Institut Asia Eropah, Universiti Malaya sedang menganjurkan Minggu Filem Jerman sehingga 9 Februari ini bersama Institut Goethe, Kuala Lumpur. Lima filem hebat dipersembahkan kepada khalayak merangkumi pelbagai tema iaitu Mostly Martha, Comedian Harmonists, Good Bye Lenin, Run Lola Run dan Nowhere In Africa. Setiap malam penuh dengan “kaki wayang” yang berminat untuk belajar bahasa Jerman dan mendalami budaya dan cara pengarah Jerman membuat filem.
Pelajar-pelajar dari German Malaysia Institute (GMI) turut hadir bagi memeriahkan minggu filem ini kerana ada di kalangan mereka ini yang fasih berbahasa Jerman dan akan belajar di sana kelak. Lain-lainnya adalah peminat kebudayaan, melepaskan tekanan belajar dan juga suka-suka. Tetapi yang menarik perhatian ialah perbincangan tidak formal saya dengan salah seorang peminat filem pada malam itu iaitu Profesor Dr. Letta, Profesor Pelawat di Institut berkenaan. Beliau seorang yang berpengalaman luas dalam isu-isu Asia dan Eropah sempat memberi pendapat mengenai perkembangan terbaru berkaitan globalisasi, China sebagai kuasa ekonomi baru dan kemerosotan penduduk di Eropah dan Jepun sekarang.
Prof. Letta adalah seorang warganegara Italy yang telah menulis beberapa buah buku seperti Asia-Europe Partnership in the 21st Century, Strategic Thinking : The Korean Experience dan The Future Dynamics of East Asia-Europe Relationship. Buku terbaru yang akan dilancarkan pada bulan depan ialah South Korea-Japan Relations. Buku ini sangat istimewa kerana ia menganalisis hubungan kedua-dua negara, Korea Selatan dan Jepun yang dilihat mempunyai banyak persamaan dari segi sosiobudaya, sosiopolitik dan perkembangan ekonomi. Ia juga turut membincangkan SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman) untuk melihat pencapaian kedua-dua buah negara bagi tempoh jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
Dalam perbualan kami, beliau bersetuju bahawa kesan globalisasi sangat ketara pada abad ke-21 ini. Negara yang dulunya dianggap ketinggalan, pada hari ini sedang meningkat naik dengan pantas. Contoh paling jelas ialah Vietnam. Ekonomi negara ini pesat membangun. Jepun tidak mampu menandingi kekuatan ekonomi China dalam jangka masa panjang kerana akan menghadapi masalah penduduk dalam masa 50 tahun dari sekarang. Beliau menjangkakan penduduk Jepun akan berkurangan dari 120 juta kepada hanya 60 juta orang. Jepun memerlukan 40 peratus pekerja asing untuk mempastikan ekonomi negara itu dapat berada dalam kedudukan terbaik. Banyak perkara yang berkaitan dengan imigresen dan pekerja asing sudah pasti akan menjadi isu kepada kerajaan Jepun.
Barangan China kini berada di pasaran antarabangsa walaupun masih ramai yang meragui kualiti pembuatannya. Itu tidak dapat dinafikan kerana kos pengeluaran dan gaji yang rendah di China. Keadaan sekarang bertambah baik kerana peningkatan gaji akan meningkatkan kualiti dan membaiki mutu kerja. Barangan Jepun akan bersaing dengan barangan dari China mulai sekarang dan secara perlahan-lahan China mula menguasai banyak pasaran Asia yang secara tradisional dikuasai oleh Jepun. Contohnya ialah sektor automobil. China sedang mengorak langkah memperkenalkan jenama pengeluaran negara itu ke seluruh dunia dan mula bersaing dengan kereta buatan Jepun seperti Toyota dan Honda. Walaupun kurang diyakini, kualiti buatan kereta China semakin bertambah baik. Prof. Letta berpendapat China dapat menjadi negara pengeluar barangan berkualiti dengan cara meningkatkan gaji dan upah pekerja.
Korea Selatan, sebuah negara yang sangat tinggi kadar penembusan internet rakyatnya juga menjadi ancaman kepada Jepun. Jenama Korea Selatan seperti Hyundai dan Samsung adalah jenama peringkat dunia. Korea Selatan mampu meraih kejayaan lebih cepat daripada Jepun mula-mula melangkah ke era antarabangsa ketika zaman selepas perang dunia dahulu. Namun, seperti juga Jepun, Korea Selatan menganggap kebangkitan China adalah sebagai ancaman besar kepada kemajuan yang dinikmati sekarang.
Perbualan kami beralih ke isu yang menjadi masalah besar di Eropah sekarang iaitu kemerosotan penduduk di sana. Prof. Letta memberi contoh Italy dan Malaysia. Beliau tertarik dengan pendekatan Malaysia yang memberi ruang kepada agama dan pentadbiran berjalan seiring. Tidak ada pemisahan. Justeru, masyarakat dapat mengamalkan agama sekali gus membina kemahiran pentadbiran dan pengurusan negara ke tahap yang lebih baik. Kaedah ini memberi ruang kepada kejayaan dasar-dasar yang berkaitan dengan perkembangan dan pertambahan penduduk kerana perbincangan dalam hal yang berkaitan tidak menyalahi pentadbiran ataupun agama. Pada masa yang sama kerajaan menggunakan semua instrumen yang ada dengan berkesan. Oleh itu Malaysia tidak mengalami masalah pengurangan penduduk yang ketara.
Di Italy, sekularisme adalah ancaman sebenar kepada pengurangan penduduk yang semakin lama semakin menyusut. Sekularisme memisahkan agama dan pentadbiran negara. Gereja di satu pihak dan negara di pihak yang lain. Tidak ada titik pertemuan. Keadaan ini memberi ruang kepada nilai-nilai individualistik di dalam masyarakat Italy berkembang tanpa disedari. Elemen kolektivis atau kumpulan semakin kurang menyebabkan masyarakat lebih selesa dengan kebebasan individu. Kerajaan tidak dapat menggunakan pendekatan agama kerana sekularisme begitu kuat dan telah menjadi sebati di dalam masyarakat. Bagi jangka masa lama, kekurangan penduduk akan mengundang masalah yang besar kepada modal insan di Italy.
Kemasukan pendatang asing dari China yang kebanyakannya tidak sah juga membawa masalah baru kepada Italy. Ada kawasan yang digelar Chinatown dan mengumpulkan masyarakat Cina. Saya bertanya Prof. Letta apakah tarikan utama yang menyebabkan mereka sanggup menghabiskan beribu ringgit untuk ke Italy, hingga ada yang mati dan tidak sempat menjejakkan kaki ke negara impian mereka. Fesyen adalah tarikan utama. Barangan “Made in Italy” sangat berprestij. Dengan semangat dan kerja kuat, kemahiran fesyen dari Italy dapat dikuasai oleh pendatang dari China dan mampu menjadi kaya-raya. Makanan tidak begitu menarik minat mereka untuk dikuasai.
Kemudian kami mengalihkan perbincangan kepada negara Jerman, yang menjadi tema tayangan filem pada malam itu. Katanya, Jerman adalah sebuah negara yang sangat maju dalam teknologi kerana bahasa Jerman itu sendiri lebih tepat maknanya biarpun dibandingkan dengan bahasa Inggeris. Sukar bagi negara-negara lain untuk menandingi kehebatan teknologi BMW dan Mercedese Benz serta industri yang berasaskan kejuteraan. Penekanan bahasa ini amat menarik kerana Malaysia sedang menerapkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan perdana negara di semua peringkat, pandangan Prof. Letta tentulah membuatkan kita terfikir tentang tahap keupayaan dan kualiti bahasa Inggeris. Kita melihat bahasa Inggeris sebagai bahasa yang hebat sedangkan orang lain yang berbeza budaya dan latar belakang melihat bahasa Jerman adalah lebih hebat. Tetapi saya berpendapat Prof. Letta membuat kesimpulan yang singkat kerana bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi sejagat yang digunakan di banyak buah negara berbanding bahasa Arab atau Perancis. Laos yang pernah dijajah oleh Perancis sekalipun, mengutamakan bahasa Inggeris untuk masa depan rakyat negara itu.
Kesimpulan daripada perbincangan tidak formal di tepi tangga bersama Prof. Letta ini membuka minda saya untuk melihat keadaan dunia ketika perkembangan pesat globalisasi dan teknologi maklumat. Dunia bertambah maju tetapi ada sesetengah negara yang akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan kemajuan yang dicapai kerana berhadapan dengan penguncupan penduduk. Negara yang akan mendapat untung besar sebagai pembekal sumber manusia ialah India, China, Pakistan dan Bangladesh. Setengah abad daripada sekarang, 40 peratus penduduk di Britain akan dipenuhi dengan orang-orang dari Asia. Berbanding Britain, pendatang di Italy kebanyakannya datang dari Utara Afrika yang sukar untuk melakukan proses integrasi di dalam masyarakat Italy.
No comments:
Post a Comment