Tuesday, February 13, 2007

Satu keluarga satu kaunselor

Pelancaran program “Satu Keluarga Satu Kaunselor” ataupun 2K2 peringkat nasional di Seremban, Negeri Sembilan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi baru-baru ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dan parti politik terhadap keperluan menangani permasalahan masyarakat khususnya di peringkat keluarga. Kehadiran hampir 3,000 orang peserta yang memenuhi dewan pelancaran di Hotel Royal Adelphi menggambarkan betapa seriusnya program ini diketengahkan ke dalam agenda pembangunan keluarga di Malaysia.

Objektif program 2K2 ini walaupun ditujukan kepada parti politik UMNO, namun peranannya boleh disebarkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Antara objektif tersebut ialah meningkatkan jati diri, mengukuhkan hubungan kekeluargaan, memasyarakatkan kemahiran kaunseling di kalangan pemimpin dan membudayakan kemahiran kaunseling di dalam keluarga.

Matlamat program 2K2 pula ialah mempastikan keluarga berada dalam kesejahteraan melalui peningkatan keupayaan kaunseling keluarga itu sendiri. Institusi keluarga dan masyarakat tidak pernah terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran dan masalah sama ada dari dalam ataupun luaran. Cabaran dan masalah ini jika tidak ditangani akan memberi impak yang negatif kepada setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Individu merupakan unit asas dalam pembentukan keluarga dan aset kepada modal insan negara.

Dalam usaha membangunkan modal insan ini, terdapat beberapa sumber yang mungkin gagal dimanfaatkan dalam kegiatan negatif yang bersifat anti sosial. Justeru itu di samping pendekatan pendidikan, keagamaan, kemasyarakatan dan spiritual, pendekatan psikologi yang menggunakan kaedah bimbingan dan kaunseling boleh digunakan sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah sosial anak-anak remaja.

Ketika perkembangan seorang kanak-kanak, umur tiga tahun merupakan masa paling kritikal untuknya menyerap segala maklumat yang didengar dan dilihat. Pesan Datuk Seri Abdullah ketika ucapan perasmian berkenaan, kanak-kanak peringkat ini tidak boleh dimarah, dipukul atau didera kerana memang tabiat mereka hendak mengetahui pelbagai perkara. Didikan keluarga mencerminkan peribadi anak-anak. Orang Melayu sering menggelar anak-anak yang nakal atau melakukan jenayah juvana sebagai “kurang ajar.” Gelaran ini adalah satu tanda timbal balas terhadap keadaan keluarga berkenaan yang tidak berupaya mendidik anak-anak dengan berkesan.

“Dalam membentuk sebuah keluarga yang baik, kadang-kadang keluar perkataan yang amat tidak baik, terus menyumpah anak. Jangan! Jangan! Jangan! Seribu kali jangan sumpah kepada anak kita. Kawal diri, jangan sumpah anak, jangan nanti kalau apa-apa berlaku kita menyesal,” ingatan YAB Perdana Menteri di dewan yang dipenuhi semua golongan umur.

Kurang ajar juga lahir daripada keadaan masyarakat yang tidak mempedulikan orang lain kerana mahu menjaga kepentingan diri sendiri. Kesilapan dan kesalahan yang kecil tidak ditegur, kelak akan menyebabkan ia menjadi tabiat yang sudah terbiasa.

Keluarga pada hari ini telah mengalami perbezaan struktur iaitu peranan atau fungsi kekeluargaan telah dilaksanakan oleh institusi di luar keluarga. Umpamanya, bagi pasangan suami isteri yang bekerja, peranan mengasuh anak-anak diserahkan kepada penjaga ataupun dipertangunggjawabkan kepada orang gaji. Rata-ratanya orang gaji ini pula mempunyai latar belakang yang berbeza dan nilai-nilai yang dibawanya turut berbeza. Justeru itu, nilai-nilai tradisi dan budaya keluarga tidak dapat diperturunkan kepada anak-anak dan dengan demikian akan wujud perbezaan tertentu dari segi amalan dan sifat-sifat peribadi di antara ibu bapa dan anak-anak tersebut (Yaacob Harun).

Keluarga adalah unit terpenting dalam masyarakat dan negara. Keluarga adalah penerima dan penyumbang kepada pembangunan negara (Mahathir Mohamad, 1992). Merosotnya nilai dan budaya keluarga adalah penyumbang kepada wujudnya penyakit-penyakit sosial hari ini. Jika 10 tahun yang lalu, kita jarang mendengar kes buang bayi, keadaan sebaliknya berlaku pada hari ini. Fungsi agama dan nilai telah dikesampingkan untuk mencari keseronokan.

Keghairahan untuk menjadi negara maju mewujudkan individu yang mementingkan diri sendiri, membelakangkan peranan keluarga dan masyarakat serta mudah melepaskan tanggungjawab kepada agensi luar seperti pihak berkuasa agama, kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Perkembangan dalam keluarga adalah penentu kepada hala tuju masyarakat pada masa depan. Perangkaan Jabatan Statistik Malaysia pada Oktober 2006 menunjukkan jumlah rakyat Malaysia ialah 26,774.0 juta orang di mana 13,549.7 juta adalah Melayu, 6,237.7 juta adalah Cina dan 1,864.9 juta adalah India. Daripada jumlah ini, 13,630.4 juta adalah lelaki dan selebihnya adalah perempuan. Dari segi peringkat umur, kelompok yang paling ramai ialah dari 0 hingga 19 tahun iaitu 11,223.0 juta. Jumlah ini menunjukkan golongan muda merupakan sebahagian besar penduduk Malaysia yang akan menjadi pemimpin pelapis masa depan. Mereka juga dianggap sebagai aset besar negara kerana keupayaan yang ada dapat membina modal insan terbaik ke arah kemajuan negara.

Cabaran keempat Wawasan 2020 adalah mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika yang mana mereka mempunyai pegangan yang kukuh terhadap nilai agama dan tahap etika yang paling tinggi. Sistem kekeluargaan sangat penting. Berlakunya kepincangan dalam keluarga boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah di dalam masyarakat dan negara. Penyakit sosial ini sebenarnya berpunca daripada apa yang berlaku dalam keluarga itu sendiri.

Masyarakat tradisional menjadikan ahli-ahli dalam kelompok mereka sebagai penyelesai masalah keluarga. Peranan penghulu, ketua kampung atau imam amat bermakna ketika berlakunya krisis rumah tangga. Keadaan itu telah berubah kini. Di bandar, ahli-ahli masyarakat telah bercampur dengan pelbagai jenis latar belakang dan asal-usul penghuninya.

Perbezaan nilai dan budaya ini tidak memberi ruang kepada ahli-ahlinya untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Justeru, peranan menyelesaikan sebarang konflik, masalah dan krisis diambil alih oleh pihak yang diberi autoriti dan mempunyai kepakaran khusus seperti kaunselor.

Pelancaran program “Satu Keluarga Satu Kaunselor” anjuran Biro Pembangunan Sosial Majlis Tertinggi UMNO adalah langkah awal untuk mengatasi punca-punca masalah sosial di dalam masyarakat Melayu. Membentuk ahli keluarga atau masyarakat yang mempunyai kemahiran kaunseling dapat memberi peluang kepada penyelesaian masalah yan lebih awal. Penglibatan kaunselor yang dilatih khusus ini yang dikenali sebagai parakaunselor setidak-tidaknya dapat menguatkan hubungan di antara suami isteri dan anak-anak kerana komunikasi yang sihat menjadi kunci kepada keluarga sejahtera.

Bagi jangka masa panjang, keluarga tidak dapat lari lagi daripada mendapatkan pandangan dan nasihat daripada kaunselor kerana peranan yang diyakini di samping autoriti yang diberikan. Mungkin juga pada suatu hari nanti, Pusat Pengurusan Konflik akan ditubuhkan di sesuatu kawasan komuniti bagi menyelesaikan masalah, konflik dan krisis yang berlaku di dalam keluarga dan masyarakat.


Rujukan

“Abdullah mahu keluarga UMNO tanpa dadah, jenayah,” Utusan Malaysia, 5 Februari 2007.

Perutusan YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sempena Hari Keluarga Kebangsaan 1992 pada 10 November 1992, dilayari di
http://www.pmo.gov.my/WebNotesApp/PastPM.nsf/a310590c7cafaaae48256db4001773ea/61c7b2c80ff209594825674a0018645d?OpenDocument.

Yaacob Harun. Masyarakat Melayu dan Pengaruh Barat: Perubahan dan Konflik Nilai (Tumpuan Dalam Bidang Kekeluargaan). Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dilayari di
http://members.lycos.co.uk/nabirz/soc11.htm.

Jabatan Statistik Malaysia, Oktober 2006.

No comments:

Post a Comment