaru pula ialah meneruskan kajian yang sama bagi tiga kohort lagi iaitu Februari , Ogos 2009 dan Julai 2010, bagi kumpulan pelajar Tahun 5 dan Tingkatan 2. Dapatan dari kajian tiga kohort terbaru ini adalah konsisten atau hampir sama dengan dapatan dalam laporan 2008 itu. Ia menunjukkan PPSMI memberi kesan negatif kepada pembelajaran Matematik dan Sains pelajar sekolah rendah dan menengah.

Berdasarkan data yang dikumpul dalam kajian terbaru itu, Isahak menunjukkan sehingga 80 peratus murid Tahun 5 'tidak faham atau kadang-kadang faham' Sains dalam bahasa Inggeris. Dapatan untuk Matematik pula menunjukkan lebih 70 peratus sukar memahami guru mengajar Matematik dan kandungan buku teks Matematik dalam Bahasa Inggeris kerana mereka tidak memahami pernyataan masalah matematik yang menggunakan ayat dalam bahasa Inggeris.

Hampir 80 peratus pelajar terpaksa menggunakan buku rujukan tambahan dalam Bahasa Melayu bagi subjek Sains dan 70 peratus merujuk buku matematik dalam Bahasa Melayu untuk membantu mereka memahami kandungan Matematik dan Sains.

Tegasnya, hasil kajian tiga kohort pelajar Tahun 5 dan Tingkatan 2 menunjukkan data konsisten, iaitu 80 peratus pelajar sukar belajar Sains dan 70 peratus sukar mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Kami menggunakan soalan peperiksaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sebenar untuk murid Tahun 4 dan Tingkatan 1 untuk menguji kesan PPSMI terhadap murid darjah 5 dan pelajar tingkatan 2.

"Bukan sahaja data kajian kami konsisten untuk Sains dan Matematik, malahan konsisten juga bagi Bahasa Inggeris. Rata-rata peratus tinggi pelajar yang skor rendah dan gagal menguasai bahasa Inggeris di bawah PPSMI," tegasnya.

Tambahnya, keputusan ujian subjek Bahasa Inggeris untuk murid bandar dan luar bandar tidak jauh bezanya, dengan murid bandar melebihi sedikit sahaja.

Menurut Isahak, pelajar Tingkatan 2 juga didapati menunjukkan keadaan serupa apabila sekitar 80 peratus sukar atau tidak faham sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

"Matematik yang menggunakan nombor lebih mudah, tetapi sains yang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris lebih menyukarkan pelajar memahami konsep dan proses sains. Hasil kajian yang dikumpul dari tiga kohort menunjukkan trend yang konsisten dan menggambarkan PPSMI gagal untuk meningkatkan pembelajaran Matematik dan Sains, dan tidak juga membawa peningkatan ketara dalam Bahasa Inggeris," jelasnya.

Beliau menunjukkan juga peratus pelajar Melayu dan bumiputera yang dalam kategori cemerlang (A) cuma sekitar 20 peratus tetapi skor mereka tidaklah begitu tinggi.

"Berbeza dengan pelajar di Sekolah Kebangsaan, murid di sekolah Cina belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Mandarin, dengan sedikit tambahan masa untuk mereka belajar istilah dalam bahasa Inggeris. Jadi pembelajaran Matematik dan Sains murid di sekolah rendah Cina tidak terjejas dan prestasi pelajarnya terus baik.

"Kita kena fahami fakta bahawa purata 80 peratus murid sendiri mengatakan sukar atau kurang senang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan mereka juga lemah dalam subjek Bahasa Inggeris," tegas Isahak.

Beliau turut menegaskan kaedah kajian dijalankan adalah secara saintifik sains sosial dengan data sebenar dalam jangka panjang, bukannya sebuah tinjauan pendapat golongan tertentu semata-mata.

"Kajian ini dijalankan di sekolah-sekolah kerajaan biasa, yang rata-rata menggambarkan juga kedudukan sebahagian besar 'sekolah harian biasa' di negara kita.

"Dakwaan kajian kami ini tidak berasas dan tidak saintifik tidak timbul kerana data kajian kami adalah konsisten bagi empat kohort meliputi tahun 2008 - Julai 2010. Data kami ini juga sebahagian besarnya selari dengan data pengkaji lain, misalnya oleh Profesor Juriah Long di Universiti Kebangsaan Malaysia (2006) dan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) pada 2009," ujarnya.

Menurut beliau, hasil laporan Pembina juga mengesahkan data kajiannya pada 2008, malahan menggambarkan keadaan yang lebih teruk akibat dasar PPSMI.

"Data untuk kajian kami memang tidak termasuk sekolah-sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana sekolah-sekolah ini istimewa dari segi pemilihan pelajar untuk memasukinya, dan kemudahan pengajaran-pembelajaran yang kondusif.

"Keputusan peperiksaan di sekolah-sekolah ini biasanya baik, seperti sepatutnya. Kami juga tidak memasukkan sekolah elit di Kuala Lumpur untuk menyatakan bahawa PPSMI itu berjaya kerana ibu bapa murid di sekolah elit ini berkemampuan menghantar anak mereka ke pusat tuisyen yang baik dan memberi sokongan dan kemudahan pembelajaran yang selesa di rumah," jelasnya.

Tambahnya, sekolah-sekolah itu tidak mewakili sebahagian besar 'sekolah-sekolah biasa' di negara ini.

"Jika pelajar di sekolah-sekolah elit ini mendapat skor terbaik, ini sudah diduga kerana kemudahan di sekolahnya memang baik, cikgu terbaik, murid mendapat bantuan terbaik daripada keluarga dan sekolah mendapat pula peruntukan tambahan. Tidak munasabah kita mengguna sekolah elit ini untuk mewakili majoriti sekolah biasa di negara ini," tegasnya.

Menurutnya lagi, semua pihak harus pandai membezakan antara menguasai bidang ilmu (sains dan matematik) dengan menguasai bahasa.

"Sebahagian besar orang yang berjaya dalam negara kita (terutama orang Melayu) adalah hasil sistem kebangsaan yang ada sebelum PPSMI. Semua antara kita yang berjaya kini mencapai puncak dengan belajar dalam bahasa Melayu, dan ramai yang boleh belajar ke seluruh dunia dalam pelbagai bidang hasil pembelajaran yang kukuh dalam matematik dan sains yang diajar dalam bahasa Melayu," katanya.

Beliau menyokong kuat supaya ditingkatkan pengajaran-pembelajaran bahasa Inggeris, agar semua pelajar menguasainya dengan baik.

"Dasar Kementerian Pelajaran sekarang terhadap Bahasa Inggeris adalah sesuai sekali tetapi pendekatannya boleh diperbaiki supaya lebih berkesan," katanya.

(Utusan Malaysia, 24 Oktober 2011)

 

Saturday, October 22, 2011

Kenapa bertudung?






A Christian man asked a Muslim man why Muslim women cover their hair and body. The Muslim man smiled and pulled out to sweets from his pocket. He opened the first one and kept the other one closed in its wrapper.

He threw both sweets onto the dusty floor and asked the Christian man, ‘Which Sweet would you pick?’

The man replied, ‘The covered one!’

The Muslim man replied, ‘That's how we treat our Muslim women.’

Apabila membaca ayat-ayat di atas, teringat saya kepada kenangan pada tahun 1993 ketika saya belajar di School of Oriental and African Studies, University of London. Ketika melawat Jambatan Sg Thames, seorang lelaki Inggeris yang masih muda dan berpakaian kemas menghampiri saya dan bertanya, ‘Excuse me Ms, may I know, why are you wearing hijab?’

Saya menjawab, ‘I'm wearing hijab because it is a teaching and order in the Holy Quran.’

Pemuda itu kemudian bertanya lagi, ‘Do you believe in Quran and the Prophet (Muhammad s.a.w)?’ Saya menjawab lagi, ‘Of course I believe in the Quran and Prophet Muhammad is the last Messenger.’

Pemuda yang berjaket dan berkaca mata ini kemudian tersenyum sebelum bertanya lagi, ‘Do you believe Muhammad was the last Prophet?’ Giliran saya pula tersenyum dan menjawab, ‘Yes....Prophet Muhammad is the last prophet.’

Soal jawab menjadi makin panas apabila pemuda Inggeris ini berkata, ‘No, Prophet Isa was the last Prophet. Not Muhammad.’

Waktu itu terasa telinga sudah agak panas dan saya melihat beberapa orang anak gadis Pakistan yang bertudung sudah mula datang menghampiri saya dan pemuda Inggeris itu.

Pemuda  itu menyambung, ‘I cannot find any verse in the Quran stating that Muhammad is the last Prophet.’

Dan saya menjawab, ‘Why don't you check the verse in surah Muhammad and surah al-Saff?’ Dia kemudian menjawab, ‘No, I don't believe in Quran, my book is Bible. Quran is written by Muhammad, not from God.’

Saat itu saya merasakan sudah sampai masa untuk bertegas, dan saya bertanya pemuda itu, ‘If I could believe and accept Prophet Isa as one of the Prophet, why don't you accept Prophet Muhammad as one the Prophet too?’

Dia tersenyum dan kemudian menegaskan, ‘No, I would never accept Muhammad as the Prophet.’

Saya kemudian tekad menjawab, ‘If you cannot and would not accept Muhammad as the last prophet, it is your problem. But please respect my belief, you go on with your belief and I will firmly go on with my belief. Thank you.’

Pemuda Inggeris itu kelihatan tersentak dan sebelum dia beredar, dia sempat mengucapkan, ‘Thank you Ms.’

Dan tanpa disangka-sangka, seorang daripada gadis Pakistan yang sedang mendengar ‘debat’ itu berkata, ‘Hey young man, if you don't believe in Quran you can go to Hell.’

Pemuda itu menoleh dan hanya tersenyum. Saya yang masih berdiri di situ rasa ingin menepuk dahi dan hanya berkata di dalam hati, ‘Aduhai, kenapalah budak perempuan ni tak reti nak bercakap dengan berhemah.’

Saya juga pernah ditanya oleh seorang pensyarah, ‘Can Muslim women go for swimming?’

Saya memberitahu beliau, ‘Yes, Muslim women can go for swimming but they they have to wear appropriate swimming suit.’

Pensyarah saya pernah berkata, ‘I really don't understand, how could you believe in something which you cannot see by your eyes. Why did God sent Muhammad? He just an ordinary person like us.’

‘Why didn't Allah send an angel to teach Muslim?’ Saya memberitahu pensyarah saya, ‘If God sent an angel to teach us, then we are going to say, we cannot follow his teaching because he is an angel.’

Pensyarah saya tidak faham kenapa kita boleh menurut ajaran Islam di dalam keadaan kita tidak boleh melihat syurga dan neraka, tidak dapat melihat dosa dan pahala dan juga tidak dapat melihat Allah serta tidak pernah bertemu dengan Nabi Muhammad. Itulah kelebihan orang Islam yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Kita perlu yakin apa yang disuruh dan dilarang oleh agama kita adalah perkara yang wajib dilakukan bukan untuk diingkar atau ditolak. Apabila telah berhijab, fahamilah tujuan berhijab yang dituntut oleh Islam.

Bukan sekadar menutup aurat, tetapi adab perlakuan kita juga perlu seiring dengan cara pemakaian kita. Jangan sampai kita menjadi manusia yang merosakkan nama baik agama kita dengan perlakuan dan akhlak yang tidak baik.

Itulah antara kenangan dan peristiwa yang mencabar saya supaya sentiasa bersedia untuk berhujah. Betapa kita perlu menyediakan diri kita supaya dapat menjawab soalan-soalan daripada mereka yang ingin mencabar keyakinan kita terhadap agama yang kita cintai. Apabila kita berhujah, berdebat, berbincang lakukanlah dengan cara yang baik dan beradab. Ketegasan itu perlu tapi tidak bermakna kita perlu berlaku biadap.

Editor: Khaulah Azwar

(Sumber: Internet)

Friday, October 21, 2011

Bajet 2012 guna dana dalam negara





Persoalan besar yang melingkari fikiran kebanyakan penduduk Malaysia berkaitan Bajet 2012 ialah, 1) ke mana peruntukan yang berjumlah RM230.8 bilion disalurkan? 2) pihak mana yang mendapat faedah daripada Bajet 2012 ini? Dan, 3) adakah kerajaan Malaysia memiliki kemampuan untuk membiayai perbelanjaan yang begitu besar?

Selepas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib membentangkan Bajet 2012 yang dianggap sebagai ‘bajet pemurah’ untuk rakyat Malaysia, perbincangan dalam bentuk seminar, konferens, bual bicara dan sorotan semasa dibuat dalam pelbagai medan interaktif. Media cetak umpamanya mengambil banyak ruang untuk menghuraikan implikasi bajet daripada pelbagai perspektif.

Ia melibatkan komentar daripada pakar ekonomi, sosial, pendidikan dan politik yang datang dari institusi pengajian tinggi, tokoh masyarakat dan penganalisis. Manakala radio dan televisyen menjadikan inti pati bajet sebagai sasaran utama rancangan bual bicara. Di ruang maya, perbincangan lebih serius dan panjang lebar melibatkan pelbagai sumber maklumat. Bagi para intelektual dan akademia, mereka lebih cenderung membincangkan isu ini dalam ruang lingkup ilmiah dan mengenengahkan fakta sebagai asas untuk berhujah.

Perbelanjaan kerajaan Malaysia merangkumi sembilan sektor utama iaitu pentadbiran am, pengangkutan, perdagangan dan industri, kemudahan awam, pertanian dan pembangunan luar bandar, perumahan, kesihatan, pendidikan dan latihan serta keselamatan. Antara semua sektor ini, pendidikan dan latihan diperuntukkan sejumlah bajet yang besar. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah peruntukan jauh lebih besar yang diletakkan di bawah lain-lain sektor dengan jumlah RM70 bilion. Sektor ini merangkumi caj perkhidmatan hutang, bayaran pindahan, komunikasi serta perkhidmatan ekonomi dan sosial.

Dalam setiap bajet tahunan, Malaysia dilihat meletakkan pendidikan sebagai keutamaan. Dengan peruntukan RM24.0 bilion, sektor pendidikan, pengangkutan dan kemudahan awam akan menjadi pemacu dan penjana aktiviti ekonomi Malaysia pada tahun hadapan. Kemudahan awam merangkumi bekalan elektrik, air dan kemudahan-kemudahan lain. Keutamaan untuk sosial, ekonomi dan pendidikan serta latihan menjadi iltizam kerajaan  membangunkan modal insan atau talent.

Sementara tidak menafikan keperluan terhadap pendidikan dan latihan, menjadikan pengangkutan sebagai salah satu teras penjana ekonomi negara adalah langkah berani ke arah mewujudkan masyarakat bandar di seluruh negara khususnya  di Kuala Lumpur dan Selangor. Program Transformasi Ekonomi atau Economic Transformation Programme (ETP) melibatkan pelaburan berbilion ringgit untuk membina rangkaian pengangkutan moden di Lembah Klang. Termasuk juga pembinaan jalan raya yang mensasarkan kontraktor Kelas F untuk menggerakkan lingkaran ekonomi domestik.

Perbelanjaan operasi kerajaan Malaysia adalah besar. Daripada peruntukan operasi ini, sebanyak 18.3 peratus disalurkan untuk pelbagai jenis subsidi dengan sebahagian besarnya untuk subsidi bahan api (RM17 bilion) merangkumi petrol dan gas. Semua pengguna yang menggunakan kenderaan Malaysia mendapat faedah daripada subsidi bahan api ini. Selain Brunei, hanya kita yang memberi subsidi kepada bahan bakar itu. Pengguna di negara-negara Asean yang lain perlu membayar harga bahan api yang tinggi di samping mempelbagaikan sumber tenaga. Peruntukan lain adalah geran kepada badan berkanun, bayaran balik dan pelupusan, pemilikan aset, bekalan dan perkhidmatan, caj perkhidmatan cukai, pencen dan gratuiti serta emolumen. Perbelanjaan seterusnya ialah geran kepada dana berkanun, perusahaan awam, organisasi antarabangsa, tuntutan insurans dan sebagainya. Dalam aspek emolumen, jumlah yang besar (RM50 bilion) merangkumi gaji, bonus dan lain-lain pemberian kepada kakitangan awam kerana Malaysia mempunyai nisbah kakitangan awam ke atas penduduk yang kedua paling besar di dunia iaitu 1.3 juta orang selepas Jepun.

Soalan yang kedua pula berkaitan kelompok mana yang mendapat faedah daripada Bajet 2012 yang diumumkan.

Perdana menteri nampaknya mendengar keluh-kesah rakyat, memahami keperluan dan mengambil langkah untuk menangani masalah rakyat. Teras Bajet 2012 adalah mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara. Beliau mengambil maklumat tersebut melalui laman sesawang Facebook, twitter dan blog yang diakses terus ke akaunnya. Justeru kerajaan menggubal pelbagai langkah bagi meringankan beban lapan golongan yang sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup. Lapan kelompok ini ialah penjawat awam, pelajar, kumpulan berpendapatan pertengahan, penduduk luar bandar, warga emas dan pesara kerajaan, kumpulan berpendapatan rendah, orang miskin serta pekerja sekuriti, bekas polis dan tentera. Sebahagian besar daripada mereka memiliki pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 sebulan. Hakikat yang perlu diketahui ialah hampir 60 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan di bawah RM3,000 sebulan (Unit Perancang Ekonomi).

Penjawat awam tidak pernah dilupakan setiap kali pembentangan bajet. Mereka mendapat bonus dan tambahan tahun perkhidmatan. Bagaimana kelompok rakyat yang lain? Apakah habuan mereka?

Lima aspek besar digariskan sebagai langkah-langkah utama sasaran Bajet 2012. Pertama, pengurangan kos hidup, bayaran sekali dan pemberian tunai. Dalam aspek pertama ini, langkah-langkah yang diambil ialah mengekalkan peruntukan subsidi (RM33.2 bilion), memansuhkan yuran sekolah rendah dan menengah (RM150 juta), pemberian sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan sebanyak RM3,000 ke bawah yang dapat memberi manfaat kepada 3.4 juta atau 53 peratus isi rumah di seluruh negara. Jumlah ini melibatkan RM1.8 bilion. Bantuan persekolahan RM100 kepada semua murid sekolah rendah dan menengah dari tahun 1 hingga tingkatan 5 (RM530 juta), baucar buku sebanyak RM200 kepada semua pelajar pengajian tinggi awam, swasta, matrikulasi dan tingkatan 6 (RM250 juta) serta RM3,000 kepada 62,000 bekas konstabel, polis bantuan yang berkhidmat semasa darurat dan balu (RM186 juta).

Kedua, kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Langkah ini merangkumi peruntukan RM1.2 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KARISMA) bagi faedah 500,000 rakyat pelbagai kaum termasuk bantuan bulanan RM300 kepada warga emas miskin dan RM100 hingga RM450 untuk kanak-kanak miskin. Caruman KWSP dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus untuk pekerja berpendapatan di bawah RM5,000. Program Army Care untuk menaik taraf dan senggara kem dan kuarters tentera seluruh negara (RM500 juta), program khas untuk 175,000 pesara tentera bagi menceburi bidang perniagaan dan mencari kerja baru dengan peruntukan sebanyak RM50 juta. Kelompok yang tidak ada rumah dan hidup merempat, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Anjung Singgah yang akan memberi faedah kepada 1,400 rakyat terbiar di Kuala Lumpur, kaedah yang sama juga akan dikembangkan di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Ketiga, kelompok penjawat awam, pesara kerajaan dan warga emas. Bagi penjawat awam, mereka diperkenalkan kaedah penilaian baru yang dikenali sebagai Sistem Baru Saraan Awam (SBSA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia, tambahan setengah bulan bonus dengan bayaran minimum RM500 kepada 1.3 juta kakitangan awam. Selain itu, kerajaan juga memberi bantuan yuran kelas tambahan untuk melanjutkan pelajaran secara separuh masa (RM200 juta), elaun on-call pegawai perubatan dan pakar dinaikkan dari RM30 hingga RM80. Di samping elaun itu, doktor dan doktor pelatih diberikan elaun bekerja fleksibel khas sebanyak RM600. Warga emas diberikan perhatian yang agak istimewa dalam bajet ini. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas dikecualikan daripada yuran daftar pesakit luar di hospital kerajaan, klinik kesihatan (termasuk Klinik 1Malaysia) dan klinik pergigian, sementara itu kerajaan memberikan diskaun 50 peratus bagi menikmati perjalanan dengan LRT dan monorel bermula 1 Januari 2012.

Keempat, menyediakan rumah mampu milik dan rumah kos rendah. Dalam program rumah mampu milik, kerajaan menaikkan kelayakan harga rumah kepada RM400,000 menerusi pinjaman bersama suami isteri. Sasaran Skim Rumah Pertama ini adalah mereka berpendapatan bawah RM3,000. Skim Rumah Rakyat 1Malaysia (PRIMA) menyediakan 9,580 unit di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Golongan nelayan turut diberi perhatian dengan Dana Perumahan Khas berjumlah RM300 juta. Bagi rumah kos rendah, terdapat 15,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat (RM443 juta), 10,000 unit di bawah Rumah Mesra Rakyat (RM200 juta), 1,270 unit di bawah Program Pemulihan Rumah Terbengkalai (RM63 juta). Kerajaan juga tidak melupakan rumah-rumah kos rendah yang daif dengan memberi peruntukan sebanyak RM40 juta yang turut merangkumi khidmat senggaraan di pihak swasta.

Kelima, keprihatinan ke atas penduduk luar bandar. Kerajaan memberi perhatian yang sangat tinggi kepada masyarakar luar bandar seluruh negara melalui Program Transformasi Luar Bandar (Rural Transformation Programme) atau RTP. Melalui rancangan ini, kerajaan melaksanakan Program Lonjakan Mega Desa yang melibatkan 11 projek agropolitan untuk tanaman komodoti, kontan dan sangkar ikan (RM110 juta), sementara pekebun getah juga mendapat imbuhan apabila penanaman semula getah Risda memberi faedah kepada 20,000 pekebun kecil (RM140 juta). Kemudahan infrastruktur melibatkan naik taraf kemudahan asas (RM5 bilion) iaitu rancangan pembangunan dan senggaraan besar-besaran di seluruh negara. Dalam pada itu, pembinaan dan naik taraf dewan serbaguna, surau, saliran, jambatan kecil, lampu jalan dan kemudahan asas yang lain (RM1 bilion) menjadi rahmat kepada masyarakat luar bandar. Projek bekalan air di pedalaman Sabah, ladang dan kawasan Felda (RM500 juta) diharap membantu masyarakat di sana bersama-sama menikmati bekalan air bersih. Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk pembangunan dan kebajikan 190,000 orang asli. Manakala 29,000 kontraktor Kelas F mendapat faedah bagi Projek Senggara Infra Awam (PIA) dan Projek Infra Asas (PIAS) yang bernilai RM500 juta.

Langkah-langkah lain yang membantu meringankan masyarakat ialah pengenalan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA1Malaysia) mensasarkan 100,000 isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Pemilik teksi yang sukar mencari wang bakal dibantu sebanyak RM7,560 seorang untuk memperkemaskan hidup. Begitu juga  pendaftaran dengan Tabung Haji di mana RM1,300 boleh dikeluarkan dari Akaun 2 dalam KWSP untuk pendaftaran haji. Oleh kerana hujan yang sering turun menyebabkan ada kawasan  dilanda banjir, kerajaan merancang melaksanakan tebatan banjir di Perlis, Perak dan Johor.

Berdasarkan Bajet 2012, sebanyak RM48.1 bilion atau 20.9 peratus daripada perbelanjaan RM230.8 bilion disalurkan untuk kurangkan beban kerana kenaikan kos hidup, membina perumahan mampu milik, mengurangkan jurang pendapatan antara kelompok sosial, meneruskan kebajikan sosial dan memperkasa jaringan sosial. Bajet 2012 juga mengandungi langkah-langkah untuk sektor perkhidmatan bagi merancakkan strategi pembangunan selepas era perindustrian. Antaranya ialah liberalisasi secara berperingkat 17 sektor kecil bukan perkhidmatan, penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Saham dan industri kecil dan sederhana (IKS) menerima layanan lebih istimewa daripada kerajaan.

Istimewa yang dimaksudkan ialah peruntukan RM5 bilion dalam bentuk dana dan skim pembiayaan. Sejumlah RM2 bilion adalah untuk Dana Pembiayaan IKS patuh syariah oleh bank-bank Islam dengan kadar dua peratus ditampung oleh kerajaan. Dana Revitalisation IKS sebanyak RM100 juta yang menawarkan pinjaman mudah maksimum RM1 juta untuk usahawan memulihkan perniagaan mereka. Bagi inisiatif IKS mengkomersilkan penyelidikan, Dana Penkomersilan Inovasi patuh syariah disediakan dengan peruntukan sebanyak RM500 juta. Dana Kecemasan IKS untuk membantu usahawan IKS yang terjejas dengan bencana alam. Peruntukan yang lain ialah galakan usahawan kecil melalui Tekun sebanyak RM300 juta. Amanah Ikhtiar Malaysia diperuntukkan RM2.1 bilion bagi membiayai pembiayaan mikro usahawan khususnya wanita. Daripada jumlah ini, RM200 juta disediakan untuk usahawan India dan Cina. Galakan kepada talent diberi tenaga baru dengan pembentukan Modal Teroka MyCreative dengan dana permulaan RM200 juta.

Manfaat besar yang diperoleh dalam Bajet 2012 merupakan agihan berhati-hati supaya beban hidup dapat dikurangkan. Ia juga memberi ruang kepada penjanaan modal dalam negara melalui projek pengangkutan yang bakal mencipta peluang pekerjaan. Selain itu dapat menarik pelaburan asing yang berminat dengan iklim pelaburan di Malaysia. Dianggarkan jumlah pelaburan dari Amerika Syarikat telah mencecah RM30 bilion sehingga kini. Penyenaraian FGVH tentu melahirkan lebih ramai juwatan Felda pada masa depan.

Soalan yang paling penting dan sentiasa menjadi tanda tanya kepada rakyat Malaysia ialah dari mana kerajaan memperoleh wang untuk membiayai Bajet 2012?

Terdapat dua sumber pembiayaan iaitu sektor perkhidmatan dan rakan dagangan baru seperti China,India dan Jepun. Dalam menguruskan ekonomi negara, perolehan kerajaan mencecah RM187 bilion di mana separuh atau 52 peratus berpunca daripada cukai pendapatan syarikat, individu, petroleum, perkhidmatan, jualan dan cukai koperasi. Perolehan lain ialah eksais, duti import, surtax, duti eksport petroleum dan lain-lain. Jumlah cukai pendapatan petroleum, individu dan syarikat sahaja berjumlah RM97 bilion.

Pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan 5.5 peratus pada tahun lepas dan kadar ini dijangka tidak banyak berubah pada tahun 2012. Ketika keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, 90 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dipacu oleh permintaan domestik iaitu pembuatan (4.5%), perkhidmatan (6.5%), pertanian (4.1%), perlombongan (2.5%) dan pembinaan (7.0%). Selebihnya ialah kesan pemulihan ekonomi di China (9 peratus), India (7.5 peratus), Singapura (4 peratus) dan Jepun (2.3 peratus). Defisit fiskal sebahagian besarnya akan dibiayai menerusi sumber domestik iaitu bank dan institusi kewangan dalam negara. Jangkaan jumlah hutang luar dalam Bajet 2012 ialah kecil iaitu 4.1 peratus. Strategi ini iaitu menggunakan sumber pinjaman domestik menjadikan defisit bajet terus menguncup sebanyak 4.7 peratus daripada KDNK (Laporan Ekonomi 2011/2012 dan Bank Negara Malaysia).

Situasi ini memperlihatkan hutang negara semakin berkurangan kesan daripada tadbir urus yang cekap. Prestasi ini juga diharap dapat mengukuhkan aliran cergas penyelesaian hutang luar dalam tempoh yang munasabah. Hutang ini boleh dikurangkan dalam tempoh yang singkat sekiranya kerajaan menarik balik pemberian subsidi bahan api namun langkah berkenaan akan mengurangkan populariti di samping boleh mencetuskan situasi panik rakyat.     

Rumusan Bajet 2012 adalah, 1) peruntukan yang dikemukakan merupakan refleksi kerajaan ke atas keperluan rakyat, 2) sebanyak RM48.1 bilion atau 21 peratus daripada jumlah peruntukan disalurkan untuk menangani kenaikan kos hidup, perumahan mampu milik, merapatkan jurang pendapatan, mengambil kira kebajikan sosial dan jaringan keselamatan sosial, 3) sebahagian besar (RM187 bilion) daripada perbelanjaan kerajaan dibiayai nenerusi perolehan cukai dan hasil bukan cukai, manakaka selebihnya (RM43 bilion) menerusi sumber domestik.

 

Wednesday, October 19, 2011

NGO Malaysia wajar ke Thailand





Banjir di Thailand dianggap sebagai terburuk dalam sejarah negara itu. Kerugian terkumpul setakat ini berjumlah RM10 bilion atau US$3.3 bilion, suatu jumlah yang sangat besar kerana kesan pemulihan melibatkan banyak isu. Jumlah kematian sehingga kini ialah 297 dan dijangka bertambah apabila fenomena air pasang melanda.

Di samping kerugian harta benda, banjir besar ini memusnahkan sama sekali keegoan pemimpin-pemimpin Thailand yang menzalimi umat Islam di selatan negara itu. Sejak banjir, tidak ada berita yang kita dengar dari wilayah bergolak Patani, Yala dan Narathiwat. Keadaan aman ini sedikit sebanyak membantu menstabilkan keadaan tegang akibat letupan bom di hadapan sebuah hotel milik etnik Cina baru-baru ini. Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia berasa selamat untuk membeli-belah atau mengunjungi saudara mara di sana.

Sejak banjir, negara-negara Barat terutama Amerika Syarikat telah menghulurkan bantuan kewangan dan kepakaran untuk membantu kerajaan Thailand menguruskan pemindahan mangsa. Kumpulan penyelamat juga berhempas-pulas membentengi sungai dan longkang untuk menghalang kemusnahan yang lebih besar.

Kita belum lagi mendengar komitmen pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia khususnya Islam untuk membantu mangsa-mangsa bencana banjir di Bangkok. Tidak seperti gempa bumi di Indonesia, NGO dari Malaysia mengorak langkah awal menyelamatkan mangsa. Sumbangan dari segi kewangan, kesihatan dan kaunseling menjadi perkhidmatan paling laris. Faktor ini mungkin disebabkan bahasa dan budaya yang hampir sama antara masyarakat kedua-dua negara.

Thailand tidak punya daya tarikan seperti mana Indonesia. Bahasa, budaya dan agama menjadi penghalang kepada kecelapakan NGO dari Malaysia untuk menghulurkan bantuan. Buktinya kita masih belum mendengar pengumuman rasmi dari mana-mana NGO ini yang berminat. Ia berbeza dalam kes liputan bantuan sumbangan dari rakyat Malaysia di Somalia yang mana setiap hari media memberi ruang kepada ketua delegasi untuk tampil bercakap di televisyen.

Kita masih menanti NGO yang bergerak atas platform kebajikan untuk turut serta dalam memindahkan mangsa banjir di Bangkok. Soal bahasa dan agama wajar diketepikan kerana pesakit dan derita tidak pernah memahami perbezaan bahasa, agama dan budaya.

Sewajarnya NGO Islam mengorak langkah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir itu supaya masyarakat sedar bahawa Islam mengutamakan kebajikan manusia. Secara tidak langsung, dakwah kepada masyarakat bukan Islam dapat disampaikan. Keupayaan NGO Islam dari Malaysia telah diuji dengan ketabahan mereka bersama-sama rakyat Palestin, mengharungi kepungan tentera zionis dan meredah tanah gersang Somalia untuk memberi bantuan kepada umat Islam. Malah ada yang sanggup berkorban untuk mendapatkan gambar dan berita.

Bagaimana kita boleh menggerakkan minat dan rasa prihatin NGO Malaysia? Adakah kerajaan perlu memberi intensif kepada mereka supaya imej negara ini positif pada pandangan masyarakat antarabangsa?

Selepas melibatkan diri dengan beberapa siri misi kemanusiaan adalah wajar bagi NGO Islam dari Malaysia untuk mengambil bahagian dalam misi banjir di Bangkok, Thailand.   
    
 

Tuesday, October 18, 2011

Kerajaan dan rakyat: cabaran kesihatan dan pembangunan di Indonesia




 
Indonesia merupakan negara keempat palingramai penduduk di dunia di mana terdapat 300 kumpulan etnik yang bertutur menggunakan 350 jenis bahasa tersebar ke seluruh 6,000 pulau yang berpenghuni.

Sejak tahun 1967, Indonesia telah menunjukkan kemajuan yang luar biasa. Tempoh pertumbuhan ekonomi telah meningkatkan pendapatan per kapita penduduk daripada US$50 pada tahun 1968 kepada US$1,124 pada tahun 1996 meskipun terdapat peningkatan penduduk daripada 147 juta pada tahun 1980 kepada 179 juta pada tahun 1990. Antara 1980-1990, kadar pertumbuhan tahunan penduduk ialah 1.9%, dengan kadar kelahiran kasar sebanyak 22.5 per 1000  dan kadar kematian kasar sebanyak 7.4 per 1000 pada tahun 1998. Piramid penduduk meningkat ke arah penduduk yang lebih tua dengan jangka hayat berada pada umur  64 tahun bagi lelaki dan 67 tahun bagi perempuan (1996). Akibat daripada pembangunan sosioekonomi dan perkhidmatan pencegahan serta rawatan yang lebih baik, kadar kematian bayi telah berkurangan daripada 142 per 1000 pada tahun 1968 kepada 50 per 1000 pada tahun 1998. Peratusan penduduk yang miskin telah menurun daripada 60% pada tahun 1970 kepada 11% -13% pada tahun 1996. Kebanyakan golongan miskin tinggal di kawasan luar bandar, pulau-pulau terpencil atau kawasan tanah tinggi. Menjelang 1997, kadar literasi bagi mereka yang berumur 10 tahun adalah lebih 89%.

Kejayaan ini tidak lama kerana kesan teruk ekonomi global pada pertengahan tahun 1997. Nilai mata wang menjunam, harga barangan dan kadar pengangguran meningkat secara mendadak. Di samping itu, sesetengah bahagian dalam negara mengalami kemarau yang panjang dan kebakaran hutan yang meluas. Krisis ini secara tiba-tiba menyebabkan kemelut politik pada tahun 1998. Ketidakstabilan politik yang berikutnya mempunyai kesan langsung kepada pemulihan ekonomi. Secara tiba-tiba peratusan penduduk yang tinggal dalam kemiskinan meningkat daripada anggaran 11-13% (1996) kepada 24.2% (1998).

Profile kesihatan

Walaupun status kesihatan rakyat Indonesia tidak terjejas secara drastik dalam jangka pendek, krisis ekonomi sememangnya telah memperlahankan perkembangan sistem kesihatan. Kerajaan Indonesia mengambil langkah-langkah khas untuk melindungi kesihatan penduduk melalui pengubahsuaian Rancangan Lima Tahun Ketujuh (Repelita VII), tetapi kadar kemajuan dalam menyelesaikan masalah kesihatan masih perlahan. Status kesihatan masih jauh ketinggalan di belakang negara-negara jiran yang lain. Kematian ibu sangat tinggi iaitu 334 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup (1997). Selain daripada itu, jurang perbezaan antara wilayah adalah cukup besar. Sebagai contoh, kadar kematian bayi adalah antara daripada 27 per 1000 kelahiran hidup di Jakarta berbanding 90 di Nusa Tenggara Barat (1998).

Penyakit-penyakit berjangkit

Penyakit berjangkit ialah satu sebab utama kematian di Indonesia. Strategi teknikal untuk kawalan penyakit berjangkit telah diterima dan disesuaikan kepada keperluan-keperluan khusus negara.
Batuk kering menjadi punca kematian kedua tertinggi dan pembunuh utama antara penyakit berjangkit. Dianggarkan 175,000 orang mati setiap tahun akibat batuk kering.

Kusta sedang berada di peringkat akhir untuk dihapuskan yang mana kempen-kempen pencegahan sentiasa dilakukan.

Malaria masih menjadi satu masalah kesihatan awam. Kira-kira 1.5 juta kes dikesan setiap tahun. Dalam 1998, terdapat wabak malaria di tanah tinggi Irian Jaya dan di Jawa Tengah.

Demam denggi / demam denggi berdarah biasanya berlaku dalam kadar besar pada November dan memuncak pada bulan Mei. Dalam 1998, 30,000 kes telah dilaporkan dari bandar-bandar dan juga dari beberapa kawasan luar bandar.

STDs kekal satu masalah yang serius terutama sekali dalam kumpulan-kumpulan yang berisiko tinggi  dan menggalakkan merebaknya HIV / AIDS. Sehingga Januari 1999, jumlah terkumpul kes AIDS dilaporkan ialah 227, di mana 113 pesakit AIDS telah mati. Kadar janjang kelihatan seperti meningkat dengan perlahan, berganda lebih daripada dua tahun.

Cabaran akan datang

Dalam beberapa tahun, Indonesia akan menghadapi satu tempoh peralihan yang penting. Selepas lebih daripada 25 tahun, kini Indonesia menjalani proses pendemokrasian yang pesat  menyebabkan perkembangan politik tidak sama sekali boleh diramalkan. Tambahan pula, trend ke arah demokrasi mungkin menjurus kepada perubahan dalam fungsi kerajaan itu sendiri. Pergerakan-pergerakan politik yang kuat ke arah urus tadbir yang lebih baik akan memberi kesan kepada semua sektor.

Keadaan ekonomi dan politik akan mempunyai pengaruh utama ke atas aspek kesihatan di Indonesia dalam beberapa tahun akan datang. Desentralisasi mempunyai satu impak utama iaitu program yang berjaya seperti imunisasi dan saluran bekalan ubat untuk pusat kesihatan mungkin mengalami halangan di peringkat awal. Program kesihatan sudah tentu tidak menerima perbelanjaan yang mencukupi yang bakal menyebabkan kekurangan dalam sektor tenaga kesihatan.

Penyakit-penyakit  yang melibatkan orang miskin seperti  penyakit berjangkit semakin teruk. Justeru usaha yang lebih besar diperlukan
untuk kesihatan, mencari mekanisme berkesan untuk membiayai rawatan kesihatan, perolehan dan pengagihan barang-barang keperluan yang cekap, penghantaran perkhidmatan asas yang berkesan melalui pelbagai organisasi di sektor awam dan swasta, memastikan akses yang mencukupi untuk penduduk yang jauh pedalaman dan pengawasan rapi yang berterusan oleh kerajaan Indonesia.


Monday, October 17, 2011

Martabatkan bahasa Melayu



 


Pelancaran bulan bahasa kebangsaan tahun ini mencatat sejarah kerana buat kali pertama tokoh bahasa dari luar negara diangkat sebagai penerima anugerah. Profesor Wu Zongyu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing (BFSU) China.
 
Dalam respon beliau ke atas penganugerahan tesebut, Profesor Wu berkata, minat masyarakat antarabangsa mempelajari bahasa Melayu antara lain disebabkab faktor ekonomi dan keupayaan bahasa itu untuk berkembang di Asia.

Dari sisi lain, pengiktirafan ke atas tokoh asing yang berjuang bagi memperkenalkan bahasa Melayu adalah tanda jelas bahawa masyarakat antarabangsa mulai melihat kepentingan bahasa ini dalam pelbagai bidang.
 
Selain tokoh dari China, tedapat ramai lagi pengkaji bahasa Melayu yang berusaha keras menubuhkan pusat pengajian Melayu di Eropah. Mereka ini boleh difikirkan sebagai penerima anugerah pada masa depan.
 
Keghairahan orang luar mengiktiraf kepentingan bahasa Melayu sepatutnya membuka mata rakyat Malaysia untuk melihat bahasa mereka sendiri. Baru-baru ini seorang pelajar perempuan dari Jepun mengunjungi perpustakaan sebuah universiti di Kuala Lumpur.

Kaunter hadapan perpustakaan ini dijaga dua orang petugas menyambut kehadirannya. Pelajar tersebut menunjukkan surat sebagai makluman tujuan dia datang ke situ. Barang kali surat ini dalam bahasa Inggeris. Salah seorang petugas membelek-belek surat berkenaan sambil berkata sesuatu dalam bahasa Melayu, mungkin menerangkan sesuatu kepada rakannya. Lalu dia bertanya pelajar Jepun dalam bahasa Inggeris tetapi pelajar tadi menjawab dalam bahasa Melayu. Terperanjat besar kedua-dua petugas ini sambil berkata, ‘Nasib baik aku tak cakap yang bukan-bukan tadi.’
 
Bahasa Melayu bukan sahaja diminati oleh masyarakat Cina malah Jepun dan Korea kerana bahasa ini memiliki kekuatan dalam ekonomi dan politik. Majunya Malaysia dan Indonesia akan memberi faedah kepada penutur bahasa Melayu kerana mereka boleh berkomunikasi dengan lebih 280 juta orang di Asia Tenggara.

Secara logiknya bahasa Melayu akan terus hidup dan  berkembang pesat. Keadaan ini amat berbeza dengan dua pertubuhan kerajaan yang cuba menghasut masyarakat untuk kembali melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Tindakan mereka ini amat bertentangan dengan aspirasi rakyat Malaysia yang mahukan bahasa Melayu dimartabatkan.

 

Monday, October 10, 2011

Transformasi besar Felda

 




Dalam pembentangan Bajet 2012, Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012 dalam usaha mengumpul dana untuk menjadi syarikat konglomerat global. Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham dalam FGVH oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Menurut Najib, setiap peneroka juga akan menerima ‘durian runtuh’ yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian dilakukan.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, Niza, Yatim pada malam pembentangan Bajet 2012, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menjelaskan segala transformasi besar yang dilakukan itu bertujuan mewujudkan budaya lebih cemerlang di Felda serta melonjakkan lagi kekayaan peneroka pada masa depan.

UTUSAN: Apakah komen Tan Sri terhadap penyenaraian FGVH seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri?

MOHD. ISA: Sebenarnya, kalau dilihat prestasi KPF yang dimiliki peneroka, ia telah meraih keuntungan sebanyak RM300 juta daripada penyenaraian MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) di Bursa Malaysia pada pertengahan tahun ini. Jadi tidaklah hairan, para peneroka mahukan Felda mengulangi kejayaan ini lagi dan pengumuman Perdana Menteri tentang penyenaraian FGVH ini adalah bertepatan pada waktunya. Ini bakal mendatangkan lagi keuntungan kepada para peneroka yang akan juga menjadi ‘rakan perniagaan’ Felda selepas penyenaraian ini.

Felda yang telah bangun seiring dengan kejayaan negara, kini bakal melonjakkan lagi pertumbuhannya pada 50 tahun kedua di mana Felda bukan sahaja pengusaha ladang yang terbesar di dunia tetapi juga akan menjadi pelaku glokal dalam perniagaan berasaskan perladangan.

Penyenaraian ini hanya melibatkan aset atau tanah milik Felda. Tanah peneroka tidak terlibat dan akan kekal milik peneroka.

Malah generasi baru akan menerima limpahan ekonomi dengan timbulnya peluang pekerjaan dan perniagaan yang bakal dijalankan di ladang hasil daripada penyenaraian ini.

Boleh Tan Sri jelaskan apakah yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri bahawa peneroka Felda akan menerima ‘durian runtuh’?

Dari segi durian runtuh ini, insya-Allah ia akan berlaku. Cuma dari segi angkanya, itu akan diumumkan Perdana Menteri bila sampai waktunya. Kepada para peneroka, saya minta mereka bersabar menanti pengumuman berkenaan.

Boleh Tan Sri jelaskan bagaimana bentuk transformasi besar yang dimahukan Perdana Menteri?

Datuk Seri Najib mahu warga Felda berfikir di luar kotak, berpandangan jauh untuk membawa kemodenan dalam struktur Felda secara keseluruhan yang mana manfaatnya akan dinikmati oleh mereka serta generasi akan datang.

Pertumbuhan 50 tahun kedua ini jauh bezanya daripada 50 tahun pertama di mana generasi pertama hanya memerlukan tulang empat kerat yang menyaksikan transformasi pertama Felda yang bukan saja telah membangkit kedudukan sosioekonomi malah turut merubah landskap geografi negara.

Transformasi yang sedang dan akan dilalui oleh generasi kedua Felda pula bakal merubahkan landskap landasan pendapatan - yang bukan hanya dijana daripada perladangan tetapi juga daripada hasil sampingan yang berkaitan dengan ladang seperti aktiviti pertengahan dan hiliran.

Jadi di sini, generasi baru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan teknologi di samping anjakan minda yang akan menentukan hala tuju 50 tahun kedua Felda seiring dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara berpendapatan tinggi yang turut meliputi penduduk di luar bandar.

Bagaimana pula kedudukan KPF dalam transformasi ini?

Buat masa sekarang, tiada pemisah di antara aktiviti komersil dan aktiviti sosioekonomi. Dengan adanya transformasi, peranan yang dimainkan oleh setiap entiti Felda telah disusun semula supaya cabang komersil dan cabang sosioekonomi akan lebih fokus dan khusus. Ini untuk kepentingan peneroka juga.

Cabang komersil Kumpulan Felda adalah FGVH sementara cabang sosioekonominya adalah Lembaga Felda. Dalam penstrukturan semula ini, KPF yang merupakan sayap pelaburan Kumpulan Felda telah dikenal pasti sebagai aktiviti komersil.

Transformasi ini akan membolehkan setiap entiti Kumpulan Felda memberi tumpuan khusus dalam aktiviti masing-masing, sama ada aktiviti komersilnya yang melibatkan pengurusan ladang termasuklah pelaburan di dalam dan luar negara ataupun aktiviti sosialnya seperti kebajikan warga peneroka, perumahan, pendidikan dan sebagainya.

Transformasi ini memerlukan peranan setiap entiti di bawah Kumpulan Felda diperkemaskan.

Apakah pelan transformasi untuk tempoh 10 tahun bagi menjadikan Felda Economic Powerhouse sebelum tahun 2020?

Kumpulan Felda bakal muncul sebagai organisasi perniagaan multinasional berasaskan agribisnes yang bersepadu dan dinamik dengan aktiviti huluan dan hiliran yang mapan yang akan memanfaatkan bukan sahaja warga peneroka malah masyarakat Malaysia dan negara.

Ini akan melibatkan penyusunan dan penstrukturan semula peranan, model perniagaan dan pegangan ekuiti dalam Kumpulan Felda yang bakal memberi manfaat yang lebih kepada warga peneroka.

Dengan populasi warga Felda yang makin meningkat, Felda sebagai Economic Powerhouse akan semakin relevan untuk menampung pertumbuhan ini.

Transformasi ini akan menggalakkan peningkatan pengeluaran dari aset perladangan serta menambah baik nilai Felda.

Generasi baru tidak perlu hanya menjadi golongan peneroka di rancangan tanah sendiri, mereka perlu keluar meneroka sumber dan sektor perniagaan dan perladangan baru di luar negara.

Ada pihak berpendapat tanggungjawab sosial korporat (CSR) Felda kepada peneroka terlampau banyak sehingga tidak masuk akal seperti menyediakan perumahan untuk generasi kedua?

Felda tidak lagi menerima bantuan daripada kerajaan dan tanggungjawab korporat yang diberikan Felda adalah hasil daripada usaha peneroka sendiri. Ini sama seperti Sime Darby atau Petronas yang menyediakan kemudahan kepada warga mereka.

Pemegang saham utama Felda ialah para peneroka jadi tidak hairanlah jika tanggungjawab korporat dipulangkan semula kepada pembangunan sosioekonomi peneroka serta generasi akan datang.

Setakat mana kejayaan pendidikan bagi menjana perubahan minda dan idea kepada generasi baru Felda termasuk menjadikan mereka usahawan berjaya?

Pembangunan modal insan amat penting dan anak-anak Felda diberikan peluang yang cukup luas untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.

Ramai anak Felda yang telah berjaya dan kini mencurahkan bakti semula di tanah rancangan. Anak-anak peneroka ini bukan hanya bergantung hasil pendapatan dari perladangan sahaja tetapi turut mempelbagaikan aktiviti berkaitan perladangan yang dapat menambahkan pendapatan ataupun menggunakan teknologi terkini untuk mendapatkan pengeluaran yang efisien.

Ada juga anak peneroka walaupun berkelulusan ijazah tetapi kembali mengusahakan ladang kerana mereka dapat melihat potensi yang boleh diraih daripada hasil tanah.

Pendidikan mampu menjana perubahan minda serta idea dan dengan adanya Internet, banyak yang boleh dipelajari. Kejayaan kini menunjukkan, generasi baru Felda yang berjaya dalam pengajian tinggi adalah seramai 76,483 orang.

Mereka terdiri daripada 28,737 yang memperoleh pendidikan di peringkat ijazah dan seramai 1,567 di kalangan mereka memperoleh ijazah di peringkat kedoktoran (PhD). Seramai 47,688 generasi baru pula memperoleh pendidikan di peringkat diploma.

Tan Sri, ada pihak yang berpendapat anak-anak syarikat Felda perlu kekal dengan keadaan sedia ada?

Transformasi Felda yang akan melibatkan penyusunan dan penstrukturan semula peranan akan menyerlahkan potensi sebenar anak-anak syarikat ini yang manfaatnya bakal dinikmati para peneroka dari segi pekerjaan dan ekonomi.

Penyenaraian MSM adalah sebahagian daripada program transformasi Felda dan kejayaannya di Bursa Malaysia telah melihat ramai sama ada peneroka ataupun masyarakat Malaysia yang mahu Felda mengulangi kejayaan ini.

Keuntungan yang bakal diperolehi daripada transformasi ini merupakan pemangkin kepada pertumbuhan Felda.

Setiap warga Felda perlu melakukan transformasi ini untuk kelestarian Felda dalam 50 tahun kedua. Jika Felda kekal seperti sedia ada, ini bermakna Felda mengekang potensi pertumbuhan syarikatnya dan secara tidak langsung juga mengekangkan pendapatan dan pertumbuhan generasi baru.

Patutkah Felda memberi tumpuan untuk menjawab segala tohmahan yang dibuat parti pembangkang?

Ini berlaku kerana kejayaan peneroka Felda sebenarnya dicemburui oleh pihak lain. Selalunya kalau sesuatu rancangan yang berjaya, memanglah ada yang tak puas hati.

Bagi saya walaupun apa sahaja tohmahan, warga Felda sendiri tahu menilai antara emas dan kaca.

Bagaimanakah langkah transformasi Felda ini seiring dengan penglibatan kerajaan dalam perniagaan (GRIB) sektor swasta?

Penglibatan kerajaan dalam perniagaan sektor swasta ini adalah bertujuan untuk mencari peluang bagi menambah baik kecairan pasaran modal dan mengelakkan keadaan anti persaingan ataupun monopoli dalam sektor swasta.

Ini adalah penting untuk memastikan ekonomi Malaysia yang dipacu oleh sektor swasta adalah lebih kompetitif dan berdaya maju. Berdasarkan rasional ini, badan kerajaan yang kini menjalankan dwifungsi iaitu sebagai badan kawal selia dan juga perniagaan perlu dipisahkan.

Lebih 50 tahun lalu Felda ditubuhkan sebagai satu badan sosial kini telah menjadi satu entiti perniagaan yang berjaya.

Jadi, transformasi Felda yang memisahkan peranan antara komersil dan sosial bakal menyaksikan Felda memainkan peranan penting dalam menjayakan GRIB yang juga akan mempertingkat daya saing Kumpulan Felda.

(Utusan Malaysia, 10 Oktober 2010)

 

Saturday, October 08, 2011

Gerak hati milik Allah






Selepas selepas menyiapkan urusan akademik, saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Timbul dalam hati terasa hendak makan nasi uduk di Sungai Udang, restoran masakan Indonesia yang terletak berhadapan dengan Penjara Sungai Udang. Saya pernah makan nasi uduk bersama Imam Suhaib dari Palestin pada bulan Ramadan lepas. Mungkin agak lama tidak makan di situ, terasa ingin sekali hendak makan lagi.

Selesai solat asar, saya terus memecut laju ke arah Sungai Udang. Perjalanan hanya mengambil masa 20 minit, jadi sempatlah berjemaah di Masjid Penjara Sungai Udang. Dalam hati, hajat hendak berjumpa ustaz Hashim, imam masjid, tetapi beliau tidak bertugas malam itu.

Umpama nasi uduk memanggil-manggil, saya segera beredar ke Warung Nasi Uduk untuk merasai keenakan nasi uduk ayam bakar. Harganya boleh tahan juga. Sepinggan RM7.90. Saya duduk di tempat paling hampir dengan pintu masuk restoran kerana ingin melihat pemandangan  luar dan suasana tenang kompleks perniagaan di situ.

Selangbeberapa minit, seorang lelaki datang hampir kapada saya lalu menengur. “Ni pernah tinggal di UPM?” Awalnya saya tidak perasaan tetapi cepat-cepat ingat mukanya. “Ya…ya macam pernah nampak, siapa nama ye?” Saya memang tidak begitu ingat nama sebab agak lama tidak berjumpa.

“Supain”, katanya sambil tersenyum. Kami berjabat tangan sambil saya persilakannya duduk. Sekarang Supain sudah berjawatan besar, Leftenan Kolonel. Masa di Kolej Pendeta Za’ba dulu, beliau antara pelajar senior paling banyak bagi arahan dalam minggu orientasi. Masa itu mukanya sedikit cengkung berbanding sekarang yang sudah berisi.

Supain baru dua hari bertugas di Terendak, bahagian semboyan. Katanya, semboyan banyak terlibat dengan komunikasi. Itu sajalah yang saya tanya, lain-lainnya tidak perlu. Besar kemungkinan dia berpindah ke Terendak kerana dinaikkan pangkat.

Dalam perjalan pulang ke rumah, saya berfikir kenapa hari ini terasa hendak makan nasi uduk sedangkan sebelum ini langsung tidak terdetik keinginan ke situ. Rupa-rupanya Allah hendak temukan saya dengan rakan lama. Barang kali ada lagi hal-hal lain yang Allah hendak berikan. Memang sah gerak hati adalah milik Allah. 

 

Tuesday, October 04, 2011

Kemerosotan tamadun Barat




 
oleh Karim Raslan
 
Sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Mereka yang tewas akan terus berada di pinggiran sejarah dan terus dilupakan. Di Malaysia berbeza dengan Indonesia, kuasa politik konservatif yang berjuang memerdekakan tanah air kita. Justeru, pejuang haluan kiri, seperti baru disedari pemimpin Pas, Mat Sabu telah dilupakan dan terpadam dalam coretan sejarah.
 
Namun, interpretasi sejarah berubah dari semasa ke semasa. Sememangnya, tiada satu versi sejarah yang ada terdapat pelbagai versi, dan selalunya mereka yang berkuasa sahaja dapat menentukan versi mana diguna pakai.
 
Tetapi, apakah akan berlaku apabila satu bangsa yang berkuasa itu mula merudum? Adakah sejarah akan ditulis dan digubah semula?
 
Perubahan ini dapat dilihat sejak kebelakangan ini melalui tulisan cendekiawan Barat tentang kemerosotan kuasa dan pengaruh Barat, terutama Amerika Syarikat.
 
Sejarawan, Niall Ferguson melakarkan proses ini dalam bukunya: Civilization: The West and the Rest (Tamadun: Barat dan yang lain). Ferguson mengutarakan hujahnya bahawa dunia Barat berjaya mengatasi kuasa y lain (Empayar China dan Ottoman) kerana enam aplikasi hebat: persaingan, sains, hak milik tanah, perubatan, masyarakat pengguna dan etika kerja.
 
Ferguson berhujah, dunia Barat berjaya mengusai semua enam ciri khas ini, tetapi dunia selain Barat hanya menguasai sebahagiannya sahaja atau tidak langsung.
 
Beliau berpendapat, masalah kemerosotan Barat kini merupakan krisis kepercayaan terhadap nilai ketamadunan mereka. Pendek kata, kuasa Barat telah gagal memperbaharui komitmen mereka kepada aplikasi hebat ini.
 
Kuasa barat seharusnya mengenal pasti dan mengapresiasi kehebatan dan kemegahan tamadun mereka sendiri kerana ia menawarkan set institusi ekonomi, sosial dan politik yang lengkap. Anda mungkin tidak bersetuju, tetapi sejak kebelakangan ini terdapat fenomena baru di mana ramai penulis mengupas isu kemerosotan kuasa Barat.
 
Krisis kepercayaan ini diburukkan lagi dengan krisis kewangan global dan momentum ekonomi yang lemah, dengan perlahan menghancurkan sistem ekonomi Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
 
Sememangnya, dalam edisi majalah New Yorker baru-baru ini, Adam Gopnik menulis esei yang berhujah, kemerosotan merupakan satu genre sastera yang kembali popular, dan ini sering menjadi topik pilihan ahli akademik dan pundit.
 
Tetapi adakah ini suatu perkembangan yang baru? Peramal kemerosotan mula meramal sejak zaman kejatuhan ini berzaman-zaman lalu. Menurut Gopnik, frasa “kejatuhan Barat” digunakan seawal tahun 1918 oleh sejarawan Jerman, Oswald Spengler.
 
Namun, ketakutan akan prospek keruduman tamadun Barat ini bukannya eksklusif daripada pemikir Barat, tetapi sudah menjadi tema penulis dan sejarawan seperti Ibn Khaldun, Tun Sri Lanang dan SimaQian.
 
Hadirnya buku seperti Civilization ini di Malaysia menunjukkan isu ini menjadi satu masalah global.
 
Mengapakah mereka (pemikir Barat) dan kita (pembaca buku) harus ditakutkan dengan keruntuhan aturan kuasa kini? Anda perlu membaca buku seperti yang ditulis Fergusan untuk mengetahui trendy-trend sedang berkembang dalam dunia ilmuwan sejarah.
 
Sejarawan Barat seperti Ferguson menghabiskan masa dalam kerjaya mereka mengkaji kebangkitan negara mereka ke tampuk kekuasaan dunia. Kini, mereka menghabiskan masa mengkaji kemerosotan kuasa negara masing-masing. Adakah hasil kerja seperti buku Ferguson ini merupakan cubaan untuk menerangkan sistem geopolitik dunia yang baru? Atau adakah ini merupakan satu amaran kepada kuasa baru, terutamanya dari Timur untuk tidak mengulangi perkara sama?
 
Tatkala Ferguson dan Gopnick berhujah, tamadun Barat sememangnya telah meninggalkan banyak legasi moral seperti mansipasi hak wanita dan toleransi antara agama. Pada masa sama, mereka berdua turut berlaku jujur dalam mengkritik kegagalan Tamadun Barat dalam menangani isu perkauman dan kesombongannya.

Bolehkah sejarawan Asia pada masa depan bersifat objektif dan holistik? Sememangnya, ketika kita di Malaysia sedang mengimbangi dan memperbetulkan obsesi dengan sejarah versi Umno, kita harus ingat situasi boleh berubah tiba-tiba dan bila-bila masa.
 
Tiada sesiapa mampu menidakkan kepentingan sejarah, tetapi harus ingat sejarah itu bukan sesuatu yang konstan ia akan diolah dan diinterpretasikan dari semasa ke semasa. Pemimpin Malaysia seharusnya risau adakah kita mampu untuk menguasai enam aplikasi yang diperkatakan Ferguson atau adakah mereka sekadar mahu menggunakan sejarah untuk menyerang musuh-musuh politik sendiri?
 
(Sinar Harian, 4 Oktober 2010)