Kematian seorang pengantin lelaki kerana kemalangan jalan raya selepas empat jam majlis akad nikah memang peristiwa tragik. Ketika inai masih merah menyala di jari-jemari, isterinya menahan pilu mengenangkan musibah yang menimpa diri. Benarlah ketentuan hidup adalah milik Allah swt dan sebagai hamba-Nya, kita mesti menerima apa juga ketentuan berkenaan.
Bercinta dan gagal berkahwin adalah lumrah kerana setiap orang inginkan pasangan yang betul-betul menepati kehendak diri. Barangkali juga nilai hidup yang berubah menyebabkan seseorang ingin mencari pasangan yang satu nilai dengan dirinya. Namun keadaan ini boleh lagi diterima berbanding bercerai mati selepas beberapa jam bergelar isteri.
Peristiwa yang berlaku ke atas pasangan pengantin dari negeri berjiran, Kedah dan Perlis disiarkan dalam media dan menjadi perhatian umum. Dalam keadaan semua persediaan telah dilakukan dengan sempurna, mood keluarga kedua-dua pihak juga dalam kemuncak kegembiraan. Pelamin yang dihias indah hanya menunggu masa untuk menerima pasangan suami isteri yang bagai pinang dibelah dua. Akhirnya, pelamin bercucuran dengan air mata dan bertemankan buku Ya Sin.
Kadangkala keluarga pengantin begitu teruja untuk mempastikan majlis perkahwinan berjalan dengan lancar. Urusan makan dan minum jemputan menjadi perhatian, majlis persandingan diletakkan keutamaan sedangkan keselamatan diri untuk bergerak dari rumah sendiri ke rumah pasangan kurang diberi perhatian. Keadaan kereta yang jarang disenggara, tayar yang kurang angin dan haus, lampu dan brek keselamatan yang rosak dan pemanduan yang tidak berhati-hati menjadikan hari yang indah bertukar menjadi tragedi.
Tidak ada siapa yang patut disalahkan dalam kemalangan berkenaan melainkan persediaan yang kurang mantap apabila bergerak di atas jalan raya. Sewajarnya berkonvoi adalah kaedah yang sering dilakukan ketika mengiringi pengantin baru supaya pengguna jalan raya yang lain sedar dan memberi keutamaan kepada konvoi berkenaan. Berkonvoi juga menarik perhatian orang ramai untuk bersama-sama merasai keseronokan majlis perkahwinan. Ia bertukar menjadi masalah dan igauan apabila kereta pengantin sendiri yang terlibat dalam kemalangan. Bagi mengelakkan majlis perkahwinan bertukar menjadi majlis tahlil, semua persediaan mesti diberi keutamaan dan sentiasa memohon kepada Allah swt agar majlis yang dirancang berada dalam keadaan selamat.
Di Malaysia, musim cuti sekolah menjadi pilihan untuk melangsungkan perkahwinan. Ia dimeriahkan dengan majlis kenduri besar-besaran kerana masyarakat hari ini semakin global dan tinggal berjauhan. Dalam majlis seperti inilah saudara-mara yang jauh dan dekat dapat bertemu dan bertanya khabar. Ada pula yang mengambil kesempatan memperkenalkan anak-anak yang semakin membesar. Dalam erti kata lain, majlis perkahwinan menjadi tempat untuk mengukuhkan ikatan sosial sesama saudara-mara.
No comments:
Post a Comment