Monday, December 21, 2009

Hayati Peristiwa Hijrah:Memantapkan Ukhwah Memperkasa Ummah Gemilang

Sumbangan: Norliah Kudus

Tanggal 1 Muharram menemui kaum Muslimin sekali lagi. Setiap kali kita menyambut tahun baru hijrah maka setiap kali itu jugalah banyak persoalan akan timbul bermain di dalam fikiran kita semua. Salah satu persoalan yang berlegar di pemikiran kita semua ialah apa, di mana dan ke mana arah tuju kita semua khususnya umat Islam di negara ini di dalam menghadapi era globalisasi. Seharusnya kita menjadikan peristiwa hijrah ini sebagai pengajaran dan iktibar atau satu motivasi kehidupan dalam menghadapi pelbagai cabaran era globalisasi kini

Penulis bersetuju saban tahun sambutan Maal Hijrah di sambut samada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Sambutan ini cukup signifikan bagi kita mengiklankan syiar Islam kepada umat Islam dan bukan Islam sebagai satu medan dakwah. Apatah lagi sambutan ini mendapat perhatian pimpinan-pimpinan tertinggi kerajaan mahupun rakyat biasa malah mendapat liputan luas media eletronik dan cetak. Maka di kesempatan yang ada ini, perlulah digunakan oleh pihak berkuasa agama untuk mengunakan kesempatan yang memperluaskan dan memperjelaskan mesej-mesej Islam kepada semua pihak.

Ilmu merupakan aspek terpenting di dalam anjakan ummah menuju kegemilangan. Setiap individu perlu memastikan agar segala ilmu yang dimiliki mendatangkan kebaikan dan dapat menyumbangkan sesuatu bagi memartabatkan kedudukan agama Islam. Apabila matlamat ini ditanam dalam diri setiap individu, setiap perkara yang dilakukan tidak akan lari dari landasan yang sebenarnya seterusnya akan membentuk diri yang bertakwa, keluarga yang bahagia, masyarakat yang bersatu padu dan berakhlak mulia serta melahirkan negara yang dihormati’.

Hijrah adalah satu peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Nabi, Hijrah membolehkan pengaturan strategi berkesan bagi umat Islam menggemblengkan usaha dan mengukuhkan lagi kekuatan ummah. Justeru itu bagi menghayati peristiwa hijrah ini bukanlah bermaksud sekadar kita berhijrah dari Mekah ke Madinah atau dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi adalah secara menjiwai hikmah perjuangan, pengorbanan dan kebijaksanaan baginda untuk menjana dan menobatkan Islam di mercu dunia demi kesejahteraan umat.

Bertepatan dengan Tema sambutan tahun ini ialah ‘Memantapkan Ukhwah dan Memperkasakan Ummah’. Hijrah turut mengajak bagaimana bermuhasabah dan menilai diri, hati dan jiwa serta usaha-usaha untuk memiliki sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti ikhlas, redha, sabar, amanah dan peribadi mulia. Dalam masa yang sama menghindari sifat-sifat mazmumah (keji) seperti sombong, riak, dengki dan kikir untuk tidak diamalkan dalam kehidupan.

Penulis bersetuju bahawa usaha-usaha mewujudkan GAGASAN 1 MALAYSIA melalui perpaduan dan persaudaraan dalam hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara juga perlu menjadi agenda, peranan dan tanggungjawab bersama untuk dilaksanakan dalam konteks kepentingan umat Islam sejagat dengan penuh hikmat ke arah melahirkan masyarakat yang harmonis dan sejahtera.

Budaya berfikir dan membaca juga adalah termasuk dalam peribatan kepada Allah. Aspek lain yang berkaitan dengannya ialah budaya tadabbur, tazakkur dan taammul. Apatah lagi sekiranya amalan kita ini menjurus kepada keimanan kepada Allah dan kekuasaannya yang meliputi langit dan bumi. Islam juga tidak pernah menghalang kemajuan yang dikatakan sebagai salah satu faktor kemunduran umat Islam dewasa ini.

Dalam konteks ‘memperkasa ummah gemilang’ secara jangka panjang, proses pendidikan dan pengilmuan adalah tumpuan paling penting. Ia menghasilkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, berdaya bersaing dan memiliki kreativiti yang tinggi. Integrasi kedua nilai ini akan melahirkan epistemologi holistik yang bukan sahaja mampu membentuk tasawur yang mencakupi, malah akhirnya mampu membangunkan tamadun mithali.

Ilmu juga berperanan membentuk masyarakat agar bersifat dinamik, berintegriti, adil, berdaya saing, toleransi dan seimbang dalam menyumbang kepada pembangunan dan menjayakan wawasan negara. Untuk melihat fungsi dan peranan ilmu secara objektif, ilmu perlu diaplikasikan dan dijelmakan ke dalam seluruh kehidupan masyarakat Malaysia dan pastinya agama Islam menjadi tunjang.

Ilmu pengetahuan juga merupakan pemangkin utama dalam merealisikan pembangunan modal insan kerana pelaburan dalam bidang ini akan mampu menjadikan negara kita dihormati dan cemerlang dipersada antarabangsa. Malahan ajaran agama Islam turut menekankan akan kepentingan ilmu melalui surah pertama yang turun kepada Nabi Muhammad saw, dalam surah Al-Alaq ayat 1 hingga 4 yang bermaksud : “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan TuhanMulah Yang Maha Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.”

Dari aspek masa pula, konsep hijrah sangat menitikberatkan masa untuk dimanfaatkan oleh penggunannya, sebelum ianya habis dan berakhir dengan kematian. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud : “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu masa muda sebelum tua; masa kaya sebelum miskin; masa lapang sebelum sempit; masa sihat sebelum sakit dan masa hidup sebelum mati”. Sama ada kita sedar atau tidak kemajuan dan perkembangan globalisasi kini begitu drastik sekali. Begitu pantas masa meninggalkan kita dibelakang hinggakan hampir merapusi jagatraya ini.

Perkara ini jelas memperhitungkan bahawa keseimbangan pencapaian dan kemajuan amat diperlukan, bukan sahaja dalam melaksanakan khidmat atau ibadat, malahan proses mempertingkatkan darjah ketaatan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Dalam hubungan ini era moden dan globalisasi ini akan menguji dan menilai kebijaksanaan kita sebagai manusia di dalam mempergunakan masa agar tidak lalai dengan arus pembangunan dan kemajuan sejagat.

Dengan kata lain, Islam sebagai ad-din perlu diamalkan secara syumul di dalam kehidupan. Islam adalah agama yang bertamadun. Sama ada ditambah perkataan hadhari atau tidak, tidak akan menjejaskan nilaian ketamadunan yang telah diletakkan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam ajaran yang mulia ini. Penambahan perkataan al-hadhari selepas perkataan al-Islam bertujuan menggambarkan betapa Islam itu bertamadun.

Ilmu juga adalah intipati utama dalam pembangunan individu dalam organisasi. Perkaitan antara manusia dan ilmu dalam membina kegemilangan tamadun manusia yang jitu dan unggul turut diperakui oleh agama-agama lain di dunia ini. Tamadun manusia yang wujud dan dibentuk sejak zaman Nabi Allah Adam a.s lagi hinggalah ke zaman Nabi Muhammad saw sehinggalah ke zaman ini adalah berteraskan kepada kemajuan tamadun manusia yang berasaskan ilmu pengetahuan.

Ajaran Islam tidak lagi dilihat dalam bentuk amalan ritual semata-mata tetapi turut dipraktikkan ke dalam bentuk-bentuk yang nyata sesuai dengan sifat realistik dan praktikal ajaran agama. Ini terbukti dengan usaha-usaha untuk mengislamisasikan seluruh bidang kehidupan seperti ekonomi, budaya, sosial, keagamaan, politik dan sebagainya.

Kejayaan ini dapat dicapai dengan melaksanakan pendekatan yang bersepadu, sistematik, parktikal dan menyeluruh serta konsisten di samping sentiasa memuhasabah diri di dalam usaha meninggikan tamadun dan syiar Islam khususnya. Dalam usaha menyemai dan mempraktikkan nilai-nilai ajaran agama Islam di Malaysia pula, jalan terbaik adalah dengan melakukan siasah syar’iyah serta penuh hikmah dan bijaksana agar sesuai dan sejajar dengan susasana politik dan budaya masyarakat Malaysia.

Semoga tahun 1431H ini dapat memberikan keinsafan kepada kita untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Dengan harapan agar kita semua menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai satu titik untuk melihat diri kita atau muhasabah dan peranan kita dalam memajukan umat Islam dan memberikan promosi kepada penganut agama lain tentang betapa indahnya agama kita ini.

Moga-moga kita semua akan dapat menempuhi era globalisasi di tahun baru Hijrah ini dengan satu penghijrahan atau perubahan yang baik dan sempurna dengan diiringi ilmu, iman, amal, takwa serta doa. Marilah kita berdoa kepada Ilahi agar kita semua selamat sejahtera dari sebarang musibah dan bencana serta dibawah lindungan-Nya jua.

Salam Maal Hijrah 1431 kepada semua umat Islam. Bersamalah kita mengharapkan dan mendoakan dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, ukhwah dan kekuatan seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan lebih kukuh dan dapat diperkasakan pada tahun akan datang.


E-mel: kudusnorliah@yahoo.com
Blog: http://norliahkudus.wordpress.com

No comments:

Post a Comment