Monday, December 14, 2009

Penyelewengan ajaran sesat di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Penyelewengan akidah Islam telah diperkatakan sejak dahulu lagi sehingga ke hari ini masih mengelirukan fahaman segelintir daripada umat Islam kita, menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Ajaran sesat di Malaysia telah banyak dikesan. Perkembangannya begitu pantas sehingga umat Islam menjadi lemas dan tergugat. Kemunculan ajaran sesat pastinya telah memporak-perandakan masyarakat dan menggugat kekuatan ummah. Sebahagian daripada ajaran sesat itu, menurut jurucakap Unit Penyelidikan Agama, Jabatan Perdana Menteri, berasal dari Pulau Jawa yang terkenal dengan pelbagai bentuk ajaran atau kepercayaan batin (Berita Harian, 21 Oktober 1995). Ajaran sesat yang dimaksudkan dalam perbahasan ini adalah aliran kepercayaan ataupun aliran kebatinan.

Ajaran sesat ini tersebar dengan mempunyai nama dan cara tingkah laku yang tersendiri. Ajaran sesat adalah masalah yang mendapat tanggapan khusus dari kalangan orang-orang yang beragama, lebih-lebih lagi agama Islam kerana hal itu menyangkut masalah iktikad terhadap Tuhan yang Maha Esa. Dalam menghadapi perkembangan zaman dan pesatnya teknologi moden, sebahagian ahli masyarakat cenderung mencari ketenteraman hati, nilai keaslian dan kemurnian. Oleh itu wajarlah pada zaman ini ajaran sesat muncul bagai cendawan selepas hujan akibat kurang kefahaman terhadap penghayatan agama Islam.

Definisi ajaran sesat

Pelbagai definisi telah dikemukakan oleh badan-badan kerajaan atau individu berpengaruh dalan hal ehwal agama bagi menerangkan maksud sebenar ajaran sesat ini. Menurut Drs Hj T. Wahidin Soekarno, seorang pakar penyelidikan bidang keagamaan di Indonesia, ajaran sesat ialah satu cabang tentang kepercayaan (terhadap perkara ghaib atau ketuhanan) yang membawa akibat kepada manusia yang percaya dan tersirat daripada akibat itu lebih condong ke arah perbuatan-perbuatan bersifat manusiawi.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Brunei, Indonesia dan Malaysia (Mabim) mentakrifkan ajaran sesat sebagai ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam yang mendakwa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al-quran dan as-sunnah serta ajaran ahli sunnah wal jamaah.

Pusat Islam Kuala Lumpur pula menyatakan ajaran sesat sebagai ajaran yang didakwa berlandaskan Islam tetapi dalam sesetengah hal menyeleweng sama ada disedari atau tidak oleh pengasasnya.

Pada asasnya, ajaran sesat merupakan ajaran baru yang diketuai oleh seorang pengasas dan tindak tanduk malahan bacaan yang diamalkan bertentengan dengan syariat Islam.

Ajaran sesat bukan sahaja berlaku dalam agama Islam malah agama-agama lain juga menghadapi masalah yang serupa kerana penyelewengan yang dilakukan oleh pengikut masing-masing. Ia adalah hasil daripada perkembangan sosiologi dalam sesebuah masyarakat terhadap amalan dan kepercayaan agama yang sedia ada. Ajaran sesat adalah satu ajaran baru yang dihasilkan dan terpisah daripada sesuatu ajaran agama.

Kriteria-kriteria ajaran sesat

Kajian secara terperinci dan ilmiah perlu dibuat terhadap sesuatu ajaran sesat sebelum dikategori dalam kelompok sesat. Dalam hal yang bersangkutan dengan akidah dan iktikad umat Islam, perkara ini perlu dipandang serius dan satu garis panduan perlu diwujudkan untuk mengesahkan bahawa ajaran itu menyeleweng atau sesat. Mabim telah menyenaraikan beberapa kriteria yang boleh dijadikan panduan dalam menghukum sesuatu ajaran sebagai sesat.

1. Kepercayaan kepada rukun-rukun iman dan asas-asas akidah secara bertentangan dan tidak selaras dengan akidah ahli sunnah wal jamaah seperti mempercayai ada kitab lain yang menyaingi atau memansuhkan kitab al-quran dan mempercayai ada kiblat lain selain ka’bah.

2. Mempertikai kebenaran al-quran atau hadis.

3. Mana-mana ketua kumpulan atau sebarang orang yang mendakwa dirinya sendiri atau orang lain sebagai nabi yang terakhir, Nabi Isa a.s, Imam Mahdi dan sebagainya.

4. Kepercayaan kepada penyatuan beberapa agama yang tersebar di dunia sebagai agama yang sepatutnya menjadi anutan kepada seluruh umat manusia.

5. Pendewaan diri, pemimpin atau kumpulan ajaran tersebut yang bertentangan dengan Islam seperti memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain seperti boleh berkahwin lebih daripada empat.

6. Mengadakan bidaah atau pendapat baru yang bertentangan dengan akidah dan syariah yang diasaskan kepada dalil dan tidak boleh dipertikaikan.

7. Mentafsir dan menghuraikan al-quran dan/atau hadis mengikut sesuka hati.

Jenis-jenis ajaran sesat

Banyak jenis ajaran sesat yang muncul di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur beberapa tahun yang lepas. Mengikut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), terdapat 49 jenis ajaran sesat dan 24 daripadanya dikesan aktif. Ajaran sesat ini adalah:

1. Ajaran Haji Ghazali
2. Ajaran Haji Kahar Ahmad (Rasul Melayu)
3. Ajaran Martabat
4. Ajaran Jahar Damin
5. Ajaran Nordin Putih
6. Ajaran Ismailiyah
7. Ajaran Sheikh Abdul Razak
8. Ajaran Allah
9. Golongan Anti Hadis
10. Ajaran Ayah Pin
11. Ajaran Alsyazaliah
12. Makrifat Ilmu Suluk
13. Sifat Al-Fatehah
14. Pintu Rezeki
15. Ajaran Abu Darshan
16. Ajaran Samaniah
17. Ajaran Qadiani
18. Tareqat Mufaridiyah
19. Tareqat Naqsyabandiah Kadirun Yahya
20. Tareqat Zikrullah Hassan Anak Rimau
21. Tareqat Mahadi Ismail
22. Ilmu Tajali Ahmad Laksamana
23. Ajaran Awang Kerinting
24. Ajaran Bahai


Contoh ajaran sesat

1. Qadiani

Ajaran ini telah mengubah dan meminda ayat al-quran. Penyelewengan ini meliputi maksud, makna dan lafaz. Memansuhkan atau mengubah ayat-ayat al-quran dan hadis sama ada maksud, makna dan lafaz dihukumkan kufur. Dalam surah Al-Maidah ayat 48, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,

‘Dan Kami telah turunkan kepadamu ql-quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.’

Menurut ajaran Qadiani, ibadat haji perlu dilakukan di satu tempat yang dinamakan Qadian. Pengasas ajaran ini iaitu Mirza Ghulam Ahmad telah mendakwa dirinya nabi dan rasul serta Nabi Isa al-masih dan Imam Mahdi sakali gus.

2. Bahai

Al-Bahaiah adalah satu kumpulan mazhab yang mendakwa nagbi baru dengan kitabnya yang suci iaitu ‘Al-Bayan’, memansuhkan kitab samamiyah iaitu zabur, taurat, injil dan al-quran. Ajaran ini menjadikan sembahyang sembilan rakaat sekali semalam dan kiblat mereka semasa mengerjakan sembahyang bukannya menghadap ke arah ka’abah sebaliknya menghadap di mana pengasas Bahai berada.

Seperti ajaran Qadiani, ajaran Bahai juga mendewakan pengikutnya dan menganggap pengasas mereka adalah nabi yang terakhir selepas Nabi Muhammad SAW. Kepercayaan ini amat bertentangan dengan akidah Islam. Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 40 yang bermaksud,

‘Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.’

Dalam pada itu, ajaran ini mengajak kepada kesatuan dunia yang satu iaitu agama Bahai. Dalam doktrin agama ini, tiga agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam disatukan dengan alasan ketiga-tiga agama ini datang dari Tuhan. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud,

‘Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.’

Punca-punca penyelewengan Islam

Penyelewengan akidah dan ajaran sesat dalam kalangan umat Islam negara ini masih berterusan walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengekangnya. Antara punca yang menyebabkan berlakunya ajaran sesat ialah:

1. Tidak ada pengajaran agama Islam dengan baik dalam sesebuah masyarakat bagi memecah kebuntuan dan salah faham terhadap sesuatu ajaran agama.

2. Tidak ada peruntukan undang-undang yang dapat membendung ajaran sesat hingga ke akar umbi.

3. Berleluasanya perbuatan maksiat dan kemungkaran yang menyebabkan mereka berada dalam kegelapan hidup dan akhirnya mendorong menganut fahaman atau ajaran sesat.

4. Tersebar dengan meluas buku, risalah dan maklumat yang menguatkan ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

5. Tidak ada kesungguhan dan kepakaran dalam kalangan pendakwah dan guru agama bagi menangani persoalan penyelewengan akidah.


6. Ajaran Islam yang menyeluruh merangkumi segenap aspek kehidupan manusia tidak diberi perhatian serius bahkan ia diberi penekanan kepada sudut dan bidang tertentu sahaja.

7. Masyarakat tidak peka untuk bersama-sama berfikir masalah ini kerana kesibukan kerja yang menjurus pada kepentingan individu.

8. Masyarakat Islam kurang memahami ajaran Islam, mencampur-adukkan pelbagai ajaran agama dan menganggap semua agama adalah sama.

9. Individu atau kelompok tertentu memerlukan sesuatu untuk mengisi atau mengatasi masalah dan keperluan diri.

10. Ajaran Islam yang menyeluruh merangkumi segenap aspek kehidupan manusia tidak diberi perhatian serius.

11. Pengaruh atau kesan daripada persahabatan dan perdebatan dengan golongan ajaran sesat.

12. Kepentingan peribadi seperti kekayaan, politik dan seks.


Kajian kes

Bagi memahami dan mengetahui ajaran sesat yang berlaku di Selangor, kita boleh menyelidik salah satu kes berkenaan iaitu ajaran sesat Haji Ghazali. Pengasas dan pengikut ajaran ini telah mengikuti program pemulihan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Biodata pengasas;

Nama: Ghazali Othman
Umur: 53 tahun
Asal: Indonesia
Jenis ajaran: Ajaran Haji Ghazali
Pusat operasi: Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.
Jumlah pengikut: 43 orang
Mula dikesan: Februari 1995

Aspek penyelewengan;

1. Pengurusan jenazah- jenazah disembahyangkan oleh tiga orang sahaja berulang kali.

2. Pengkebumian jenazah- dilarang membaca talkin dan tali pengikat kain di kepala tidak dibuka.

Rentetan kejadian;

Pengasas yang berasal dari Indonesia ini pernah menuntut ilmu agama yang lama di daerah kelahirannya iaitu Jawa dan mula berhijrah ke Malaysia kira-kira dua tahun sebelum mula dikesan. Penghijrahan pada peringkat awal adalah untuk mencari kerja sebagai menampung kehidupan keluarga di tempat kelahirannya. Namun beliau tertarik untuk memberi ilmu agama kepada penduduk setempat di mana beliau tinggal kerana melihat suasana penduduk kampung yang dikatakan tidak melambangkan diri-diri Islam dan kurang penghayatan agama.

Bermula dari situ, beliau mula memberi pengajaran agama sedikit demi sedikit dan akhirnya kehadiran beliau dapat diterima penduduk kampung di situ. Seterusnya bersama pembantu dan pengikut setia, beliau telah mengadakan kelas pengajian agama. Gerak kerja dan penyebaran agama berlaku dalam keadaan baik dan lancar selama satu setengah tahun. Penduduk kampung yang dhaif dalam bidang keagamaan terus mengikuti ajaran agama yang diperkenalkan tanpa mengesyaki apa-apa. Kelas pengajian berjalan baik dan penduduk kampung amat menghormati beliau sebagai guru agama. Jika sebelum itu Haji Ghazali mendapat pendapatan dengan bekerja sebagai pembantu kedai tetapi kini beliau telah memperoleh pendapatan hasil daripada kelas agamanya.

Penyelewengan ajaran Haji Ghazali bermula apabila seorang anak kepada pengikut setia beliau meninggal dunia. Kelompok masyarakat yang berasa janggal dengan penyempurnaan jenazah telah membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Berdasarkan aduan, si mati mewasiatkan agar jenazahnya diuruskan oleh kumpulan Haji Ghazali. Bagaimanapun keluarga dan saudara si mati terperanjat apabila kumpulan itu melakukan beberapa perkara yang dianggap bertentangan dengan kefahaman mereka semasa menguruskan jenazah. Perkara tersebut ialah jenazah hanya disembahyangkan oleh tiga orang termasuk imam (pengasas ajaran tersebut) beberapa kali. Kemudian tiga orang lelaki lain (pengikut) turut melakukan perkara yang sama beberapa kali. Keluarga si mati turut mendakwa, kumpulan itu tidak membaca talkin ketika jenazah dikuburkan manakala ikatan kain kafan di bahagian kepala jenazah tidak dibuka. Menurut penduduk kampung, banyak ajaran yang dilakukan menyeleweng dari agama Islam tetapi tidak dilaporkan kerana kejahilan penduduk kampung sendiri yang tidak mahu bertanya kepada pendakwah bertauliah daripada pihak Jais.

Dalam program pemulihan yang dilalui oleh Haji Ghazali, beliau berasa tidak salah untuk membuat sesuatu yang memudahkan pengikut ajarannya. Beliau bertegas bahawa ajarannya bersandarkan al-quran seperti memetik maksud ayat al-quran iaitu hendaklah kamu memudahkan dan janganlah kamu menyusahkan dalam penyampaian agama Islam. Justeru beliau bertaqlid bahawa semua itu dilakukan semata-mata untuk memudahkan pengikutnya yang sebelumnya berada dalam kejahilan beragama.

Di samping itu beliau mendakwa semua tindakannya adalah betul kerana beliau adalah orang yang lebih mengetahui daripada orang lain dan boleh melakukan sesuatu menurut kehendak hati. Ini kerana beliau sudah mempunyai pengikut dan menjadi ketua, dua faktor yang menyebabkannya berhak untuk mengarah apa sahaja kepada pengikutnya tanpa mendapat bantahan.

Apabila penduduk kampung melaporkan kegiatannya kepada pihak berkuasa, beliau merasakan sebagai kejahilan masyarakat Islam yang tidak faham. Beliau menuduh penduduk kampung telah menyeleweng dan sesat disebabkan tidak mengikut perintah yang telah dikeluarkannya. Biarpun berada dalam program pemulihan, beliau masih merasakan setiap pengajarannya tidak menyeleweng dan sesat malah menganggap masyarakat Islam di Malaysia perlu mengikut ajaran yang dibawanya sebagai penambahan kepada pahala dan penghapusan dosa.

Langkah–langkah mengatasi

Permasalahan ajaran sesat yang kian rumit mengundang cabaran kepada semua lapisan masyarakat untuk mengekangnya. Ajaran seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja kerana ia akan merebak dalam masyarakat. Pencegahan di peringkat awal amat perlu bagi memastikan jiwa bersih daripada kekotoran dan penyelewengan.

Bagi menghadapi ajaran sesat, Majlis Agama Islam Brunei, Indonesia dan Malaysia (Mabim) telah mengemukakan beberapa tindakan untuk menghalang kegiatan ini yang merangkumi berbagai-bagai perkara.

1. Menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan sejelas-jelasnya mengenai sesuatu ajaran melalui pendidikan formal dan tidak formal, seminar, khutbah dan sebagainya.

2. Meningkatkan aktiviti dakwah bagi menjamin keberkesanan penerangan kepada orang ramai mengenai akidah ahli sunnah wal jamaah.

3. Mengadakan langkah-langkah pengawalan berbentuk pentadbiran seperti, (i) mengelaurkan fatwa dan kenyataan berhubung ajaran sesat, (2) menyediakan garis panduan untuk guru agama dan pendakwah, dan (3) mengadakan langkah pemulihan kepada guru dan pengkut ajaran sesat.

4. Pengharaman bahan-bahan percetakan, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan bercetak yang mengandungi ajaran-ajaran sesat kepada orang ramai.

5. Pengharaman melalui undang-undang dan peraturan terhadap penyebaran dan pengamalan ajaran sesat.

6. Mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian terhadap pengasas, penyebar dan pengikut sesuatu ajaran sesat.

Dalam pada itu, beberapa saranan tertentu telah dikemukakan oleh Drs Haji T. Wahidin Soekarno kepada umat Islam dan pegawai pemerintah bagi menangani penyebaran ajaran sesat.

1. Umat Islam

i. Mereka perlu sentiasa berhati-hati dalam menghadapi pujukan dan pengaruh setiap usaha yang merosakkan iman.

ii. Memberi bantuan seperti memujuk pengikut ajaran sesat untuk kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan seperti biasa.

2. Pengikut ajaran sesat

i. Kembali kepada ajaran agama Islam yang benar untuk mengatur kehidupan seterusnya.

ii. Merujuk pakar agama yang diberi tauliah atau memiliki tahap kelayakan agama yang tinggi dalam setiap perkara yang menimbulkan masalah dan pertanyaan.

3. Pihak berkuasa agama

i. Berusaha mengadakan pendekatan bimbingan dan kaunseling kepada pengikut ajaran sesat.

ii. Mengawasi jangan sampai ajaran sesat berkembang dan membahayakan keselamatan masyarakat dan negara.

Kesimpulan

Ajaran sesat merupakan salah satu daripada penyelewengan sosial yang banyak diperkatakan sepanjang masa. Walaupun tidak nampak kesan kritikal seperti pelacuran, dadah atau merempit tetapi ia juga perlu diberi perhatian kerana melibatkan akidah umat Islam. Masalah ajaran sesat memberi impak yang besar kepada masyarakat kerana dengan berlaku penyelewengan akidah akan menyebabkan individu berkenaan membuat tanggapan yang salah terhadap ajaran agama Islam. Selain itu ia juga boleh membawa kepada punca masalah yang lebih besar seperti eksploitasi seks, penipuan atau pemerasan. Tindakan tegas mesti dilakukan oleh pihak berkuasa agama untuk membendung ajaran sesat daripada sampai ke tengah masyarakat. Dalam pada itu jangan pula ada pihak yang menyokong dan memberi ruang kepada individu untuk menyebarkan ajaran sesatnya.

No comments:

Post a Comment