Saturday, February 17, 2007

Keadilan untuk mangsa jenayah perang

Penubuhan Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur baru-baru ini adalah pilihan kepada kewujudan Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda. Suruhanjaya ini yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berfungsi sebagai badan yang meneliti dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri Britain dan Australia. Matlamat jangka panjang suruhanjaya ialah “supaya penjenayah perang mendapat label dan dikeji dalam sejarah.” Label sebagai penjenayah perang sudah cukup untuk membuatkan pelakunya “tidak dapat tidur dengan lena.”

Di samping Tun Dr. Mahathir, sembilan pakar perundangan turut dijemput menjadi anggota. Tiga buah negara iaitu Iraq, Lubnan dan Palestin adalah negara yang menderita kerana peperangan yang berlaku. Di Iraq, kematian telah menjadi lumrah dan masyarakat tidak lagi merasai kehidupan sebagai sebuah penghargaan. Nyawa manusia begitu murah kerana kedaulatan dan tanah air telah digadai kepada orang luar yang hendak melihat kehancuran di depan mata. Politik di Iraq belum begitu mantap dan kuat untuk mengatasi setiap konflik yang berlaku.

Penderitaan masyarakat Lubnan dan Palestin telah lama dikaitkan dengan kezaliman zionis Israel dan sokongan yang tidak berbelah bahagi Amerika Syarikat terhadap rejim Tel Aviv. Kawasan kediaman, sekolah, rumah ibadat dan tempat bersejarah telah musnah kerana penggunaan senjata pengebom dan berangkai yang meninggalkan kesan yang teruk dan kekal. Negara-negara yang hancur ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk dibangunkan kembali kerana kemusnahan monumen turut sama memusnahkan harapan dan cita-cita rakyat untuk berjuang membina kembali keyakinan diri mereka.

Tidak susah untuk menilai keazaman dan kesungguhan Dr. Mahathir bagi merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Jenayah Perang ini. Beliau yang sentiasa aktif memperjuangkan kemerdekaan Palestin bersama Presiden Yasser Arafat, melihat peperangan mendatangkan kecelakaan yang lebih teruk kepada rakyat negara berkenaan. Selepas berjaya menamatkan dasar apartheid di Afrika Selatan, perjuangan Dr. Mahathir kini adalah membawa petualang kesengsaraan dan penderitaan perang ke dalam lipatan sejarah dan diingat sebagai penjenayah. Cara fikir beliau adalah mudah. Dilatih sebagai pengamal perubatan, beliau menganggap ketiga-tiga orang pemimpin ini sebagai pelaku sebenar yang mendatangkan onar dan perlu diadili.

Seperti mana keberaniannya membuat tindakan sendiri ketika krisis ekonomi serantau 1997-98, Dr. Mahathir meletakkan standard tersendiri dan berusaha untuk merealisasikan matlamat penubuhan suruhanjaya diterima oleh orang lain sebagai alternatif kepada kewujudan Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang sedia ada. Di sini, keupayaan Dr. Mahathir ialah mengajak masyarakat dunia untuk berfikir bahawa mereka juga boleh membuat sesuatu yang sangat besar, mustahak dan tidak perlu takut untuk menyatakan pendapat sendiri.

Tidak ramai bekas pemimpin yang telah bersara, berumur dan uzur mampu menggerakkan pemikiran, tenaga dan masa hayatnya yang ada untuk mencabar kelesuan pemimpin sedia ada bagi membuat tindakan yang berani.

Di samping semangat membuak-buak di Persidangan Antarabangsa Dedahkan Jenayah – Jenayahkan Perang di Kuala Lumpur, beberapa kelemahan bakal dihadapi dalam merealisasikan perjalanan suruhanjaya ini. Paling utama ialah kekurangan kuasa dan kewibawaan. Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menegaskan kerajaan Malaysia tidak ada kaitan dengan penubuhan suruhanjaya berkenaan. “Tribunal itu adalah inisiatif kumpulan bebas. Biarlah mereka melakukannya kerana kerajaan tidak ada kaitan dengannya.”

Faktor-faktor lain ialah tidak ada asas undang-undang, keupayaan yang terhad untuk mengumpul bukti bagi mendakwa tertuduh dan prosedur yang bakal digunakan kerana tidak ada persetujuan antarabangsa bagi mengesahkan kewujudan suruhanjaya berkenaan.

Param Cumaraswamy, Jurulapor Khas berkenaan Kebebasan Kehakiman dan Guaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, tanpa asas undang-undang suruhanjaya itu nanti hanya menjadi tempat sarkas. Pendapat ini sangat dangkal. Aspek perundangan pasti akan diatasi kerana anggota suruhanjaya terdiri daripada mereka yang pakar dan mahir dalam perundangan. Antaranya ialah peguam, profesor dan pengamal undang-undang yang dihormati.

Dari segi prosedur, pengerusi penaja, Datuk Abdul Kadir berkata, “Penubuhan suruhanjaya ini perlu mengikut lunas undang-undang sama ada di peringkat negara mahupun antarabangsa.”

Peringkat awal, perjalanan suruhanjaya ini diramal agak sukar kerana kemungkinan diperlekehkan tetapi seperti juga usaha Dr. Mahathir sebelum ini untuk menubuhkan EAEC (East Asia Economic Caucus) yang telah menjadi kenyataan pada tahun 1995 ketika mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Bandar Seri Begawan, Brunei. Beliau mencadangkan nama East Asia Economic Group (EAEG) pada 1990 sebagai forum perbincangan ekonomi serantau. Satu suara yang kuat di peringkat antarabangsa dapat mengekalkan perdagangan bebas, memperkenalkan konsep rantau terbuka dan memberi sumbangan terhadap sistem perdagangan multilateral. Sekali lagi, beliau mencadangkan penubuhan ASEAN + 3 pada Disember 1997 sebagai usaha ke arah pembentukan Komuniti Asia Timur dengan menjemput China, Jepun dan Korea Selatan. ASEAN + 3 adalah cabaran kepada APEC (Asia-Pacific Economic Cooperation) kerana di dalam APEC terdapat kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat. Seorang yang bersedia dengan cabaran, Dr. Mahathir tidak gentar malah beliau mempunyai idea yang berbeza.

Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh beliau adalah gerakan politik di peringkat antarabangsa bagi mengajak masyarakat Malaysia dan antarabangsa di semua peringkat bahawa mereka mesti mempunyai idea yang berbeza dan memberi kebaikan kepada dunia. Sama ada berjaya atau tidak, suara penderitaan mangsa perang Iraq, Lubnan dan Palestin perlu didengari. Dr. Mahathir sangat percaya dan yakin bahawa idea atau pendapat yang kecil akan diberi perhatian jika sentiasa diulang-ulang. Dan beliau pernah berkata,

“Kalau kita kecil dan hendak orang lain tahu kita, maka kita perlu menjerit kuat-kuat supaya orang lihat di bawah ini ada satu manusia kerdil. Tetapi kalau kita menjadi gergasi, tak payah menjerit. Kita berdiri saja, orang tahu kita ada di sini.”

No comments:

Post a Comment