Thursday, February 01, 2007

Pendidikan adalah hak anak-anak

Pendidikan, walau apapun halangan dan alasan sekali pun, adalah hak anak-anak. Ibu atau bapa tidak boleh menghalang anak mereka daripada mendapat pendidikan khususnya di sekolah. Sekali gus mereka tidak mempunyai sebarang hak untuk tidak menyekolahkan anak-anak.

Kisah seorang bapa, bekas jurujual kenderaan yang mengajar sendiri anak-anaknya di rumah dan enggan menyekolahkan mereka merupakan satu tragedi kepada perkembangan pendidikan negara. Empat orang anak yang tidak bersekolah adalah beban kepada masa depan negara.

Pertama, pemimpin negara harus memikirkan langkah-langkah susulan untuk menampung kehidupan 20 hingga 30 tahun yang akan datang. Kedua, potensi pembangunan modal insan akan terbiar tanpa dapat digunakan sepenuhnya. Ketiga, akar umbi kepada masalah sosial dalam masyarakat akan bertambah, dan keempat, harapan untuk menjadikan masyarakat Malaysia yang berpendidikan tinggi tidak akan tercapai.

Pujian harus diberikan kepada YB Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein, Menteri Pelajaran kerana mempunyai dua orang pegawai kanan dari Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan yang proaktif bagi mempastikan empat orang kanak-kanak mendapat hak mereka. Tidak seperti sesetengah jabatan dan agensi, mereka perlu menunggu seseorang untuk membuat laporan bertulis dan selepas itu barulah akan bertindak. Itu pun belum tentu dapat menyelesaikan masalah. Keprihatinan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan sangat menguntungkan pendidikan negeri tersebut sekali gus menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan yang lain untuk melakukan tindakan yang sama. Peranan pegawai-pegawai berkenaan sebenarnya telah memberi kembali hak pendidikan yang dinafikan oleh sikap bapa anak-anak ini.

Dalam keluarga, bapa adalah ketua. Dia mempunyai kuasa melebihi kuasa Perdana Menteri. Dia mentadbir dan menentukan masa depan serta hala tuju keluarganya. Namun, arah kepimpinan akan bertukar dari adil ke zalim jika kuasa yang ada tidak disedari dan digunakan tidak pada tempatnya. Situasi ini tentulah berkait rapat dengan kesedaran dan aspirasi hidup yang ada pada bapa berkenaan.

Tanpa pendidikan, anak-anak tidak akan ke mana. Hidup mereka akan berlegar di sekitar tempat tinggal dan menjadi liar tanpa dapat dikawal. Apatah lagi dalam dunia pekerjaan hari ini, mempunyai pendidikan asas adalah prasyarat untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Menjadi pencuci, pemotong rumput ataupun pengawal keselamatan, perlu juga mempunyai tahap pendidikan yang minimum.

Pembentukan cara berfikir dan sikap sangat berkait dengan tahap pendidikan yang dilalui. Jika zaman dulu-dulu, tanpa ilmu yang tinggi, seorang rakyat boleh menjadi hulubalang kepada raja atau sultan kerana beliau mempunyai bakat dan kebolehan yang khusus. Hari ini, keadaan tersebut telah berbeza sama sekali kerana penilaian masyarakat telah berubah. Mendapat pendidikan yang tinggi dikaitkan dengan jawatan dan gaji yang tinggi. Peranan dan tanggungjawab mereka juga lebih besar. Apakah masyarakat akan mengharapkan seorang tukang potong rumput untuk menjadi pemimpin mereka? Hala tuju masyarakat dan kualiti hidup memerlukan ahli masyarakat yang berpendidikan. Eropah mengambil masa 100 tahun untuk mengubah paradigma masyarakat untuk memelihara sungai daripada pencemaran. Itu pun untuk masyarakat mereka yang sedang menuju era kemodenan. Masa yang diambil lebih lama. Berbanding hari ini, masyarakat Malaysia akan mengambil masa yang lebih cepat untuk berubah jika pendidikan dimelatakan ke seluruh negara termasuk di ceruk-ceruk hutan.

Bapa sebagai ketua isi rumah, sama sekali tidak boleh lalai daripada menunaikan hak anak-anak untuk belajar. Kewajipan mencari dan meletakkan anak-anak dalam arus perdana pendidikan akan membantu mengembangkan potensi anak-anak dengan lebih teratur dan berkesan supaya mereka mempunyai kesetiaan dan menghormati ibu bapa, masyarakat dan negara. Yang lebih penting ialah mengenal erti kehidupan seperti peribahasa, ”Ilmu pelita hidup” supaya jalan-jalan yang dilalui diterangi oleh kilauan cahaya ilmu yang diperolehi melalui pendidikan tersebut.

Bapa, sebagai ketua keluarga, ketua isi rumah dan mempunyai kuasa utama, mesti untuk selama-lamanya menyedari bahawa pendidikan adalah hak mutlak anak-anak. Ia tidak ada kompromi dan tidak boleh bertolak-ansur langsung sampai bila-bila. Untuk semua bapa, Pendita Za'ba mengingatkan betapa perangai bergantung kepada diri sendiri. Yang dikatakan bergantung kepada diri sendiri ini ialah membuat sendiri kerjanya, menimbang baik buruknya dan bersedia menanggung kesannya selepas itu. Tidak perlu orang lain membantunya.


Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang dilancarkan pada 16 Januari 2007 adalah manifestasi kerajaan untuk membentuk pendidikan kelas dunia dengan mengambil kira semua perkara. Justeru, kejayaan pelaksanaan PIPP sangat bergantung kepada kesedaran ibu bapa dan komitmen semua pihak bagi menjadikan agenda pendidikan negara sebagai kemuncak kepada pencapaian kecemerlangan negara dan pada masa yang sama mengisi ruang kemerdekaan negara.

"Tuhan yang telah menjadikan hidup dan mati kerana Dia hendak menguji, mencuba kamu - siapakah daripada kamu yang terlebih baik kerjanya."

(Surah Al Mulk ayat 2)

No comments:

Post a Comment