Wednesday, April 25, 2007

Mendidik pelajar dengan portfolio

Kurikulum pendidikan sedia ada lebih menjurus kepada orientasi peperiksaan wajar dinilai kembali kerana tidak melahirkan pelajar yang berfikir. Peperiksaan umum seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi sasaran pelajar untuk mendapat A penuh dalam semua mata pelajaran. Kaedah ini menjadikan pelajar di Malaysia beranggapan mendapat A adalah tanda aras kepada kehebatan ilmu yang dimiliki.

Pendidikan adalah proses yang dinamik. Mendidik bererti mengubah. Perubahan sentiasa berlaku dari semasa ke semasa kerana kepintaran, keperluan dan inovasi pembangunan manusia mewujudkan trend yang mengalakkan kerana terdapatnya penyelidikan dan pembangunan dalam bidang psikologi, sosial, teknologi, budaya dan sejarah pendidikan itu sendiri. Dalam filem Pendekar Bujang Lapok, P.Ramlee dan rakan-rakannya belajar di sebuah sekolah orang dewasa kerana mereka buta huruf. Ketiga-tiganya tidak sempat menamatkan pelajaran masing-masing sebelum itu kerana guru telah meninggal dunia. Yang menarik ialah semangat untuk belajar nampak berkobar-kobar tetapi belajar di usia tua umpama "mengunyah daging yang liat," susah untuk mengingat. Hari ini, tidak ada lagi orang-orang tua yang belajar menulis dan membaca di sekolah. Cuma belajar mengaji al-quran di masjid dan surau.

Pendidikan berbeza daripada proses sosialisasi yang lain kerana melibatkan perundingan, dilaksanakan melalui struktur organisasi yang formal dan mempunyai tanda aras tertentu. Ada juga yang berpendapat, pendidikan dalam bilik darjah seharusnya selari dengan cara berfikir masyarakat supaya kemahiran pembelajaran dapat menjana pendidikan masyarakat dari generasi ke generasi.

Kita lebih cenderung untuk melihat pendidikan sebagai satu kaedah bagi menyediakan kanak-kanak menjadi orang dewasa, kehidupan yang sambung-menyambung. Justeru, pendidikan dianggap sebagai pembelajaran akademik dan sekolah tidak begitu prihatin dengan didikan moral dan akhlak. Keutamaan diberikan kepada mendapat seberapa banyak A dalam peperiksaan membuat pelajar sibuk menghafal dan mengulangkaji. Pihak sekolah dan guru akan bertanding sesama sendiri untuk melihat siapa yang lebih handal melahirkan pelajar yang mendapat A.

Beberapa pembaharuan dilakukan untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia seperti pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, pengajaran j-Qaf di sekolah rendah, sekolah kluster, 20 buah universiti dan empat daripadanya adalah universiti penyelidikan, sekolah rendah mendapat guru ijazah dan sekolah bestari di seluruh negara. Usaha-usaha ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab pendidikan utama di rantau ini.

Apabila Timbalan Perdana Menteri memberi pandangan bahawa pendidikan sekarang hanya melahirkan pelajar yang menghafal dan tidak berfikir, tentulah ada kepincangan dalam pelaksanaan kurikulum pendidikan. Setelah 50 tahun merdeka, sistem pendidikan masih gagal mencari formula untuk membentuk kurikulum bagi mempastikan setiap pelajar dapat berfikir dengan bebas. Apa untungnya negara jika mempunyai pelajar yang berfikir? Apakah untuk mengelakkan tumpuan berlebihan terhadap peperiksaan dan menggalakkan pusat tuisyen?

Mendidik adalah membuat perubahan. Daripada tidak tahu kepada tahu, daripada tidak faham kepada faham dan daripada takut kepada berani. Perubahan harus meliputi tiga elemen iaitu pengetahuan, sikap dan kemahiran. Sistem pendidikan sedia ada merangkumi ketiga-tiga elemen ini. Barangkali kita perlu melihat dari sudut yang berbeza. Terdapat pengurangan dalam melaksanakan pengajaran yang mengabaikan perkembangan kognitif. Mungkin juga pendidikan tidak mengajar pelajar langkah demi langkah untuk merancang, mengurus dan melaksanakan program atau aktiviti pembelajaran mereka. Seterusnya penekanan terhadap aspek menilai sangat kurang diberi perhatian.

Pendidikan sentiasa diperkenalkan dalam pelbagai bentuk atau kaedah pembelajaran yang menarik dan berkesan. Salah satu daripadanya dikenali sebagai portfolio. Pada tahun 1992, Arter dan Spandel menjangkakan istilah portfolio akan menjadi perkataan yang popular. Bagaimanapun, penggunaan ia tidak begitu jelas dari segi maksud atau bayangan tertentu khususnya apabila digunakan dalam konteks penilaian portfolio. Lalu kedua-duanya memberikan definisi berikut;

"... a purposeful collection of student work that tells the story of the student's efforts, progress or achievement in (a) given area (s). This collection must include student participation in selection of portfolio content, the guidelines for selection, the criteria for judging merit, and evidence of student self-reflection."

Definisi ini menerangkan perkembangan semula jadi dalam proses penilaian dan menekankan penglibatan aktif pelajar tentang apa yang mereka tahu dan boleh buat. Dimensi lain ialah penghargaan ke atas tujuan pelajar menilai kembali proses pembelajaran mereka untuk melengkapkan tugasan dan menyepadukan penilaian dengan pengajaran dan pembelajaran.

Portfolio biasanya digunakan oleh artis dalam persembahan mereka dan trend ini semakin popular di sekolah, universiti dan institusi pengajian tinggi di Barat. Di Malaysia, kaedah ini boleh diperkenalkan kepada pelajar kerana mampu melatih diri mereka untuk menilai prestasi diri sendiri dalam pembelajaran. Menyediakan portfolio adalah menyediakan perkembangan dan kemajuan diri. Apabila pelajar merasai kejujuran adalah lebih penting daripada pengetahuan dan kepakaran, mereka menjadi seorang yang mencari-cari kesalahan. Tetapi jika mereka itu dinilai dan dihargai, seterusnya diajar tentang kejujuran, mereka akan berasa lebih positif terhadap pelajaran. Antara kelebihan membina portfolio ialah :

• Portfolio memperkasa pelajar dengan mengalakkan amalan menilai iaitu mengkritik dan memberi maklum balas kepada keputusan-keputusan itu.

• Portfolio menggalakkan pelajar memberi tumpuan kepada kekuatan diri.

• Portfolio memberi ruang kepada pelajar untuk meningkatkan bidang-bidang kemahiran dan perkembangan diri.

• Portfolio menggabungkan semua aspek pembelajaran dengan melihat pelajar sebagai lengkap-melengkapi dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

• Portfolio menawarkan kepelbagaian (sumber untuk menjana kreativiti).

• Portfolio memberi galakan kepada pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif dalam menilai diri.

• Portfolio memberi pendekatan baru bagi menilai kemajuan pelajar.

Bagi seorang guru dan pelajar, keperluan untuk belajar dan membina motivasi dan keyakinan adalah satu keutamaan. Portfolio dapat membantu pelajar memberi fokus untuk melihat kembali hasil kerja, refleksi, penetapan sasaran dan membuat tindakan. Bukti-bukti kemajuan dan pencapaian diuruskan dengan sempurna dapat menggambarkan keseluruhan prestasi kemajuan pelajar.

Kunci kepada perkembangan portfolio ialah :

1. Proses pembelajaran

Portfolio menekankan penilaian diri, perbincangan yang bermakna dan pemikiran serta amalan menilai diri. Perkembangan boleh dilihat dari setiap peringkat berpusatkan pembelajaran dan penilaian pelajar.

2. Prinsip

Melibatkan pelajar dalam proses penilaian membuat mereka merasakan penilaian diri adalah penting kerana menunjukkan apa yang telah dipelajari dan bagaimana ianya telah dicapai dan memberi mesej apa sebenarnya yang dinilai dalam pencapaian.

Di samping itu pelajar dikehendaki untuk menumpukan perhatian ke atas pembelajaran mereka dan memasukkan contoh-contoh kerja daripada tugasan yang diberi. Pada masa yang sama, ia mencerminkan strategi dan proses yang digunakan dalam pembelajaran tersebut.

3. Penilaian diri

Perkembangan portfolio menghendaki seseorang untuk memilih daripada koleksi kerja bagi dinilai tahap pencapaiannya mengikut tanda aras yang ditetapkan. Memilih merupakan aktiviti yang mencabar kerana melibatkan proses memikir, memahami piawaian dan membuat kritikan terhadap hasil kerja berasaskan piawaian yang ditetapkan.

Bagaimana membuat portfolio?

1. Carta portfolio

Dalam proses ini, pelajar dibenarkan untuk menggunakan perkataan sendiri dan direkodkan. Menggunakan bahasa orang dewasa akan mengganggu rasa berpunya pelajar berkenaan. Contoh carta portfolio yang baik ialah :

a. Apakah yang disifatkan sebagai pembaca yang baik?

(Tahun 1)

-pergi ke sekolah
-cikgu beritahu cerita dalam buku sebelum membacanya
-membuat latihan setiap hari
-seseorang yang membaca untuk saya
-baca di sekolah, di rumah dan di perpustakaan
-mesti menjadi pemikir yang baik

b. Apakah yang disifatkan sebagai pembaca yang baik?

(Tahun 4)

-tidak renggang dengan buku
-mata sentiasa pada buku
-tidak membiarkan gangguan semasa membaca
-dapat menceritakan kembali kisah-kisah yang dibaca
-membaca banyak buku
-mencari makna yang tidak diketahui
-memahami apa yang dibaca

Semakin panjang proses pembelajaran yang dilalui, pelajar bertambah matang dan lebih bijak. Di penghujung pengajian, pelajar boleh menilai sendiri kefahaman mereka mengenai sesuatu topik dengan menambah atau mengurangkan ayat-ayat sebelum itu.

2. Mencontohi proses pemilihan

Proses menilai diri adalah pengalaman baru bagi kebanyakan pelajar. Sesetengah pelajar yang pintar dapat menilai hasil kerja mereka dengan amat baik. Umpamanya, ulasan "sangat menarik," "ejaan betul" dan "bersih" dapat diberikan oleh pelajar ke atas kerjanya sendiri. Pelajar sebegini boleh diambil hasil kerja mereka sebagai contoh kepada pelajar-pelajar yang lain supaya dapat menepati tanda aras portfolio diri. Penilaian diri akan bertambah baik dari semasa ke semasa sehinggalah pelajar dapat menguasainya dengan baik.

3. Imbasan ke atas penilaian diri

Penilaian diri adalah nadi kepada portfolio. Kemahiran membuat penilaian mengandungi tiga komponen iaitu :

a. Saya memilih yang ini kerana ...
b. Saya telah belajar mengenai ...
c. Matlamat saya ialah ...

Ulasan daripada pelajar sendiri menjadikan penilaian lebih berkesan untuk perubahan. Mereka melatih diri untuk melakukan kerja, menyiapkannya dan memberi maklum balas ke atas hasil kerja. Konsep ini dipanggil kaizen dalam organisasi di Jepun kerana ia menggalakkan penambahbaikan ke atas hasil kerja sendiri.

Memperkenalkan penilaian diri melalui portfolio adalah sangat menguntungkan. Apabila kita melihat para pelajar menjadi aktif dalam pembelajaran mereka sendiri, barulah disedari yang aktiviti ini memberi ruang kepada aspek yang signifikan dalam kitaran pembelajaran mereka. Apabila pelajar berasakan mereka diperkasa, mereka akan menukar pandangan dan sikap terhadap pendidikan. Portfolio dapat memberi kesedaran kepada pelajar mengenai hasil kerja, langkah-langkah untuk menyempurnakan kerja dan menghargai diri mereka sendiri.

Ia juga mendedahkan tahap berfikir pelajar dan guru boleh mengenal pasti aspek yang perlu ditingkatkan bagi membina kemahiran-kemahiran berfikir yang seterusnya. Mungkin satu masa nanti kita tidak perlu lagi kepada penilaian umum melalui peperiksaan tetapi cukup dengan penilaian diri daripada portfolio.


Rujukan

Arter, J.A dan Spandel, V.1992. Using Portfolios of Student Work in Instruction and Assessment, Educational Measurement : Issues and Practice, Spring , pp 36-44.

Beth Schipper dan Joanne Rossi.1997. Portfolio in the classroom : Tools for learning and instruction. York, Maine : Stenhouse Publishers.


Hebert, E. A.2001. The Power of Portfolios. San Francisco, CA : John Wiley & Sons, Inc.

Val Klenowski.2002. Developing Portfolios for Learning and Assessment. London : Routledge Falmer.

Monday, April 23, 2007

Forbes great success stories

Penulis : Alan Farnham
Tahun : 2000
Penerbit : John Wiley & Sons, Inc. New York
Muka surat : 271

Larry Ellison, Ron Popeil, Tom Monaghan. Di belakang setiap kisah kejayaan menyerlahkan peranan seorang hero yang bangkit kembali daripada kegagalan, kekecewaan dan kehancuran sebelum muncul kembali dengan kemenangan dan kekayaan. Kisah-kisah kejayaan dalam buku ini mengesahkan bahawa kejayaan akan lebih manis bagi kali kedua. Dua belas lelaki dan wanita yang dimuatkan dalam buku ini telah pun mencapai impian mereka setelah mengalami berbaga-bagai cabaran – muflis, bencana, penyakit, prasangka kaum dan dipenjarakan. Berjuang bagi menghadapi semua keadaan, mereka bukan sekadar membina semangat daya juang yang tinggi malah bangkit kembali untuk mendapatkan kedudukan mereka yang hilang.

Donald Trump, pengerusi Trump Organization, penulis buku Trump : The Art of the Deal (1988), bukan sahaja menjadi buku perniagaan yang paling laris sepanjang zaman malah sebaris dengan Bonfire of the Vanities sebagai buku paling laris pada 1988. Kegigihan Trump terletak pada kata-kata, "Fight back. Always fight back until you win."

Salah seorang daripada usahawan yang berjaya ialah Ruth Handler, pengasas Mattel dan pencipta anak patung Barbie, telah hilang syarikatnya dan keyakinannya juga merosot kerana mendapat barah payudara. Dia berusaha untuk bangkit kembali dengan menubuhkan syarikat yang mengeluarkan payudara palsu. Begitu juga kegigihan pemilik kilang kapas yang memimpin syarikatnya menjadi kaya-raya ketika perniagaan lain menguncup.

Termasuk dalam senarai ini ialah Tom Monaghan, pengasas Domino's Pizza. Menjadi anak yatim pada usia 4 tahun dan menjadi jutawan pada usia 33 tahun. Bagaimana beliau melakukannya? Dia melihat kejayaan adalah gabungan idealisme, impian dan jati diri. Mulanya bekerja 18 jam sehari dari 10 pagi hingga 4 pagi keesokan hari, mencuci sendiri lantai dapur dan memulakan perniagaan pizza dengan modal $500.00. Pada 1998, Monaghan menjual syarikatnya dengan harga $1 bilion kepada Bain Capital. Dia hidup dengan kekayaan peribadi $900 juta.

Membaca buku ini sangat mengasyikkan. Ia memberi inspirasi kepada pembaca yang ingin berusaha sendiri mencari kekayaan. Lapan belas tahun yang lalu, senarai Forbes didominasi oleh kekayaan minyak dan hartanah. Hari ini, kekayaan didapati dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi.

Dua belas orang yang disenaraikan dalam buku ini ialah Aaron Feuerstein (Malden Mills), Tom Monaghan (Domino's Pizza), Larry Ellison (Oracle), Ruth Handler (Mattel Toys), Ron Popeil (Ranco), Emma Chappell (United Bank of Philadelphia), Donald Trump (Trump Organization), Don King (Don King Productions), Bruton Smith (Charlotte Motor Speedway), Earl Stafford (Universal Systems & Technology), Jim Stovall (Narrative Television Network) dan Kevin Maxwell (Telemonde, Maxwell Communications).

Ulasan Editor : Dua puluh tahun yang lalu, ramai jutawan mengecap satu juta yang pertama pada usia 30-an. Mereka bertungkus-lumus mencari kekayaan dengan pelbagai cara dan menyimpan wang yang diperolehi. Usaha mereka mengambil masa yang lama. Hari ini, jutawan segera lahir ketika usia 20-an. Kepintaran akal digabung dengan teknologi maklumat dan komunikasi melahirkan ribuan jutawan pada masa akan datang. Siapakah yang bakal menjadi jutawan muda Malaysia yang seterusnya?

Sunday, April 22, 2007

Pilihan raya kecil di Ijok: Kepintaran merangka strategi

Meninjau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Ijok, memperlihatkan kempen habis-habisan Barisan Nasional dan Barisan Alternatif. Bermula dari simpang tiga Puncak Alam ke Ijok, poster Barisan Nasional mencacak tinggi, ramai petugas berkumpul di kawasan lapang tepi jalan menandakan kesediaan mereka untuk menentang calon pembangkang. Dari situ, ladang kelapa sawit di sebelah kanan mencacak bendera dan poster Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jalan raya juga diturap dengan tar baru dan masih melekit pada tayar kereta dan motosikal. Sebelum memasuki pekan Ijok, terdapat kawasan di hujung kolam sebuah tembok konkrit yang bertulis, "Persatuan Khairat Kematian…" iaitu kawasan pembakaran mayat masyarakat India. Memasuki pekan Ijok, di kiri dan kanan dipenuhi dengan bendera dan poster serta kain rentang kedua-dua belah pihak. Barisan Nasional menggunakan kaedah rumah negeri bagi setiap kawasan tumpuan mereka seperti Rumah Terengganu, Rumah Perlis dan Rumah Negeri Sembilan.

Kawasan letak kereta di masjid utama pekan Ijok hari ini ditar penuh dan siap dalam masa satu hari. Berhempas pulas pekerja kontrak menyiapkan kerja mereka. Kawasan pasar malam juga turut ditar dengan jalan baru. Kawasan kampung yang sedikit ke dalam kawasan ladang kelapa sawit dan kebun getah juga ditar penuh. Kampung Bukit Badong juga riuh dengan jentera parti kedua-dua pihak. Nampak jelas pilihan raya ini memberi kemudahan pengangkutan kepada penduduk Ijok.

Di jalan raya, kereta bernombor pendaftaran dari seluruh negara menjalar menerobos segenap ceruk Ijok. Kawasan pekan Ijok tidak terdapat ramai penduduk kerana kebanyakan kawasan di sini adalah ladang pertanian. Ladang estet kelapa sawit di kiri dan kanan menghalang mata pengunjung daripada melihat betapa ramai penduduk Ijok di kawasan luar bandar hatta ke ceruk kampung. Cina ramai di bandar, India di estet dan Melayu di kampung, komposisi yang sentiasa ada di mana-mana. Justeru, tidak ramai muka Melayu dan India di pekan Ijok kerana mereka hanya keluar apabila ada keperluan.

Singgah di gerai tepi jalan untuk merasai "cendol pulut Ijok" memang menyegarkan badan tetapi tidak dapat menandingi "Joe cendol pulut" di Hosba, Kedah. Namun tumpuan ramai orang ialah di sini. Kenderaan yang berhenti tidak pernah putus walaupun hanya ada sedozen meja kecil. Semangkuk kecil harganya RM1.50 dan sehari dijangka 300 orang yang menikmati cendol pulut ini. Daripada kanak-kanak hinggalah orang tua datang silih berganti.

Pekan Ijok tidak besar. Di sebelah kiri terdapat dua deret bangunan baru dan sebuah stesyen minyak BHPetrol yang belum beroperasi. Tumpuan pembangunan ialah di sebelah kanan. Di sini terdapat sebuah masjid, sekolah agama, stesyen minyak Petronas, hentian bas dan kedai makan. Restoran tumpuan ketika ini ialah Restoran Fadzullah Khan yang menjadi tempat pertemuan dan melepaskan tekanan peraih undi. Di kiri dan kanan restoran ini diletakkan pelbagai jenis kenderaan dari Kancil hinggalah BMW 3 siri. Di belakang restoran pula, Barisan Nasional menjadikan sebuah rumah sebagai bilik gerakan.

Senario pilihan raya di Ijok memperlihatkan pertembungan sokongan kepada parti dan calon. Di Kampung Bukit Badong, sebelah rumah dipacak dengan bendera Barisan Nasional dan di sebelah rumah lagi dipacak dengan bendera PKR. Dari segi bendera, poster dan kain rentang, Barisan Nasional lebih meriah dan tanda jelas kesungguhan mereka untuk mempertahankan kemenangan yang dicapai sebelum ini. PKR yang dibantu oleh markas Parti Islam seMalaysia (PAS) lebih menonjol di kawasan Melayu berbanding India dan Cina. Peraih undi dari Malaysia Chinese Association Party (MCA) juga dilihat merayau-rayau di sekitar kawasan pasar malam Ijok, bertemu orang ramai dan peniaga. Indian Progressive Front (IPF), parti bukan komponen Barisan Nasional turut menyatakan sokongan kepada calon Barisan Nasional melalui sebuah papan tanda yang dilekatkan pada sebatang pokok di pekan Ijok. Lambang roket tidak pula kelihatan. Dari segi tarikan poster dan kain rentang, PKR lebih menyerlah walaupun sedikit. Warna-warni gambar calon dan latar belakang yang tertera menenggelamkan seketika warna biru-putih Barisan Nasional.

Keselamatan pilihan raya terletak di atas tanggungjawab pihak polis. Justeru, kawalan masuk dan keluar jalan utama di Ijok telah diperketatkan. Setiap kenderaan diperiksa dengan teliti oleh pasukan polis yang membuat persediaan dan pemantauan 24 jam. Kejayaan pasukan polis mengawal keadaan sentiasa diperhati kerana pilihan raya yang matang adalah harapan semua pihak. Kereta ronda polis lebih kerap dilihat menjalar di jalan raya selang lima minit. Keadaan ini jelas memperlihatkan kesungguhan pasukan polis dari semua peringkat untuk memastikan keadaan terkawal.

Instrumen yang diguna pakai oleh PKR bagi memaklumkan isu-isu pilihan raya ialah melalui ceramah umum. Berbanding meraih undi yang dijalankan oleh semua parti komponen Barisan Nasional, PKR tidak mempunyai banyak saluran untuk menggerakkan jentera pilihan raya mereka. Tetapi mereka harus berani untuk bersaing kerana pemilih pada hari ini semakin bijak. Barisan Nasional juga tidak duduk diam dan tidak mengharapkan bantuan media massa dan elektronik. Petugas mereka juga bekerja keras. Umpamanya di sebuah ladang estet, sekonvoi pick-up yang membawa bendera Barisan Nasional menziarahi kelompok kecil pekerja ladang keturunan India yang sedang bersembahyang di sebuah kuil yang dhaif. Kedatangan mereka disambut baik sambil mengedarkan profil calon parti. Konvoi ini bekerja di bawah panas terik matahari tanpa jemu dan rasa letih. Di sini, prestasi kerja petugas Barisan Nasional lebih menyerlah berbanding Barisan Alternatif walaupun ada sekali-sekala kereta petugas PKR menderu di pekan Ijok. Sementara Wanita UMNO berkumpul di markas yang dihias indah, Wanita PKR nampak sedikit muram di markas mereka. Mungkin strategi bekerja berbeza-beza.

Memenangi pilihan raya adalah impian semua calon. Wakil DUN ini akan mewakili kawasan tersebut untuk menyampaikan apa juga keperluan penduduk. Calon tidak boleh diharap pada personaliti dan populariti tetapi ditambah lagi dengan kepintaran, integriti dan pengalaman. Parti yang mendokong aspirasi penduduk dan pemilih akan dipilih. Kebijaksanaan memilih ADUN Ijok N11 terletak di tangan pemilih berdaftar Ijok.

Wednesday, April 18, 2007

Konflik rumah tangga: punca dan strategi penyelesaian




Konflik adalah bahagian yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan berkeluarga (Patricia Noller dan Mary Anne Fitzpatrick,1993). Apakah konflik dalam keluarga? Konflik berlaku apabila terdapat ahli-ahli keluarga yang tidak bersetuju mengenai sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Antaranya ialah siapa yang patut melakukan tugas tertentu, bagaimana sumber digunakan secara bersama ataupun bagaimana keputusan harus dibuat. Perbezaan-perbezaan ini memberi kesan ke atas seluruh atau sebahagian ahli-ahli keluarga.

Kebahagiaan dalam keluarga adalah tanggungjawab semua ahli khususnya ibu dan ayah. Ayah atau suami khususnya, harus mempunyai peribadi yang baik, bertanggungjawab dan matang supaya penelitian yang saksama, adil dan berhati-hati dapat dilaksanakan dalam keluarga (Nina Kirana,1992). Kasih-sayang, mencintai dan keinginan terhadap satu sama lain telah dinyatakan dengan jelas dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud ;

"Bahawa Dia menjadikan kamu dari jenis kamu jodoh-jodoh dan kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia jadikan di antara kamu percintaan dan kasih-sayang, sesungguhnya tentang itu, ada tanda ayat-ayat bagi kamu yang mahu berfikir."


Istilah yang seringkali dikaitkan dengan keluarga ialah "kebahagiaan." Kebahagiaan melambangkan sesuatu yang indah dan menyeronokkan. Kehidupan yang bahagia memungkinkan seseorang itu berupaya menikmati kemanisan hidup yang begitu berharga di sepanjang hidup di dunia (Hasan Mohd Ali, 1994). Kehidupan berkeluarga bererti berinteraksi, berkomunikasi dan berhubung menggunakan tubuh badan, fikiran, emosi dan suara hati. Akal, perasaan dan emosi biasanya menjadi bibit-bibit awal kepada konflik yang merumitkan hubungan kekeluargaan. Akhirnya isu-isu yang kecil menjadikan ahli keluarga "berperang besar" kerana perselisihan faham disebabkan masing-masing menyalahkan satu sama lain di atas kegagalan menguruskan rumah tangga.

Antara punca konflik yang timbul dan meruncing dalam keluarga ialah
:

1. Kurang kefahaman terhadap tanggungjawab sebagai suami/ayah dan isteri/ ibu dan anak

Tanggungjawab sebagai suami/ayah, isteri/ibu dan anak adalah mengikut saranan agama, tradisi masyarakat dan peranan-peranan baru yang dipelajari melalui pendidikan formal dan tidak formal. Pendedahan terhadap tanggungjawab ini memerlukan usaha yang berterusan kerana masyarakat masih percaya bahawa apabila berkahwin, telah cukup sempurna kedua-dua mempelai untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Ada sesetengah pandangan yang jahil tentang tanggungjawabnya, ada yang tahu secara samar-samar dan ada yang tahu tetapi tidak mahu mengamalkannya kerana tidak peduli.

2. Kurang bijak menguruskan masa

Hidup berkeluarga dalam masyarakat yang bekerja, perkara yang menjadi keutamaan ialah bijak menguruskan masa lebih-lebih lagi masa yang berkualiti. Ibu bapa yang kurang mahir menguruskan masa bersama keluarga akan mengalami kerugian besar. Kemesraan, interaksi dan sentuhan fizikal yang berkurangan akan menghilangkan kasih-sayang, akhirnya anak-anak akan lebih rapat dengan penjaga.

3. Ekonomi keluarga yang kurang mantap

Kos hidup yang semakin meningkat membuatkan pasangan keluarga mengehadkan perbelanjaan. Pembelian ke atas barangan yang tidak perlu hanya akan mengurangkan pendapatan keluarga dan menjadikan krisis kewangan lebih rumit. Faktor wang kadangkala menyebabkan pergaduhan di antara suami dan isteri yang menggugat kebahagiaan keluarga. Keluarga yang tidak mempunyai asas perancangan kewangan akan mengalami masalah menguruskan kewangan masing-masing terutama jika pendapatan isi rumah sangat kecil dan terhad.

4. Mengabaikan pendidikan agama

Kebahagiaan keluarga terletak pada banyak faktor dan yang paling utama ialah beragama. Awal kepada agama ialah mengenal Tuhan (akidah). Mendidik keluarga kepada Tuhan pada hakikatnya ialah usaha menanam keyakinan bahawa hidup adalah untuk mendapat keredhaan Allah swt. Instrumen yang diguna pakai ialah mengerjakan solat lima kali sehari dan yang terbaik ialah berjemaah. Pengabaian amalan agama membentuk keluarga yang pincang, resah, mudah bergelora dan kesan jangka masa panjang yang negatif kepada ibu bapa.

5. Campur tangan keluarga

Perbezaan keturunan (miskin-kaya) pada sesuatu pasangan akan menjadi masalah apabila ianya menjadi fitnah dan batu api. Di pihak yang miskin, ia menimbulkan rasa malu dan rendah diri. Akhirnya tentulah ia akan jauh hati dan enggan bercampur-gaul dengan masyarakat. Manakala bagi yang kaya pula, ia turut berasa malu dan menganggap dirinya diketepikan dalam keluarga. Bagi menghilangkan rasa malu, penceraian adalah jalan keluar yang terbaik. Perbezaan status adalah lumrah dalam masyarakat hari ini dan mengundang fitnah khususnya apabila melibatkan harta atau kekayaan. Ahli keluarga yang iri hati akan mempastikan kedua-dua pihak bersengketa dan akan berasa puas setelah penceraian berlaku.

6. Kahwin paksa

Keluarga yang melihat hubungan saudara lebih penting daripada perasaan sayang di antara anak dan pasangannya akan memaksa si anak untuk menerima pilihan mereka. Ibu bapa yang memaksa pilihan mereka ini tidak memahami bahawa anak-anak sekarang sangat terdedah kepada pelbagai rupa bentuk manusia – di pejabat, tempat perniagaan, kenalan dan kawasan perumahan. Anak-anak yang berkahwin paksa pada zahirnya nampak bahagia tetapi batin mereka terseksa kerana tidak punya rasa kasih dan sayang.

7. Perubahan hidup

Kenaikan pangkat bererti gaji dan elaun akan naik. Status hidup juga bertambah baik. Keadaan sesebuah keluarga akan lebih malang jika perubahan kerjaya ini membawa sekali perubahan pemikiran, emosi dan tingkah laku seperti anggapan tidak setaraf, membeli jenama pakaian yang mahal dan melihat pengorbanan pasangan sebagai tidak ada harga. Malah ada yang mengambil kesempatan perubahan hidup bererti mengubah pasangan. Justeru itu, wujudlah orang ketiga yang mengganggu ketenteraman hidup keluarga sedia ada.

Potensi untuk konflik yang lebih besar dalam keluarga moden hari ini disebabkan kekurangan persetujuan tersirat berkenaan peranan gender, desakan untuk peranan yang lebih fleksibel dan boleh ditukar ganti serta harapan perubahan untuk melihat bagaimana keluarga harus membuat sesuatu keputusan. Dalam keluarga, sebarang isu boleh bertukar menjadi konflik. Sebuah keluarga boleh bergaduh mengenai isu yang bersifat tunggal, jelas ataupun yang melibatkan hubungan seperti kuasa, kasih-sayang dan autonomi pasangan.

"Dan terimalah pesanku untuk berbuat kebajikan kepada wanita-wanita kerana mereka itu dijadikan dari tulang rusuk yang paling bengkok iaitu yang paling atas. Jika kamu hendak luruskan nescaya kamu patahkan dia, jika kamu biarkan dia, tetaplah dia bengkok kerana itu terimalah pesanku untuk berbuat baik kepada wanita." (Hadis muttafa'alaihi dari Imam Bukhari).


Kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957 membawa keuntungan kepada umat Islam antara lain disebabkan Islam dijadikan sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan. Kesempatan terbuka luas untuk pembinaan kaedah dan nilai-nilai perkahwinan yang sebelum itu tenggelam atau tertutup oleh konsep adat (Zaleha Kamaruddin,1997). Keluarga adalah asas kepada masyarakat dan negara. Institusi kekeluargaan harus ditadbir dengan baik kerana keluarga yang mantap dan stabil dapat menyumbang kepada keharmonian negara. Kadar jenayah yang meningkat, remaja yang rosak akhlak dan ibu bapa yang lalai akan menjadi bahan sejarah jika keluarga sedia ada dapat berfikiran terbuka bagi mencari ilmu dan kemahiran untuk menguruskan kecemerlangan keluarga masing-masing.

Keluarga bermula dengan perkahwinan di antara lelaki dan perempuan membentuk perkongsian hidup untuk beberapa tujuan seperti memenuhi kehendak naluri semula jadi, membina rumah tangga dan menambah umat (Noralina Omar dan Amaludin Ab. Rahman, 2007). Keutuhan perkahwinan menentukan keutuhan keluarga. Masalah yang dihadapi dalam sesebuah perkahwinan akan mengundang konflik keluarga yang sangat berpengaruh. Konflik adalah rencah hidup yang tidak dapat dielakkan dan akan terus wujud dalam keluarga. Namun begitu bilangan konflik yang banyak bukan satu yang penting kerana cara penyelesaian dan kaedah bagi menangani konflik adalah resepi untuk menamatkan konflik yang dihadapi.

Punca konflik dalam keluarga adalah akibat salah faham dalam pelbagai perkara sama ada isu berkenaan remeh atau serius. Suami berkonflik dengan isteri, ayah berkonflik dengan anak dan ibu juga berkonflik dengan anak malah anak-anak turut berkonflik sesama sendiri.


Bagi menghadapi konflik keluarga, sumber kepada konflik berkenaan harus dikaji dan diteliti supaya strategi yang diguna pakai dapat mengurangkan konflik tersebut. Memilih strategi yang bersesuaian dengan mengambil kira siapa, apa, di mana dan kenapa dapat merapatkan jurang di antara punca konflik dan kaedah penyelesaian. Antara strategi yang berkesan untuk mengatasi konflik keluarga ialah :

1. Mendengar

Tuhan memberi dua telinga supaya manusia dapat mengimbangkan pendengarannya. Seimbang di sini bermaksud dapat menilai baik dan buruk sesuatu isu sebelum membuat keputusan. Kemahiran mendengar adalah kaedah mudah untuk mengawal emosi dan menurunkan perasaan marah yang meluap-luap. Bagi kanak-kanak atau remaja, ibu bapa harus mendidik mereka untuk mendengar biar apa pun yang berlaku supaya proses mendengar itu menjadi kebiasaan. Keajaiban mendengar ialah menurunkan perasaan orang yang sedang marah dan membina kembali hubungan yang lebih produktif.

2. Memujuk

Memujuk memerlukan kemahiran diplomasi yang sangat tinggi. Matlamat membina keluarga dari segi emosi ialah menyuburkan kasih-sayang sesama ahli keluarga. Konflik yang muncul memerlukan satu pihak untuk melihat kehadapan apakah yang perlu dilakukan tanpa menjejaskan prasangka buruk dan meninggalkan keserabutan. Menggunakan pujukan bagi menyelesaikan konflik bermaksud menggunakan fikiran, bukannya tangan atau kaki. Elemen memujuk termasuk lenggok bahasa, pernyataan emosi dan perlakuan membantu ke arah mengurangkan ketegangan. Kaedah memujuk yang terbaik adalah berdialog (Sherman, J.R, 1987). Tidak perlu untuk menggesa orang lain menghabiskan percakapan kerana lambat-laun ia akan memberitahu apa yang difikirkannya.

3. Melibatkan orang tengah

Penglibatan orang tengah atau mediator atau orang ketiga kadangkala dapat membantu menguruskan konflik keluarga dengan lebih cepat dan berkesan. Jika diambil satu kes pergelutan rumah tangga melibatkan penjagaan ibu bapa yang sudah tua. Suami atau isteri lebih rela ibu bapa mereka dijaga oleh orang lain dan membayar sahaja upah berkenaan kerana terikat dengan komitmen kerja, persekolahan anak-anak dan tidak mahu berpindah rumah. Kecetekan pengalaman dalam hal ini mungkin menimbulkan keadaan tuduh-menuduh dan prasangka. Orang tengah seperti saudara-mara atau rakan-rakan yang lebih berpengalaman dapat membantu meredakan keadaan dengan menjelaskan pendekatan terbaik untuk menjaga ibu bapa yang telah lanjut usia. Ciri utama yang harus dikenal pasti ialah orang ketiga ini boleh mengambil sikap berkecuali dan tidak mengambil kesempatan mengadu domba kedua-dua pihak.

4. Mengutamakan yang utama

Konflik adalah satu lumrah dan menjadi sebahagian daripada kehidupan, berkongsi pendapat, perspektif dan matlamat. Keadaan akan bertambah rumit apabila ibu, bapa dan anak mempunyai personaliti berbeza-beza. Stephen R. Covey (1998) dalam bukunya Utamakan Yang Utama, memberikan panduan untuk menambah ruangan antara rangsangan dan respon serta kuasa untuk bertindak. Beliau memberi tips untuk menambah ruangan yang positif tersebut dengan katanya "dengar tanpa alasan." Panduan ini dapat mengubah paradigma orang yang berkonflik untuk mendengar dan membuat sisihan bagi meletakkan keutamaan ke atas isu yang menjadi pertikaian. Beliau mengulangi sekali lagi kepentingan paradigma ini di dalam buku terbaru, "Tabiat Ke8 : Daripada Keberkesanan Kepada Keagungan" iaitu : "Jika anda ingin melakukan perubahan yang meningkat dan penambahbaikan secara kecil-kecilan, beri tumpuan kepada amalan, tingkah laku ataupun sikap. Tetapi jika anda ingin melakukan penambahbaikan yang signifikan dan amat besar, beri tumpuan kepada paradigma."


5. Khidmat nasihat yang profesional

Kedangkalan menguraikan konflik rumah tangga mengundang para pakar yang mahir seperti kaunselor dan ahli psikologi untuk memberi panduan bagi mengendurkan konflik yang dihadapi. Jika isu yang melibatkan kedua-dua pihak atau terdapat pihak ketiga seperti perebutan harta pusaka atau anak, khidmat pakar dapat diguna pakai sebagai sebahagian daripada penyelesaian.

Namun begitu, khidmat nasihat mempunyai dua cabaran utama iaitu kos yang perlu dibayar dan jangka masa penyelesaian yang tidak ditetapkan. Kedua-dua cabaran ini kadangkala mengundang proses perundangan yang lebih lama dan merumitkan serta melibatkan ramai orang. Kewajaran mendapatkan khidmat pakar lebih menguntungkan kerana masing-masing meletakkan kepakaran sebagai sandaran dan lebih mudah menerima keputusan.

6. Menyenarai setiap ruang yang boleh bagi mendapatkan bantuan

Kesedaran masyarakat terhadap penyelesaian konflik keluarga memaksa agensi kerajaan mempelbagaikan jenis bantuan. Sekitar tahun 1990-an yang lalu, kerajaan membentuk Talian Teledera bagi memaklumkan kepada orang ramai jika mereka menghadapi masalah untuk melaporkan kes penderaan kanak-kanak. Hari ini khidmat seperti itu dipelbagaikan kepada kumpulan sasar yang lebih luas seperti ibu tunggal. Konflik rumah tangga yang dihadapi bukan sahaja mengundang bantuan emosi malah bantuan lain berupa kewangan, khidmat nasihat dan harta benda. Bagi kes keluarga yang melibatkan jenayah, Polis Diraja Malaysia menubuhkan Rakan Cop yang dapat bertindak dalam masa empat minit sahaja. Selain itu Lembaga Kaunselor Malaysia turut prihatin dengan meletakkan senarai nama kaunselor berdaftar untuk dihubungi di laman web mereka sebagai satu sumber rujukan.

7. Kaedah penyelesaian secara bekerjasama

Penyelesaian konflik melalui Kaedah Penyelesaian Secara Bekerjasama (KPSB) adalah melalui beberapa tahap (Abdul Rahman Abdul Aziz, 2000). Kaedah ini diperkenalkan oleh Mary Parker Folet yang lebih mengkhususkan kepada konflik yang melibatkan dua orang. Melalui kaedah ini, dua orang yang berkonflik tadi memilih cara yang diterima oleh mereka berdua. Dalam kaedah penyelesaian begini, tidak ada pihak yang kalah kerana kedua-duanya berkompromi untuk kebaikan bersama. Enam langkah untuk menyelesaikan proses ini ialah :

a. Memberi takrifan terhadap masalah dalam rangka keperluan.
b. Percambahan fikiran untuk kemungkinan-kemungkinan penyelesaian.
c. Memilih penyelesaian yang bersesuaian dan menyemak kembali kemungkinan akibat- akibatnya.
d. Rancangkan siapa yang akan melakukan apa, di mana dan bila.
e. Laksanakan perkara yang dirancang.
f. Menilai kembali proses penyelesaian masalah.

8. Sistem S-TLC

Lulofs dan Cahn (2000) dalam buku Conflict: From Theory to Action mencadangkan sistem S-TLC bagi mengurangkan konflik antara perorangan melalui kemahiran komunikasi yang menggalakkan.

S-Stop (Berhenti)
Berhenti apabila menyedari terdapat konflik yang sedang berlaku. Contoh untuk berhenti ialah meminum seteguk air kosong sambil berlegar-legar sebelum memberi maklum balas terhadap isu yang dibincangkan. Kaedah lain ialah mengira dari belakang bermula dengan 100 hingga 0 bagi mengurangkan tekanan.

T-Think (Fikir)
Fikir sebelum bertindak. Elakkan daripada membuat kesimpulan awal kerana banyak perkara harus diberi pertimbangan dan pilihan. Yang sangat utama ialah memikirkan hubungan dengan orang lain yang terlibat. Bijak berfikir adalah penentu kepada kejayaan bagi menyelesaikan konflik.

Listen (Dengar)
Dengar sebelum berkata sesuatu. Kecenderungan kebanyakan orang ialah mempertahankan diri mereka sejurus mendengar kritikan berbanding mendengar terlebih dahulu keseluruhan ucapan orang lain. Dengar apa yang dikatakan dan juga cuba memahami kenapa ia berkata demikian.

Communicate (Berkomunikasi)
Rancang bagaimana untuk bercakap. Walau bagaimanapun pilihan untuk melakukan tindakan kekerasan adalah pilihan terakhir, itu pun sebagai pertahanan diri. Yang paling digalakkan ialah bercakap atau berbual terlebih dahulu tetapi dengan cara yang bukan agresif. Menyatakan fakta dapat membantu mempercepatkan konflik berakhir.

Dalam Sistem S-TLC ini, peringkat T (Fikir) dan L (Dengar) adalah sangat penting kerana ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan ke atas konflik. Kemahiran S-TLC boleh dimulakan dengan isu yang kecil-kecil seperti pertengkaran untuk memilih nama anak kucing atau memilih untuk makan ayam goreng KFC atau McDonald.

Sillars dan rakan-rakan (1983) mencadangkan tiga cara untuk memberi respon kepada konflik iaitu; 1) elak konflik, 2) bergaduh kerana konflik, dan 3) bekerjasama dengan konflik. Elak konflik bererti konflik tidak selesai dan akan muncul kembali. Bergaduh kerana konflik akan membawa kepada perbincangan dalam ketegangan yang menghalang daripada diselesaikan dan membina kesan negatif seperti marah dan membalas dendam yang memusnahkan hubungan. Manakala bekerjasama dengan konflik akan membina kemurnian idea, emosi yang positif dan bersedia mencari penyelesaian. Emosi positif ini akan memimpin hubungan yang lebih erat di kalangan ahli terlibat. Ia juga membina keinginan untuk berkongsi masalah seterusnya mewujudkan suasana tolak ansur dalam membuat keputusan.


Konflik tidak seharusnya difikirkan akan membawa malapetaka dan bencana sebaliknya konflik membawa manfaat. Petikan dari buku Tabiat Ke8 : Daripada Keberkesanan Kepada Keagungan mengenai Gandhi sangat bererti kepada kita.

"Ironinya, sekiranya tidak disebabkan oleh perkauman dan prejudis, kita mungkin tidak akan dapat seorang Gandhi. Dia mungkin hanya menjadi seorang peguam yang berjaya mendapatkan banyak wang. Tetapi disebabkan oleh prejudis di Afrika Selatan, dia telah diaibkan dalam masa seminggu setelah sampainya di sana. Dia telah dihalau turun dari sebuah kereta api disebabkan oleh warna kulitnya, dan itu telah sangat memalukannya sehingga dia duduk semalaman di platform stesen kereta api tersebut memikirkan bagaimana untuk dia mendapat keadilan. Respon pertamanya ialah kemarahan. Dia berasa amat marah sehingga dia inginkan keadilan berbentuk dendam. Dia ingin bertindak secara ganas ke atas orang-orang yang telah memalukannya. Tetapi dia telah menghentikan dirinya dari berfikir begitu dan berkata, "Itu tidak betul." Itu tidak akan mendapatkan dia sebarang keadilan. Ia mungkin membuatkan dia berasa lega buat seketika, tetapi itu tidak akan mendapatkannya sebarang keadilan.

Respon keduanya adalah untuk pulang ke India dan hidup di kalangan kaumnya sendiri dengan penuh kehormatan. 

Pandangan itu juga telah ditolak oleh Ghandi. "Anda tidak boleh lari daripada masalah-masalah. Anda perlu tinggal di sini dan hadapi masalah-masalah tersebut." Dan pada masa itulah respon ketiga muncul kepadanya - respon untuk bertindak secara aman. Dari pada masa itu, dia telah membentuk satu falsafah tentang keamanan dan mempraktikkannya dalam kehidupannya dan pada masa yang sama dalam pencariannya untuk keadilan di Afrika Selatan. Akhirnya dia telah menetap di negara itu selama dua puluh dua tahun, dan kemudian dia telah pergi dan memimpin pergerakan India."


Rujukan

Abdul Rahman Abdul Aziz.2000. Kemahiran Sosial Asas. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Hasan Mohd Ali.1994. Senarai Semak (Checklist) Keluarga Bahagia. Kuala Lumpur: Sabha-DTC Services Sdn. Bhd.

Lulofs, R.S dan Cahn, D.D.2000. Conflict: From Theory to Action. Needham Height, MA: Allyn & Bacon.

Nina Kirana.1992. Identiti Keluarga Bahagia. Ampang, Selangor: Citakhidmat (M) Sdn. Bhd.

Noralina Omar dan Amaludin Ab. Rahman.2007. Hidup Sebumbung Tidur Sebantal. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Patricia Noller dan Mary Anne Fitzpatrick.1993. Communication in Family Relationship. New Jersey, USA: Prentice Hall.

Sherman, J.R.1987. Patience Pay Off. Minnesota, USA: Pathway Books.

Sillars, A.L., Pike, J.R., Redmon, K. & Jones, T.S.1983. Communication and conflict in marriage: One style is not satisfying to all. In R. Bostrom (Ed.), Communication Yearbook. Beverly Hills, CA: Sage.

Stephen R. Covey, Merill, A.R dan Merill, R.R.1998. Utamakan Yang Utama. Petaling Jaya, Selangor: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Stephen R. Covey.2007. Tabiat Ke8 : Daripada Keberkesanan Kepada Keagungan. Kuala Lumpur: Crescent News (KL) Sdn. Bhd.

Zaleha Kamaruddin.1997. Isu-isu Kekeluargaan dan Undang-undang Islam. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.


Monday, April 16, 2007

Panduan menjadi fasilitator

Penulis : Wan Norjihan Wan Abdullah
Tahun : 2003
Penerbit : PTS Publications and Distributors Sdn Bhd,
Bentong, Pahang
Muka surat : 126

Buku ini adalah himpunan pengalaman penulis sebagai seorang pemudahcara atau fasilitator semasa mengendalikan program latihan di merata tempat seluruh negara. Terdapat enam bab di Bahagian Satu iaitu program latihan, fasilitator muslim, kumpulan dinamik, objektif, permainan simulasi dan pengendalian LDK. Manakala di Bahagian Dua, tiga bab dikhususkan untuk membincangkan kemahiran dan ilmu yang mesti dipelajari iaitu komunikasi, emosi dan pengurusan masa. Semua bab ini disusun langkah demi langkah untuk memberi panduan teknikal dan praktikal bagi mereka yang berminat dengan kerjaya fasilitator.

Latihan Dalam Kumpulan (LDK) adalah teras utama kepada kemahiran fasilitator. Objektif LDK pula biasanya telah ditetapkan oleh penganjur dan banyak membantu fasilitator menggerakkan kumpulan melalui pelbagai bentuk aktiviti. Sebagai panduan bagi mereka yang mula berjinak-jinak dengan LDK, penulis memberikan 23 panduan untuk menanam keyakinan memudahcara seperti merancang perjalanan aktiviti, mewujudkan budaya kumpulan, melayan ahli kumpulan sama rata dan membantu ahli kumpulan melihat isu sebagai bahan yang dikaji.

Kemahiran komunikasi diumpamakan seperti minyak pelincir. Membentuk gelungan komunikasi dalam perbincangan LDK akan mencetuskan suasana perbincangan yang lebih terbuka, mesra dan berterus-terang kerana mesej dapat difahami dengan jelas.

Fasilitator juga wajar membentuk kemahiran mendengar dalam proses melayan di samping bijak mengenal pasti isu dan memberi maklum balas. Antara panduan mendengar ialah mendengar secara aktif, menggunakan pertembungan mata, dengar pada semua orang dan tidak takut meminta penjelasan atau bertanya. Selain kemahiran komunikasi, seorang fasilitator yang bijak dan matang mampu mengawal dan menguruskan emosinya. Justeru itu, fasilitator harus meningkatkan kecerdasan emosi bagi membina ketajaman berfikir, menilai diri dan memperkaya daya juang.

Kejayaan menjadi fasilitator yang baik memerlukan kepada banyak membaca dan berlatih. Selain daripada bahan bacaan, kemahiran memudahcara boleh diperolehi melalui pemerhatian.

Ulasan Editor : Bidang pemudahcaraan semakin berkembang di negara ini. Keperluan untuk menjadi fasilitator yang mahir memerlukan kesungguhan yang berkobar-kobar supaya peserta kursus, Latihan Dalam Kumpulan atau kelompok kecil dapat memaksimumkan perbincangan mereka. Memudahcara dapat diaplikasi dalam pelbagai bentuk kumpulan seperti kaunseling, terapeutik, penyelesaian masalah atau kepimpinan. Buku ini adalah pilihan yang tepat bagi mereka yang berhasrat menjadi fasilitator kerana asas-asas kemahiran berkenaan dapat dipelajari dengan mudah dan berkesan.

Sunday, April 15, 2007

Keselamatan di kompleks membeli-belah

Isu kehilangan kanak-kanak keletah, Yin, menjadi tarikan ramai pihak untuk membantu mencarinya. Dari individu, masyarakat sekampung, orang ramai, media hinggalah pasukan polis dan tentera, usaha mengesan kanak-kanak ini telah berakhir setelah beliau diserahkan kepada ibu bapanya oleh pasangan Mynmar. Iktibar yang sangat penting ialah lenyapnya Yin dari pusat membeli-belah, Sogo, Kuala Lumpur adalah kegagalan pengawasan ibu bapa.

Ibu bapa Yin, seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak merupakan isu utama dalam kejadian malang ini. Faktor kelalaian dan tidak prihatin dengan persekitaran mengundang padah kepada mereka. Kehilangan Yin bagi kali pertama belum menjadi pengajaran sebaliknya mengambil sikap "tidak apa" apabila berada dalam suasana keseronokan membeli-belah. Dalam kejadian ini, faktor manusia adalah lebih dominan daripada faktor mesin seperti kamera litar tertutup (cctv) dan struktur bangunan.

Tahap keselamatan di kompleks membeli-belah pernah menjadi isu hangat ketika kes pembunuhan Canny Ong beberapa tahun yang lalu di Bangsar. Selepas itu barulah agensi kerajaan bersuara lantang bagi memastikan orang ramai berasa selamat dan selesa apabila membeli-belah. Keselamatan menjadi nadi utama kepada pengunjung dan pada masa yang sama pengunjung adalah segala-galanya bagi peniaga. Keselamatan yang terjamin akan meningkatkan imej sesuatu kompleks membeli-belah dan bakal meraih kepercayaan masyarakat. Tanpa jaminan keselamatan, orang ramai akan berfikir dua atau tiga kali jika mereka hendak membawa keluarga. Kesan rantaian yang panjang ialah perniagaan akan mengalami kemerosotan kerana orang ramai mula beralih ke tempat yang lebih selamat.

Ketika isu keselamatan di pusat membeli-belah menjadi perbualan, sokongan kepada usaha dan gerakan mencari Yin sangat menggalakkan. Tidak sedikit usaha berbentuk tenaga dan wang ringgit diberikan untuk keluarga ini bertemu semula dengan anak mereka. Simpati masyarakat mencurah-curah bagaikan "air hujan turun dari langit" seperti liputan media massa dan elektronik di seluruh negara. Maklumat perkembangan usaha mencari disiarkan dari semasa ke semasa bagi memaklumkan pencapaian terkini seperti ramalan kedudukan Yin, pemanggil misteri dan ulasan yang pelbagai dari semua lapisan masyarakat. Bacaan surah Yaasin dan solat hajat turut diadakan di surau dan masjid.

Sebagai sebahagian daripada masyarakat, banyak perkara yang telah dilakukan oleh orang ramai bagi mengesan Yin atau kanak-kanak lain yang hilang seperti ;

-Menubuhkan pasukan pencari sukarela secara serta-merta.
-Mengenal pasti tempat tumpuan kanak-kanak dan mula melaksanakan gerakan mengesan.
-Membantu menyebarkan poster di tempat kejadian, pasar, tempat permainan kanak-kanak, teksi, bas dan internet.
-Menaja gerakan mengesan melalui bayaran telefon, penginapan, baju khas atau apa-apa barangan yang dibentuk khusus untuk mencari.
-Menziarahi ibu bapa mangsa sebagai tanda sokongan.
-Melaksanakan solat hajat dari semasa ke semasa dan mengambil peluang bersedekah makanan kepada jemaah yang melakukan solat hajat berkenaan.

Terdapat pelbagai usaha yang kreatif boleh dilakukan oleh orang ramai yang prihatin kerana kaedah mengesan orang yang hilang terdapat bermacam-macam cara. Ia boleh dilakukan seorang diri, berpasangan suami isteri atau kumpulan yang lebih ramai seperti pertubuhan bukan kerajaan ataupun masyarakat sekampung.

Dalam kes Yin, pihak polis berkeyakinan beliau masih hidup dan berada di sekitar Kuala Lumpur. Keprihatian Polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan khas untuk mencari Yin adalah harapan ibu bapa Yin dan harapan masyarakat untuk melihat kejadian ini diselesaikan dengan segera. Kepakaran pihak polis pasti menjadikan gerakan mengesan lebih pantas, profesional dan meyakinkan. Orang ramai telah membantu polis dengan menyalurkan maklumat kerana mesej yang disampaikan dapat mempercepatkan tindakan mengesan dilaksanakan.

Ketika kecoh membicarakan keselamatan anak-anak kecil di kawasan ramai orang, isu Yin menjadi pengajaran yang sangat berguna kepada semua orang baik ibu bapa, pemimpin masyarakat atau pengurusan kompleks membeli-belah untuk mengutamakan keselamatan walaupun berada di dalam sebuah negara yang aman dan makmur. Kes kehilangan kanak-kanak, remaja dan orang tua seringkali terjadi, namun bagaimana kita harus menggerakkan kesedaran orang ramai untuk membantu usaha mencari dan menyelamat ini? Hilang dan dijumpai adalah suatu yang membahagiakan tetapi bagaimana pula hilang dan terus hilang selama beberapa tahun? Di sinilah kesedaran orang ramai harus dipupuk oleh media, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan bagi mempastikan tahap keselamatan diri dan persekitaran berada dalam keadaan yang sangat memuaskan.

Monday, April 09, 2007

Malaysia: Isu-isu sosial semasa

Editor : Roziah Omar dan Sivamurugan Pandian
Tahun : 2005
Penerbit : Institut Sosial Malaysia
Muka surat : 202

Buku ini membincangkan secara keseluruhan isu sosial semasa di Malaysia yang melibatkan individu, keluarga dan masyarakat seperti penderaan, jenayah, penyakit Aids, ibu tunggal, hubungan luar nikah, warga tua, pendidikan dan hubungan etnik.

Sebanyak 13 topik perbincangan dimuatkan dalam susunan yang menarik dan padat. Keupayaan para penulis yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan telah membina daya tarikan bagi pembaca dan pengkaji sosial untuk menilai sendiri isu-isu sosial yang sedang berlegar. Sebagai contoh, isu remaja seringkali mendapat perhatian masyarakat. Perlakuan seks bebas yang dimuatkan melihat nilai budaya dan amalan remaja hari telah berubah kerana pembangunan dan pemodenan. Perubahan ini bagi menyesuaikan diri dengan iklim sosial yang baru tanpa mengetahui sikap, amalan dan norma sebenarnya menunjangi keperibadian seseorang remaja. Hasil kajian juga mendapati kelompok remaja yang dikaji didapati hampir 52 peratus remaja mempunyai pasangan seks yang melebihi satu orang dan separuh daripadanya mempunyai pengalaman hubungan seks sebelum nikah.

Isu lain yang disentuh mengenai remaja ialah merokok dan gengsterisme. Merokok, yang dianggap sebagai langkah awal ke arah pengambilan dadah dirasakan sebagai satu kegiatan yang sedang aktif di kalangan golongan ini. Beberapa langkah dikemukakan bagi mengatasi gejala ini supaya masyarakat sedar betapa bahayanya gejala merokok di kalangan remaja bawah umur.

Gengsterisme juga melakar peningkatan yang agak ketara di mana jumlah juvana yang terlibat pada tahun 2004 adalah Melayu (3205), Cina (455) dan India (451). Perbincangan yang mendalam berkaitan isu ini mengambil kira tahap penglibatan pelajar dan mencari faktor-faktor yang mendorong remaja membabitkan diri mereka.

Asas kepada pembangunan negara adalah pendidikan. Namun begitu, peranan pendidikan sebagai agen mengubah masyarakat berhadapan dengan cabaran globalisasi yang dilihat merevolusikan pemikiran seluruh lapisan rakyat Malaysia. Bermula dari peringkat rendah, pendidikan dilihat telah mengalami perubahan yang seiring dengan cabaran-cabaran semasa.

Isu-isu lain yang dibincangkan di dalam buku ini mengajak para pembaca untuk berfikir dan memberi sumbangan idea dan tenaga bagi menghadapi gejala yang kadangkala tidak diberi perhatian dalam masyarakat yang sedang membangun seperti Malaysia.

Ulasan Editor : Isu sosial adalah isu bersama. Ia tidak hanya menjadi isu yang dijuarai oleh individu atau kumpulan tertentu malah menjadi lebih bermakna jika seluruh ahli masyarakat memberi perhatian yang serius terhadap isu ini. Peningkatan jenayah yang melibatkan perlakuan zina, rogol dan gengsterisme di tambah pula dengan mat rempit, masyarakat pada zahirnya sedang mengalami defisit nilai dan akhlak yang baik. Kita tidak mahu remaja hari ini menjadi beban masyarakat pada masa hadapan kerana ia akan memberi kemudaratan kepada negara. Usaha-usaha pencegahan dan intervensi wajar diperkemaskan dan peranan ini dapat dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan dengan bantuan dan sokongan berterusan dari agensi kerajaan.

Sunday, April 08, 2007

Meningkatkan kualiti pengurusan pelajaran negeri

Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD) dan Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP) sedang berbalah mengenai rasional kemasukan pegawai-pegawai dari skim PTD ke Jabatan Pelajaran Negeri. NUTP membantah pelantikan pegawai PTD berkenaan kerana dua sebab iaitu menghalang kenaikan pangkat untuk lulusan siswazah dalam perkhidmatan pendidikan dan keduanya, satu penghinaan terhadap maruah dan hak para guru di seluruh negara. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon yakin kemasukan pegawai PTD mampu memantapkan pengurusan pendidikan sedia ada. Bagaimanapun Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melihat tidak ada masalah besar yang timbul ketika ini dalam perkhidmatan pendidikan, jadi tidak perlu dibuka kepada PTD.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar pula menyuruh para guru menerima sahaja kemasukan PTD ke Jabatan Pelajaran Negeri.

Perdebatan kewajaran skim DG (pendidikan) di Jabatan Pelajaran Negeri diambil alih oleh skim M (PTD) adalah berkaitan isu pengurusan. Sepuluh tahun yang lalu kerajaan meletakkan sasaran menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau. Sehingga kini terdapat 20 buah universiti awam dan dua kementerian diwujudkan iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Kementerian Pelajaran bersama-sama 320,000 guru di seluruh negara memikul tanggungjawab untuk memastikan pendidikan untuk rakyat Malaysia dapat disempurnakan.

Sistem pendidikan dan pentadbiran negara mempunyai sejarah yang panjang. Sumbangan mereka terhadap pembangunan negara sangat bermakna dan masing-masing berfungsi berdasarkan profesionalisme yang kemas, tersusun dan mantap.

Jentera pentadbiran kerajaan adalah tulang belakang kepada perjalanan dasar kerajaan. Ia diletakkan di bawah satu bumbung yang dikenali sebagai Perkhidmatan Awam Malaysia yang merangkumi tujuh organisasi iaitu Angkatan Tentera, Pasukan Polis, Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, Perkhidmatan Awam Bersama, Perkhidmatan Awam Negeri dan Perkhidmatan Pendidikan.

Di Malaysia, perkhidmatan awam memainkan fungsi yang sangat penting bagi mempastikan masyarakat negara ini dapat merasai sistem hidup yang lancar, merasai ketenteraman, tahap kesihatan yang baik dan dapat membangun dari segi ekonomi, politik, sosial, budaya dan keagamaan. PTD merupakan perkhidmatan awal dan utama dalam perkhidmatan awam di Malaysia sejak era penjajahan British iaitu tahun 1904. Bermula dengan gelaran Malayan Civil Services, kemudian ditukar kepada Malaysian Home and Foreign Services (MHFS) pada tahun 1966. Lima tahun kemudiannya, MHFS ditukarkan kepada Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD) hinggalah sekarang. Bidang tugas PTD sangat luas dan merangkumi hubungan antarabangsa dan luar negeri, keselamatan dan pertahanan negara, pentadbiran dan pembangunan (wilayah, tanah, daerah dan tempatan), perancangan dan pentadbiran sosial/infrastruktur, pengurusan sumber manusia dan organisasi, pengurusan sumber ekonomi dan pengurusan kewangan. Dengan bidang-bidang ini, pegawai PTD boleh ditempatkan di mana-mana sahaja agensi dan jabatan. Justeru itu, jawatan-jawatan utama sektor awam dipegang secara warisan turun-temurun daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, sebahagian duta dan pegawai daerah di seluruh negara. Proses yang dilalui adalah prasyarat yang melayakkan mereka untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mentadbir jentera pengurusan negara dengan lancar.

Guru berperanan penting mendidik rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk menjadi manusia yang membawa perubahan. Sejarah kemerdekaan negara penuh warna-warni dengan perjuangan guru. Bagi menghargai mereka, terdapat satu hari khusus untuk guru yang dinamakan Hari Guru. Tokoh-tokoh guru yang banyak berjasa akan diberi anugerah sebagai menghormati jasa guru tersebut. Dalam banyak keadaan, guru jarang merungut kerana mereka terikat dengan profesionalisme yang sangat mulia.

Perbezaan skim PTD dan guru sangat ketara. PTD M41 mampu naik pangkat ke M44 dalam masa empat tahun berbanding guru DG41 yang mengambil masa sepuluh tahun untuk merasai DG44. Ada di kalangan pegawai dari skim S41 terpaksa membawa gred tersebut sehingga pencen setelah 30 tahun bekerja. Perkhidmatan terbuka seperti PTD lebih cepat berkembang berbanding perkhidmatan tertutup dalam pendidikan, kebajikan dan sektor profesional sedia ada. Realiti inilah yang harus difahami oleh skim-skim yang lain. Malahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperuntukkan perbelanjaan yang sangat besar bagi membangunkan sumber manusia dengan matlamat mengemas kini dan melancarkan pengurusan pentadbiran negara.

Kelebihan yang ada pada PTD menimbulkan rasa tidak senang perkhidmatan lain lebih-lebih lagi apabila mereka mula memenuhi bahagian pentadbiran dan kewangan sesuatu jabatan seperti yang berlaku pada Jabatan Pelajaran Negeri. Kita sangat memahami sentimen guru yang merasai peluang kenaikan pangkat mereka semakin mengecil dan persaingan yang sangat banyak.

Akronim PTD yang mudah ialah "pegawai tak ada duit" kerana bukan boleh bersenang-lenang dengan jawatan tersebut dibandingkan dengan gaji dan elaun yang didapati setiap bulan. Tetapi jumlahnya lebih baik daripada jawatan guru kerana cepat naik pangkat. Dari segi tanggungjawab, ianya bukanlah kerja mudah. Pernah seorang bekas Ketua Setiausaha sebuah kementerian dipenjarakan kerana kesalahan pecah amanah yang melibatkan beberapa juta ringgit. Bagi seorang PTD yang hendak ambil mudah, akronim "pegawai tidur-duduk" sangat sesuai disematkan dalam jiwa dan sudah tentu JPA tidak akan memberi ruang kepada pegawai sebegini kerana ia mencemarkan imej dan profesionalisme mereka sendiri.

Keputusan meletakkan pegawai PTD di JPN telah diputuskan dan akan dilaksanakan. Membantah keputusan ini oleh pihak guru adalah penolakan terhadap cara berfikir pembuat keputusan dan polisi berkenaan. Masyarakat melihat PTD telah mulai melebarkan penguasaan mereka dalam perkhidmatan perguruan di Malaysia dan sedikit sebanyak melemahkan semangat 320,000 guru di seluruh negara untuk bekerja dan berebut peluang kenaikan pangkat. Selain daripada gaji yang menjadi faktor motivasi kerja, penghargaan seperti kenaikan pangkat, bonus dan cuti termasuk dalam senarai penghargaan terhadap seseorang. Rasa tidak senang guru akan ditunjukkan secara senyap dan mengambil masa yang lama. Ia boleh berlaku dalam keadaan sedar seperti menghantar resolusi bantahan kepada Perdana Menteri, mengenengahkan kelemahan kerja-kerja PTD di jabatan, tidak memberi kerjasama, memboikot program pendidikan yang dirancang ataupun berhasrat untuk keluar dari perkhidmatan perguruan sebagai tanda tidak puas hati yang amat sangat. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Jaminan Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran bahawa kemasukan PTD ke JPN akan membawa perubahan dan kemajuan kepada profesionalisme perguruan harus diterima dengan hati yang terbuka dan fikiran yang sedar. Banyak lagi agensi lain yang telah menerima kemasukan mereka ini dan telah berjaya meningkatkan dan melicinkan pentadbiran agensi berkenaan khususnya di bahagian pengurusan dan kewangan termasuk urusan cuti, pencen, elaun, laporan kewangan dan sebagainya. Tambahan pula kursus-kursus yang diberikan dari semasa ke semasa kepada pegawai PTD dapat memahirkan mereka untuk meningkatkan kualiti pengurusan dan selok-belok kewangan di Jabatan Pelajaran Negeri. Selepas itu, barangkali pegawai pendidikan dapat memberi tumpuan terhadap usaha-usaha meningkatkan tahap pendidikan rakyat Malaysia selari dengan profesionalisme mereka.

Friday, April 06, 2007

Abuya Ashaari Muhammad: Pemimpin paling ajaib di zamannya

Penulis: Khadijah Aam
Tahun: 2006
Penerbit: Penerbitan Minda Ikhwan, Rawang, Selangor
Muka surat: 243

Seratus dalil dikemukakan dalam buku ini yang menghuraikan kelayakan Abuya sebagai pemimpin paling ajaib. Empat dalil yang terakhir ialah: Abuya seorang mujadid dengan segala pencapaian yang luar biasa; Abuya ialah Al Fata At Tamimi (Putera Bani Tamim); Abuya adalah Sohibuz Zaman (Pemilik Zaman), dan; Abuya sebenarnya dikurniai Tuhan power maknawiah yang dengan power itulah semua keajaiban itu boleh berlaku.

Membaca buku ini seolah-olah membaca sebuah kisah hidup masa hadapan. Kejadian-kejadian yang akan berlaku itu telah disandarkan pada mimpi, ilham, dengar cakap, pertemuan dengan seseorang dan rujukan hadis-hadis berkenaan Imam Mahdi. Kekuatan alasan untuk melayakkan Abuya sebagai Al Fata At Tamimi ialah pada bahagian muqaddimah buku yang mengambil 20 muka surat untuk dihuraikan. Ini menunjukkan betapa penyusun buku benar-benar ingin meyakinkan khalayak bahawa Abuya ialah seorang pemimpin paling ajaib.

Bab 1 hingga 5 mengisahkan latar belakang Abuya yang disifatkan sangat dahagakan ilmu, berakhlak mulia dan seorang yang tabah. Dari sinilah keinginannya untuk menjadi “orang Tuhan” terbentuk apatah lagi dididik oleh beberapa orang Tok Alim atau Pak Sheikh mengenai agama Islam. Sifat-sifat dan ciri-ciri seorang pemimpin terserlah pada Abuya dari peringkat kecil lagi.

Abuya disifatkan sebagai seorang yang optimis dalam perjuangannya. Setiap kali ujian getir, beliau mendapat mimpi. Tiga ujian tersebut ialah ketika ditentang oleh pengikutnya Akbar Anang, serangan oleh Ustaz Mokhtar Yaakob dan ditangkap kerana penyelewengan oleh Tun Dr. Mahathir (ketika itu Datuk Seri). Semua ujian tersebut dapat diharunginya dengan baik dan cemerlang. Keajaiban Abuya diperkuatkan dengan kenyataan: “maka Abuya pula selalu didatangi Rasulullah untuk mengajar bagaimana menghadapi persoalan dan perjuangan.”

Di samping Rasulullah, Imam Mahdi juga datang kepada beliau secara ruh untuk memberi ilmu. Kedatangan kedua-duanya melalui : rasa hati yang kuat untuk bertindak; dijatuhkan ke hatinya ilmu, dan; berbual-bual secara jaga dengan Rasulullah dan Imam Mahdi.

Dinyatakan terdapat empat orang syeikh yang mengesahkan Abuya adalah Pemuda Bani Tamim iaitu Syeikh Abu Mush'ab dari Jordan, Syeikh Abdussalam Al Harras dari Maghribi, Syeikh Abdul Nasir dari Mekah dan Syeikh Abdul Jabbar dari Iraq.

Ulasan Editor : Buku ini secara umum mengajak pembaca untuk meyakini bahawa Abuya adalah “orang Tuhan” yang dinanti-nantikan. Secara tidak langsung mengukuhkan keyakinan pengikut Abuya untuk setia bersama perjuangannya (Buku ini telah diharamkan pada Januari 2007). Mengangkat dan memartabatkan seseorang yang memberi sumbangan kepada negara tidak menyalahi undang-undang kerana ia boleh menjadi contoh kepada orang ramai. Kemusykilan akan mula timbul apabila ia mewujudkan konflik yang mempersoalkan kebenaran pemikiran dan tindakan.

[Klip video: Aku bukanlah engkau]

Sunday, April 01, 2007

Konflik Iran dan Britain perlukan kepakaran diplomatik

Konflik yang berlaku di antara Iran dan Britain kerana penahanan 15 anggota tentera laut dan kelasi British masih berterusan dengan masing-masing menggunakan pendekatan yang sangat berbeza. Tuduh-menuduh kedua-dua pihak mendedahkan tahap kematangan pemimpin Iran dan Britain bagi menghadapi saat-saat genting ini. Sebelah pihak dilihat sangat agresif manakala sebelah lagi bersikap tenang dan cuba mencari penyelesaian terbaik.

Iran mendakwa mereka telah menceroboh perairannya dan ini diakui oleh Faye Turney dan Nathan Thomas Summers yang disiarkan oleh televisyen Iran. Penyiaran rakaman tersebut disifatkan Britain sebagai melanggar perjanjian Geneva mengenai tawanan perang. Setiausaha Luar Britain, Margaret Beckett ketika mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu menjelaskan, “saya bimbang memikirkan gambar-gambar itu dan juga tekanan atau paksaan yang dikenakan ke atas askar-askar kami.”

Tehran mendakwa anggota tentera berkenaan masuk secara haram ke perairannya manakala London bertegas askarnya berada di perairan Iraq. Kedua-dua pihak mengesahkan bukti masing-masing. Hakikat yang harus diterima ialah Iran menerima “umpan” yang terbaik setakat ini untuk tawar-menawar bagi menguji tindakan Britain.

Tindakan awal Britain adalah membekukan semua rundingan dengan Iran, mendesak Kesatuan Eropah memulaukan Iran dan menagih simpati Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Perdana Menteri Britain, Tony Blair mahukan penyelesaian segera konflik ini setelah menyedari kesilapan awal kerajaannya. Tindakan pantas Britain yang panik dengan keselamatan askarnya telah menghalang pembebasan Turney, wanita tunggal yang ditahan dengan alasan Britain “tidak mengambil sikap yang betul.” Manakala Presiden Mahmud Ahmedinejad mahu Britain memohon maaf dan bersedia membebaskan askar marin wanita berkenaan. Apakah strategi yang digunakan oleh kedua-dua pihak bagi mengurangkan ketegangan ini seterusnya melihat konflik ini diselesaikan?

Kedua-dua pihak pernah mempunyai pengalaman apabila lapan askar Britain ditahan pada Jun 2004 kerana menceroboh perairan Iran di Shat al-Arab. Penahanan itu diselesaikan setelah Britain memohon maaf dan mengakui askarnya telah menceroboh kawasan Iran secara tidak sengaja. Kejadian kedua ini, mengapa Britain tidak mahu menggunakan strategi yang sama?

Dan kenapakah Britain sangat berminat dengan Shat al-Arab itu?

Sebahagian besar kekayaan minyak Iran terletak di daerah Chusistan yang mana selepas Perang Dunia Pertama telah dilakar sempadan baru oleh Britain untuk dimasukkan ke dalam kawasan Iraq tetapi dihalang niat tersebut oleh Shah Reza Pahlevi. Kawasan tersebut masih menjadi perebutan kerana Britain sangat berminat untuk mendapatkannya.

Melanggar undang-undang antarabangsa, Britain menetapkan sempadannya sendiri di sepanjang Shat al-Arab yang merangkumi keseluruhan sungai yang menjadi pemisahdi antara Iran dan Iraq, menjadi milik Iraq – berhampiran pesisir pantai Iran. Pada tahun 1975, kerajaan Baghdad menerima pertukaran sempadan yang menganjak sedikit ke tengah sungai berkenaan sebagai balasan Shah Reza Pahlevi menarik balik sokongannya terhadap pemberontak Kurdis Iraq.

Pada tahun 1980, Presiden Iraq, Saddam Hussien mengubah fikiran dan memulakan peperangan dengan Iran setelah mengebom bandar Abadan, di sebelah tebing barat Shat al-Arab. Amerika Syarikat dan Britain yang menyokong Saddam Hussein telah menyediakan maklumat ketenteraan, senjata dan gas beracun. Peperangan ini hanya menghancurkan Iran dan Iraq malah Saddam Hussein akhirnya mati ditangan sahabat lamanya, Amerika Syarikat dan Britain.

Dalam konflik ini, apakah yang dimahukan oleh Tehran? Kenyataan keras yang mahukan London mengakui 15 askarnya menceroboh mungkin dapat menyelesaikan krisis ini seperti mana yang dilakukan pada Jun 2004. Dalam konteks politik semasa, 15 askar berkenaan adalah kuasa tawar-menawar terbaik yang akan digunakan oleh Ahmedinejad. Beliau mempunyai sekurang-kurangnya dua alasan untuk menyimpan tahanan tersebut bagi tempoh tertentu. Ia mungkin menjadi isu yang sangat berpengaruh ke atas tekanan yang dialami ketika ini berkaitan nuklear. Strategi ini dilihat agak kukuh tetapi mungkin juga akan memakan diri kerana pihak musuh akan mengumpul kekuatan dan pengaruh untuk mengenakan tekanan berterusan.

Iran juga akan cuba menukarkan 15 tahanan ini dengan rakyatnya yang ditahan semasa pencerobohan Amerika Syarikat ke atas konsulatnya di Iraq bulan lepas.

Bola berada di kaki Tehran kerana bersamanya 15 orang askar warga Britain yang memiliki pelbagai maklumat dan kemahiran. Iran tidak akan melepaskan “umpan” yang ditangkap dengan begitu mudah tanpa ada jaminan yang kukuh daripada London. Alaedin Boroujerdi, ahli parlimen Iran dan mengetuai Suruhanjaya Polisi Luar Negara dan Keselamatan Kebangsaan memberi amaran bahawa “hari-hari untuk pembuli telah berakhir.” Beliau juga menyelar tindakan Britain yang mengancam untuk menyekat hubungan ekonomi dan perdagangan yang hanya akan menjadikan konflik semakin rumit.

Justeru itu, Iran akan terus menyimpan 15 tentera laut dan kelasi British sehingga siasatan selesai dan melihat London berhempas-pulas memikirkan strategi terbaik untuk membebaskan rakyatnya.