Wednesday, December 16, 2009

Penjelasan di sekitar Risalah Ta’alim

Penulis: Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib
Tahun: 2001
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.
Muka Surat: 424

Keperluan terhadap Risalah Ta’alim sangat tinggi kerana banyak memberi manfaat kepada kaum muslimin yang cintakan kedaulatan Islam.

Perbicaraan Risalah Ta’alim dan kandungannya yang menjelaskan jalan dakwah dan menerangi petunjuk-petunjuk yang bakal mendatang telah meletakkan kaki seorang muslim di pangkal jalan untuk sampai ke matlamatnya iaitu hendak menjadikan kalimah Allah swt suatu yang paling utama dan tinggi.

Berbincang tentang risalah ini merupakan proses penerokaan yang mencakupi segenap penjuru, bukan sekadar penjelasan dengan pengertian tradisi yang telah sedia maklum. Justeru ia disusun dalam lima bab yang merangkumi konsep umum sekitar Risalah Ta’alim, prinsip dua puluh, rukun bai’ah, kewajipan petugas dakwah dan fatwa al-manar.

Yang menarik perhatian pembaca ialah ketelitian pengungkapan di samping ringkas dan objektif, seorang pendakwah yang jelas bicaranya, berjaya mengetuk pintu minda, membuka sanubari dan mengocak kolam hati dan terus bertakhta di dalam jiwa, hati dan akal.

Menelusuri helaian demi helaian risalah ini, pembaca akan merasai Imam Al-Banna ingin menjelaskan dalam baris-baris kalimatnya skop amali dan praktikal untuk jemaah. Beliau juga telah diberi taufik yang besar kerana keikhlasan yang ada dalam dirinya. Risalah Ta’alim ini muncul sebagai model yang unik, yang telah menjelaskan cengan cermat, melakarkan garis panduan kefahaman dan tonggak pendidikan. Dengan inayah serta prinsip-prinsip harakah bagi ikhwan muslimin dalam jangka masa berdakwah dan perkembangan pembentukan seluruhnya.

Kandungan buku yang hebat ini dihuraikan dengan jelas dan mudah difahami. Dalam ulasannya, Omar Al-Telmesani berkata, ‘Beliau seorang alim dan memiliki kebijaksanaan luar biasa dan jiwanya hidup lagi dinamik, rohani yang suci bersih, amat mengerti dengan penyakit ummah dan menyediakan penawar untuknya. Imam Al-Banna sepertimana kebiasaannya akan menulis sepertimana yang beliau bicarakan tanpa memberat-beratkan atau tidak begitu menghiraukan pengkelasan dan bahagian.’

Melengkapkan bacaan buku ini memberi kefahaman terhadap isu-isu asas yang ada dalam agama Islam dan gerakan dakwah. Bagaimanapun lebih baik jika perbincangan buku ini dibuat dalam bentuk halaqah atau usrah supaya setiap topik dapat diperjelaskan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa buku ini adalah sebuah panduan yang amat berguna bagi para pendakwah yang mahu meningkatkan kualiti dakwah mereka.

2 comments:

  1. Assalamualaikum.
    boleh tolong jelaskan dengan lebih terperinci prinsip ketiga dalam prinsip dua puluh.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.
    boleh tolong jelaskan dengan lebih terperinci prinsip ketiga dalam prinsip dua puluh.

    ReplyDelete